Tuesday, August 11, 2015

Penulisan – Apakah Sisi Kemahiran Anda?


Jika kita tengok dalam industri kereta, tidak kira sama ada Toyota, Proton, Mercedes, Volvo, BMW, dan sebagainya. Mereka semua mempunyai kelebihan masing-masing dari segi tertentu di mana pesaingnya tidak boleh mencabarnya dalam sudut tertentu. Contohnya, dalam segi keselamatan kereta, tiada sesiapa yang boleh bersaing dengan Volvo kerana syarikat ini memang pakar dalam ciri-ciri keselamatan kereta.

Dalam penulisan contohnya, ianya banyak genre seperti novel, agama, motivasi, kewangan, dan sebagainya. Setiap genre ini pula mempunyai peminat-peminat atau pembaca-pembacanya sendiri. Macam saya contohnya, saya tidak meminati novel. Dan saya cuba buat-buat minat dan cuba ingin menulis novel tetapi minat ini tidak dapat diterjemahkan dengan sempurna di dalam diri saya.

Saya juga tidak meminati tulisan-tulisan santai dan hanya meminati tulisan non-fiksyen seperti kewangan, sejarah, politik, ekonomi dan sebagainya. Walaupun ada buku-buku yang panas di pasaran. Kadang-kadang saya tidak membelinya kerana ia tidak memenuhi minat saya. Habis kuat pun setakat membelek-belek sahaja apabila dijual di kedai. Apakah maksudnya di sini? Ini bermakna setiap orang mempunyai minat masing-masing.

Bukan juga dengan diri kita, malah syarikat penerbitan pun mempunyai pengkhususannya sendiri. Seperti Truewealth – Bisnes, Telaga Biru – Agama, Alaf 21 – Novel, dan sebagainya. Walaupun jualan novel sentiasa laris dari semasa ke semasa, anda jangan bimbang jika anda tidak pandai menulis novel kerana dengan menulis buku-buku bukan fiksyen sekalipun, buku-buku ini sebenarnya boleh menjadi buku-buku panas.

Lihat sahaja buku Jutawan dari Planet Jupiter tulisan Azizi Ali. Walaupun buku ini sebenarnya adalah berkisah mengenai pengurusan kewangan – suatu topik yang berat, Azizi Ali berjaya mengubah landskap penerbitan buku-buku kewangan di Malaysia.

Lihat sahaja buku Rich Dad, Poor Dad, buku tulisan Robert Kiyosaki mengenai pengurusan kewangan yang menjadi kiblat pembaca-pembaca di seluruh dunia. Beliau berjaya mengolah topik pengurusan kewangan dengan mengaitkannya dengan ayah kandung dan ayah tiri beliau.

Pendek kata, semua genre buku yang anda tulis mampu menjadi best-seller jika anda mampu mengolah fakta-fakta penulisan anda. Tahukah anda bahawa 90 peratus buku yang berada di rak-rak buku kedai buku adalah ditulis oleh penulis yang masih belum dikenali?

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: