Monday, August 10, 2015

Ledakan Emosi Tidak Akan Kalah kepada Emas

Sekiranya kita sentiasa menyimpan wang RM100 setiap bulan, maka pada bulan ini kita akan lebih kaya sebanyak RM100 berbanding bulan lepas. Begitulah seterusnya dari bulan ke bulan dari tahun ke tahun. Kita akan bertambah kaya sebanyak RM100 pada setiap bulan.

Bagaimana jika sudah sampai satu tahap, jika duit simpanan kita ini sudah banyak dan boleh mengabui mata kita? Mengabui mata kita dengan kata lain ialah kita akan teruja apabila duit simpanan kita sudah bertambah banyak dan kemudian terpengaruh dengan perkara-perkara lain untuk membelinya dengan menggunakan duit simpanan ini.

Pendek kata, emosi kita akan kalah kepada wang apabila wang kita sudah bertambah banyak. Apabila kita sudah mempunyai simpanan sebanyak RM10,000. Maka, akan terlintas di fikiran kita apa salahnya membeli gajet yang bernilai RM2,000 kerana baki wang simpanan kita akan tinggal RM8,000 lagi walhal kita masih menyimpan pada setiap bulan. Benar bukan?

Dalam buku Biar Sedikit, Asal Diberkati, saya ada menulis bahawa wang di hadapan mata tidak akan dapat disimpan kerana kita akan teruja untuk menggunakan wang tersebut sampai tahap tertentu. Oleh itu, kita perlu menyimpan wang kita di tempat-tempat yang tidak boleh dicapai oleh tangan kita.

Satu lagi rahsia yang ingin saya kongsikan kepada anda supaya simpanan kita sentiasa bertambah. Caranya ialah dengan cara membeli emas! Emosi kita tidak akan kalah kepada emas! Emas juga salah satu untuk menyimpan duit kita daripada dicapai oleh tangan kita walaupun ianya berada dalam laci almari kita.

Emas dengan kata lain ialah emas dalam bentuk fizikal ataupun jongkong. Bukannya dalam bentuk akaun emas dengan anda membeli emas secara virtual di atas kertas.  Satu lagi, jika anda membeli emas secara virtual, jual beli anda tidak sah kerana kaedah ini tidak dibenarkan syarak.

Emas sekarang ini mudah didapati yakni hanya membeli di kedai-kedai tukang emas terpilih seperti Poh Kong, Habib Jewels, Public Gold, dan sebagainya. Ianya dijual dalam bentuk gram sama ada 1 gram, 5 gram, 10 gram, 20 gram,100 gram dan sebagainya.

Namun harus diingatkan di sini bahawa emas jongkong seberat 1 kilogram adalah tidak popular untuk dibuat pelaburan. Ini disebabkan adalah nilainya adalah sangat tinggi dan membuatkan orang lain sukar untuk membeli atau menebus emas anda. Berat maksimum yang ideal untuk dibuat pelaburan emas ialah sebanyak 100 gram.

Emas juga salah satu bentuk insrumen untuk anda menyimpan sambil melabur. Jika anda menyimpan jongkong emas dalam almari baju sekalipun, harganya akan tetap naik jika anda menebusnya pada masa akan datang.

Namun harus diingatkan di sini bahawa harga emas ada naik turunnya seperti mata wang dan juga minyak. Waktu harga emas turun biasanya adalah selepas hari raya. Waktu sekarang adalah sesuai untuk anda membeli emas kerana harga emas terus menurun pada bulan Ogos ini. Saya ada terbaca satu artikel bahawa harga emas ini diramalkan akan naik semula pada bulan November ini.

Anda jangan bimbang sekiranya anda tiada wang saat-saat kecemasan tatkala anda sudah menukarkan semua wang anda kepada emas. Emas-emas ini sebenarnya boleh dipajak (ar-Rahn) di kedai-kedai pajak terpilih sekiranya anda memerlukan wang.

Nilai yang anda perolehi adalah sebanyak 70 peratus daripada nilai semasa emas anda. Jika emas anda seberat 20 gram dan harga semasa emas ialah RM180. Maka anda akan memperolehi 70 peratus daripada RM3,600 (20 gram x RM180) iaitu sebanyak RM2,520. Anda boleh menebusnya semula selepas itu dengan upah sebanyak 2 peratus sebulan daripada kedai pajak gadai.

Harus ditegaskan di sini bahawa menyimpan wang adalah jalan untuk anda membina kekayaan dan bukannya salah satu skim cepat kaya yang menjanjikan dividen pada setiap bulan. Bukan membeli emas pada bulan ini dan ingin membuat untung pada bulan hadapan dengan menjualnya. Sekurang-kurangnya membuat anda target keuntungan daripada emas anda daripada hasil jualan sekurang-kurangnya untuk tempoh 2 tahun. Bergantung kepada nilai emas semasa.

Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogpot.com

No comments: