Wednesday, July 8, 2015

Apapun Bakat Dahulu. Minat Nombor Dua...

Minat dan bakat sebenarnya adalah entiti yang berlainan. Jika anda minat akan sesuatu perkara, tetapi tiada bakat untuk membuat sesuatu perkara, usaha anda tidak akan menjadi dan anda tidak akan ke mana apatah lagi jika anda ingin membuat bisnes.

Bisnes tidak memerlukan modal yang besar ataupun network yang hebat walaupun mempunyai kabel yang kuat dengan mana-mana Menteri Besar atau mana-mana pengerusi syarikat. Bisnes memerlukan bakat semula jadi yang terpendam dalam diri anda.
Bagaimana anda ingin mengetahui apakah bakat terpendam dalam diri anda? Sebelum itu, anda jangan cuba mengatakan bahawa anda tiada bakat dan diri anda hanya sesuai untuk duduk di pejabat untuk membuat kerja-kerja dengan menggunakan excel dan word sahaja.
Percayalah bahawa Tuhan telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian yakni dengan menganugerahkan seseorang itu kemahiran supaya mereka boleh membuat kerja untuk mencari rezeki. Bukan hanya bergantung kepada kerja kerajaan semata-mata setelah tamat belajar mengikut gred tertentu seperti 17,41,48,56, JUSA, dan sebagainya untuk terus hidup.
Mentaliti orang kita ialah belajar tinggi-tinggi masuk universiti, kemudian lepas grad duduk dalam ofis kerja kerajaan walhal ada kemahiran-kemahiran atau bakat-bakat kita yang kita tidak perasan dalam diri kita. Kemudian, apabila bersara dapat pencen sebelum masuk kubur.
Malah, dengan menggarapkan kemahiran anda sekalipun, ianya boleh mendatangkan pulangan wang yang lumayan kepada anda. Garap kemahiran anda. Asah sehingga tajam, tambah kualiti dari semasa ke semasa, dan pastinya ianya membuahkan hasil yang menakjubkan apabila anda berbuat sesuatu.  
Caranya mungkin sukar. Pertama sekali, cuba anda lihat saudara-mara anda. Perniagaan apakah yang mereka lakukan? Adakah menternak ikan, kambing, ayam, membuat rumah, bersawah, dan sebagainya? Jika anda dapati ini, anda boleh garapkan kemahiran anda.
Seterusnya, anda boleh ikut minat anda untuk berbuat sesuatu. Mungkin anda mengatakan saya tadi silap mengatakan bahawa bakat dahulu. Kemudian, minat nombor dua. Tetapi, kali ini, anda boleh mengikut minat anda terlebih dahulu sebelum anda boleh tahu anda memang ada bakat dalam bidang anda minati. Ini lagi bagus. Bakat dan minat seiring bersama.
Ada juga orang mensia-siakan bakat yang miliki. Contohnya, lihat sahaja Akademi Fantasia. Memang tidak dinafikan bahawa memang ada orang yang mempunyai bakat menyanyi yang luar biasa. Malangnya, ratusan ribu orang yang mencuba bakat di Akademi Fantasia adalah orang yang minat menyanyi sahaja dan bukannya orang yang mempunyai bakat menyanyi. Hasilnya, bakar darah sahaja pergi uji bakat AF kerana tiada yang sudi ambil menyanyi.
Mungkin bakat yang kita miliki tidak selari dengan minat yang kita miliki. Contohnya, kita memang berminat untuk mengajar tetapi bakat kita memberitahu kepada kita lebih sesuai untuk menulis. Ini sesuatu yang sukar buat diri kita apabila bakat dan minat menjadi pertembungan dalam diri kita dan seterusnya menghasilkan keadaaan yang serba salah dalam diri kita untuk bergerak ke hadapan.
Garapkan bakat anda. Insya-Allah ia akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa untuk anda.
Wallhua’lam.

1 comment:

Izham said...

Setuju dengan idea ini. Cuma, setiap orang perlu tahu apakah bakatnya itu. Jika tidak, akan terus terpendam bakatnya.