Sunday, July 26, 2015

Mengimbau Kembali Filem 30 Tahun Lepas


Filem Back To The Future merupakan salah satu filem yang saya selalu tonton sewaktu saya kecil dahulu. Namun, apa yang lebih menarik, saya dapat membuat penilaian sendiri apabila mula menontonnya ketika melalui dua zaman – iaitu zaman ketika saya budak-budak pada 1980-an dan zaman ketika saya dewasa kerana saya dapat membuat penilaian dan perspektif yang berbeza.

Mungkin sewaktu kita kecil apabila menonton filem ini kita hanya memerhatikan kereta yang hebat yang boleh kembali kepada masa lepas. Berlainan pula apabila kita telah dewasa di mana kita akan memahami jalan cerita, sebab musabab, mengapa ini dan itu terjadi, kepentingan watak, simbolik tempat lakonan, dan sebagainya. Pendek kata, kita dapat melihat ruang lingkup yang berbeza apabila menilai filem ini setelah dewasa. Apa yang lebih penting kita dapat melihat pemikiran pengarah filem apabila mementaskan filemnya iaitu bagaimana beliau membuat susun atur filemnya.

Filem Back To The Future 1 mengisahkan mengenai kajian Dr. Emmett Brown mengenai mesin masa yang boleh menghantarnya ke masa depan ataupun masa yang lepas. Dalam eksperimen beliau ini, Marty yang menjadi pembantunya untuk menjayakan cita-citanya ini. Mesin masa yang diciptakan oleh Dr. Emmett ini ialah sebuah kereta DeLorean yang mempunyai ‘Flux Capacitor’ yang menjadi nadi utama kereta ini yang perlu diberi kuasa elektrik sebanyak 1.21 Gigawatt dan perlu bergerak lebih daripada 88 batu per jam supaya boleh bergerak merentasi masa. Kuasa elektik ini dbekalkan dalam bentuk pluotinum. 

 Flux Capacitor Kereta DeLorean

Bermulanya babak saspen dalam filem Back To The Future 1 ini ialah apabila pembantu Dr. Emmett iaitu Marty ingin melarikan daripada serangan puak pengganas Libya dengan menggunakan kereta DeLorean. Tanpa disedari, apabila kereta mesin masa yang dipandunya melebihi 88 batu per jam, beliau (Marty) telah kembali pada tahun 1955 iaitu pada masa 30 tahun sebelumnya di mana waktu sebenar beliau berada ialah tahun 1985. Ini adalah kerana kereta mesin masa itu telah disetkan untuk kembali pada 5 November 1955.

Mahu tidak mahu beliau perlu menemui Dr. Emmett Brown pada tahun 1955 untuk memintanya menghantar semula beliau pada tahun 1985. Dr. Emmett ketika itu masih belum mencipta kereta mesin masa. Yang hanya terlintas di fikirannya pada tahun 1955 pada ketika itu ialah apabila beliau ingin mencipta ‘Flux Capacitor’ dan hanya membuat lakarannya sahaja. Beliau (Dr. Emmeett) tidak menyangka bahawa mesin masa yang dicipta oleh beliau menjadi kenyataan apabila Marty menunjukannya kereta DeLorean yang dipandunya dari tahun 1985.

Yang menjadi masalah atau punca jalan cerita ini ialah bagaimana ingin menghantar semula Marty ke tahun 1985 kerana bekalan pluotinum yang boleh menjana kuasa elektrik 1.21 Gigawatt tidak dibawa bersama. Pada tahun 1955, pluotinum masih belum wujud lagi. Mujurlah ada keratan akhbar tahun 1985 yang dibawa bersama oleh Marty menunjukkan bahawa menara jam di Hill Valley telah disambar petir pada tahun 1955.

Daripada kerata akhbar ini, Dr. Emmett mendapat idea untuk menjana Flux Capacitor kereta ini dengan kuasa petir untuk mendapatkan kuasa elektrik sebanyak 1.21 Gigawatt. Kereta yang dipandu oleh Marty dipasang pencangkuk akan melalui tali kabel yang disambung kepada menara jam tepat pada 10.04 malam apabila kilat menyambar. Ternyata perancangan Dr. Emmett ini berjaya dan Marty berjaya dihantar semula pada tahun 1985.

Filem siri-siri Back To The Future sebenarnya mengajar kita supaya menggunakan semua peluang yang ada untuk kita mencapai matlamat kita. Contohnya, dalam Back To The Future I, Dr. Emmett menggunakan peluang petir untuk menghantar semula Marty ke tahun 1985. Dalam Back To The Future III pula, Dr. Emmett menggunakan kepala kereta api yang telah bergerak untuk mendapatkan kuasa dan menolak kereta DeLorean di atas gerabak untuk menghantar semula Marty dari tahun 1885 kepada tahun 1985.

Kita juga perlu membuat lakaran minda secara kasar dalam menyusun strategi kita. Ternyata dalam filen Back To The Future I dan III, Dr. Emmettt membuat lakaran model untuk melihat gambaran kasar bagaimana kereta DeLorean boleh digerakkan untuk menghantar semula Marty pada tahun 1985.

Ternyata cerita Back To The Future ini sarat dengan strategi Dr. Emmett Brown untuk menghantar semula Marty dengan kereta mesin masa DeLorean. Strategi akan menjadi sia-sia jika tiada ketepatan masa untuk melakukan sesuatu. Ketepatan masa juga dititikberatkan juga dalam filem-filem ini. Sudah pastinya filem ini tidak mengecewakan.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: