Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
Pada hari ini ramai orang yang ingin membina Negara Islam ataupun sistem pemerintahan berkhalifah tetapi ramai orang masih meninggalkan solat subuh berjemaah. Ideologi PAS dengan pemerintahan Negara Islamnya dan ideologi Hizbul Tahrir dengan ideologi sistem khilafahnya. Malangnya, apabila kita pergi solat Subuh berjemaah, didapati Solat Subuh berjemaah hanya 2 saf sahaja di masjid-masjid. Di manakah silap kita sebenarnya?
Bak kata bidalan peribahasa melayu, kuman di seberang sungai kita nampak tetapi gajah di depan mata kita tidak nampak. Ingin mendirikan Negara Islam tetapi jati diri kita masih rendah.
Hidup ini adalah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. terdapat 5 perkara yang perlu dicapai sepertimana yang telah digariskan oleh Fathi Yakan dalam bukunya Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam. 5 perkara tersebut ialah :
1. Menjadi individu muslim
2. Membina keluarga muslim.
3. Membina masyarakat muslim.
4. Membina Negara Islam.
5. Membina Sistem Khilafah.
Dapat dilihat bahawa perkara yang tertinggi sekali ialah membina pemerintahan sistem berkhalifah. Akan tetapi, asas terpenting sekali atau nukelus yang paling penting ialah membina individu muslim yakni membina jati diri kita yang teguh berpegang kepada ajaran Islam. Sekiranya jati diri kita masih belum teguh, bagaimana kita ingin membina 4 peringkat seterusnya yakni membina keluarga muslim, masyarakat muslim, Negara Islam, dan pemerintahan berkhalifah?
Sesungguhnya kita hari ini memang kuat berangan-angan untuk membina sebuah Negara Islam tetapi gagal membina Negara Islam dalam diri kita terlebih dahulu. Kononnya diri ini pejuang hudud apabila menjadi penyokong parti pembangkang tetapi batang hidung pun susah nak nampak untuk menunaikan solat subuh berjemaah pada setiap hari.
Bagaimana kita ingin menentang pedang musuh-musuh Islam sedangkan kita sendiri kalah dengan selimut untuk terus tidur untuk bangkit daripada menunaikan solat subuh berjemaah di masjid? Lihat sahaja Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah apabila menerima kecaman antarabangsa apabila melaksanakan hukum hudud di negara baginda. Namun, baginda tetap konsisten untuk melaksanakan sistem perundangan Islam di negaranya walau menerima pelbagai tohmahan dan kecaman antarabangsa. Mampukah iman yang kalah dengan kain selimut mampu untuk menangkis kecaman antarabangsa apabila kita ingin betul-betul melaksanakan sistem perundangan Islam sepenuhnya?
Diceritakan bahawa bahawa orang-orang Yahudi amat takut kepada orang Islam sekiranya umat Islam dapat menunaikan solat fardhu berjemaah 5 waktu sehari semalam seperti solat Jumaat. Ini adalah kerana dalam kitab Taurat yang menjadi rujukan orang-orang Yahudi menceritakan bahawa orang-orang Yahudi akan kalah kepada orang Islam sekiranya umat Islam menunaikan solat Jemaah beramai-ramai.
Realiti pada hari ini ialah orang-orang Islam akan memenuhi saf-saf masjid apabila tiba 3 waktu solat yakni solat Jumaat, solat sunat hari raya, dan solat terawih pada awal Ramadhan sahaja. Namun begitu, solat-solat fardhu yang lain khususnya solat Subuh masih sedikit. Malangnya buat diri kita semua.
Ayuh semua, marilah kita membina jati iman dan taqwa kita seperti Saidina Umar al-Khattab dengan menunaikan solat Subuh berjemaah terlebih dahulu sebelum kita menggegarkan Amerika Syarikat dan Russia sepertimana Saidina Umar al-Khattab menggegarkan Kerajaan Rom dan Parsi suatu ketika dahulu jika kita betul-betul ingin membina sistem pemerintahan berkhalifah di dunia ini.
Wallahua'lam.
1 comment:
Kenapa orang Islam menganggap orang bukan Islam sebagai musuh Islam? Anda percaya ada dua tuhan yang mencipta orang Islam dan bukan Islam ? Allah maha pengampun dan maha mengasihi, siapakah kita, beranikah kita menyalahkan ciptaanya. Semua yang diturunkan oleh Allah dimuka bumi ini ada sebabnya tersendiri, terapkan nilai murni dan belajarlah hidup bersaudara. Hormatilah setiap ciptaan Allah. Tk.
Post a Comment