Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
Mengapa orang Terengganu sinonim dengan orang yang beragama? Adakah ia berlaku secara kebetulan atau memang ditakdirkan kuat beragama? Seringkali apabila orang Terengganu pergi ke luar atau orang luar pergi Terengganu, mereka mengatakan bahawa orang-orang Terengganu ini memang kuat berpegang teguh kepada agamanya apatah lagi negeri Terengganu melahirkan ulama'-ulama' tersohor Tanah air pada abad ke-19 seperti Tok Ku Paloh, Sheikh Abdul Malek, dan sebagainya.
Saya tidak pun mengetahui perkara ini sehinggalah saya terbaca buku mengenai buku Ulama'-ulama' Silam Negeri Terengganu terbitan Yayasan Terengganu. Menurut buku ini, rakyat Terengganu berpegang teguh kepada agamanya kerana Sultan Terengganu pada abad ke-19 iaitu Sultan Zainal Abidin III telah menerapkan Undang-undang Islam yakni hudud, qisas, dan takzir semasa pemerintahan baginda apatah lagi baginda sendiri sering berdamping dengan ulama'-ulama' dalam menjalankan pentadbiran baginda. Oleh itu, kesan pentadbiran Islam secara syumul ini memberi pengaruh yang besar kepada rakyat Terengganu.
Pengaruh Sultan Zainal Abidin III masih dapat dilihat sehingga pada hari ini kerana rakyat Terengganu masih tetap berpegang teguh kepada agamanya. Teringat saya kepada kisah 'Baiklah kepala baiklah jasadnya' yang mengingatkan kita kepada pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz di mana serigala takut memakan kambing kerana roh keadilannya meresap ke dalam jiwa setiap makhluk di dalam kawasan pemerintahannya. Begitulah hebatnya pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ini di mana pengaruhnya masih berkekalan sehingga ke hari ini walaupun 100 tahun sudah pun berlalu.
Wallhua'lam.
No comments:
Post a Comment