Wednesday, September 17, 2025

Perdana Menteri daripada PAS Memberi Mesej bahawa Tiada Lagi Parti Melayu yang Dapat Melindungi Hak-Hak Orang Melayu

Bismillah.

Muktamar PAS yang berlangsung pada 15 – 16 September 2025 yang mencadangkan supaya Perdana Menteri pasca PRU-16 akan datang adalah perlu datang daripada PAS. Hal ini memberi mesej yang jelas bahawa tiada lagi parti-parti Melayu yang dapat melindungi hak-hak orang Melayu di negara ini.

Isu-isi yang timbul seperti URA yang melibatkan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur menunjukkan bahawa pimpinan Melayu di peringkat Pusat sama ada daripada UMNO dan PKR sendiri tidak mampu untuk menyelesaikan isu-isu orang Melayu. Selain itu, projek-projek mewah yang dijalankan di Pulau Pinang yang didominasi oleh pimpinan DAP yang mendapat peruntukan kewangan yang besar daripada Kerajaan Pusat seperti dalam membuat Penang Hill, LRT, dan sebagainya menunjukkan Anwar Ibrahim sendiri sebagai Menteri Kewangan tidak mampu untuk membuat apa-apa di dalam kerajaan sekaligus menunjukkan bahawa kuasa politik orang Melayu sudah mula berkurangan. Ini mengukuhkan tanggapan bahawa PAS sahaja dilihat sekarang yang mampu untuk melindungi kepentingan-kepentingan orang Melayu pada masa akan datang.

PH pimpinan Anwar Ibrahim gagal untuk melaksanakan apa janji-janji reformasinya seperti yang dilaungkan dahulu sewaktu menjadi pembangkang. Ini membuatkan orang mengatakan bahawa pentadbiran Najib suatu ketika dahulu adalah lebih baik daripada sekarang. Pentadbiran Anwar Ibrahim seolah-olah mentadbir kerajaan secara Pak Man Telo iaitu memotong subsidi rakyat bagi memberi projek kepada kroni. Realitinya, rakyat terus hidup melarat dengan kos kehidupan yang meningkat dari masa ke semasa.

Dengan mengambil kata-kata azimat Tun Abdul Razak, “Jika berlaku apa-apa kepada UMNO, PAS adalah menjadi pilihan orang Melayu.” Realitinya ini yang berlaku. UMNO selepas kalah dalam PRU-14 pada tahun 2018 dilihat sudah tidak bermaya lagi untuk bangkit semula. Lebih dari itu, UMNO dilihat berlagak seolah-olah masih memegang majoriti di parlimen. Jika ada pun ada pemimpin-pemimpin UMNO yang ingin memulihkan semula UMNO, ia dilihat sebagai tidak menyeluruh dan gagal untuk menambat semula hati orang Melayu untuk menyokong parti ini.

Jika melihat kedudukan kerusi parlimen sekarang, PAS dan DAP merupakan parti terkuat di seluruh Malaysia di mana PAS masih dilihat mampu untuk menguasai negeri-negeri Pantai Timur dan Utara dan DAP dilihat terus mampu untuk menguasai kerusi-kerusi parlimen di kawasan bandar. Untuk menduduki kerusi Perdana Menteri dengan selesa, PAS perlu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat. Oleh itu, bertanding secara solo adalah mustahil bagi PAS jika ingin mentadbir Persekutuan. Sehubungan dengan itu, PAS perlu menguatkan kedudukan parti sekutunya dalam Perikatan Nasional khususnya Bersatu dalam usaha untuk memenangi bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dalam PRU akan datang.

Dalam keadaan ini UMNO sudah tentu berada dalam dilemma sama ada untuk bersekutu dengan PN atau PH dalam PRU-16 akan datang. Mahu tidak mahu UMNO hanya akan menjadi penumpang sahaja dalam kerajaan kerana tidak mampu lagi untuk memenangi kerusi Parlimen dengan majoriti besar sepertimana zaman kegemilangan dia dahulu. Zaman itu sudah pun berlalu bagi UMNO melainkan dia hanya akan menjadi king maker ataupun kerusi penentu bagi mana-mana gabungan dalam PRU akan datang jika parti ini bertanding secara solo.

Kesimpulannya, PAS mempunyai peluang yang cerah dalam PRU akan datang untuk membentuk Kerajaan Persekutuan sekiranya ia berjaya memainkan isu-isu yang membelenggui rakyat pada masa ini. Kerajaan PH pada hari ini seolah-olah lesu dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul yang memperlihatkan ianya tidak kelihatan berwibawa dalam menyelesaikan isu-isu semasa rakyat.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: