Thursday, October 18, 2012

Perspektif Melayu Terhadap Tanah

Orang zaman sekarang tidak kira sama ada melayu, cina atau apa bangsa sekalipun akan sentiasa berlumba mengejar harta kekayaan sama ada dalam bentuk wang tunai ataupun hartanah. Ia bergantung kepada gaya pemikiran seseorang terhadap apa yang mereka ingin miliki. Pada kali ini saya ingin berbicara mengenai tanah iaitu persepsi orang melayu dan cina terhadap tanah. Ini adalah kerana tanah mempunyai nilainya tersendiri bergantung kepada kedudukan dan jenis tanah itu sendiri.
 
Sememangnya padi yang diusahakan oleh orang cina mempunyai kelainan tersendiri daripada padi yang yang diusahakan oleh orang melayu. Padi yang diusahakan oleh orang cina biasanya lebih berkualiti daripada padi yang diusahakan oleh orang melayu. Ini adalah kerana pesawah cina biasanya akan mengorek tanah sawah terlebih dahulu sedalam satu kaki dan kemudian simen diletakkan dan ia ditunggu sehingga keras. Kemudian, tanah ditimbus dan barulah proses penanaman padi dilakukan. Ini akan menghasilkan padi yang berkualiti yang bebas daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan padi itu sendiri setelah pokok padi itu tumbuh dan membesar. Berbanding dengan padi yang diusahakan oleh orang melayu di mana ia ditanam terus tanpa ditanam dengan simen terlebih dahulu di dalam tanah dan ini menyebabkan padi yang diusahakan oleh orang melayu kurang berkualiti.

Orang melayu dan orang cina mempunyai perspektif yang berbeza terhadap tanah. Memang benar hartanah merupakan aset kekal kepada seseorang atau keluarga mereka. Tanah juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu tanah yang produktif dan juga tanah yang tidak produktif. Tanah yang produktif itu boleh memberikan hasil atau pulangan wang kepada seseorang manakala tanah yang tidak produktif itu tidak memberi sebarang hasil atau pulangan wang kepada seseorang. Seringkali orang melayu akan mewakafkan tanah mereka yang tidak produktif seperti yang terletak di kawasan pedalaman atau kampung-kampung kepada Majlis Agama Negeri Islam (MAIN). Akhirnya, tanah itu hanya terbiar sahaja walaupun diwakafkan dan pihak Majlis Agama pula terpaksa mengupah orang untuk membersihkan tanah tersebut dari semasa ke semasa.
 
Orang melayu suka kepada bilangan tanah yang banyak sehingga luasnya adalah berpuluh-puluh ekar tanpa menjadikan tanah tersebut adalah sesuatu yang produktif atau menjana pendapatan. Orang melayu hanya mengukur kekayaan seorang melalui jumlah tanah yang dimiliki sahaja tanpa memikirkan sesuatu yang boleh menjana pendapatan mereka hasil daripada tanah yang mereka miliki. Berlainan pula dengan orang Cina kerana mereka tidak menjadikan jumlah ekar tanah yang dimiliki sebagai ukuran kekayaan seseorang tetapi mereka mengukur kekayaan melalui pulangan hasil atau wang hasil daripada tanah yang mereka miliki. Tanah-tanah yang dimiliki boleh dijana dengan menanam sawit, getah serta tanaman kontan yang lain.
 
Tidak ada gunanya sekiranya kita mewarisi tanah yang banyak daripada orang tua kita tetapi kita tidak dapat menjana keuntungan wang daripada tanah tersebut. Apa yang saya sebut ini mungkin ada benarnya secara umum tetapi ada juga sebahagian daripada orang melayu mengusahakan tanah-tanah tersebut dengan tanaman kontang seperti getah, kelapa sawit dan sebagainya. Apa yang saya maksudkan ialah sebahagian daripada kenalan-kenalan saya yang mengusahakan tanah-tanah tersebut. Ini adalah penting kepada mereka sebagai pendapatan utama mereka setelah bersara kelak kerana organisasi tempat saya bekerja tidak menyediakan skim pencen.

Apa yang lebih penting di sini ialah kita perlu pandai mengusahakan tanah yang kita miliki supaya ia produktif yang boleh memberikan kita pulangan sama ada setiap bulan atau musim tertentu. Tuhan memberikan akal untuk berfikir. Gunakanlah akal fikiran kita sebaik mungkin untuk mengusahakan tanah-tanah yang kita miliki. Kekayaan bukanlah diukur dengan jumlah tanah yang kita miliki tetapi jumlah hasil yang kita perolehi dari tanah tersebut.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: