Friday, October 5, 2012

Kadang-kadang Kita Perlu Juga Menolak Kemajuan

Kadang-kadang kita juga perlu menolak kemajuan. Ini adalah kerana kemajuan kadang-kadang boleh merosakkan bukan sahaja manusia tetapi juga umat manusia. Kita lihat sahaja semasa Perang Dunia Kedua di mana Amerika Syarikat telah mengebom bandar raya Hiroshima dan Nagasaki di Jepun dengan bom atom sehingga menjahamkan penduduk Jepun. Sebenarnya, penciptaan bom atom ini pada mulanya dirintis oleh Ibnu Sina iaitu seorang sarjana Islam. Akan tetapi, beliau tidak meneruskan penciptaan bom tersebut kerana beliau tahu bahawa bom tersebut akan membawa malapetaka kepada umat manusia. Seterusnya penciptaan bom atom ini akhirnya berjaya disambung dan disiapkan oleh Albert Einstein dengan formula yang diperkenalkan beliau ialah, E = MC2 ( Tenaga = Massa X Kecepatan Cahaya Kuadrat ). Akhirnya, bom inilah yang akhirnya membawa malapetaka kepada umat manusia.

Sebenarnya, penciptaan-penciptaan teknologi hari ini adalah hasil daripada idea-idea yang telah disebut di dalam al-Quran. Kita harus ingat bahawa al-Quran hanya menyebut prinsip-prinsip ilmu dan kita sebagai manusia perlu mengkajinya. Sekiranya al-Quran menerangkan segala-galanya mengenai ilmu, maka kitab al-Quran akan menjadi setebal bangunan tempat anda bekerja. Sekiranya kita melihat penciptaan jet pejuang pada hari ini, idea penciptaannya adalah hasil daripada kisah burung ababil yang membawa batu api neraka untuk meranapkan tentera bergajah Abrahah yang ingin menyerang Kota Mekah seperti mana yang disebut dalam Surah al-Fiil. Manusia mula terfikir bagaimana mereka boleh membuat ciptaan seperti burung yang boleh membawa batu api yakni peluru? Maka, jet pejuang akhirnya tercipta melalui idea ini. Wright bersaudara merupakan orang yang mula-mula mencipta kapal terbang. Tetapi kita perlu tahu bahawa Khilafah Uthmaniah antara negara pertama di dunia yang memajukan sains penerbangan selepas kapal terbang tersebut dicipta.

Saya masih ingat lagi ada kenalan pejabat saya yang mengatakan bahawa saya ini jumud seperti Nik Aziz kerana tidak menonton televisyen. Bahkan kawan-kawan sewaktu saya belajar di matrikulasi dahulu bertanyakan saya mengapa tidak menonton televisyen. Sebenarnya saya telah dilatih selama lima tahun berturut-turut untuk meninggalkan kotak televisyen iaitu ketika saya berada di asrama. Sewaktu di asrama, televisyen adalah dilarang sama sekali. Saya pun tidak berminat untuk menonton televisyen setelah dilatih sedemikian kerana televisyen membawa unsur-unsur maksiat seperti mendedahkan aurat dan sebagainya. Saya hanya menonton televisyen ketika bersama-sama keluarga ketika pulang ke kampung halaman. Terima kasih diucapkan kepada SMKA Sheikh Abdul Malek dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) kerana berjaya mendidik saya!

Al-Quran dan ilmu itu cahaya dan ia tidak berada di dalam hati yang dicemari maksiat. Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz pernah menceritakan bahawa beliau ditahan selama tiga tahun di Masjid Negara oleh gurunya apabila ingin menghafal al-Quran. Selama tempoh tersebut, beliau tidak dibenarkan untuk menonton televisyen dan juga mendengar radio bagi menghafal al-Quran. Saya pernah bertanya kepada seorang pelajar Maahad Tahfiz. Memang benar, beliau menceritakan bahawa pelajar tidak dibenarkan untuk menonton televisyen, mendengar radio dan melayari internet semasa tempoh menghafal al-Quran. Ini yang hendak saya katakan bahawa kadang-kadang kita juga perlu menolak kemajuan.

Kadang-kadang walaupun dunia ini semakin dekat. Tetapi, adakah kita semakin dekat kepada Allah? Sekiranya pada zaman dahulu, para ulama’ terpaksa berjalan di padang pasir selama beberapa bulan apabila mendengar sesuatu hadis yang baru disampaikan. Tetapi, pada hari ini kita hanya boleh merujuk hadis melalui internet dengan hanya beberapa minit sahaja. Malangnya, maksiat semakin berleluasa seiring dengan kemajuan teknologi yang dicapai pada hari ini. Sekiranya Malaysia yang dikatakan bebas daripada sebarang bencana alam kerana terletak di Luar Lingkaran Api Pasifik. Kini, gempa bumi juga tidak mustahil berlaku di Malaysia pada hari ini. Nampaknya, sukatan mata pelajaran Geografi di sekolah-sekolah perlu disemak dan digubal semula. Inilah yang dikatakan peringatan daripada Allah s.w.t. Semoga kita dapat muhasabah diri sendiri apa dengan apa yang telah kita lakukan.

Sekiranya kita melihat dunia hari ini kemudahan-kemudahan teknologi seperti laman sosial dan sebagainya juga boleh merosakkan hubungan kekeluargaan khususnya suami isteri. Dengan kemudahan-kemudahan ini, si suami mencari perempuan-perempuan lain di luar sana dan begitulah sebaliknya. Tidak kurang juga ada yang menceritakan masalah rumah tangga atau kekeluargaan di laman sosial sehingga menjadi tatapan umum. Oleh itu, tidak hairanlah bahawa kadar penceraian semakin meningkat dari semasa ke semasa. Semoga kita dijauhkan daripada perkara-perkara buruk ini.

Saya juga kadang-kadang meninggalkan broadband saya di pejabat untuk mendisiplinkan diri saya agar tidak terlalu melayari internet apabila berada di rumah. Ini adalah kerana saya tidak akan menelaah pelajaran saya apabila kemudahan internet berada di hadapan mata. Apa yang saya ingin sebutkan di sini ialah kemajuan itu kadang-kadang boleh membawa keburukan kepada kita. Semoga kita sentiasa beringat mengenai perkara ini. Al-Quran dan ilmu itu cahaya dan ia tidak berada di dalam hati yang dicemari maksiat. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: