Sunday, June 24, 2012

Melayu Liat Membayar Hutang?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Terima kasih diucapkan kepada pengunjung-pengunjung setia blog saya yang sudi meluangkan masa membaca blog saya. Ada yang tertanya-tanya mengapa saya tidak mengemas kini blog saya sejak beberapa lama. Saya tidak dapat mengemaskini blog saya kerana ada sebab-sebab kekangan tertentu. Namun begitu, saya akan tetap mengemaskini blog saya untuk tatapan Tuan dan Puan semua. Ada yang menjadikan blog saya ini sebagai rujukan pengurusan kewangan mereka. Suka saya ingin memberitahu di sini ialah semakin belajar diri kita mengenai ilmu kewangan, maka kita akan menjadi semakin KEDEKUT. Ini adalah kerana kita akan menghargai setiap sen duit di dalam poket kita apabila ilmu semakin bertambah di dada. Sekiranya anda seorang Ketua Pegawai Kewangan ataupun Chief Financial Officer (CFO), anda akan menghargai setiap sen wang syarikat walaupun nilainya adalah 1 sen.

Baiklah tajuk artikel saya kali ini ialah Melayu Liat Membayar Hutang? Sebenarnya, ini bukan idea saya yang sebenar tetapi saya ingin memetik tulisan Tun Dr. Mahathir dalam buku terbarunya iaitu Doktor Umum : Memoir Tun Dr. Mahathir Mohammad. Buku banyak memperihalkan mengenai sikap dan masalah yang dihadapi oleh orang melayu. Saya sebenarnya tertarik mengenai tulisan beliau mengenai sikap orang melayu terhadap hutang.

Sebenarnya disiplin bayaran balik pinjaman dan hutang dengan segera adalah syarat utama kejayaan dalam perniagaan. Ramai yang mengambil hutang tetapi hanya menggunakan separuh daripadanya untuk tujuan perniagaan. Ini menyebabkan kadar faedah pinjaman itu naik dua kali ganda. Dengan menggunakan separuh modal sahaja maka sukarlah untuk mendapat hasil yang cukup bagi membayar hutang.

Beliau menceritakan bahawa ada seorang pengusaha stesen minyak menemuinya yang melaburkan pungutan tunainya dalam satu perniagaan lain. Perniagaan itu gagal dan beliau tidak mampu membayar bekalan minyak yang diperolehinya secara kredit. Selepas berulang kali gagal membayar, pembekal mula menuntut bayaran tunai dalam urusan jual beli minyak. Beliau tiada lagi wang tunai dan gagal mendapatkan pinjaman tambahan daripada bank. Akhirnya, pengusaha tersebut hilang stesen minyaknya kerana gagal membayar hutang. Perkara ini yang menyebabkan pengusaha-pengusaha stesen minyak melayu yang lain terpaksa membayar wang pendahuluan untuk mendapat bekalan minyak sekarang.

Masalah ini yang dihadapi oleh kontraktor melayu. Tun juga menceritakan bagaimana makmal komputer yang dibina oleh kontraktor melayu boleh runtuh. Saya masih ingat cerita tersebut dan ianya diuar-uarkan pada tahun 2002 di mana majalah Massa memaparkan tajuk kulit “Makmal Komputer Runtuh : Mana Maruah Orang Melayu?” atau lebih kurang tajuknya berbunyi begitulah. Ia sebenarnya adalah mudah sahaja untuk didirikan bersama pemasangan wayar untuk komputer. Tetapi orang yang bertanggungjawab membina makmal tersebut menjual kontrak kepada kontraktor lain. Kemudian, pihak kedua menjual kontrak tersebut kepada pihak ketiga untuk mendapat bayaran pendahuluan. Projek ini terus bertukar tangan sehingga tidak lagi membawa keuntungan. Kontraktor terakhir yang membeli kontrak ini terpaksa membina makmal dengan menggunakan bahan bermutu rendah dan gagal pula membayar hutang kepada pembekal dan sub-kontraktor. Natijahnya, mereka tidak dapat menyiapkan projek tersebut dan bangunan tersebut runtuh sebelum digunakan.

Begitulah dengan kita, kita perlu tahu berapa jumlah hutang atau komitmen lain yang perlu dibayar pada setiap bulan. Hutang tetap hutang. Janganlah anda tutup sebelah mata terhadap hutang anda sama ada membayar sekali-sekala. Apa yang lebih buruk lagi anda membutakan mata anda terhadap hutang-hutang anda iaitu anda tidak membayar hutang anda. Masalah hutang anda perlu selesaikan. Masalah tidak dapat dielak. Sekiranya ia dielak, ia akan datang jua. Oleh itu, cuba selesai masalah anda.

Hutang ansuran bulanan kereta dan rumah memerlukan komitmen bayaran yang baik setiap bulan. Ramai orang membayar ansuran bulanan pada akhir bulan. Ini adalah kerana mereka menggunakan gaji bulan tersebut bagi membayar ansuran bulanan pada bulan tersebut. Contohnya, kita menerima gaji 26 hb. dan membayar ansuran bulanan pada 29 hb. setiap bulan. Ini yang menyebabkan ada antara kita yang menerima gangguan bank-bank pada akhir bulan supaya membayar ansuran hutang mereka. Adalah lebih sekiranya gaji bulanan kita digunakan untuk membayar ansuran pada bulan berikut. Contohnya, gaji bulanan kita akan diterima pada 26 hb. setiap bulan. Gunakan gaji ini untuk membayar ansuran bulanan pada bulan berikutnya pada 1 hb. Disiplin bayar balik yang baik ini akan menyebabkan anda dipandang oleh bank sebagai peminjam 5 star oleh pihak bank (walaupun saya sendiri tidak menggalakkan anda membuat pinjaman bank). 

Hiduplah dalam batas kemampuan. Kesilapan kita adalah tidak tahu berapa jumlah komitmen hutang kita pada setiap bulan. Ada seorang rakan yang membayar hutang pendidikan sekali-sekala. Saya bertanya mengapa beliau bertindak sedemikian. Beliau menyatakan bahawa beliau hanya menggunakan duit bonus bagi membayar hutangnya. Saya mengatakan bahawa itulah bermakna kita perlu hidup dalam batas kemampuan kita sahaja. Sekiranya membayar hutang sekali-sekala, lambat laun kadar faedah akan ‘makan’ duit pokok yang dibayar oleh kita. Ini adalah kerana kadar faedah, bunga, atau interest akan dikenakan berasaskan kepada baki kini pinjaman.

Kata orang kesilapan besar kita adalah ‘makan modal’ perbelanjaan kita. Ini adalah mungkin kerana kita terpaksa ‘mengusik’ duit komitmen bulanan kita untuk membeli perkara lain. Saya masih ingat ceramah di tempat kerja saya pada minggu lepas. Beliau mengatakan bahawa duit pendapatan kita perlu dibahagikan kepada empat kotak iaitu kotak makan minum, kotak simpanan, kotak kecemasan, dan kotak jihad. Kotak jihad terbahagi pula kepada lima iaitu ibu bapa, mentua, surau & masjid, fakir miskin dan khusus untuk seseorang bagi diri kita. Sekiranya kita mencampur-adukkan perbelanjaan kita, alamak susahlah kita untuk hidup.

Apa yang hendak ditekankan di sini ialah pentingnya disiplin kredit yang perlu diterapkan ke dalam diri kita. Usahlah kita liat membayar hutang-hutang kita. Saya pernah berjumpa dengan seorang pelanggan saya pada suatu ketika dahulu pada tahun 2009 yang pernah meminjam daripada along bagi menjalankan perniagaan kedai makan beliau. Saya bertanya kepada beliau adakah beliau tidak takut meminjam wang daripada along. Beliau menyatakan bahawa sekiranya kita membayar hutang along mengikut masa ditetapkan, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan along.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

No comments: