Wednesday, November 10, 2010

Nilai RM1

Assalamualaikum w.b.t.

1. Semoga Tuan Puan terus dianugerahkan dengan rezeki yang melimpah ruah dan diberkati olehNya.Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai 'Nilai RM1'.

2. Apakah anda menghargai nilai RM1 untuk diri anda? Apakah anda menganggap not RM1 tiada nilai bagi anda? Adakah sekadar hanya nilai yang kecil atau tiada nilai langsung bagi diri anda? Di kedai makan pejabat saya, air suam adalah percuma manakala air tea 'o' adalah berharga RM1. Di sini, kita dapat melihat RM1 mempunyai nilainya tersendiri walaupun kecil sebagai konteks individu.

3. Begitu juga dengan caj transaksi bank yang dikenakan RM1 apabila kita mengeluarkan duit kita di mesin ATM bagi bank berlainan. Cuba kita perhatikan mesin kecil ATM Ambank di 7 Eleven. Bagaimana jika 300 orang yang mengeluarkan wang mereka setiap hari dari pelanggan bank Cimb, Maybank, BSN dan sebagainya? Ini bermakna sebuah mesin kecil mampu mengaut keuntungan RM9000 sebulan. Hebat bukan? Kuasa RM1 yang mampu memberi keuntungan kepada bank melalui mesin kecil ATM. Anda perlu ingat sekiranya anda mengeluarkan wang RM1000 melalui bank yang berlainan, anda sebenarnya mengambil wang RM999 kerana RM1 lagi anda hadiahkan kepada bank.

4. Saya tidak hairan mengapa rumah-rumah besar memberi angpau raya bernilai RM1.00 atau RM0.50 kepada kanak-kanak yang datang beraya di rumah mereka walaupun mereka dikatakan kedekut oleh kebanyakan orang. Inilah sebenarnya mereka yang pandai menghargai wang mereka dengan hasil titik peluh kerja mereka sendiri. Dengan sifat jimat-cermat mereka mampu tinggal di rumah yang besar. Bagaimana dengan anda?

5. Oleh itu, kita sentiasa perlu menghargai wang kita walaupun RM1. Sekiranya nilai kecil pun kita tidak pandai menghargainya, inilah punca mengapa kita bersikap boros dengan sanggup berbelanja menghabiskan wang kita semata-mata untuk memenuhi kehendak nafsu kita. Ini juga mengapa kita tidak boleh membuat simpanan yang banyak setiap bulan.

6. Namun begitu, dengan sifat jimat cermat dengan wang kita janganlah sampai kedekut sampai mencekik diri atau merugikan diri kita sendiri. Contohnya, anda ingin berjimat tidak servis kereta anda sekiranya sampai tempoh masa, lama-kelamaan kereta anda rosak dan harganya mungkin lebih tinggi untuk pembaikan daripada harga servis kereta itu sendiri. Anda perlu beringat mengenai perkara ini. Jika kita terlalu kedekut atau boros berbelanja, kelak kita yang rugi.
.
Sekian, terima kasih.

No comments: