Friday, November 19, 2010

Biar Kecil Asalkan Berhasil

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.
.
1. Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera Terima kasih diucapkan kepada Tuan dan Puan kerana terus setia dengan blogspot saya sehingga sekarang. Baiklah, pada kali ini saya akan membincangkan mengenai topik 'Biar Kecil Asalkan Berhasil'.
.
2. Apakah saudara biasa mendengar mengenai bidalan biar kecil asalkan berhasil ataupun sikit-sikit lama-lama jadi bukit? Saya membincangkan perkara ini pada kali ini kerana ramai antara kita yang inginkan hasil yang besar apabila membuat sesuatu perkara dalam jangka masa yang pendek seperti membuat pelaburan ataupun simpanan. Mengapa kita perlu tergesa-gesa apabila melakukan sesuatu perkara? Mengapa kita tidak boleh bersabar apabila melakukan sesuatu perkara?Bukankah kita perlu menunggu untuk mendapatkan sesuatu hasil? Bahkan penternak burung layang-layang perlu menunggu setahun untuk menanti burung tersebut menghasilkan sarangnya untuk dijual dengan RM13,000 sekilogram untuk dijadikan ubat walaupun kita kelihatan mudah untuk membelanya.
.
3. Baik sikit daripada tiada langsung dalam membuat pelaburan. Kebanyakan kenalan saya memandang enteng apabila membuat pelaburan dengan membuat sedikit potongan gaji setiap bulan. Mereka berfikir baik jangan buat potogan gaji untuk melabur kerana pulangannya kecil. Contohnya, apabila membuat pelaburan ASB dengan caruman RM100 sebulan kita hanya akan memperolehi RM84 setahun (RM1200 x 7% =RM84). Bagi saya, itu adalah lebih baik daripada tiada langsung caruman untuk membuat pelaburan kerana saya pun tidak pasti di mana mereka boleh mendapatkan RM84 dengan percuma selain daripada pelaburan yang sedikit ini daripada tiada pelaburan langsung.
.
4. Sikap kita ini tidak ubah ukur baju di badan sendiri. Kita sentiasa berfikir untuk mendapatkan margin yang besar iaitu RM50,000 - RM100,000 apabila membuat sesuatu pelaburan dengan cara berhutang untuk mendapatkan hasil yang besar terus walhal itu sebenarnya di luar kemampuan kita sehingga sanggup berhutang dengan bank sehingga 20 tahun! Sebenarnya, kita gagal menghargai nilai duit walaupun 1 sen dalam kehidupan kita. Cuba kita hayati kisah Tun Daim Zainuddin apabila mengurus ekonomi negara sewaktu Malaysia mengalami kemelesatan ekonomi negara di bawah negatif -1.1% pada waktu pertengahan 1980-an. Beliau sentiasa berjimat-cermat dan menghargai duit negara walaupun 1 sen sewaktu menguruskan ekonomi negara ketika itu sehingga beliau dikatakan kedekut! Sikap beliau ini berjaya mengeluarkan negara ini daripada lembah kemelesetan.
.
5. Oleh itu, kita perlu konsisten dalam membuat pelaburan ataupun simpanan. Biarkan sedikit asalkan pulangan yang kita terima adalah berpanjangan dalam membuat pelaburan untuk jangka panjang daripada tiada pulangan langsung. Walaupun sedikit pada masa sekarang, kelak ia membawa pulangan yang besar pada masa akan datang. Bak kata pepatah sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Baik sedikit daripada tiada dan baik banyak daripada sedikit. Walaupun kail panjang sejengkal, cubalah mengail juga! Renung- renungkanlah.
.
Sekian, terima kasih. Wassalam.

No comments: