Sunday, August 3, 2014

Memahami Perjuangan DAP


1. Democratic Action Party (DAP) merupakan serpihan parti People Action Party (PAP) yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1960-an. Parti ini memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia di Malaysia. Dengan kata lain, semua kaum di Malaysia mempunyai hak yang  sama rata di sisi undang-undang. Tiada hak keistimewaan tertentu diberikan kepada kaum tertentu di Malaysia khususnya kepada orang melayu dan juga bumiputera.

2. Sudah tentu parti ini didominasi oleh kaum bukan bumiputera yakni kaum cina yang memperjuangkan persamaan kaum di Malaysia.

3. Malangnya parti ini tidak mendapat sambutan daripada orang-orang melayu pada awal-awal penubuhannya bahkan parti ini langsung tidak dipandang oleh orang-orang melayu sehingga tahun 1999.

4. Sejak tahun 1999, parti ini mula bekerjasama dengan Parti Islam Malaysia (PAS) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menentang Barisan Nasional (BN) dengan membentuk Barisan Alternatif (BA). Kemudian, pada tahun 2004 pakatan pembangkang ini juga dikenali sebagai Barisan Alternatif. Sejak PRU tahun 2008, Barisan Alternatif ini pula dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).

5. Antara penyebab utama yang menyebabkan PAS, PKR, dan DAP boleh berada dalam satu barisan pembangkang pada tahun 1999 adalah disebabkan oleh isu pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet oleh Dr. Mahathir. Walaupun isu ini hanya melibatkan isu perpecahan di kalangan orang-orang melayu sahaja, dapat dilihat bahawa bibit-bibit perjuangan DAP untuk bersama-sama pemimpin pembangkang di kalangan orang-orang melayu dapat dilihat di saat ini.

6. DAP tidak boleh menawan sesebuah negeri dengan mengharapkan undi cina semata-mata. Begitu juga dengan PAS, parti ini tidak boleh mengharapkan undi melayu semata-mata untuk menawan sesebuah negeri. Berlainan pula dengan PKR, walaupun ia merupakan parti pelbagai kaum namun ia memerlukan sokongan kerusi PAS dan DAP bagi menawan sesebuah negeri.

7. Jika PAS, DAP, dan PKR masing-masing berjuang secara berasingan, sudah tentu usaha untuk menafikan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) apatah lagi Persekutuan yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) selama ini adalah tidak tercapai. Mahu tidak mahu parti-parti ini mesti bersatu di bawah satu bumbung bagi mendapatkan kuasa politik di sesebuah negeri mahupun Persekutuan.

8. Pas menggunakan isu dakwah untuk bekerjasama dengan Dap iaitu untuk memperkenalkan pemimpin-pemimpin Dap kepada Islam walaupun pada tahun 1970-an Pas mengatakan bahawa kerjasama Umno dengan parti-parti bukan Islam adalah haram. Sejauh manakah pemimpin-pemimpin Dap mengenal Islam sehingga sekarang tidaklah diketahui tetapi apa yang pasti Dap telah berjaya menambah bilangan kerusi parlimennya sejak PRU tahun 2008 sehingga 2013 manakala bilangan kerusi Pas terus menyusut dalam Pakatan.

9. Malah Dap semakin berani untuk meletakkan calonnya untuk bertanding di Johor iaitu kawasan kubu kuat Umno. Sudah tentu Dap tidak akan berani untuk bertanding di Johor tanpa pertolongan dan sokongan orang-orang melayu sendiri terutamanya daripada Pas dan PKR. Alangkah sedihnya melihat orang-orang melayu membantu berkempen untuk Lim Kit Siang dalam PRU-13 di parlimen di Gelang Patah menentang calon dari bangsa mereka sendiri iaitu Abdul Ghani Othman.

10. Bagi mereka pemimpin Dap bersih dan pemimpin Umno itu kotor kerana terpalit dengan rasuah. Sejauh manakah pemimpin Dap memang sifar rasuah tidak diketahui.

11. Orang-orang melayu sekarang mempunyai 2 pilihan. Memilih Barisan Nasional yang dikuasai oleh Umno ataupun memilih Pakatan Rakyat yang dikuasai oleh Dap. Jika memilih BN, isu rasuah terus berleluasa dan menyebabkan harga barang terus naik dari semasa ke semasa. Ini sudah tentu membebankan kos sara hidup mereka. Jika memilih Pakatan yang dikatakan mempunyai rekod urus tadbir yang baik, Dap pula yang terus dapat mengukuhkan kedudukan mereka dalam barisan pembangkang.

12. Ini secara tidak langsung menyebabkan Dap meraih kuasa politik di Malaysia. Dengan kata lain, kuasa politik melayu yang selama ini berlindung di bawah Umno sebagai teras utama dalam Barisan Nasional hilang kepada orang cina. Sudah tentu ini dibimbangi oleh orang-orang melayu. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menyokong BN walaupun mereka tahu pemimpin-pemimpin BN adalah pemimpin korup kerana tiada pilihan.

13. Bagi saya, tiada istilah atas pagar dalam perlawanan politik. Yang ada hanyalah kerajaan atau pembangkang sahaja. Dengan kata lain, menang atau kalah sahaja.

14. BN boleh berdiri dengan sendirinya untuk membentuk kerajaan walaupun tiada undi cina walaupun tidak mendapat 2/3 majoriti parlimen dengan mengharapkan undi melayu, bumiputera, dan india sahaja. Berlainan dengan Pakatan yang memerlukan sokongan melayu, cina, india dan lain-lain serta tindak boleh bergantung kepada sesuatu bangsa sahaja untuk meraih sokongan.

15. Seolah-olah satu rahmat kepada Umno apabila orang-orang cina beramai-ramai menyokong Pakatan Rakyat. Ini menyebabkan orang-orang melayu yang sebelum ini menyokong pembangkang beralih menyokong kepada Umno kerana takutkan kuasa politik jatuh ke tangan orang cina apatah lagi orang-orang cina sebelum ini sudah menguasai ekonomi negara. Ini menunjukkan bahawa parti yang berasaskan kepada kaum masih relevan di Malaysia pada hari ini.

16. Malangnya buat pemimpin Umno mereka mendakwa bahawa kedudukan mereka sudah semakin kukuh sekarang apabila berjaya menambah kerusi parlimen dalam Pru-13 berbanding Pru-12. Hakikatnya ialah orang-orang melayu tidak mahu kuasa politik mereka terhakis. Mahu tidak mahu mereka perlu memberi sokongan kepada Umno. Akan tetapi, pemimpin Umno bukannya ingin memperjuangkan agama dan bangsa malah berjuang untuk memperkayakan kroni-kroni. Oleh itu, pemimpin-pemimpin Umno yang sudah terpalit dengan rasuah ini haruslah digantikan dengan pemimpin lain.

17. Oleh kerana Malaysia hari ini mengamalkan demokrasi, maka parti-parti Kerajaan dan pembangkang akan bertanding antara satu sama lain untuk mendirikan Kerajaan melalui kemenangan kerusi parlimen. Siapa yang mendapat kerusi yang terbanyak dialah yang boleh membentuk Kerajaan.

18. Oleh itu, terdapat pelbagai cara untuk memenangi kerusi parlimen melalui strategi parti masing-masing. Ada cara bersih dan ada cara kotor. Isu perkauman sudah menjadi isu basi sekarang jika ingin dimainkan pada masa sekarang dan sesuai dimainkan ketika Tanah Melayu mula-mula mencapai kemerdekaan daripada British. Pun begitu parti berasaskan perkauman masih relevan pada hari ini.

19. Cara yang paling ampuh untuk menyekat kemaraan parti lawan ialah mencari kesalahan kecil pemimpin-pemimpin parti lawan yang boleh dibuktikan di mahkamah. Kemudian apabila didapati bersalah, mereka terlucut menjadi ahli parlimen dan dihumbankan ke dalam penjara.

20. Dap pun sendiri tidak mampu untuk mendapat kerusi majoriti yang banyak tanpa sokongan orang-orang melayu. Oleh itu, orang melayu yang setia kepada parti Dap yang dianggap bersih dan perlu didakwah untuk mengenal Islam perlu diberi undi supaya mereka boleh memperolehi kuasa politik di Malaysia. Namun dalam masa yang sama, orang-orang melayu juga takut kuasa politik jatuh kepada orang-orang cina melalui parti Dap. Oleh itu, mereka beralih pula kepada Umno yang menerajui Barisan Nasional.

21. Pendek kata, orang-orang melayu sendiri yang mencorakkan kemenangan atau kekalahan dan hala tuju masa depan Parti Dap.

Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: