Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
Persoalannya, adakah harga rumah akan terus naik pada masa hadapan?
Pada masa
sekarang musim membeli-belah rumah sedang berlangsung – Tidak kira sama ada
orang yang baru bekerja atau sudah lama bekerja masing-masing sedang sibuk
membeli rumah. Mereka percaya bahawa harga rumah akan naik mencanak sehingga ke
langit! Mereka terpengaruh dengan hikayat cerita 1,001 malam masyarakat bahawa
sekiranya kita tidak membeli rumah hari ini, harga rumah akan terus naik pada
masa akan datang sehinggakan kita tidak akan mampu membelinya pada masa
hadapan. Apa lebih penting lagi kita akan dapat menjimatkan wang kita sekiranya
kita membeli sekarang walaupun harga rumah amat mahal buat masa sekarang.
Sebenarnya Harga Rumah Mengalami Kitarannya Tersendiri.
Persoalannya, adakah harga rumah akan terus naik pada masa hadapan?
Sekiranya kita
renungi kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. iaitu sekiranya sesiapa inginkan dunia,
maka wajib ke atasnya ilmu. Barangsiapa yang inginkan akhirat, maka wajib ke
atasnya ilmu dan barangsiapa yang inginkan kedua-duanya maka wajib ke atasnya
ilmu.
Apabila kita
sebut rumah ia merupakan pelaburan hartanah dan apabila kita menyebut mengenai
pelaburan ia akan mengalami pasang surutnya. Ia akan mengalami kenaikan dan
penurunan harga. Contoh mudah sahaja ialah mengenai harga emas. Saya masih
ingat lagi pada tahun 2011 di mana masyarakat kita dilanda demam pelaburan
emas. Harga emas ketika itu adalah naik iaitu sehingga RM170 segram. Oleh itu,
berduyung-duyunglah orang membeli emas dengan harapan nilai barang kemas
tersebut akan terus naik. Cuba kita tengok pada hari ini, apa sudah terjadi
dengan harga emas? Harga emas telah jatuh sehingga di bawah RM140 segram.
Sebenarnya
terdapat perbezaan di antara orang kaya dan bukan orang kaya. Dalam sebuah
kajian yang dibuat sebenarnya terdapat 6 peratus orang kaya dan 94 peratus
bukan orang kaya bagi sesebuah negara. Golongan 6 peratus ini adalah golongan
yang menongkah arus iaitu golongan yang tidak mengikut 94 peratus tadi iaitu
golongan biasa. Kesilapan orang ramai ialah mereka membeli emas ketika emas itu
sedang naik iaitu pada tahun 2011. Sepatutnya emas dijual ketika dia sedang
naik pada tahun tersebut dan dibeli pada masa sekarang. Contohnya harga emas
sekarang ialah RM140 segram dan apabila ia naik semula sebanyak RM170 segram
pada masa inilah ia patut dijual di mana keuntungan dapat dijana sebanyak RM30
segram.
Inilah yang
membezakan orang kaya dan orang biasa. Orang kaya tidak akan membeli rumah pada
masa sekarang dan orang biasa akan membeli rumah pada masa sekarang. Orang kaya
adalah golongan yang menongkah arus dan tidak mengikut sesuatu trend dalam
masyarakat.
Baiklah, mengapa harga hartanah semakin naik?
Harga hartanah
semakin naik pada masa sekarang disebabkan oleh kenaikan kos buruh, bahan
binaan seperti bar keluli yang meningkat daripada RM304 sehingga RM2,589, harga
simen naik daripada 69 sen RM16.33 satu beg dan batu-bata pula naik daripada
0.09 sen kepada 42 sen sebiji. Ini adalah berdasarkan kepada kajian yang dibuat
pada Disember 2011.
Di samping itu
juga kenaikan harga pasaran hartanah disebabkan oleh pertambahan jumlah
penduduk di kawasan bandar, peningkatan pendapatan isi rumah, kekurangan tanah
dan pinjaman yang mudah diperoleh. Tambahan pula disebabkan oleh
perkara-perkara lain seperti projek perumahan yang terbengkalai dan lewat. Ini
menyebabkan keadaan di mana permintaan melebihi penawaran berlaku. Mengikut
teori ekonomi, apabila sumber terhad dan permintaan adalah tinggi maka harga
sumber tersebut menjadi mahal.
Begitulah dengan
pasaran hartanah yang berlaku pada masa sekarang. Tidak hairanlah nilai
hartanah atau rumah naik ‘menggila’ pada masa sekarang. Menurut Laporan Ekonomi
2011/ 2012 yag dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, harga purata unit
kediaman di ibu negara meningkat 2 kali ganda iaitu RM448,750 seunit berbanding
harga purata nasional iaitu RM201,851 dalam tempoh separuh pertama 2011.
Kita harus faham
bahawa dalam kitaran ekonomi Malaysia, ekonomi Malaysia akan meleset atau
merudum setiap sepuluh tahun. Ini dapat diperhatikan pada tahun 1985 dan
1997/98 di mana negara kita yang tercinta ini mengalami kemelesetan ekonomi.
Apabila negara kemelesetan ekonomi, secara mudahnya peminjam-peminjam bank
tidak akan mampu untuk membayar pinjaman mereka. Apabila keadaan ini berlaku
maka bank tidak akan berani memberi pinjaman mereka kepada orang ramai. Pihak
bank juga akan mengambil sikap yang
tegas terhadap peminjam-peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka
untuk menjaga NPL mereka. Apa yang lebih malang lagi kadar faedah pinjaman bank
akan melonjak naik ketika ini. Oleh itu, permintaan pinjaman untuk membeli
rumah akan menurun dan sekaligus menyebabkan nilai hartanah jatuh merosot.
Ketika inilah
golongan 6 peratus tadi akan membeli rumah di bawah harga pasaran. Sudah tentu
langkah ini memang bijak dan tepat.
Keadaan yang
terjadi pada hari ini pernah berlaku pada tahun 1990-an apabila rumah berangkai
yang berharga RM150,000 pada awal 1990-an meningkat sehingga RM400,000 pada
penghujung 1994 di mana orang ramai berebut-rebut membeli rumah kerana bimbang
mereka tidak akan mampu membelinya apabila harga naik terlalu tinggi pada masa
hadapan. Ketika ini ramai orang membuat pinjaman yang tinggi untuk membeli
rumah dengan harapan mendapat untung besar apabila menjualnya kelak.
Keadaan sama
yang terjadi juga sewaktu siapnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) di mana terdapat 20 projek perumahan yang dijalankan serentak! Ramai
yang tamak membeli rumah dengan jumlah yang banyak dengan beranggapan bahawa
mereka dapat membuat keuntungan kelak. Mereka tidak berfikir siapakah yang
sanggup membeli ribuan buah rumah tersebut apabila projek perumahan tersebut
siap kelak.
Namun krisis
kewangan yang berlaku pada tahun 1997/98 besar penangannya kepada golongan ini.
Harga hartanah jatuh ketika ini dan sesetengah tempat nilai pasaran akan jatuh
lebih daripada 20 peratus selepas mengalami harga yang tinggi pada pertengahan tahun 1990-an.
Para spekulator
menerima bahana akibat krisis ini kerana bukan sahaja terpaksa membayar gadai
janji yang lebih akibat kadar faedah yang melonjak naik tetapi tidak dapat
menjual hartanah-hartanah mereka. Walaupun mereka menawarkan yang rendah di
bawah harga pasaran, tiada siapa yang berani membeli kerana tidak mahu
mengambil sebarang risiko.
Anak Didik Kebanggaan Daim - Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah
Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah, mantan Pengerusi
Land & General (L&G) yang juga merupakan salah seorang anak didik
kebanggaan Daim Zainuddin apabila ditanya mengenai pembinaan hartanah
berlebihan berkata :
“Akan ada
pemulihan bersifat sementara, ledakan yang berpanjangan dan seterusnya harga
serta skala akan mencapai tahap yang tidak dapat bertahan. Seperti mana yang
berlaku pada tahun 1997 dan 1985. Memang kita akan terus hidup tetapi kita
tidak belajar daripadanya.”
Apa yang boleh
kita fahami daripada kata-kata beliau ialah nilai hartanah akan mencapai
kemuncaknya pada suatu hari nanti. Mungkin pada hari ini pada tahun 2013 nilai
hartanah sedang mengalami proses peningkatan harga lagi dan akan berhenti pada
suatu masa dan jatuh semula suatu ketika nanti. Ibarat roda yang akan mengalami
naik dan turun.
Sebenarnya, yang
mempengaruhi nilai hartanah pada hari ini adalah para spekulator hartanah yang
boleh mengaut keuntungan berganda daripada rakyat Malaysia ini. Walaupun ada
usaha-usaha Kerajaan untuk mengekang kenaikan harga rumah ini, namun kenaikan
harga rumah tetap juga terus berlaku. Orang ramai yang tidak tahu kitaran
pasaran hartanah akan terkejar-kejar membuat pinjaman bank untuk membeli kerana
fikir harga rumah akan terus naik mencanak pada masa hadapan.
Kita jangan lupa
bahawa dalam Islam, kitaran ekonomi juga berlaku. Apabila disebut perniagaan
pasti akan akan ada unsur-unsur risiko yang mana akibat transaksi tersebut ianya
berkemungkinan memberikan keuntungan atau kerugian. Allah s.w.t. berkuasa untuk
mengambil keuntungan tersebut daripada seseorang dan memberi kepada yang lain.
Dengan cara ini, Allah s.w.t. memastikan bahawa kekayaan akan berkitar menerusi
ekonomi. Yang kaya tidak akan kekal kaya dan miskin tidak akan kekal miskin.
Mungkin pada
masa sekarang para spekulator hartanah sedang dibuai mimpi indah apabila sedang
menikmati keuntungan hasil daripada kenaikan harga pasaran hartanah ini. Suatu
hari nanti mereka juga akan mengalami kerugian apabila kemelesetan ekonomi
negara melanda sekali lagi. Kita sebagai individu biasa usahlah terikut-ikut
untuk mengejar membeli hartanah yang sedang naik mencanak ini. Sekiranya anda
sekarang merupakan pelabur hartanah, berhati-hatilah kerana setiap pelaburan
itu mempunyai untung dan ruginya tersendiri.
Kesimpulannya,
harga pasaran hartanah akan mencapai kemuncak pada akan datang. Oleh itu,
janganlah kita terlibat sama dengan orang awam di luar sana untuk membeli rumah
atau hartanah lain ketika harganya sedang naik mencanak. Percayalah bahawa
nilai hartanah akan jatuh jua suatu hari nanti kerana ia mengalami proses
kitaran. Kita mungkin dapat mengelak kerugian dengan tidak membeli hartanah
buat masa sekarang di mana harga sedang naik memuncak atau menggila pada masa
sekarang. Mungkin pada tahun 2017/18 masa yang sesuai untuk membeli aset
hartanah ataupun rumah apabila kemelesetan ekonomi berlaku sekali lagi. Wallhua’lam.
Sekian, terima
kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com
1. Azizi Ali, 2010, Jutawan Dari Planet Jupiter!
2. Bernama.
3. Sheikh Imran N. Hosein, 2012, Dinar Emas dan
Dinar Perak : Islam dan Masa Depan Wang.
4. Sri Ayu Kartikawati Amri, Harian Metro.
2 comments:
diharapkan, jatuh harga rumah , sebab harga rumah sekarang tak munasabah... tiada siapa yang mampu beli sekarang ni...
nak tunggu harga rumah turun,alamat duduk bawah jambatan la kita...nak xnk terpaksa juga beli
Post a Comment