Wednesday, June 5, 2013

Apakah Matlamat Ekuiti 30% Bumiputera Akan Tercapai Pada Tahun 2020?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Hanya tinggal 7 tahun lagi sebelum kita melangkah masuk ke tahun 2020. Pada tahun ini Malaysia akan mencapai status negara maju melalui visi dan misi Wawasan 2020 yang dilancarkan pada tahun 1991. Ekonomi menjadi petunjuk aras sama ada Malaysia akan mencapai status negara maju atau tidak pada tahun 2020. Bolehkah matlamat ini dicapai kerana selepas krisis ekonomi Asia tahun 1997/98 belanjawan kerajaan sering menunjukkan perbelanjaan defisit saban tahun.

Apa yang lebih penting lagi ialah ekuiti bumiputera masih belum mencapai matlamatnya iaitu pemilikan 30% walaupun tempoh rancangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah lama berakhir sejak 13 tahun yang lepas. Sehingga tahun 2010, ekuiti bumiputera adalah 23.09 peratus iaitu berjumlah RM167.7 bilion daripada jumlah kekayaan negara. Nampaknya matlamat untuk mencapai matlamat pemilikan 30% hanya tinggal 7% lagi untuk dicapai.
 
Pemilikan ekuiti 23.09% ini adalah termasuk individu, Institut Kepentingan Bumiputera seperti Lembaga Tabung Haji, LTAT, dan agensi-agensi amanah seperti PNB, Perbadanan Usahaawan Nasional Berhad, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Kemajuan EKonomi Negeri (PKEN).

Tiada gunanya sekiranya kita meminta ekuiti bumiputera dinaikkan kepada 60% atau lebih sekalipun sepertimana yang dituntut oleh Perkasa. Saya fikir cadangan itu adalah tidak realistik walaupun penduduk bumputera adalah 67% daripada jumlah keseluruhan negara ini. Sekiranya DEB setelah 42 tahun dilaksanakan sejak tahun 1971 masih belum mencapai matlamat 30% apatah lagi dengan sasaran ekuiti 60%. Mungkinkah tahun 2090 akan dicapai matlamat 60% ini? Apatah lagi dengan Perkasa yang hanya tahu memekik mengenai isu perkauman di dalam negara ini. Banyak memekik daripada bertindak. Itulah Perkasa. Saya fikir Perkasa wajar belajar daripada NGO-NGO kaum cina sekiranya ingin membela nasib orang melayu.

Salah satu yang menyebabkan DEB gagal mencapai matlamatnya ialah wujud amalan perniagaan Ali-Baba. Dalam perniagaan ini, orang melayu yang dikhaskan untuk mendapat peluang perniagaan ataupun saham-saham akan menjadi wakil kepada orang cina untuk mendapatkan peluang tersebut. Seterusnya orang cina menjalankan perniagaan dan orang melayu menjadi rakan kongsi tidur dan mendapat komisen ataupun upah daripada perniagaan tersebut.

Timbul juga suara-suara daripada Kongres Ekonomi Cina suatu ketika dahulu yang mahukan supaya ekuiti 30% bumiputera dihapuskan secara berperingkat. Ini adalah kerana orang cina ingin memperoleh kontrak-kontrak kerajaan melalui tender terbuka dan ingin menghapuskan rasuah. Terpulanglah kepada pemerintah sama ada untuk melayan tuntutan tersebut atau tidak. Tetapi dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia kepentingan majoriti haruslah diutamakan daripada kepentingan minoriti. Ada baiknya juga suara Kongres Ekonomi Cina ini memandangkan bahawa isu rasuah semakin menjadi-jadi dalam pentadbiran kerajaan.

Sememangnya kaum cina sinonim dengan bangsa yang mempunyai banyak wang. Lihat sahaja semasa pelancaran Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) yang merupakan simpanan KWSP untuk golongan yang bekerja sendiri. Kaum ini rata-ratanya memasukkan wang mereka secara purata RM1 juta setahun pada awal-awal skim ini dilancarkan di mana sekali mereka memasukkan duit mereka, duit itu adalah dalam lingkungan RM70,000 – RM80,000 sekali masuk. Apa yang menarik lagi ialah Akta KWSP sendiri yang menetapkan dividen bagi pencarum-pencarum adalah wajib sekurang-kurangnya 2.5% setahun. Ini diceritakan sendiri oleh Pegawai KWSP kepada organisasi saya dalam siri ceramahnya suatu ketika dahulu.

Namun setelah penyimpanan wang ke SP1M dibuat secara besar-besaran oleh golongan bukan bumiputera ini, syarat telah digubal di mana had untuk simpanan SP1M ini dihadkan kepada RM60,000 setahun atau RM5,000 sebulan.

Apa yang lebih menarik lagi berlaku ‘kelam-kabut’ di Ibu Pejabat KWSP apabila ada ahli keluarga Lim Goh Tong yang ingin mengeluarkan simpanan KWSP beliau sebanyak RM1 juta. Sistem KWSP ketika itu hanya boleh melaksanakan pengeluaran dalam RM40-60 ribu sahaja bagi satu-satu masa. Sejak daripada itu, sistem pengeluaran KWSP dikemaskini dan wang simpanan boleh dikeluarkan sehingga RM1 juta bagi sesuatu masa.

Ketirisan yang berlaku membantutkan lagi usaha mencapai pemilikan ekuiti 30% bumiputera. Pada tahun 2009, Bernama melaporkan sejumlah RM52 bilion daripada RM54 bilion saham di bursa saham yang diperuntukkan kepada bumiputera dilaporkan hilang. Ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri YAB Mohd. Najib. Sudah tentu perkara ini menyedihkan disebabkan oleh orang-orang yang tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Sekiranya RM167.7 bilion sudah mewakili 23.09% ekuiti bumiputera, ini bermakna bahawa RM52 bilion yang hilang itu sudah mewakili 7.16% daripada ekuiti bumiputera. Sekiranya ketirisan tidak berlaku, maka ekuiti bumiputera sudah mewakili 30.25% daripada ekuiti keseluruhan. Sudah tentu sekiranya pemimpin atas beramanah dalam menjalankan tugas mereka sudah tentu matlamat 30% ini sudah lama dicapai.

Jika dilihat tawaran-tawaran amanah saham yang dikeluarkan oleh Pemodalan Nasional Berhad (PNB), ianya tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan bumiputera. Contohnya apabila PNB menawarkan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M), didapati penyertaan bumiputera adalah amat kurang. Apabila baki saham bumiputera yang tidak dibeli berjumlah RM1.6 bilion ini dibuka kepada golongan bukan bumiputera, ia habis dijual dalam masa 1 hari sahaja. Mengapa ini terjadi? Adakah kita kurang kesedaran atau kurang modal? Sekiranya golongan bumiputera masih kurang kesedaran, kerajaan perlulah menanam kesedaran ini dari bangku sekolah lagi. Sekiranya kurang wang, bank-bank masih menawarkan kepada mereka untuk membeli saham-saham amanah ini.

Saya mencadangkan agar pihak Kerajaan mewujudkan skim pinjaman tanpa faedah kepada golongan bumiputera ini untuk meningkatkan penyertaan mereka terlibat dalam saham-saham amanah ini. Sekiranya keadaan masih macam biasa, tidak sebesar mana tawaran PNB keluarkan kepada orang ramai akan memperlihatkan penyertaan golongan bumiputera di tahap yang biasa seperti sediakala.

Secara keseluruhannya, bagi mencapai matlamat ekuiti bumiputera 30% ia memerlukan penglibatan secara menyeluruh daripada Kerajaan dan juga rakyat. Pihak kerajaan perlulah amanah dan jujur dalam membantu golongan bumiputera manakala golongan bumiputera pula perlulah memanfaatkan peluang yang ada dan diberi sebaik-baiknya. Sudah lebih 50 tahun kita merdeka. Apa gunanya kita merdeka tetapi ekonomi masih dikuasai bangsa asing.

Sekian, terima kasih.

No comments: