Wednesday, June 12, 2013

Saman Halim Saad Menunjukkan Rancangan Daim Hanya Tinggal Fatamorgana

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Tindakan undang-undang diambil oleh Tan Sri Halim Saad ke atas pihak yang tidak memenuhi perjanjian untuk beliau melepaskan pegangan dalam Syarikat Renong miliknya pada tahun 2001 pada bulan April 2013 yang lalu. Dalam perjanjian tersebut Halim ditawarkan sebanyak RM1.3 bilion, hartanah dan syarikat pelupusan sisa sebagai ganti untuk melepaskan pegangan beliau dalam Syarikat Renong namun beliau hanya menerima RM165 juta hasil pertukaran tersebut.

Kes ini tidak ubah seperti suatu ketika dahulu dengan peristiwa kes saman balas Tajuddin Ramli terhadap Kerajaan Malaysia yang berjumlah RM13 bilion.

Peristiwa kes-kes mahkamah yang melibatkan ahli-ahli perniagaan yang dilahirkan oleh Daim sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan menunjukkan bahawa rancangan beliau pada era 1980-90 an telah gagal dan hanya tinggal fatamorgana. Rancangan Daim ketika itu adalah amat mudah iaitu mencipta sekompok usahawan melayu yang kompetitif yang bukan sahaja mengatasi jutawan cina tetapi juga dunia. Rancangan ini dijalankan melalui projek penswastaan melalui pemberian kredit-kredit mudah kepada sekelompok usahawan melayu yang rata-ratanya anak didik Daim semasa beliau menguruskan Paremba.
Daim dalam Diam adalah Pencorak Warna Korporat Melayu - Fatini Yaacob

Rancangan awal Daim untuk melahirkan usahawan-usahawan melayu pada mulanya menampakkan hasil khususnya pada era 1990-an. Siapa tidak kenal anak didik Daim di Paremba seperti Tajuddin Ramli (TRI & Mas), Wan Azmi Wan Hamzah (L&G), Yahya Ahmad (DRB-HICOM), Rashid Hussain (RHB Bank), Amin Shah (Perkapalan PSC), dan lain-lain lagi.

Dua antara mereka iaitu Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah merupakan anak didik kebanggaan Daim. Kejayaan yang diraih oleh mereka adalah lebih jauh daripada apa yang dirintis olehnya. Daim dalam adalah pencorak warna korporat melayu. Sokongan, pengaruh dan kebijaksanaan Daim membantu meletakkan korporat melayu setaraf dengan bangsa asing dan bangsa penjajah.

Halim merupakan contoh kejayaan orang melayu dalam perniagaan dan sekaligus membenarkan adanya polisi untuk bertindak membela orang melayu. Halim telah membangunkan infrastruktur Malaysia dengan pantas dan berkualiti dan Dr. Mahathir amat mengaguminya. Syarikat Renong beliau suatu ketika dahulu menguasai 15 peratus daripada pembangunan infrastruktur Malaysia. Halim pernah dinobatkan sebagai orang ke-7 terkaya di Malaysia pada tahun 1990-an. Antara projek-projek pembinaan beliau yang masih kekal yang boleh dilihat sehingga ke hari ini ialah Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Stadium Bukit Jalil.

Krisis ekonomi yang melanda Asia pada tahun 1997/98 amat besar penangannya kepada anak didik Daim. Rupa-rupanya syarikat-syarikat yang dibina oleh anak didik Daim ini adalah di atas dana hutang yang sangat besar. Contohnya Tan Sri Tajuddin Ramli yang berhutang sebanyak RM1.8 bilion untuk membeli saham MAS sebanyak 29 peratus pada tahun 1994.

Krisis ini menyebabkan nilai-nilai saham syarikat kepunyaan anak didik Daim jatuh secara drastik dan menyebabkan mereka terperangkap dalam hutang yang sangat besar. Halim Saad tidak terkecuali dalam badai ini di mana beliau terperangkap dengan hutang berpuluh bilion ringgit di mana jumlahnya menyamai rizab bank negara.

Sekiranya hutang-hutang ini dihapus kira, ia akan membawa keruntuhan ekonomi Malaysia. Oleh itu, rancangan ‘bail-out’ telah dibuat oleh kerajaan dengan membeli syarikat-syarikat ini. Ini termasuklah membeli syarikat-syarikat ini dengan nilai saham yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya contohnya membeli harga saham MAS dengan harga RM8.00 walaupun harga saham tersebut telah jatuh kepada RM2.35 sesaham. Ini adalah untuk meringankan liabiliti kewangan Tajuddin Ramli.
Kini selepas 16 tahun krisis tersebut berlalu, anak didik Daim masih lagi terperangkap dengan kes-kes di mahkamah. Mereka ini seolah-olah dibiarkan terkontang-kanting keseorangan berdepan dengan kes di mahkamah walaupun Tun Daim dan Tun Dr. Mahathir yang menjalankan pengswastaan telah lama bersara. Pendek kata, kisah nama-nama besar ini sudah menjadi lagenda.




Halim Bangkit Semula Dalam Dunia Perniagaan Selepas Krisis Ekonomi 1997/98

Melainkan Halim Saad yang kini dilihat bangkit semula dalam dunia perniagaan melalui syarikat pembinaan beliau iaitu Seloga Holdings Bhd. (Seloga) dengan beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif dan pemegang saham utama selepas keluar daripada Kumpulan UEM-Renong. Pada tahun 2005, Halim melalui syarikatnya iaitu Metro Ikram Sdn. Bhd. memiliki projek perumahan di Ghana bernilai RM2 bilion melalui usahasama dengan Kerajaan Ghana di mana beliau mempunyai pegangan setara sebanyak 50 peratus.

Pada tahun 2012, Halim telah merancang untuk meningkatkan pelaburannya di Kazakhstan dengan memiliki lebih banyak lapangan minyak di negara itu melalui syarikatnya Markmore Sdn. Bhd. (Markmore). Beliau telah melabur 5 tahun sebelumnya dengan wang sejumlah AS$90 juta (RM270 juta) dan telah mendapat balik modalnya. Di sana, beliau memperolehi konsesi minyak di Rakushechnoye yang mempunyai 47 telaga yang kini boleh mengeluarkan 1,000 tong sehari yang dijangka meningkat 3,000 tong sehari dalam masa 8 tahun lagi.

Apa yang lebih menarik beliau hanya membawa kad kredit sahaja untuk membuka perniagaan minyak di Kazakhstan kerana tiada bank asing yang mahu memberi pembiayaan kepada beliau kerana tidak dikenali.

Halim juga memiliki tanah seluas sejuta ekar di Kemboja yang dibelinya dengan harga RM1 bilion untuk penanaman jagung, kopi, getah, soya, dan tebu. Hasilnya dihantar ke Malaysia.

Sebenarnya ada lagi tokoh usahawan melayu yang mula menyinar di Malaysia selepas tahun 2000. Beliau adalah Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary seorang usahawan yang berada di sebalik tabir pada era penswastaan giat dijalankan. Beliau bersaing dengan Renong, Kumpulan Lion, dan Kumpulan Kuok untuk mendapatkan projek-projek penswastaan. Semasa krisis ekonomi Asia 1997/98 aset beliau menyusut daripada RM3 bilion kepada RM600 juta di mana beliau kehilangan asetnya sebanyak RM2.4 bilion.

Untuk menyelesaikan masalah ini, beliau menstruktur dan menjadualkan semula pembiayaan dengan pihak-pihak bank untuk memastikan asetnya tidak terlepas. Selang beberapa tahun kemudian, beliau berjaya membayar semua tunggakan pinjaman pihak termasuk dalam luar negara. Apa yang menariknya beliau berjaya mengharungi krisis Asia yang melanda pada tahun 1997/98. Hari ini beliau berjaya menguasai 3 syarikat utama strategik negara iaitu MMC, DRB-HICOM dan Tradewinds (Pernas).

Berbanding dengan anak didik Daim, perniagaan Syed Mokhtar tidak terjejas bahkan syarikat-syarikatnya tidak terlepas kepada pihak Kerajaan kerana perniagaan beliau mempunyai daya tahan sendiri. Syed Mokhtar mempunyai perniagaan lain semasa krisis seperti Pelabuhan Johor, JTOP, BCB, Binapuri, dan SSH sebagai tempat untuk berpaut untuk menghadapi krisis ekonomi yang berlaku.

Pendek kata, struktur ekonomi payung Daim era 1980-90 an tidak bertahan lama. Ianya hanya bertahan hanya buat beberapa seketika. Silapnya ialah tiada sandaran lain dan bergantung kepada hutang semata-mata. Kini sebahagian besar anak didi Daim ia hanya tinggal pada nama sahaja atau hanya menjadi fatamorgana sahaja.

Sekian, terima kasih.

Rujukan.
1. Fatini Yaacob, 1997, Daim yang Diam.
2. S. Jayasankaran, Artikel Mampukah Bertahan Selepas Bertukarnya Penaung.
3. Premilla Mohanlall, 2012, Biografi Syed Mokhtar al-Bukhary.
4. www.utusan.com.my

No comments: