Wednesday, October 31, 2012

Hukum Najis Orang yang Makan Babi

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Apakah hukum najis orang yang makan babi? Sudah tentu ia menjadi persoalan kepada kita semua sebagai muslim mengenai perkara ini. Kadangkala saya juga terfikir bagaimana dengan keadaan tandas awam kerana terdapat orang bukan Islam yang menggunakannya atau dengan perkataan lain bagaimana dengan keadaan najis mereka yang makan babi? Sudah tentu ia membuatkan kita terfikir mengenai perkara ini.

Jika seseorang makan babi kemudian dia membuang air kecil atau besar, maka memadai mulutnya yang perlu disamak. Semua jenis makanan yang masuk ke dalam rongga perut termasuk daging babi atau yang seumpamanya kemudian keluar semula melalui duburnya dianggap sebagai najis mutawassitah. Jika najis ini mengenai sesuatu yang suci, memadailah membasuhnya seperti membasuh najis mutawasitah.

Inilah yang disebut dalam kitab Furu' al-Masa'il wa Usul al-Wasa'il karangan Sheikh Daud Abdullah al-Fathani. Sesungguhnya hukum agama itu sendiri yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. adalah lebih tinggi daripada logik akal manusia. Sekiranya kita berfikir balik mengenai hikmah perkara ini ialah najis orang kafir yang memeluk agama Islam tidak akan dikira sebagai najis yang mughallazah. Sekiranya najis orang kafir yang memeluk Islam dikira sebagai najis mughallazah, ini sudah tentu menyusahkan beliau apabila beristinjak. Benar bukan? Wallhua'lam.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Pelancaran Blog Baru

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Saya ingin mengumumkan kepada Tuan dan Puan yang sentiasa mengunjungi blog saya bahawa saya telah mewujudkan blog yang baru saya. Blog yang baru ini adalah berfokuskan kepada pengurusan kewangan sahaja kerana blog saya ini sudah terdapat disiplin ilmu-ilmu yang lain seperti agama, ekonomi dan politik walhal blog ini pada mulanya hanyalah tertumpu kepada pengurusan kewangan sahaja. Oleh itu, saya berharap agar Tuan dan Puan dapat melayari kedua-dua blog saya untuk perkongsian ilmu. Berikut adalah blog baru saya dengan tema "Membina Kekayaan Tanpa Hutang" iaitu:

 
Sekian, terima kasih.

Thursday, October 25, 2012

Adakah Bulan Memantulkan Cahaya Matahari?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.


Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dilimpahi dengan keberkatan rezeki dari-Nya. Pada kali ini, saya ingin membawa saudara-saudari sekalian bersama-sama memikirkan salah satu ciptaan Allah s.w.t. yang Maha Besar iaitu bulan.
Manusia pertama yang berjaya menjejaki kaki pertama ke bulan ialah Neil Armstrong melalui satelit roket Apollo ciptaan NASA. Adakah beliau menjejaki kaki ke bulan sebenarnya? Menurut pihak Soviet Union, pihak Amerika Syarikat sengaja mengada-adakan cerita bahawa mereka berjaya menghantar angkasawan mereka ke bulan kerana ingin menunjukkan kecanggihan teknologi mereka ketika era perang dingin berlaku. Sebenarnya, gambar-gambar yang diambil yang kononnya angkasawan mereka ke bulan adalah diambil di padang pasir kerana dapat dilihat bendera Amerika Syarikat berkibaran di dalam gambar sedangkan di bulan tiada udara dan air. Benarkah tohmahan tersebut? Sekiranya kita fikirkan kembali mengapa tiada manusia menjejaki kaki ke bulan selepas Neil Armstrong pada tahun 1960-an sedangkan teknologi semakin maju dan berkembang pada era millenium ini? Saya fikir tohmahan oleh pihak Soviet Union itu juga ada benarnya juga bahawa Amerika Syarikat sengaja mengada-adakan cerita kerana ketika itu ialah sewaktu berlangsungnya era perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union dan ianya hanya sekadar perang psikologi.


Baiklah, apa yang ingin saya bawakan ialah adakah bulan itu memantulkan cahaya matahari sebenarnya? Semasa saya belajar Sains semasa darjah 4, saya diajar bahawa sebenarnya bulan itu memantulkan cahaya matahari. Oleh itu, cahaya bulan akan kelihatan pada waktu malam sahaja kerana pada waktu siang, cahaya matahari adalah terlalu terang dan bulan tidak dapat dilihat dengan jelas ketika ini. Persoalannya adakah bulan itu memantulkan cahaya matahari? Saya kadang-kadang terfikir juga ketika itu kerana sekiranya bulan itu memantulkan cahaya matahari, maka bumi juga akan bercahaya kerana memantulkan cahaya matahari. Ini adalah kerana bumi dan bulan sentiasa berada dalam kedudukan orbitnya sendiri yang sentiasa menghadap matahari. Namun, sewaktu di sekolah kita diajar supaya menerima sahaja pengajaran dari guru-guru dan tidak diajar untuk mengkritik semula ilmu-ilmu yang diajar dan diterima. Saya suka membaca tulisan Harun Yahya yang suka mengkritik ilmu-ilmu dari Barat dan membetulkan semula ilmu tersebut contohnya mengenai evolusi manusia yang kononnya manusia ini sebenarnya berasal daripada beruk. Baiklah, marilah kita bersama-sama membaca dan meneliti kisah berikut:
Saidina Ali r.a. pernah ditanya apakah erti tompok hitam yang terdapat di dada bulan? Maka Saidina Ali menjawab, “Ia kesan sapu sayap malaikat Jibril, kerana Allah s.w.t. menjadikan matahari dan bulan itu bercahaya, lalu Allah s.w.t. memerintahkan Jibril supaya menyapu bulan dengan sayapnya, lalu disapunya bulan sebanyak 99 kali. Ketika ia berpaling kepada matahari untuk menyapunya, tiba-tiba ia mendapati bulan hilang cahayanya kecuali hanya satu sinar daripada cahayanya sahaja.” petikan Furu’ al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il.
Daripada kisah di atas dapat kita fahami bahawa sebenarnya bulan itu mempunyai cahayanya sendiri dan tidak memantulkan cahaya matahari. Teori yang mengatakan bahawa bulan memantulkan cahaya matahari itu tidak benar. Antara sifat semula jadi bulan ialah cahayanya boleh menguningkan warna orang tidur dan memberatkan kepalanya. Ia juga boleh melumpuhkan tulang-tulang manusia dan melusuhkan pakaian ( Furu’ al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il ). Sesungguhnya al-Quran, hadis dan kisah para Sahabat sudah mendahului zaman mengenai sains dan teknologi cuma kita sebagai seorang Muslim tidak mengkajinya dan hanya menerima sahaja teori-teori ilmu dari Barat. Wallahua’lam.
Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, October 20, 2012

Melakukan Kesilapan Kecil Itu Memalukan

Melakukan kesilapan kecil itu memalukan. Sekiranya kita melakukan kerja dengan ada satu sahaja kesilapan, maka kerja yang dibuat oleh kita itu adalah tidak berkualiti. Kita sudah tentu biasa mendengar pepatah yang mengatakan bahawa sekiranya 10 kebaikan yang kita buat dan ada 1 keburukan yang kita buat, maka orang akan melihat keburukan yang kita buat dan bukannya memandang kebaikan yang kita lakukan. Begitulah sebaliknya.
Biasanya sesuatu perniagaan tidak kira sama ada perniagaan menjual produk ataupun menyediakan perkhidmatan yang disediakan oleh orang melayu berbanding bangsa asing yang lain mempunyai kelainan yang tersendiri. Sekiranya orang melihat kedai melayu, sudah tentu ada orang yang teragak-agak adakah mereka ini akan membeli kedai melayu? Mengapa? Sudah tentu kerana perkhidmatan atau servis yang disediakan oleh orang melayu kebiasaannya tidak berkualiti melainkan ia merupakan kedai makan. Berbanding dengan kedai cina, walaupun bangsa ini terkenal dengan amalan penipuan dalam perniagaan, kebanyakan orang terutamanya orang melayu itu sendiri pun akan membeli di kedai-kedai mereka. Ini adalah kerana perkhidmatan yang disediakan di kedai-kedai cina adalah lebih berkualiti.

Saya masih teringat lagi ketika belajar di matrikulasi suatu ketika dahulu di mana kebanyakan buku-buku rujukan ditulis oleh guru-guru melayu. Namun begitu, amat menyedihkan sekali apabila melihat buku teks matematik kerana ada juga kesilapan-kesilapan kecil dalam membuat pengiraan sehinggakan ada rakan saya mengatakan bagaimana ingin membantu perniagaan melayu kerana buku rujukan matematik pun boleh melakukan kesilapan dalam pengiraan. Namun begitu, terdapat juga buku-buku rujukan Matematik Tambahan yang ditulis oleh guru-guru cina yang mempunyai kesilapan dalam membuat pengiraan. Saya juga kadang-kadang melakukan latihan Matematik Tambahan apabila kelapangan untuk refresh balik pembelajaran ilmu Matematik Tambahan saya  dan saya dapati ada kesilapan buku yang ditulis oleh guru-guru cina ini. Saya boleh tunjukkan kepada anda.

Saya juga kerap memerhatikan kesilapan ejaan apabila membaca sesebuah buku. Ini adalah untuk menilai kualiti bagi sesebuah buku. Kebiasaannya, buku-buku yang saya baca tiada yang tidak melakukan kesilapan dan ada sahaja ejaan-ejaan yang salah. Ini membuktikan bahawa editor buku terbabit tidak menyemak buku tersebut betul-betul sebelum ia diterbitkan. Saya berharap agar mana-mana editor menyunting sesebuah buku dengan rapi sebelum ia diterbitkan dan dijual kepada orang ramai. Sungguh memalukan sekiranya banyak ejaan yang salah serta susunan ayat yang tidak berapa tepat terdapat dalam sesebuah buku.

Dalam urusan kerja saya, saya bertanggungjawab untuk membuat bonus bagi setiap kakitangan. Sudah tentu ia amat memeningkan kerana saya terpaksa mengira pencapaian semua kakitangan bagi seluruh Malaysia. Saya tidak boleh melakukan kesilapan kerana sekiranya saya melakukan kesilapan sudah tentu ia akan memalukan saya. Saya terpaksa memeriksa satu demi satu nombor, pencapaian dan butiran kakitangan supaya tidak silap. Saya berpuas hati apabila ada rakan saya mengatakan saya tidak pernah membuat kesilapan dalam mengira bonus untuk kakitangan.

Apa yang penting ialah kita perlu memastikan segala urusan kerja itu bebas dari kesilapan kerana itu adalah tahap kualiti kerja kita yang lakukan. Memang benar bahawa setiap manusia tidak bebas dari melakukan kesilapan. Namun begitu, kerja kita perlulah disemak berulang-kali agar ia betul-betul tiada kesilapan. Apabila kita membuat kerja kita dengan penuh kualiti, orang sekeliling kita akan menghormati dan memberi pandangan imej yang baik kepada kita.
 
Sekian, terima kasih.
 

Thursday, October 18, 2012

Perspektif Melayu Terhadap Tanah

Orang zaman sekarang tidak kira sama ada melayu, cina atau apa bangsa sekalipun akan sentiasa berlumba mengejar harta kekayaan sama ada dalam bentuk wang tunai ataupun hartanah. Ia bergantung kepada gaya pemikiran seseorang terhadap apa yang mereka ingin miliki. Pada kali ini saya ingin berbicara mengenai tanah iaitu persepsi orang melayu dan cina terhadap tanah. Ini adalah kerana tanah mempunyai nilainya tersendiri bergantung kepada kedudukan dan jenis tanah itu sendiri.
 
Sememangnya padi yang diusahakan oleh orang cina mempunyai kelainan tersendiri daripada padi yang yang diusahakan oleh orang melayu. Padi yang diusahakan oleh orang cina biasanya lebih berkualiti daripada padi yang diusahakan oleh orang melayu. Ini adalah kerana pesawah cina biasanya akan mengorek tanah sawah terlebih dahulu sedalam satu kaki dan kemudian simen diletakkan dan ia ditunggu sehingga keras. Kemudian, tanah ditimbus dan barulah proses penanaman padi dilakukan. Ini akan menghasilkan padi yang berkualiti yang bebas daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan padi itu sendiri setelah pokok padi itu tumbuh dan membesar. Berbanding dengan padi yang diusahakan oleh orang melayu di mana ia ditanam terus tanpa ditanam dengan simen terlebih dahulu di dalam tanah dan ini menyebabkan padi yang diusahakan oleh orang melayu kurang berkualiti.

Orang melayu dan orang cina mempunyai perspektif yang berbeza terhadap tanah. Memang benar hartanah merupakan aset kekal kepada seseorang atau keluarga mereka. Tanah juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu tanah yang produktif dan juga tanah yang tidak produktif. Tanah yang produktif itu boleh memberikan hasil atau pulangan wang kepada seseorang manakala tanah yang tidak produktif itu tidak memberi sebarang hasil atau pulangan wang kepada seseorang. Seringkali orang melayu akan mewakafkan tanah mereka yang tidak produktif seperti yang terletak di kawasan pedalaman atau kampung-kampung kepada Majlis Agama Negeri Islam (MAIN). Akhirnya, tanah itu hanya terbiar sahaja walaupun diwakafkan dan pihak Majlis Agama pula terpaksa mengupah orang untuk membersihkan tanah tersebut dari semasa ke semasa.
 
Orang melayu suka kepada bilangan tanah yang banyak sehingga luasnya adalah berpuluh-puluh ekar tanpa menjadikan tanah tersebut adalah sesuatu yang produktif atau menjana pendapatan. Orang melayu hanya mengukur kekayaan seorang melalui jumlah tanah yang dimiliki sahaja tanpa memikirkan sesuatu yang boleh menjana pendapatan mereka hasil daripada tanah yang mereka miliki. Berlainan pula dengan orang Cina kerana mereka tidak menjadikan jumlah ekar tanah yang dimiliki sebagai ukuran kekayaan seseorang tetapi mereka mengukur kekayaan melalui pulangan hasil atau wang hasil daripada tanah yang mereka miliki. Tanah-tanah yang dimiliki boleh dijana dengan menanam sawit, getah serta tanaman kontan yang lain.
 
Tidak ada gunanya sekiranya kita mewarisi tanah yang banyak daripada orang tua kita tetapi kita tidak dapat menjana keuntungan wang daripada tanah tersebut. Apa yang saya sebut ini mungkin ada benarnya secara umum tetapi ada juga sebahagian daripada orang melayu mengusahakan tanah-tanah tersebut dengan tanaman kontang seperti getah, kelapa sawit dan sebagainya. Apa yang saya maksudkan ialah sebahagian daripada kenalan-kenalan saya yang mengusahakan tanah-tanah tersebut. Ini adalah penting kepada mereka sebagai pendapatan utama mereka setelah bersara kelak kerana organisasi tempat saya bekerja tidak menyediakan skim pencen.

Apa yang lebih penting di sini ialah kita perlu pandai mengusahakan tanah yang kita miliki supaya ia produktif yang boleh memberikan kita pulangan sama ada setiap bulan atau musim tertentu. Tuhan memberikan akal untuk berfikir. Gunakanlah akal fikiran kita sebaik mungkin untuk mengusahakan tanah-tanah yang kita miliki. Kekayaan bukanlah diukur dengan jumlah tanah yang kita miliki tetapi jumlah hasil yang kita perolehi dari tanah tersebut.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, October 7, 2012

Amalan yang Sedikit Tetapi Beterusan Itu Lebih Disukai Allah S.W.T.


Amalan yang sedikit tetapi berterusan itu adalah disukai oleh Allah s.w.t. daripada amalan yang banyak tetapi terputus. Ini kerana amalan berkenaan menyebabkan seseorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingkan diri kepada Allah secara berterusan. Kata-kata yang disebut Nabi Muhammad s.a.w. adalah amat bermakna jika kita hayati dan renungi bersama. Kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. adalah datang daripada Allah s.w.t. dan mempunyai rohnya tersendiri. Ini adalah kerana para ulama’ sama ada dari zaman silam sehingga zaman sekarang akan membahaskan kata-kata tersebut kerana ia mempunyai maksud yang mendalam dan bersesuaian dengan keadaan semasa.

Sekiranya kita hayati kata-kata ini, ia amat berkesan dalam konteks kehidupan kita pada hari ini. Saya cuma mengadaptasi hadis ini di dalam kehidupan saya dan ia amat berkesan sekali apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Antara tanda-tanda kewujudan Allah s.w.t. ialah setiap sesuatu ada awal dan akhirnya. Saya yakin apabila melakukan sesuatu pekerjaan sama ada pekerjaan tersebut adalah senang atau sebaliknya, ianya akan dapat disiapkan juga pada akhirnya. Ia bergantung kepada disiplin diri kita sendiri apabila melakukan sesuatu pekerjaan sama ada ingin siapkan secara cepat ataupun lambat. Akan tetapi, janganlah kita pula yang malas melakukan pekerjaan tersebut kerana sampai bila-bila pun kerja tersebut tidak akan siap jika kita bersikap sedemikian.

Contoh yang mudah yang kita boleh ambil ialah apabila kita ingin mengkhatamkan pembacaan l-Quran. Al-Quran mempunyai 30 juzu’ dan setiap juzu’ tersebut mempunyai 20 muka surat. Untuk mengenali juzu’-juzu’ yang baru ialah juzu’ yang baru mempunyai nombor dua di belakang dan didahului dengan nombor genap. Sekiranya kita ingin mengkhatamkan al-Quran dalam masa 30 hari, maka kita perlu menghabiskan satu juzu’ al-Quran itu sehari. Cara untuk menghabiskan satu juzu’ sehari pula ialah membacanya empat muka setiap kali selesai solat. Mudah sahaja bukan? Ia bergantung kepada strategi kita sebenarnya.

Dalam menghabiskan pembacaan buku-buku yang tebal pula, saya hanya membaca helai atau bab sahaja dalam masa satu hari. Contohnya, buku Doktor Umum Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad saya hanya membaca satu bab sahaja dalam masa sehari dan kadangkala tidak sempat juga untuk menghabiskan satu bab sehari kerana mengikut kelapangan masa. Buku tersebut mempunyai 963 mukasurat (tidak termasuk glosari). Akhirnya, saya dapat menghabiskan masa pembacaan buku tersebut dalam masa dua bulan setengah. Bagi saya, ia merupakan usaha yang baik kerana saya perlu pergi ke kerja dan dalam masa yang sama saya juga perlu menyiapkan tesis saya. Sekarang ini, saya sedang membaca buku agama Furu’ al-Masail wa Usul al-Wasa’il yang disusun oleh Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz. Buku agama ini mempunyai 745 muka surat (tidak termasuk glosari) dan saya hanya membaca buku ini 10 muka surat sahaja sehari kerana perlu mengulangi pembacaan 2-3 kali bagi setiap muka surat kerana ia memerlukan pemahaman yang tinggi mengenai persoalan sesuatu hukum. Saya yakin saya dapat menghabiskannya jua pada suatu masa nanti.

Begitu juga dengan hutang-piutang kita. Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk melangsaikan hutang kita dengan membayar sekali gus hutang-hutang kita sekiranya kita tidak mempunyai banyak wang untuk melangsaikannya. Apa yang penting ialah kita perlu mempunyai usaha untuk membayar hutang-hutang kita walaupun dengan sejumlah yang kecil pada setiap bulan. Ingatlah bahawa sekiranya kita buat-buat lupa untuk membayar hutang, maka rezeki juga akan buat-buat lupa untuk datang kepada kita. Hidup bertambah berkat apabila kita tahu kewajipan yang perlu kita laksanakan ke atas rezeki yang kita perolehi. Pengumuman oleh Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2013 yang lepas merupakan satu rahmat kepada saya (Saya bercakap untuk diri saya sahaja). Ini disebabkan diskaun 10 peratus akan diberikan sekiranya membayar mengikut jadual. Saya fikir bahawa saya tidak perlu bimbang kerana saya telah membuat potongan gaji bagi membayar hutang pinjaman tersebut. Apa yang lebih membuatkan saya lebih teruja ialah saya tidak perlu membayar pinjaman tersebut lebih daripada pokok kerana sekiranya saya membayar lebih daripada pokok, maka pinjaman tersebut akan dikenali sebagai riba’. Saya tidak mengharapkan janji bulan dan bintang yang dijanjikan oleh pihak pembangkang untuk menghapuskan PTPTN tetapi apa yang saya harapkan ialah keberkatan untuk mengurangkan hutang-hutang saya.

Harta yang baik itu adalah harta yang berada di hadapan mata. Ada juga orang yang mengeluh kerana tidak dapat membuat simpanan daripada gaji yang diperoleh setiap bulan. Apa yang lebih penting ialah kita perlu menyimpan duit kita walaupun sedikit. Lama-kelamaan simpanan kita akan bertambah jua. Simpan duit kita di tempat yang sukar atau langsung tidak boleh diambil. Ini akan membentuk disiplin kita. Ini adalah kerana dalam aspek pengurusan kewangan, kita perlu bersikap kasar ke atas wang kita. Dalam aspek pengurusan kewangan juga gaji yang banyak bukan menjadi penentu ukur kekayaan seseorang. Saya mempunyai kenalan seorang guru yang bertaraf gred DG48 dan isterinya tidak bekerja sahaja manakala rakannya merupakan guru bertaraf gred DG54 dan isterinya juga seorang guru yang bergred DG48. Akan tetapi, kenalan saya itu lebih ‘kaya’ kerana ia menaiki kereta Mercedes dan rumah yang besar berbanding rakannya yang hanya menaiki Proton Wira dan masih menyewa di rumah teres. Menurutnya, rakannya itu suka membazir kerana suka membeli dan menukar pakaian baru setiap bulan. Inilah dikatakan rezeki walaupun sedikit yang diberkati daripada rezeki yang banyak tetapi tidak berkat.

Saya berpendapat bahawa adalah lebih baik sahaja kita menunggu kenaikan gaji tahunan dari tahun demi tahun sekiranya kita ingin bergaji besar. Ini adalah posisi yang paling selesa walaupun lambat berbanding kita membuat perniagaan dengan pinjaman yang besar dan akhirnya perniagaan tersebut hangus terbakar. Untuk berniaga kita perlu pandai menjadikan duit RM50 menjadi RM100. Sekiranya perkara kecil ini pun kita tidak pandai untuk berniaga dengan jumlah yang kecil bagaimana pula dengan perniagaan yang bernilai puluhan ribu untuk kita gandakan?

Apa yang penting ialah kita perlu pandai berstrategi untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Setiap orang mempunyai masa 24 jam sehari tetapi kesibukan seseorang itu berbeza antara satu sama lain. Apa yang penting kita perlu mencapai semua matlamat kita tidak kira secara cepat ataupun lambat. Lama-kelamaan apa yang kita impikan atau cita-citakan akan tercapai jua.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, October 5, 2012

Kadang-kadang Kita Perlu Juga Menolak Kemajuan

Kadang-kadang kita juga perlu menolak kemajuan. Ini adalah kerana kemajuan kadang-kadang boleh merosakkan bukan sahaja manusia tetapi juga umat manusia. Kita lihat sahaja semasa Perang Dunia Kedua di mana Amerika Syarikat telah mengebom bandar raya Hiroshima dan Nagasaki di Jepun dengan bom atom sehingga menjahamkan penduduk Jepun. Sebenarnya, penciptaan bom atom ini pada mulanya dirintis oleh Ibnu Sina iaitu seorang sarjana Islam. Akan tetapi, beliau tidak meneruskan penciptaan bom tersebut kerana beliau tahu bahawa bom tersebut akan membawa malapetaka kepada umat manusia. Seterusnya penciptaan bom atom ini akhirnya berjaya disambung dan disiapkan oleh Albert Einstein dengan formula yang diperkenalkan beliau ialah, E = MC2 ( Tenaga = Massa X Kecepatan Cahaya Kuadrat ). Akhirnya, bom inilah yang akhirnya membawa malapetaka kepada umat manusia.

Sebenarnya, penciptaan-penciptaan teknologi hari ini adalah hasil daripada idea-idea yang telah disebut di dalam al-Quran. Kita harus ingat bahawa al-Quran hanya menyebut prinsip-prinsip ilmu dan kita sebagai manusia perlu mengkajinya. Sekiranya al-Quran menerangkan segala-galanya mengenai ilmu, maka kitab al-Quran akan menjadi setebal bangunan tempat anda bekerja. Sekiranya kita melihat penciptaan jet pejuang pada hari ini, idea penciptaannya adalah hasil daripada kisah burung ababil yang membawa batu api neraka untuk meranapkan tentera bergajah Abrahah yang ingin menyerang Kota Mekah seperti mana yang disebut dalam Surah al-Fiil. Manusia mula terfikir bagaimana mereka boleh membuat ciptaan seperti burung yang boleh membawa batu api yakni peluru? Maka, jet pejuang akhirnya tercipta melalui idea ini. Wright bersaudara merupakan orang yang mula-mula mencipta kapal terbang. Tetapi kita perlu tahu bahawa Khilafah Uthmaniah antara negara pertama di dunia yang memajukan sains penerbangan selepas kapal terbang tersebut dicipta.

Saya masih ingat lagi ada kenalan pejabat saya yang mengatakan bahawa saya ini jumud seperti Nik Aziz kerana tidak menonton televisyen. Bahkan kawan-kawan sewaktu saya belajar di matrikulasi dahulu bertanyakan saya mengapa tidak menonton televisyen. Sebenarnya saya telah dilatih selama lima tahun berturut-turut untuk meninggalkan kotak televisyen iaitu ketika saya berada di asrama. Sewaktu di asrama, televisyen adalah dilarang sama sekali. Saya pun tidak berminat untuk menonton televisyen setelah dilatih sedemikian kerana televisyen membawa unsur-unsur maksiat seperti mendedahkan aurat dan sebagainya. Saya hanya menonton televisyen ketika bersama-sama keluarga ketika pulang ke kampung halaman. Terima kasih diucapkan kepada SMKA Sheikh Abdul Malek dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) kerana berjaya mendidik saya!

Al-Quran dan ilmu itu cahaya dan ia tidak berada di dalam hati yang dicemari maksiat. Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz pernah menceritakan bahawa beliau ditahan selama tiga tahun di Masjid Negara oleh gurunya apabila ingin menghafal al-Quran. Selama tempoh tersebut, beliau tidak dibenarkan untuk menonton televisyen dan juga mendengar radio bagi menghafal al-Quran. Saya pernah bertanya kepada seorang pelajar Maahad Tahfiz. Memang benar, beliau menceritakan bahawa pelajar tidak dibenarkan untuk menonton televisyen, mendengar radio dan melayari internet semasa tempoh menghafal al-Quran. Ini yang hendak saya katakan bahawa kadang-kadang kita juga perlu menolak kemajuan.

Kadang-kadang walaupun dunia ini semakin dekat. Tetapi, adakah kita semakin dekat kepada Allah? Sekiranya pada zaman dahulu, para ulama’ terpaksa berjalan di padang pasir selama beberapa bulan apabila mendengar sesuatu hadis yang baru disampaikan. Tetapi, pada hari ini kita hanya boleh merujuk hadis melalui internet dengan hanya beberapa minit sahaja. Malangnya, maksiat semakin berleluasa seiring dengan kemajuan teknologi yang dicapai pada hari ini. Sekiranya Malaysia yang dikatakan bebas daripada sebarang bencana alam kerana terletak di Luar Lingkaran Api Pasifik. Kini, gempa bumi juga tidak mustahil berlaku di Malaysia pada hari ini. Nampaknya, sukatan mata pelajaran Geografi di sekolah-sekolah perlu disemak dan digubal semula. Inilah yang dikatakan peringatan daripada Allah s.w.t. Semoga kita dapat muhasabah diri sendiri apa dengan apa yang telah kita lakukan.

Sekiranya kita melihat dunia hari ini kemudahan-kemudahan teknologi seperti laman sosial dan sebagainya juga boleh merosakkan hubungan kekeluargaan khususnya suami isteri. Dengan kemudahan-kemudahan ini, si suami mencari perempuan-perempuan lain di luar sana dan begitulah sebaliknya. Tidak kurang juga ada yang menceritakan masalah rumah tangga atau kekeluargaan di laman sosial sehingga menjadi tatapan umum. Oleh itu, tidak hairanlah bahawa kadar penceraian semakin meningkat dari semasa ke semasa. Semoga kita dijauhkan daripada perkara-perkara buruk ini.

Saya juga kadang-kadang meninggalkan broadband saya di pejabat untuk mendisiplinkan diri saya agar tidak terlalu melayari internet apabila berada di rumah. Ini adalah kerana saya tidak akan menelaah pelajaran saya apabila kemudahan internet berada di hadapan mata. Apa yang saya ingin sebutkan di sini ialah kemajuan itu kadang-kadang boleh membawa keburukan kepada kita. Semoga kita sentiasa beringat mengenai perkara ini. Al-Quran dan ilmu itu cahaya dan ia tidak berada di dalam hati yang dicemari maksiat. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, October 1, 2012

Mengapa Amerika Syarikat Boleh Tewas Berperang dengan Vietnam?

Mengapa Amerika Syarikat boleh tewas berperang dengan Vietnam suatu ketika dahulu? Bunyinya agak ganjil apabila Amerika Syarikat boleh tewas apabila berperang dengan negara kecil seperti Vietnam. Tetapi tidak mustahil perkara ini boleh berlaku walaupun Amerika Syarikat merupakan sebuah kuasa besar dunia.

Sebenarnya, Vietnam menewaskan Amerika Syarikat adalah bukannya melalui persenjataan hebat atau angkatan tentera yang besar. Negara ini mengalahkan Amerika dengan mengorek terowong sepanjang berates-ratus batu di tempat-tempat strategik bagi membolehkan pasukan gerilanya muncul dan lesap sesuka hati. Contohnya, terowong bawah tanah Chu Chi membolehkan askar Viet Cong bergerak dan berhubung antara mereka tanpa dikesan selain untuk menyimpan bekalan makanan dan senjata. Beberapa bahagian terowong ini juga bertindak sebagai kuarters penginapan dan hospital.

Orang Vietnam mempunyai sumber paling penting, iaitu pengetahuan dan risikan mengenai negara sendiri. Mereka juga mempunyai keazaman politik yang jitu, yang lahir daripada tuntutan keadaan dan kebanggaan diri yang sejati. Ini adalah gabungan hebat yang sukar dipatahkan.

Pada 16 Mac 1968, tentera Amerika Syarikat telah menyerang kampung My Lai di Vietnam serta membunuh beratus rakyat yang tidak bersenjata. Serangan ini dilaporkan telah dilakukan sebagai balasan apabila satu pasukan askar Amerika Syarikat terkena jerat samar. Kekejaman ini membuatkan orang Vietnam semakin marah dan berazam serta bersedia untuk membunuh dan dibunuh. Peristiwa ini sebenarnya merosakkan integriti tentera Amerika Syarikat. Askar Amerika Syarikat akhirnya berundur dari bum Vietnam pada tahun 1973 dan perang tamat secara rasminya pada 30 April 1975.

Dapat kita fahami di sini bahawa walaupun sesebuah negara itu kecil dan tidak berupaya untuk mengeluarkan belanja yang besar bagi mempertahankan diri mereka, mereka boleh membina kemahiran dan keupayaan yang secukupnya bagi melancarkan perang gerila yang berpanjangan terhadap penyerang mereka. Walaupun perlu menyediakan tenaga manusia yang banyak, mereka boleh mengekalkan pasukan bersenjata konvensional yang kecil dengan belanja yang rendah. Ini disebabkan mereka tahu mengenai muka bumi negara mereka sendiri, maka mudahlah bagi mereka untuk menyembunyikan pasukan gerila mereka dan pada masa yang sama, melatih orang awam mengenai selok-belok perang gerila.

Sumber: Tun Dr. Mahathir Mohammad, 2012, Doktor Umum: Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Apabila Umno lemah...


Pada mulanya saya ingin menulis artikel ini bertajuk “Dilema Melayu 13” kerana memikirkan percaturan politik Malaysia kerana Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) akan diadakan pada tahun 2013. Ia akan lebih berfokuskan kepada perpaduan orang Melayu. Setelah difikir balik, saya mengambil keputusan untuk menulis artikel “Lemah UMNO, Lemahlah Melayu” kerana saya berfikir adalah lebih baik orang Melayu bersatu di bawah panji UMNO daripada bergabung kekuatan dengan pembangkang yang tidak tahu hala tuju sebenar mereka. Ini dapat dilihat bahawa pemimpin PKR yang mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia, DAP yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia dan PAS memperjuangkan Negara Islam yang akhirnya bertukar menjadi Negara Kebajikan.

Sebenarnya DAP tidak akan memastikan PAS dan UMNO bersatu kerana DAP memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia. Caranya ialah dengan melemahkan pengaruh Sultan kerana Sultan merupakan ketua agama dan pelindung hak istimewa orang Melayu. Ketika ada ura-ura PAS dan UMNO untuk bersatu, maka DAP cepat-cepat memainkan peranan supaya mereka tidak bersatu. Sejak PRU-12 tahun 2008 lagi setelah kekuasaan UMNO-BN berkurang, hak keistimewaan melayu sering tercabar seperti kemasukan UiTM untuk bumiputera, isu biasiswa dan sebagainya. Bahkan pemimpin-pemimpin UMNO mahupun PAS akan dituduh bersifat perkauman apabila bercakap hak orang Melayu. Sebaliknya, apabila pemimpin-pemimpin Cina dan India bercakap mengenai kaum mereka, mereka mengatakan bahawa itu hak mereka. Bahkan mereka ini juga mempertikaikan Kerajaan apabila memberi peruntukan yang lebih kepada rumah ibadat orang Islam kerana mereka tidak diperuntukkan sedemikian juga. Nampak di sini bahawa apabila UMNO itu lemah secara tidak langsungnya hak orang Melayu tercabar walaupun bilangan mereka meliputi seramai 60 peratus daripada penduduk Negara ini.

Masihkah kita mengingati pada malam kemerdekaan 31 Ogos 2012 yang lalu di mana gambar Perdana Menteri dikoyak-koyak dan dipijak-pijak oleh bangsa Cina. Apa yang menyedihkan ialah orang-orang Melayu hanya memerhatikan sahaja gambar tersebut dibuat sedemikian walaupun pemimpin tersebut adalah seagama dan sebangsa dengan mereka. Bangsa Cina ini kelihatan amat biadap sekali walauun tangkapan telah dibuat oleh pihak polis dan ada yang menyerah diri di balai polis selepas insiden tersebut. Menurut Tun Dr. Mahathir, ini disebabkan oleh Barisan Nasional itu sendiri yang lemah dalam Kerajaan kerana tidak medapat kerusi majoriti 2/3 dalam Parlimen. Menurut Tun, pada zamannya selama menjadi Perdana Menteri, tiada seorang pun yang memperlakukan gambar beliau sedemikian. Saya fikir benar juga kata-kata beliau kerana tiada orang yang mengoyak-ngoyakkan gambar beliau semasa menjadi Perdana Menteri.

Sekiranya kita melihat sejarah UMNO, UMNO dibentuk untuk membantah penubuhan Malayan Union pada tahun 1946. Keadaan orang Melayu ketika itu amat daif sekali dari segi ekonomi dan sosial apatah lagi ketenteraan. Dengan perpaduan melayu, rancangan penubuhan Malayan Union berjaya digagalkan. Pada pusingan pertama ini, orang Melayu ‘menang’ pada mulanya dengan pihak British. Akan tetapi, apabila perlembagaan digubal melalui Suruhanjaya Reid, pihak British menetapkan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Pada pusingan kedua ini, orang Melayu akhirnya ‘kalah’ dengan pihak British. Untuk memastikan bahawa kerusi Perdana Menteri ini terus diduduki oleh orang Melayu, orang Melayu perlulah bersatu-padu. Ada orang mengatakan bahawa pihak pembangkang berjaya menambah kerusi parlimen yang diduduki oleh orang Melayu. Hakikatnya, orang Melayu di dalam barisan pembangkang tidak dapat membuat apa-apa terhadap terhadap sebarang permasalahan atau isu yang timbul.

Sekiranya kita melihat semasa PRU-12 pada tahun 2008, pakatan longgar pembangkang membahagikan kerusi Parlimen untuk bertanding menentang Barisan Nasional (BN) dan strategi ini berjaya kerana berjaya mengelak berlawan 3 penjuru. Sekiranya kita melihat pembahagian kerusi Parlimen untuk bertanding, kita dapat melihat PKR bertanding 97 kerusi Parlimen, PAS bertanding 67 kerusi Parlimen dan DAP bertanding dengan 28 kerusi Parlimen. Akan tetapi, senario hari ini memperlihatkan DAP adalah dominan dalam Pakatan Pembangkang tetapi kerusi barisan pembangkang masih dipegang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini mungkin kerana untuk menjaga hari orang Melayu. Kita dapat melihat taktik halus yang dimainkan oleh DAP supaya orang Melayu terus berpecah-belah di dalam negara ini.

Adakah PAS tidak mempunyai suara di dalam barisan pembangkang? Isu-isu yang terjadi memperlihatkan bahawa PAS seolah-olah tidak mempunyai kuasa dalam Pakatan Rakyat. Contohnya, apabila melihat isu hudud, Pengerusi DAP, Karpal Singh sering mengeluarkan kenyataan bahawa PAS perlu melangkah mayat dia dahulu sekiranya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah Negara Islam apabila perkara ini disebut oleh Pemimpin-pemimpin PAS. Begitu juga Pengerusi DAP ini juga membidas Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang apabila ingin menggubal perlembagaan dengan menjadikan Islam adalah sebagai cara hidup dan bukannya sebagai agama rasmi semata-mata. Selain itu juga Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Tantawi didakwa berbohong di dalam debat yang dianjurkan oleh Sinar Harian apabila mengatakan bahawa Karpal Singh sudah mula boleh berbincang semula mengenai hudud setelah bekerjasama dengan PAS dan perkara ini dinafikan oleh Karpal Singh. Begitu juga dengan isu penutupan kedai arak di Kedah pada bulan puasa tahun 2011. Pada mulanya, PAS Kedah bercadang untuk menutup kedai arak pada bulan Ramadhan, namun rancangan tersebut tidak berjaya setelah ditentang oleh DAP. Menurut Dr. Hasan Ali, PAS terpaksa mengubah istilah ‘Negara Islam’ kepada ‘Negara Kebajikan’ kerana tunduk kepada PKR dan DAP untuk menawan Putrajaya. Isu-isu ini memperlihatkan sendiri kedudukan PAS yang lemah di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Namun begitu, harus diingatkan bahawa perpaduan yang dijana ini bukanlah untuk menguatkan pemimpin-pemimpin politik atasan untuk memperkayakan golongan kelas atasan. Perpaduan adalah untuk kebaikan bersama dan bukannya sebagai modal kepada pemimpin-pemimpin UMNO untuk terus merompak hak rakyat. Usahlah kita menjadi pekerja sukarela bagi Parti DAP untuk menerangkan bahawa parti itu hendak mengenal Islam, tidak menentang Islam, tidak bersifat perkauman dan sebagainya kepada orang lain walhal orang Melayu selama ini sudah sering ditipu dalam urusan jual beli dengan orang Cina selama ini. Hakikatnya, orang Melayu pada hari ini masih terus berpecah-belah kerana ingin kuasa politik. Bak kata pepatah, “Menang sorak, kampung tergadai.”

Sekian , terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com