Thursday, June 28, 2012

Solat Itikharah Petunjuk bagi Orang yang Beriman


Solat istikharah adalah petunjuk bagi orang-orang yang beriman. Kita dianjurkan untuk melakukan Solat Sunat Istikharah sekiranya dilema terhadap sesuatu perkara yang ingin dilakukan atau dihajati sama ada ianya membawa kebaikan mahupun keburukan ke atas diri kita, bersesuaian atau bertentangan dengan diri kita. Mungkin dalam hidup ini kita kadang-kadang diberi dua pilihan untuk melakukan sesuatu dan kita kadang-kadang silap membuat keputusan tersebut. Oleh itu, kita seharusnya memohon kepada Yang Maha Esa supaya kita dapat membuat keputusan yang betul. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak berlaku zalim kepada hambaNya yang memohon petunjuk daripadaNya.

Petunjuk  Solat Istikharah ini boleh didapati secara mimpi ataupun melalui gerak hati kita. Saya ada seorang rakan yang menceritakan bahawa dia membuat istikharah sama ada untuk menghantarnya lepasan SPM sama ada melanjutkan pelajaran diploma atau matrikulasi selama 1 tahun. Setelah dia membuat solat istikharah dia bermimpi nampak sebatang pokok kelapa di tengah sawah padi yang luas. Ini seolah-olah mimpi ini ingin memberi tunjuk kepada beliau supaya menghantar anaknya menyambung pelajaran di matrikulasi yang mengambil masa 1 tahun. Sekiranya kita tidak mendapat petunjuk daripada mimpin, petunjuk itu akan datang dalam bentuk lintasan hati. Hati kita akan lebih berat dan tenang kepada satu antara pilihan yang kita ingin buat.

Kita usah bimbang sekiranya orang mempertikai keputusan kita yang telah dibuat sekiranya keputusan tersebut dibuat selepas kita melakukan solat istikharah. Yakinlah bahawa keputusan yang kita buat tersebut adalah betul yang mendapat petunjuk daripada Tuhan.

Adalah peringatan buat kita semua supaya tidak melawan petunjuk yang telah kita dapati setelah menunaikan solat istikharah. Ini kerana ia akan membawa natijah yang buruk kepada kita dan saya pernah mengalaminya. Ketika itu, saya mendapat tawaran yang banyak untuk menjalani latihan praktikal ketika masih menuntut di universiti. Hati saya lebih berat kepada untuk menjalani latihan praktikal di KWSP di Kuala Terengganu. Tetapi akhirnya saya membuat keputusan untuk menjalani latihan praktikal di UiTM Dungun kerana ia berdekatan dengan rumah saya di kampung. Malang sekali bagi saya. Saya mendapat tempat kakitangan di mana kakitangannya tidak pandai menghormati orang. Penyelia pun selalu perasaan dia bagus. Sehingga sekarang, saya tidak pernah melawat tempat praktikal tersebut setelah tamat membuat latihan di sana sejak tahun 2006. Saya ingin mengajar kakitangan di sana supaya jangan perasan kita ingin bagus sangat dan perlu pandai menghormati tetamu.

Apa pun yang hendak diperkatakan di sini ialah kita perlu membuat Solat Istikharah apabila berada dalam persimpangan. Sekiranya kita tidak melakukan solat ini, ia juga akan memberi natijah yang buruk kepada kita sekiranya kita silap membuat keputusan. Jika sudah mendapat keputusan, janganlah cuba ‘melawan’ keputusan tersebut. Lakukan Solat Istikharah untuk mendapat petunjuk Ilahi. InsyaAllah, hidup akan sentiasa selamat dan tenang.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Apabila Peminta Sedekah Datang Kepada Kita...


Sudah menjadi lumrah alam di tanah air Malaysia ini di mana-mana sahaja ada peminta sedekah. Baik di depan bank, kedai makan, kaki lima keda-kedai dan sebagainya. Saya bukan maksud menghina. Tetapi kadang-kadang kita berfikir dua kali sama ada ingin menderma atau tidak. Sekiranya menderma, kita takut kena tipu dan sekiranya tidak menderma, kita merasakan kasihan kepada mereka.

Bagaimana pula dengan persoalan agama mengenai perkara ini?

Menurut Ustaz Azhar Idrus, sekiranya kita tidak yakin sama ada peminta derma atau sedekah itu benar atau penipu, maka harus kita beri kepadanya. Sekiranya dia sebenarnya memang berhajat, maka kita dapat pahala sedekah dan sekiranya memang dia seorang penipu, maka kita dapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala kena tipu.

Peminta derma memang diyakini seorang penipu maka tidak harus kita memberikan wang kepada mereka. Memberi pertolongan dalam perkara dosa itu haram menurut pandangan sebahagian sarjana Islam.

Walaubagaimanapun, kita perlulah kita ikhlas untuk melakukan amal jariah. Ini adalah supaya kita sentiasa mendapat keredhaan dan keberkatan dari Yang Maha Esa. InsyaAllah.


Sekian, terima kasih.

http:.//wankamarul701.blogspot.com

Buat Review Perbelanjaan 2012 Anda

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Kita sekarang sudah berada di akhir pertengahan tahun 2012. Ini bermakna kita sudah berada separuh tahun bagi tahun ini. Bagi sesebuah organisasi, ia akan membuat review perbelanjaan dan juga sasaran baru bagi mengenal pasti sekiranya ada kekurangan bagi kedua-dua perkara ini. Yang terlebih akan dikurangkan, dan yang kurang akan ditambahkan. Ini adalah untuk memastikan perbelanjaan akan terus realistik bersesuaian dengan keadaan semasa. Begitulah juga dengan belanja diri kita sendiri. Kita perlu memeriksa perbelanjaan kita sama ada ia mempunyai kekurangan atau tidak.

Berapakah jumlah hutang kita sehingga pertengahan tahun ini yang sudah dilunaskan? Adakah ia semakin bertambah ataupun berkurang? Jika berkurang, berapakah jumlah hutang yang dikurangkan? Sekiranya kita membuat hutang, adakah ia merupakan hutang perlu atau tidak perlu?

Pengalaman merupakan guru terbaik bagi seseorang. Sejak tahun 2010, saya mula belajar mengenai ilmu pengurusan kewangan setelah mula berjinak-jinak dengan hutang. Ketika itu, saya baru sedar bahawa duit simpanan saya ‘entah ke mana’ dan hutang pun masih banyak setelah 2 tahun bekerja. Setelah berusaha bersungguh-sungguh membaiki pengurusan kewangan saya, sedar tak sedar saya telah berjaya mengurangkan hutang saya sebanyak RM20,000 sehingga Jun 2012 sejak awal tahun 2010. Bagi saya, pencapaian ini boleh dibanggakan walaupun ia tidak membanggakan. Apa yang menarik lagi bagi saya ialah simpanan saya mula bertambah dari bulan ke bulan sekarang. Saya berjaya mengubah minda saya bahawa seseorang itu akan banyak duit bukan kerana dia bergaji besar atau mempunyai side income yang besar atau membuat tuntutan yang tinggi dengan syarikat setiap bulan tetapi seseorang itu akan banyak duit kerana pandai menguruskan duitnya. Saya juga berjaya melanjutkan pelajaran saya dengan menggunakan wang tunai sendiri tanpa meminta pinjaman-pinjaman lain atau menggunakan wang simpanan KSWP saya.

Sewaktu sarapan pagi semalam, saya bersembang mengenai pinjaman PTPTN bersama-sama rakan saya yang mengambil pinjaman tersebut semasa belajar di universiti. Di antara kami ada yang mengatakan dia membayar setiap bulan dan ada yang tidak membayar hutang. Rupa-rupanya ada yang tidak membayar hutang ini merupakan individu yang masih mengharapkan janji bulan dan bintang pihak pembangkang untuk menghapuskan pinjaman ini sekiranya mereka menang dalam PRU-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat. Saya sudah menyebutkan janji bulan dan bintang pihak pembangkang dalam artikel sebelum ini bahawa mereka tidak mempunyai hujah yang kuat untuk melaksanakan janji tersebut (Klik di Sini). Hutang tetap hutang. Anda perlu membayarnya dan anda tidak boleh mengelak untuk membayarnya. Jika anda cuba lari membayar hutang, ia tetap akan datang juga. Oleh itu, cuba selesaikan hutang anda walaupun secara cepat ataupun lambat. Hutang akan terus membelenggu diri anda sekiranya anda tidak cuba melawannya.

Buat jangkaan bilakah hutang anda selesai sekiranya masih membayar secara bulanan sekarang. Anda boleh menyelesaikan hutang anda yang ada sekarang secara cepat atau lambat. Adalah mustahil untuk anda menyelesaikan hutang berjumlah RM30,000 dalam masa satu bulan sekiranya anda berpendapatan RM3,000 sebulan. Sekiranya anda membayar RM500 sebulan, ia akan diselesaikan dalam masa 5 tahun dan habis dibayar pada tahun 2017 mulai sekarang. Sekiranya anda membayar RM300 sebulan, ia akan diselesaikan dalam masa 8 tahun lebih dan habis dibayar pada tahun 2021 mulai sekarang. Inilah yang dimaksudkan membayar hutang secara cepat atau lambat. Anda boleh mempercepatkan pembayaran hutang-hutang anda dengan menambah bayaran ansuran bulanan sekiranya pendapatan anda bertambah pada masa hadapan. Seterusnya, anda boleh membuat jangkaan yang baru bilakah hutang akan selesai dan ia akan habis dibayar dari tempoh sepatutnya. Ini sudah tentu dapat mempercepatkan diri anda mencapai kebebasan kewangan.

Kita sebagai pekerja awam atau swasta sudah tentu mendapat kenaikan gaji baru-baru ini. Mungkin antara kita mendapat kenaikan RM200 – RM300. Walaupun sedikit mungkin tidak sebanyak bonus tahunan kita, sekiranya kita pandai mengira dari awal tahun mula kenaikan sehingga kita bersara, nilainya menjadi puluhan ribu ringgit. Contohnya kita akan bersara 25 tahun lagi dari sekarang mulai tahun 2012. Sekiranya kenaikan kita adalah RM200, maka ia akan berjumlah RM60,000 dalam masa 25 tahun akan datang (RM200 x 12 bulan x 25 tahun). Dengan menggunakan Prinsip Sendal Baji seperti mana yang saya terangkan sebelum ini (Klik di Sini) iaitu menyimpan separuh daripada kenaikan gaji kita (RM100 daripada RM200), jumlah simpanan kita akan menjadi RM30,000 dalam masa 25 tahun akan datang (RM100 x 12 bulan x 25 tahun). Ini belum mengambil kira kenaikan kita pada tahun-tahun akan datang. Ini sudah tentu menyebabkan simpanan kita menjadi ratusan ribu atau jutaan ringgit setelah kita bersara kelak. Benar bukan?

Simpanan ini perlulah dibuat dengan potongan gaji ke dalam simpanan atau pelaburan instrumen kewangan yang lain seperti Koperasi, ASNB, Tabung Haji atau tempat pelaburan yang lain di mana kita tidak dapat mengambil duit tersebut. Ini kerana duit di depan mata kita tidak akan dapat disimpan.

Setakat ini dulu penulisan saya pada kali ini. Apa yang penting ialah kita pandai menguruskan kewangan kita untuk mengurangkan hutang kita dan seterusnya menambah simpanan kita. Apa yang lebih penting kita perlu memastikan mutu kesihatan kewangan sentiasa bertambah baik dari semasa ke semasa semoga kita tergolong orang yang mendapat sentiasa mendapat ketenangan dan kebahagiaan. Bak kata Saidina Ali Abi Talib, “Sekiranya hari ini lebih baik daripada semalam, maka berbahagialah orang itu. Sekiranya hari ini sama dengan hari semalam, maka sia-sialah orang itu. Sekiranya hari ini lebih buruk daripada semalam, maka celakah orang itu.”

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com


Tuesday, June 26, 2012

Apa Itu Ekuiti Bumiputera 30%?

Apa yang anda faham mengenai pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30%? Salah satu matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah untuk mengagihkan kekayaan negara secara saksama antara kaum di Malaysia dengan ekuiti bumiputera ialah 30 peratus, bukan bumiputera – 40 peratus dan penyertaan asing ialah 30 peratus. Tempoh rancangan ini ialah dari tahun 1970 sehingga 1990 di mana ia menunjukkan ekuiti bumiputera pada tahun awal pelaksanaannya ialah 2 peratus naik kepada 20 peratus dalam tempoh masa 20 tahun melalui pelaksanaan dasar ini. Menurut Tun Daim Zainuddin yang bertanggungjawab untuk menjayakan matlamat DEB pada tahun-tahun akhir pelaksanannya semasa menjadi Menteri Kewangan, ia merupakan pelaksanaan yang boleh dibanggakan kerana walaupun ia tidak mencapai sasaran asalnya 30 peratus, ia merupakan merupakan pencapaian yang baik dalam sesebuah masyarakat majmuk. Tun Daim sendiri tidak tahu mengapa formula ekuiti bumiputera ditetapkan kepada 30 peratus dan tidak kepada 20 peratus atau 40 peratus.

Menurut Tan Sri Muhammad Ali Hashim, bekas Ketua Eksekutif Johor Corporation (Jcorp), menyatakan bahawa ekuiti bumiputera yang sepatutnya dicapai ialah 65 peratus dan bukannya 30 peratus kerana jumlah penduduk muslim di Malaysia ialah 65 peratus. Namun penulisan saya kali ini adalah berpegang kepada 30 peratus kerana ia merupakan dasar sebenar kerajaan.

Apakah yang menjadi ukuran ukuran ekuiti bumiputera ini? Sebenarnya, ukuran bumiputera ini menurut Dr. Syed Hussin Ali (2008) adalah termasuk :

i.    Individu Melayu : Meliputi institusi yang menyalurkan kepentingan persendirian Melayu seperti Amanah Saham MARA, dan Lembaga Urusan Tabung Haji.
ii.   Kepentingan Melayu : Saham yang dianggap sebagai saham amanah oleh agensi seperti MARA (tidak termasuk Amanah Saham MARA), PERNAS, UDA, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Bank Bmiputera dan Bank Pembangunan.

Pada tahun 1990 iaitu tahun berakhirnya tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dianggarkan bahawa modal saham syarikat saham dalam syarikat berhad ialah RM80 billion dan jika hendak menguasai 30% ekuiti bumiputera melayu, maka orang melayu atau pemodal-pemodal melayu perlu memiliki saham sebanyak RM24 billion. Pada tahun 1970, hak milik modal saham melayu ini hanya berjumlah RM126 juta, dan pada tahun 1975 jumlah modal saham melayu ialah RM768 juta iaitu kenaikan sebanyak RM128 juta setiap tahun. Untuk mencapai RM24 billion pada tahun 1990, maka modal saham yang diperlukan ialah lebih RM23 billion yang mesti dikumpul dalam masa 15 tahun iaitu dari tahun 1975 sehingga tahun 1990. Ini bermakna orang melayu memerlukan modal saham sebanyak RM1.533 billion setiap tahun untuk mencapai matlamat DEB pada akhir tahun 1990 (Dr. Syed Husin Ali, 2008).

Untuk mencapai hasrat pemilikan ekuiti bumiputera 30% ini, cadangan yang diutarakan oleh Dr. Syed Husin Ali (2008) ialah :

i.   Mengumpul semua simpanan yang ada pada setiap orang melayu untuk dijadikan modal. Namun anggaran yang boleh dibuat melalui cara ini akan menyebabkan akan lebih tersempit dari keadaan sedia ada. Ini sudah tentunya menyekat kebebasan dari segi ekonomi bagi kehidupan seseorang.

ii.  Kerajaan mengeluarkan lebih banyak lagi pinjaman melalui bank atau badan tertentu. Akan tetapi, bagi mendapatkan pinjaman, ia memerlukan jaminan dan sandaran. Ini bermakna golongan tertentu sahaja yang boleh mendapatkan pinjaman.

iii.  Untuk menaikkan peratusan modal orang melayu, boleh dibataskan atau dihadkan sahaja jumlah pelaburan oleh golongan bukan melayu dan asing. Akan tetapi, ini boleh membunuh ekonomi negara kerana ia menyebabkan tentangan daripada golongan yang dibataskan dan ini secara tidak langsung ia akan menjejaskan kestabilan politik.

iv.  Melaksanakan dasar milik negara. Ini bukanlah konsep milik negara yang diamalkan oleh golongan orang berfahaman komunis. Apa yang dikehendaki ialah cuma sesetengah sahaja daripada perusahaan dan perkhidmatan penting milik negara ataupun diambil alih oleh negara. Dengan melaksanakan dasar milik negara, ia lebih mudah dirancang agar keuntungan daripada perusahaan negara digunakan untuk pembangunan dan lebih banyak lagi penyertaan Bumiputera digalakkan dalam bidang-bidang perniagaan serta perusahaan yang dikuasai negara.

Sudah tentu, langkah ke-iv merupakan langkah paling berkesan untuk membangunkan ekonomi orang melayu pada hari ini menurut beliau.

Sikap majoriti orang melayu adalah tidak berani untuk mengambil risiko. Ini benar menurut Tun Daim Zainuddin apabila ramai orang mengatakan beliau memperolehi banyak tanah untuk menjadi jutawan hartanah kerana disebabkan hubungan akrabnya dengan Datuk Harun Idris yang ketika itu menjadi Menteri Besar Selangor.  Sebenarnya, ramai orang melayu yang memperolehi tanah daripada beliau (Datuk Harun Idris) dan kemudian menjual tanah tersebut untuk mendapatkan wang tunai dengan segera kerana tidak mahu mengambil risiko untuk membangunkan tanah tersebut.

Sikap orang melayu ini dapat dilihat dalam pemilikan ekuiti 20 peratus bumiputera. Sebenarnya, daripada jumlah 20 peratus bumiputera, kira-kira 12 peratus daripadanya adalah dalam bentuk pegangan amanah dan beberapa institusi kerajaan. Ini sekaligus melindungi bumiputera daripada risiko sebenar perniagaan. Mereka bukanlah orang yang berdaya usaha dan sanggup mengambil risiko. Mereka merupakan pelabur pasif dalam usaha niaga yang dijalankan oleh pihak kerajaan. Sikap dan mentaliti pasif bukanlah bentuk revolusi mental yang hendak dipupuk oleh kerajaan dalam masyarakat melayu dan bumiputera melalui DEB (Tun Dr. Mahathir, 2012).

Sehingga tahun 2010, pemilikan ekuiti Bumiputera pada nilai tara meningkat kepada 23.09 peratus iaitu RM167.7 bilion berbanding 2008 iaitu 21.9 peratus bernilai RM127.4 bilion. Angka ini diperoleh berasaskan keseluruhan ekuiti berjumlah RM726.4 bilion pada 2010 berbanding RM581.8 bilion pada 2008. Ekuiti Bumiputera ini termasuk pemilikan individu, institusi kepentingan Bumiputera seperti Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Agensi Amanah seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) (Harian Metro).

Pemilikan ekuiti Bumiputera tertinggi mengikut sektor adalah industri kewangan, insurans dan takaful yang meningkat kepada 37.56 peratus bagi 2009 dan 38.97 peratus pada 2010 dengan nilai pemilikan ekuiti Bumiputera meningkat daripada RM53.35 billion kepada RM65.37 billion. Industri perdagangan borong dan runcit adalah industri yang mempunyai bilangan syarikat Bumiputera tertinggi berbanding industri lain. Bagaimanapun, bilangan syarikat Bumiputera menurun daripada 73,230 pada 2009 kepada 70,216 pada 2010 (Harian Metro).

Apa yang boleh kita buat untuk mencapai matlamat pemilikan bumiputera sebanyak 30% sebagai pekerja makan gaji? Tidak lain dan tidak bukan adalah mudah sahaja dengan membuat pelaburan melalui Amanah Saham Nasional Berhad yang pernah saya ceritakan sebelum ini (Klik di sini). Jumlah penduduk Malaysia pada hari ini ialah 28.3 juta dengan jumlah penduduk berbangsa melayu ialah 56.4% (tidak mengambil kira bumiputera lain) atau bersamaan dengan 15.96 juta orang. Sekiranya purata setiap orang menyumbang RM200 setiap bulan melalui caruman ASNB ini, jumlahnya adalah RM319 juta sebulan ataupun RM3.8 billion setahun. Ini belum mengambil kira lagi ekuiti-ekuiti bumiputera melayu yang lain. Sudah tentu ia akan memberi impak kepada ekonomi orang melayu itu sendiri walaupun dengan hanya membuat pengorbanan yang sedikit setiap bulan.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad
 

Sumber

1.  Cheong Mei Sui dan Adibah Amin, 1996. Daim : Insan di Sebalik Enigma. Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd.
2.   Dr. Syed Hussin Ali, 2008. Orang Melayu : Masalah dan Masa Depan. Harakah.
3. Tun Dr. Mahathir Mohammad, 2012. Doktor Umum : Memoir Tun Dr. Mahathir Mohammad. Berita Publishing Sdn. Bhd.
4.   http://www.hmetro.com.my/articles/EkuitiBumiputeracecahRM167_7b/Article

Sunday, June 24, 2012

Melayu Liat Membayar Hutang?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Terima kasih diucapkan kepada pengunjung-pengunjung setia blog saya yang sudi meluangkan masa membaca blog saya. Ada yang tertanya-tanya mengapa saya tidak mengemas kini blog saya sejak beberapa lama. Saya tidak dapat mengemaskini blog saya kerana ada sebab-sebab kekangan tertentu. Namun begitu, saya akan tetap mengemaskini blog saya untuk tatapan Tuan dan Puan semua. Ada yang menjadikan blog saya ini sebagai rujukan pengurusan kewangan mereka. Suka saya ingin memberitahu di sini ialah semakin belajar diri kita mengenai ilmu kewangan, maka kita akan menjadi semakin KEDEKUT. Ini adalah kerana kita akan menghargai setiap sen duit di dalam poket kita apabila ilmu semakin bertambah di dada. Sekiranya anda seorang Ketua Pegawai Kewangan ataupun Chief Financial Officer (CFO), anda akan menghargai setiap sen wang syarikat walaupun nilainya adalah 1 sen.

Baiklah tajuk artikel saya kali ini ialah Melayu Liat Membayar Hutang? Sebenarnya, ini bukan idea saya yang sebenar tetapi saya ingin memetik tulisan Tun Dr. Mahathir dalam buku terbarunya iaitu Doktor Umum : Memoir Tun Dr. Mahathir Mohammad. Buku banyak memperihalkan mengenai sikap dan masalah yang dihadapi oleh orang melayu. Saya sebenarnya tertarik mengenai tulisan beliau mengenai sikap orang melayu terhadap hutang.

Sebenarnya disiplin bayaran balik pinjaman dan hutang dengan segera adalah syarat utama kejayaan dalam perniagaan. Ramai yang mengambil hutang tetapi hanya menggunakan separuh daripadanya untuk tujuan perniagaan. Ini menyebabkan kadar faedah pinjaman itu naik dua kali ganda. Dengan menggunakan separuh modal sahaja maka sukarlah untuk mendapat hasil yang cukup bagi membayar hutang.

Beliau menceritakan bahawa ada seorang pengusaha stesen minyak menemuinya yang melaburkan pungutan tunainya dalam satu perniagaan lain. Perniagaan itu gagal dan beliau tidak mampu membayar bekalan minyak yang diperolehinya secara kredit. Selepas berulang kali gagal membayar, pembekal mula menuntut bayaran tunai dalam urusan jual beli minyak. Beliau tiada lagi wang tunai dan gagal mendapatkan pinjaman tambahan daripada bank. Akhirnya, pengusaha tersebut hilang stesen minyaknya kerana gagal membayar hutang. Perkara ini yang menyebabkan pengusaha-pengusaha stesen minyak melayu yang lain terpaksa membayar wang pendahuluan untuk mendapat bekalan minyak sekarang.

Masalah ini yang dihadapi oleh kontraktor melayu. Tun juga menceritakan bagaimana makmal komputer yang dibina oleh kontraktor melayu boleh runtuh. Saya masih ingat cerita tersebut dan ianya diuar-uarkan pada tahun 2002 di mana majalah Massa memaparkan tajuk kulit “Makmal Komputer Runtuh : Mana Maruah Orang Melayu?” atau lebih kurang tajuknya berbunyi begitulah. Ia sebenarnya adalah mudah sahaja untuk didirikan bersama pemasangan wayar untuk komputer. Tetapi orang yang bertanggungjawab membina makmal tersebut menjual kontrak kepada kontraktor lain. Kemudian, pihak kedua menjual kontrak tersebut kepada pihak ketiga untuk mendapat bayaran pendahuluan. Projek ini terus bertukar tangan sehingga tidak lagi membawa keuntungan. Kontraktor terakhir yang membeli kontrak ini terpaksa membina makmal dengan menggunakan bahan bermutu rendah dan gagal pula membayar hutang kepada pembekal dan sub-kontraktor. Natijahnya, mereka tidak dapat menyiapkan projek tersebut dan bangunan tersebut runtuh sebelum digunakan.

Begitulah dengan kita, kita perlu tahu berapa jumlah hutang atau komitmen lain yang perlu dibayar pada setiap bulan. Hutang tetap hutang. Janganlah anda tutup sebelah mata terhadap hutang anda sama ada membayar sekali-sekala. Apa yang lebih buruk lagi anda membutakan mata anda terhadap hutang-hutang anda iaitu anda tidak membayar hutang anda. Masalah hutang anda perlu selesaikan. Masalah tidak dapat dielak. Sekiranya ia dielak, ia akan datang jua. Oleh itu, cuba selesai masalah anda.

Hutang ansuran bulanan kereta dan rumah memerlukan komitmen bayaran yang baik setiap bulan. Ramai orang membayar ansuran bulanan pada akhir bulan. Ini adalah kerana mereka menggunakan gaji bulan tersebut bagi membayar ansuran bulanan pada bulan tersebut. Contohnya, kita menerima gaji 26 hb. dan membayar ansuran bulanan pada 29 hb. setiap bulan. Ini yang menyebabkan ada antara kita yang menerima gangguan bank-bank pada akhir bulan supaya membayar ansuran hutang mereka. Adalah lebih sekiranya gaji bulanan kita digunakan untuk membayar ansuran pada bulan berikut. Contohnya, gaji bulanan kita akan diterima pada 26 hb. setiap bulan. Gunakan gaji ini untuk membayar ansuran bulanan pada bulan berikutnya pada 1 hb. Disiplin bayar balik yang baik ini akan menyebabkan anda dipandang oleh bank sebagai peminjam 5 star oleh pihak bank (walaupun saya sendiri tidak menggalakkan anda membuat pinjaman bank). 

Hiduplah dalam batas kemampuan. Kesilapan kita adalah tidak tahu berapa jumlah komitmen hutang kita pada setiap bulan. Ada seorang rakan yang membayar hutang pendidikan sekali-sekala. Saya bertanya mengapa beliau bertindak sedemikian. Beliau menyatakan bahawa beliau hanya menggunakan duit bonus bagi membayar hutangnya. Saya mengatakan bahawa itulah bermakna kita perlu hidup dalam batas kemampuan kita sahaja. Sekiranya membayar hutang sekali-sekala, lambat laun kadar faedah akan ‘makan’ duit pokok yang dibayar oleh kita. Ini adalah kerana kadar faedah, bunga, atau interest akan dikenakan berasaskan kepada baki kini pinjaman.

Kata orang kesilapan besar kita adalah ‘makan modal’ perbelanjaan kita. Ini adalah mungkin kerana kita terpaksa ‘mengusik’ duit komitmen bulanan kita untuk membeli perkara lain. Saya masih ingat ceramah di tempat kerja saya pada minggu lepas. Beliau mengatakan bahawa duit pendapatan kita perlu dibahagikan kepada empat kotak iaitu kotak makan minum, kotak simpanan, kotak kecemasan, dan kotak jihad. Kotak jihad terbahagi pula kepada lima iaitu ibu bapa, mentua, surau & masjid, fakir miskin dan khusus untuk seseorang bagi diri kita. Sekiranya kita mencampur-adukkan perbelanjaan kita, alamak susahlah kita untuk hidup.

Apa yang hendak ditekankan di sini ialah pentingnya disiplin kredit yang perlu diterapkan ke dalam diri kita. Usahlah kita liat membayar hutang-hutang kita. Saya pernah berjumpa dengan seorang pelanggan saya pada suatu ketika dahulu pada tahun 2009 yang pernah meminjam daripada along bagi menjalankan perniagaan kedai makan beliau. Saya bertanya kepada beliau adakah beliau tidak takut meminjam wang daripada along. Beliau menyatakan bahawa sekiranya kita membayar hutang along mengikut masa ditetapkan, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan along.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

Saturday, June 23, 2012

Debat PTPTN Rafizi-KJ : Antara Realiti dan Janji Bulan & Bintang


Pada kali ini, saya ingin menulis mengenai Debat Isu PTPTN antara Pengarah Strategik PKR, Razifi dengan Ketua Pemuda UMNO, KJ. Saya menulis isu debat pada kali ini kerana diminta oleh rakan lama saya supaya memberi komen tidak bias kepada mana-mana pihak. Saya banyak kali menonton video debat ini supaya dapat memahami dengan jelas hujah-hujah yang diutarakan oleh kedua-dua pihak.

Secara kasarnya, dapat dilihat Rafizi banyak bercakap mengenai rasuah yang diamalkan oleh Kerajaan BN seperti pembinaan MRT berjumlah RM60 billion, NFC, Tan Sri Tajuddin ramli, dana Petronas yang dibelanjakan berjumlah lebih RM200 billion dan lain-lain lagi bagi menghalalkan pendidikan percuma yang dicadangkan beliau. Namun, dapat dilihat KJ cuba mengelak soalan yang diajukan oleh Rafizi dengan jawapan yang hanya kadang-kadang sedikit masuk akal. Dapat dilihat Rafizi cuba menjerat KJ dengan isu rasuah tetapi dapat dilihat KJ tidak terperangkap.

Semua orang tahu mengenai rasuah yang mengelilingi Kerajaan pada hari ini. Namun, saya ingin melihat hala tuju pembangkang dalam isu pendidikan percuma yang dicadang dan dijanjikan.

Hakikatnya janji bulan dan bintang penghapusan PTPTN oleh Rafizi dapat diragui melalui fakta berikut:

1. Rafizi mengatakan bahawa isu pendidikan pencuma merupakan dasar pakatan bersama pakatan rakyat. Sebaliknya, Buku jingga hanya menyebut pemansuhan caj ptptn. Jelas pembangkang tidak sekata dalam isu PTPTN sama ada secara lisan atau bertulis.

2. Rafizi menyatakan bahawa isu pendidikan percuma telah dimulakan sejak dari dulu lagi. Tapi hujah ini dapat dipatahkan oleh KJ bahawa dahulu ada 1 Universiti dan sekarang ada 20 universiti. Nampak di sini, rafizi tidak peka kepada realiti semasa.

3. Kos pendidikan percuma yang tidak diambil kira oleh Rafizi  :

i. Rafizi mengambil kira kos universiti swasta seperti Kampus Universiti Monash yang berjumlah RM200 juta dan tidak mengambil kira kos pembinaan universiti penuh atau IPTA. Ini adalah kerana ia tidak mengambil kos untuk post graduate study dan sebagainya yang berjumlah RM2 billion.

ii. Selain itu, Rafizi tidak mengambil kira kos operasi perjalanan sesebuah universiti contohnya USM yang berjumlah RM746 juta pada tahun 2011 dan RM568 juta. Berdasarkan purata ini, ini bermakna kos perbelanjaan untuk 10 universiti baru cadangan PR adalah berjumlah RM31 billion untuk tempoh 10 tahun.

iii. Untuk menampung yuran IPTS, PR mencadangkan untuk memberi subsidi kepada IPTS supaya yurannya sama dengan yuran yang ditawarkan oleh IPTA. Daripada 1.4 juta pelajar IPTS, 1.5% ambil perubatan, 13.4% mengambil kejuruteraan dan 85.1% mengambil kursus-kursus lain. Daripada ini, subsidi sebanyak RM36 billion diperlukan.

Ini menunjukkan angka yang ditunjukkan Rafizi berjumlah hanya RM5 billion untuk pendidikan percuma di mana ia adalah lebih rendah di mana jumlah sebenarnya ialah RM18 billion.

4. Kalau tak nak buat 1,000 dalih: Memberi pendidikan percuma bagi Koleh Universiti @ Universiti di negeri Pakatan Rakyat. Rafizi menyatakan bahawa dia di bawah kuasa persekutuan dan mewarisi dari kerajaan BN terdahulu. Rafizi terus menyalahkan Kerajaan BN yang menyebabkan kos universiti naik disebabkan konsensi diterima oleh adun BN bagi membangunkan Kolej Universiti. Ia menunjukkan pembangkang tidak dapat menunjukkan kuasa sebagai kerajaan negeri bagi membatalkan kontrak kecil untuk mengekang kos Kolej Universiti terus naik. Bagaimana pula dengan janji-janji dalam Buku Jingga yang akan membatalkan kontrak-kontrak besar dalam masa sehari sekiranya dapat menawan Persekutuan?

5. Pendidikan adalah pelaburan : Rafizi mengungkapkan bahawa Haji Hadi adalah lebih tegas dalam isu ini kerana menyatakan pendidikan merupakan pelaburan yang diungkapkan oleh Ibnu Khaldun dan perlu diberikan oleh kerajaan. Tetapi pelaburan pendidikan yang baik perlu dilaksanan oleh kedua-dua pihak iaitu pihak kerajaan dan pelajar supaya ada tanggungjawab bersama. Di mana subsidi kerajaan adalah 80% dan pelajar adalah 20% melalui PTPTN.

6. Rafizi menyatakan IPTS yang paling untung mengaut keuntungan dari pinjaman PTPTN bermula 2005 kerana pendidikan diperniagakan. Sebenarnya, yuran IPTS adalah lebih tinggi kerana yurannya adalah lebih mahal daripada IPTA kerana IPTA masih disubsidikan oleh kerajaan supaya ada tanggungjawab bersama dengan pelajar. Pada 2011, secara kasarnya IPTS mendapat RM2.7 billion dan IPTA mendapat RM2.2 billion. Tetapi jumlah pelajar IPTA ialah 123,000 dan IPTS ialah 76,000 sahaja iaitu hampir separuh. Selain itu, IPTS juga dipantau supaya ia mengikut piawaian dan sepanjang 2007-2011 tidak kurang 100 IPTS yang dibatalkan pendaftarannya di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Jelas, tuduhan Rafizi tidak berasas sama sekali.

7. Tiada pendidikan alternatif untuk pelajar yang tercicir pelajaran. Ini adalah pelajar di ipts di rumah kedai yang tidak berpeluang untuk mendapat kerja. Pembangkang bercadang menggabungkan ipts sedia ada supaya ada 10 universiti swasta supaya bekerjasama antara satu sama lain dengan kursus berlainan. Tetapi tiada cadangan peruntukan untuk pelajar tercicir ini di IPTA ataupun aliran alternatif seperti vokasional dan lain-lain lagi.

8. Ketidakyakinan ekonomi Rafizi : Dari 1997 Sehingga 2011, hutang PTPTN ialah RM43 billion dengan jumlah yang dikutip ialah RM3 billion. Dengan kenaikan jumlah pinjaman 11% untuk IPTA dan 17% untuk IPTS sehingga 2020, maka ptptn meluluskan pinjaman sebanyak RM177 billion dengan RM24 billion setahun, Rafizi bimbang sekiranya kadar kutipan terlalu rendah dan negara menanggung hutang yang besar. Dan keadaan ini sama dengan Amerika Syarikat di mana negara akan muflis dengan hutang RM177 billion pada tahun 2020. Ini menunjukkan pembangkang hanya ingin supaya hutang-hutang lama hanya perlu dihapus kira dan bukannya perlu dibayar dengan tiada keyakinan ekonomi untuk naik. Amerika sebenarnya tidak melaksanakan pemansuhan hutang pendidikan tetapi menurunkan kadar faedah.

9. Sekiranya yakin dengan pertumbuhan dengan ekonomi, mahasiswa boleh membayar hutang2 mereka dan hutang pendidikan tidak perlu dihapuskira. Kerajaan yakin dengan transformasi ekonomi menyediakan 3.5 pekerjaan baru dalam sektor pendapatan tinggi dengan KDNK USD15,000 per kapita dengan pendapatan minimum RM900 dan mahasiswa boleh membayar hutang pinjaman mereka. Sekiranya tidak yakin dengan ekonomi, hutang PTPTN perlu dihapuskira.

10. Pendidikan pra sekolah di Selangor di bawah pakatan pembangkang masih belum ditunaikan sejak 4 tahun lepas. Apakah boleh memberikan pendidikan percuma kepada IPTA dengan janji manis?

Dapat dilihat bahawa Rafizi hanya menjanjikan bulan dan bintang untuk memberikan pinjaman percuma kepada golongan muda. Saya sokong sekiranya pinjaman PTPTN dihapuskan tetapi ia biarlah realistik dan berpijak kepada bumi yang nyata dan bukannya semata-mata untuk meraih undi bagi menghadapi PRU-13. 

Sekian, terima kasih.


Sunday, June 3, 2012

Jika Tiada Duit, Buat Sahaja Cara Tiada Duit


Jika tiada duit, buat sahaja cara tiada duit. Idea ini datang secara spontan apabila saya melihat ramai orang sekeliling saya sekarang dilanda demam Samsung. Bukan virus jenis Samsung atau penyakit Samsung tetapi dilanda wabak memakai telefon bimbit Samsung. Dari harga serendah RM100 sehinggalah harga melebihi RM2,000. Saya tidak faham mengapa orang sanggup membeli sehingga harga tertinggi bagi menunjukkan telefon bimbitnya paling canggih atau paling menawan. Memakai telefon bimbit dengan harga tertinggi akan menjadi juara. Saya masih ingat lagi pada tahun lepas iaitu tahun 2011 di mana dilanda dengan telefon bimbit Apple. Bagaimana dengan telefon Apple sekarang? Ia mungkin sudah menjadi basi dek kerana dengan kemunculan telefon terkini dari syarikat pengeluar Samsung. Manakala telefon bimbit keluaran Samsung mungkin akan menjadi basi pada tahun hadapan kerana akan keluar pula model telefon bimbit terbaru.

Jika anda menggunakan telefon bimbit RM2,000 sekalipun, bilnya tetap sama dengan telefon bimbit yang berharga RM100.

Jika anda memakai jam tangan berharga RM2,000 sekalipun, jumlah masanya tetap 24 jam sehari dan anda tidak akan mendapat 25 jam mahupun 26 jam sehari.

Jika anda menandatangani cek atau surat dengan pen berharga RM1.30 sebatang, ianya tetap sah dan masih boleh digunakan.

Menurut ahli psikologi, orang yang merasakan dirinya mahal, dia tidak memerlukan perkakas yang mahal untuk memagari dirinya manakala orang yang merasakan dirinya murah memerlukan perkakas yang berharga untuk menghiasi dirinya. Saya fikir kata-kata ini ada benarnya. Saya melihat orang yang mempunyai banyak wang biasanya hidup dalam keadaan yang sederhana ataupun low profile. Berbanding pula dengan orang yang tiada wang yang kebiasaannya ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain bahawasanya dia ini mempunyai banyak wang walaupun hutang masih banyak di keliling pinggang.

Apa yang lebih penting kita perlu pandai dalam menguruskan kewangan hidup kita. Utamakan yang utama dan ketepikan perkara yang tidak utama. Kita perlu menyemak ataupu menganalisis perbelanjaan kita dari semasa ke semasa. Semak semula sama ada terdapat kebocoran wang kita apabila dibelanjakan kepada perkara tidak mustahak.

Semak juga sama ada kita membuat hutang yang perlu ataupun tidak perlu yang akan membuatkan kita penat membayar hutang dari bulan ke bulan sehingga habis tempoh pembayaran. Saya baru sahaja bertemu dengan waris saya yang bekerja di Bank Rakyat pada petang tadi. Beliau menyatakan bahawa cawangannya telah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM30 juta iaitu mencapai sasaran 200% dari sasaran asal iaitu RM15 juta sebulan untuk bulai Mei 2012. Ini adalah disebabkan kerana kakitangan kerajaan baru sahaja mendapat kenaikan gaji tahunan yang baru. Pastikan hutang yang dibuat itu adalah hutang yang baik dan bukannya hutang yang tidak baik yang membuatkan kita semakin lama semakin miskin.

Apa yang lebih penting hiduplah dengan batas kemampuan kita. Orang sekeliling kita sentiasa memerhatikan kita. Apa yang lebih penting, tambahkan pendapatan kita dari tahun ke tahun tetapi kekalkan gaya hidup lama.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

Friday, June 1, 2012

Dengki : Sifat Buruk Orang Melayu


Kata orang kalau orang cina kalau tidak menipu memang tidak sah.

Kata orang kalau orang india kalau tidak mabuk memang tidak sah.

Kata orang kalau orang melayu kalau tidak dengki memang tidak sah.

Pada kali ini saya ingin menyebut mengenai sifat buruk orang melayu iaitu sifat hasad dengki yang menjadi sifat buruk orang melayu. Saya ingin berkongsi cerita mengenai perkara yang terjadi ke atas waris saya yang memulakan perniagaan kedai runcit. Saya masih ingat lagi apabila beliau membuat kenduri doa selamat sewaktu mula-mula ingin membuka kedai runcitnya di Dungun dan saya menghadiri kenduri tersebut. Kedai runcit tersebut bukanlah sekampung dengan saya tetapi hanya kampung bersebelahan.

Tidak lama selepas kedai tersebut mula dibuka, jiran sekampung dengan saya pergi membeli ke kedai tersebut dan jiran saya mendapati kedai runcit beliau tertutup. Selang beberapa hari kemudian, jiran saya berjumpa dengan tuan kedai tersebut (waris saya) dan mengatakan bahawa kedainya tutup. Sebaliknya, waris saya menyatakan bahawa beliau nampak jiran saya turun dari van dan melambai-lambai tangan ke arah jiran saya tersebut dan dia seolah-olah tidak nampak orang melambai tangan ke arahnya

Aneh tetapi benar. Selepas itu, mereka bertanya kepada seorang ustaz. Ustaz tersebut menyatakan bahawa ada orang yang menanam abu kubur cina di hadapan kedai tersebut dan sebab itu perkara tersebut terjadi. 

Inilah sikap hasad dengki orang melayu yang buruk lagi hina. Jika kita saling dengki-mendengki antara satu sama lain sampai bila kita boleh maju dalam bidang ekonomi? Fikir-fikirkanlah.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad