Thursday, February 17, 2022

Apabila Media Massa Hanya Mengesahkan Berita WhatsApp

Pada hari ini, maklumat sekarang sudah berada di hujung jari. Sekarang ini bukan lagi zaman 1990-an di mana masyarakat akan tunggu di depan kaca televisyen untuk menyaksi dan mengetahui berita-berita terkini pada jam 8.00 malam melalui warta berita.

Kini, masyarakat pula lebih cepat mengetahui peristiwa-peristiwa yang terjadi sebelum pemberita melaporkan sesuatu berita. Info yang tersebar di seluruh masyarakat sekarang lebih cepat tersebar malah mungkin sesuatu berita dapat disebarkan di seluruh negara dalam masa kurang daripada satu jam melalui aplikasi apa yang dinamakan sebagai WhatsApp.

Apabila WhatsApp sudah mengambil peranan warta berita, maka warta berita sekarang sekadar mengesahkan sahaja berita ataupun mungkin cerita yang disebarkan melalui WhatsApp. Peranan wartawan sekarang mungkin dipermudahkan kerana mereka hanya mencari individu yang mula-mula menyebarkan WhatsApp tersebut.

Saya masih teringat di dalam buku Allayarham Tan Sri Zainuddin Maidin di dalam bukunya “Di Depan Api Di Belakang Duri” di mana beliau menceritakan wartawan-wartawan setiap syarikat akhbar akan berlumba-lumba untuk mendapatkan berita panas pada hari ini untuk dijadikan berita utama untuk keluaran akhbar mereka untuk keesokan pada harinya supaya akhbar syarikat masing-masing laris dijual. Ada wartawan yang membaca akhbar-akhbar lain melalui surat pembaca untuk mencari isu-isu yang baru panas untuk dijadikan berita utama. Peranan ini mungkin dapat diketepikan dengan wujudnya aplikasi WhatsApp pada hari ini.

Kelebihan aplikasi WhatsApp ini menyebabkan sesuatu berita tidak dapat dimanipulasi lagi oleh media massa untuk menceritakan sesuatu yang tidak benar kepada masyarakat. Pun begitu, ada juga individu-individu yang tidak bertanggungjawab yang menyunting gambar-gambar buletin utama menjadi berita tidak benar ataupun menjadi berita palsu dan kemudian disebarkan melalui aplikasi WhatsApp. Ini tidak lebih daripada menjadi fitnah dalam masyarakat.

Jika Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin mengatakan, “Wartawan merupakan saksi sejarah.” Maka pada hari ini masyarakat awam sekarang sudah boleh menjadi wartawan tidak rasmi kerana mereka sendiri yang menyaksikan sesuatu peristiwa yang berlaku di hadapan mereka. Dengan merakam video hanya beberapa saat, ianya dapat disebarkan ke seluruh negara dalam masa yang sekejap sahaja. Mereka boleh mengesahkan berita apabila dihubungi oleh mana-mana pemberita.

Walau bagaimanapun, saya fikir buletin-buletin utama masih diperlukan untuk disediakan kepada masyarakat. Media-media massa ini masih diperlukan sebagai alat propaganda kerajaan untuk menyampaikan sesuatu isu kepada masyarakat dan bukannya sebagai dakyah untuk mencapai matlamat politik.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, February 15, 2022

Ledakan Media Sosial Facebook: Setiap Sesuatu Ada Awal dan Akhirnya

Teringat saya suatu ketika dahulu sekitar tahun 2006 – 2007, ramai kawan-kawan saya menggunakan frienster sebagai platform media sosial sebelum ramai orang beralih kepada Facebook. Saya mula menggunakan Facebook setelah diperkenalkan oleh rakan sekolah saya pada tahun 2007 untuk mudah berhubung. Tidak lama selepas itu Facebook menjadi trend utama yang digunakan oleh mana-mana penggiat media sosial.

Saya fikir tanda salah satu kewujudan Tuhan ialah setiap sesuatu ada awal dan akhirnya. Saya fikir, bilakah trend penggunaan Facebook ini akan berakhir? Jika Facebook boleh mengambil alih peranan Friendster maka tidak mustahil suatu hari nanti ada platform media sosial yang lain akan mengambil peranan Facebook.

Mark Zuckerberg sebenarnya mengambil idea kawannya iaitu Winklevoss bersaudara untuk membina sosial media pada tahun 2004. Walaupun dibawa ke mahkamah, Winklevoss gagal kerana idea ini sebenarnya masih belum dipatenkan.

Kini pada tahun 2022, pemilik Facebook iaitu Mark Zuckerberg mengalami kerugian sebanyak RM100 bilion dalam masa sehari dan ini merupakan antara kerugian yang pernah dicatat dalam sejarah tamadun manusia. Ini adalah disebabkan oleh tiada pertumbuhan pengguna Facebook pada suku keempat 2021 berbanding tempoh sebelumnya di mana Facebook kehilangan 500 juta pengguna aktif harian. Tambahan pula Apple mengehadkan pengiklanan untuk Facebook.

Pada hari ini, masyarakat di seluruh dunia beralih kepada penggunaan TikTok di mana generasi muda mula beralih kepada platform ini berbanding Facebook yang digemari oleh golongan tua yang akan membantutkan pengguna muda pada masa hadapan.

Walaupun Mark Zuckerberg pernah berkata, “Pada zaman sekarang, jalan yang pasti gagal adalah tidak berani mengambil risiko.” Akan tetapi, saya percaya bahawa lambat-laut Facebook akan terkubur pada suatu hari nanti.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Friday, February 11, 2022

Membaca Buku Satu Genre Sahaja atau Banyak Genre?

Adakah anda memang minat membaca? Bagaimana pula dengan pembacaan anda? Adakah pembacaan anda tertumpu satu genre atau banyak genre?

Jika kita peruntukkan satu jam setiap hari untuk sesuatu genre sahaja selama 5 tahun berturut-turut, maka kita akan pakar dalam bidang tersebut.

Lihat sahaja pakar-pakar yang ada dalam media sosial khususnya Facebook, saya dapati bukanlah mereka mempunyai kelulusan yang diiktiraf ataupun mempunyai sijil profesional dalam sesuatu bidang. Akan tetapi, mereka sentiasa mengemas kini profil mereka pada setiap hari dengan membuat posting yang tertumpu kepada sesuatu bidang sahaja.

Jika page Facebook itu tertumpu kepada sesuatu emas, maka posting page itu akan berkisar mengenai emas sahaja. Kadang-kadang posting emas itu dikitar semula berkali-kali dengan membuat ayat yang berlainan dengan poin yang sama sahaja supaya ianya nampak segar untuk menarik orang singgah ke page mereka. Lama-kelamaan bilangan follower ramai sampai berpuluh-puluh ribu. Apabila sesuatu produk dijual di page mereka, maka produk tersebut akan meletup-letup kabommm...

Bagi saya otak kita ini ibarat jag air – perlu buat satu jenis air sahaja. Tidak boleh campur-campur. Nanti otak bercelaru. Apatah lagi jika kita ini sebenarnya adalah bekerja makan gaji yang terikat jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Oleh itu, tumpulah pada satu genre sahaja supaya kita mahir dalam satu bidang tertentu. Kita mungkin tidak bersedia untuk berhenti bekerja makan gaji sekarang. Akan tetapi, dalam masa yang sama kita boleh mengasah bakat kita dalam bidang-bidang tertentu sehingga diri kita ini mahir pada suatu hari nanti.

Pendek kata, kita tentukan sendiri hala tuju atau matlamat hidup kita. Apakah bidang apakah yang ingin terjun atau kita ceburi. Kemudian, terjunlah dalam bidang ilmu itu dengan pembacaan.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, January 23, 2022

Berdamping dengan al-Quran dan Orang-Orang yang Beragama

Hidup kita ini sebenarnya adalah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Dalam pada itu, dalam melayari bahtera kehidupan ini ianya perlu berpandukan kepada 2 perkara iaitu al-Quran dan Sunnah.

Dalam melayari kehidupan kita sehari-hari, kita haruslah sentiasa berdamping dengan al-Quran. Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradawi, al-Quran yang dibaca pada setiap hari akan mempengaruhi diri kita. Akhlak dan pemikiran kita akan terikut dengan al-Quran. Dengan kata lain, al-Quran akan mencorakkan kehidupan kita sekiranya kita membacanya pada setiap hari.

Selain itu, al-Quran adalah cahaya dan mempunyai roh. Secara automatiknya, al-Quran akan memberi kesan besar apabila kita sentiasa berdamping dengannya. Al-Quran akan memberi nyawa kepada kehidupan seseorang manusia lalu dia boleh berjalan dalam keadaan terang lagi nyata.

Seterusnya, kita harus pandai memilih dengan siapa kita harus berkawan dan hendak dampingi. Sepertimana dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap”.

Daripada hadis ini dapat kita fahami bahawa apabila kita berkawan dengan penjual minyak wangi, tempias bau wanginya akan melekat pada kita sekalipun kita tidak membelinya. Begitu juga apabila kita berkawan dengan pembakar besi di mana walaupun kita tidak membakar besi, bahangnya tetap kita rasai.

Baiklah, cuba kita perhatikan rakan-rakan sekeliling kita sekarang, siapakah kawan kita sekarang? Adakah rakan-rakan kita adalah seorang jenis suka ride? Ada baiknya kita berdamping dengan orang-orang yang beragama kerana apabila kita terdapat permasalahan agama, kita boleh merujuk mereka. Selain itu, mereka juga boleh menjadi cermin kepada kita apabila kita melakukan kesalahan.

Begitulah dalam kehidupan ini. Hidup ini perlu ada pedoman supaya kita selamat di dunia dan di akhirat.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, January 9, 2022

Ulasan Buku: Seni Berfikir Yang Hilang

 


Mungkin sebagai pembaca kita sudah sinonim dengan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang banyak menulis buku-buku bersirinya khususnya mengenai travelog beliau yang banyak berkelana di rantau orang.

Sebelum ini saya telah membeli buku-buku tulisan beliau seperti Secangkir Teh Pengubat Letih, Rindu Bau Pohon Tin, Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu, dan Menalar Makna Diri. Tidak dinafikan tulisan Ustaz Hasrizal menyebabkan saya tenggelam dalam pembacaan saya dari satu muka surat ke satu muka surat yang lain sehingga kulit belakang buku beliau. Buku-bukunya tidak membuatkan saya berhenti di tengah-tengah jalan pembacaan disebabkan rasa jemu. Buku-buku tulisan beliau sebenarnya tidak menghampakan. Seolah-olah beliau sememangnya dilahirkan untuk menjadi penulis.

Buku terbaru yang saya baru selesai baca buku tulisan Ustaz Hasrizal ialah Seni Berfikir Yang Hilang. Pada mulanya, saya hanya membelek-belek buku ini dan membaca beberapa perenggan sahaja di kedai buku. Dan ternyata buku ini memang best sehingga saya berjaya mengkhatamkannya. Ditambah pula buku ini diulang-cetak sebanyak lapan kali dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2021.

Buku ini sebenarnya adalah kupasan kepada buku tulisan Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang bertajuk Thaqafah al-Da’iyah. Dengan kata lain, buku ini sebenarnya menjadi pemudah cara kepada sesiapa yang ingin membaca buku asal Thaqafah al-Da’iyah iaitu keperluan yang wajib diketahui oleh seseorang pendakwah.

Sebenarnya, terdapat enam cabang ilmu yang perlu dikuasai oleh para pendakwah yang digariskan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradawi iaitu ilmu agama, sejarah, sastera dan bahasa, kemanusiaan, sains, dan hal ehwal semasa.

Dalam cabang ilmu agama, seseorang pendakwah perlu selalu berdamping dengan al-Quran di samping perlu membaca al-Quran dengan tajwid yang betul. Sebenarnya, al-Quran yang dibaca pada setiap akan mempengaruhi diri kita. Akhlak dan pemikiran kita akan terikut dengan cara al-Quran. Al-Quran akan mencorakkan segala-galanya dalam kehidupan. Sebenarnya, al-Quran mempunyai cahaya dan roh yang akan memberi kesan besar kepada kita apabila kita sentiasa berdamping dengannya. Selain itu, umur yang digalakkan untuk menghafal al-Quran menurut Ustaz Hasrizal ialah kanak-kanak yang belum mencapai akil baligh iaitu sekitar umur 11 hingga 13 tahun.

Untuk membuktikan mukjizat al-Quran daripada aspek sains adalah sukar kerana sains memerlukan bukti empirikal dan berdasarkan penelitian. Ditambah pula ilmu sains sentiasa berubah-ubah mengikut penemuan terkini.

Sheikh Yusuf al-Qaradawi juga menyebutkan perbezaan antara illah, sebab, dan hikmah. Tiga perkara ini sebenarnya membawa tiga perkara yang berbeza. Contohnya ialah menutup aurat. Kita tidak boleh mengatakan bahawa golongan wanita perlu menutup aurat untuk mengelak daripada dirogol kerana ini adalah hikmah apabila seseorang wanita itu menutup aurat. Seseorang wanita muslim wajib menutup aurat kerana perintah Allah s.w.t. dan bukannya untuk mengelak daripada dirogol.

Bagi cabang ilmu sejarah juga, ianya perlu dikuasai oleh para pendakwah kerana sejarah menjadi bukti paling nyata kepada intipati seruan beragama. Ini adalah penting apabila kita berdebat dengan orang yang anti al-Quran ataupun hadis. Sejarah juga membantu kita untuk memahami pemikiran, aliran, mazhab, ideologi, dan falsafah.

Sebenarnya berlaku perbezaan cara berfikir antara pelajar sains sosial dan sains tulen. Masalah yang akan timbul ialah apabila para pelajar ini menyertai gerakan-gerakan Islam. Pelajar-pelajar sains sosial ialah orang yang mengkritik ideologi, menganalisa, dan mengemaskini. Berbeza dengan pelajar-pelajar sains tulen kerana pemikiran mereka tidak biasa mengkritik teori tetapi lebih kepada aplikasi. Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradawi, jalan penyelesaian bagi permasalahan ini ialah dengan mempelajari sejarah.

Di dalam buku tulisan Olivier Roy yang bertajuk The Failure of Political Islam, beliau menjelaskan salah satu faktor yang menyebabkan kegagalan gerakan Islam seperti di Morocco, Algeria, Turki mahupun di Malaysia adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar kejuruteraan. Mereka ini tidak mampu untuk memberdayakan gerakan Islam. Idea-idea perjuangan negara dan politik Islam oleh pelajar kejuruteraan ini tidak diterima oleh pelajar-pelajar jurusan sains sosial yang mempelajari falsafah, sejarah, sains politik dan yang seangkatan dengannya.

Di dalam kita memahami cabang ilmu bidang sejarah, kita seharusnya memahami bagaimana waqaf itu dilaksanakan sepertimana di era Daulah Uthmaniyah. Sebenarnya, satu pertiga ekonomi Daulah Uthmaniyah terdiri daripada hasil waqaf. Apabila kerajaan ingin melaksanakan sesuatu projek, kerajaan akan melobi rakyat termasuk sultan untuk mengeluarkan harta mereka. Contohnya, Sultan Murad II mengeluarkan sendiri hartanya untuk membina jambatan Uzunkopru di Sungai Ergene. Bahkan bandar baru dibuka selepas jambatan dibina untuk menghapuskan rompakan yang berlaku.

Hakikatnya berbeza apabila wakaf dilaksanakan untuk membina Sekolah Tahfiz contohnya di Malaysia. Walaupun dapat mengumpul sebanyak RM800,000 untuk membina Sekolah Tahfiz, tetapi ianya hanya mengumpul untuk membina Sekolah Tahfiz sahaja dan tidak memikirkan bagaimana untuk menampung kos operasi selepas itu. Dan akhirnya wujud banyak masalah selepas itu.

Begitu juga dengan caravanserai paling terkenal yang masih wujud sehingga hari ini iaitu Caravanserai Jalaluddin Karatay di Kayseri yang telah dibina 1240 masihi yang disediakan untuk para pedagang yang melalui Laluan Sutera dari Beijing ke Istanbul. Pembinaan Caravanserai ini adalah menunjukkan penduduk pada zaman ini ingin menyahut seruan hadis Nabi Muhammad s.a.w. untuk memuliakan tetamu mereka.

Penulis juga menyebut teori evolusi Charles Darwin yang menyatakan bahawa manusia sebenarnya berasal daripada kera. Dr. Zakir Naik pernah menyatakan bahawa sehingga hari ini orang mengatakan ini adalah ‘teori Darwin’ dan bukannya ‘fakta Darwin’ kerana terdapat rantaian yang terputus dalam kajian Charles Darwin ini. Sebenarnya teori evolusi ini telah dimulakan oleh orang Islam sendiri iaitu Ibn Miskawayh yang hidup pada 930-1030M berbanding Charles Darwin yang hidup pada 1809-1882M.

Para pendakwah juga perlu menguasai ilmu sastera dan bahasa. Sebenarnya tulisan kita menggambarkan apa yang ada dalam akal fikiran kita. Sekiranya seseorang itu sering mencarut, maka menjadi sukarlah tulisan seseorang itu menjadi lunak dan indah. Yang terkeluar pada tulisan ialah carutan kerana ia refleksi kepada apa yang berada dalam akal fikiran.

Selain itu, ilmu kemanusiaan juga perlu dikuasai oleh seseorang pendakwah. Orang dakwah sebenarnya ialah orang iklan. Maka ia tidak dapat lari daripada ilmu psikologi bagi memasarkan Islam itu sendiri.

Penulis juga mengkritik sistem pendidikan pada hari ini yang tidak sesuai dengan aras pelajar. Contohnya anak penulis sendiri yang berada di darjah 1 ditanya mengenai makna perkataan sirah sedangkan penulis sendiri mempelajari makna perkataan sirah itu pada tahun 1 di universiti di Jordan.

Di dalam ilmu sains, para pendakwah perlu memahami hakikat sunnahtullah dan syariatullah. Contohnya mudah sahaja, orang bukan Islam akan memetik hasil buah sekiranya pokok tersebut ditanam dengan betul berbanding dengan orang Islam sendiri yang salah untuk bercucuk tanam kerana orang bukan Islam tersebut mengikut syariatullah.

Baiklah, setakat ini sahaja dulu mengenai ulasan buku Seni Berfikir Yang Hilang. Mungkin yang menarik sahaja yang saya fikir saya nukilkan di sini. Selebihnya, saudara-saudari boleh membelinya sendiri di kedai untuk membacanya.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, January 4, 2022

Orang Cina Ramai 1st Class, Orang Melayu Ramai PhD

Apabila dilihat trend pelajar-pelajar di universiti mengikut bangsa khususnya pelajar Cina dan Melayu, dapat dilihat bahawa pelajar-pelajar mengikut bangsa ini mempunyai kelebihan masing-masing.

Jika dilihat di peringkat ijazah, ramai pelajar-pelajar Cina mendapat ijazah 1st class. Untuk peringkat PhD pula kebiasaannya ianya terdiri daripada pelajar-pelajar Melayu.

Sewaktu peringkat Ijazah Sarjana Muda dahulu, ketika para pelajar perlu mengambil kursus tahun akhir sewaktu saya belajar dahulu, saya dapati bahawa pelajar-pelajar Melayu lebih laju berbanding dengan pelajar Cina sewaktu menyiapkan projek tahun akhir. Mereka (pelajar Cina) mungkin lebih cemerlang ketika menjawab soalan peperiksaan. 

Saya teringat sewaktu pergi kursus yang dianjurkan oleh pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) sekitar tahun 2004. Ada pelajar USM yang menyatakan bahawa sekiranya orang Melayu dan Cina tinggal keseorangan di dalam hutan, maka orang Melayu tersebut boleh terus hidup di dalam hutan berbanding dengan orang Cina.

Ini kerana orang Melayu lebih mempunyai sifat independent berbanding dengan orang Cina. Sifat yang dimiliki oleh orang Melayu ini sebenarnya menyebabkan ramai orang Melayu melanjutkan pengajian di peringkat ijazah tinggi walaupun pointer mereka sebenarnya adalah cukup-cukup makan sahaja sewaktu di peringkat Ijazah Sarjana Muda. 

Dapat disimpulkan bahawa setiap pelajar mengikut bangsa ini sebenarnya mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

Wallhua’lam.

Tuesday, December 28, 2021

Buat-Buat Minat Tidak Membawa Kita Ke Mana

Kadang-kadang kita mudah terpengaruh dengan orang-orang di sekeliling kita untuk membuat sesuatu.

Teringat lagi semasa saya bersekolah dahulu dan tinggal di asrama. Kononnya, untuk kita dilihat aktif dan sering bersukan sewaktu tinggal di asrama, saya mengikut kawan-kawan saya untuk bermain bola di waktu petang walaupun saya tahu saya sebenarnya tidak begitu minat untuk bersukan dan hanya buat-buat minat sahaja supaya kelihatan orang yang aktif. Namun, buat-buat minat hanya tinggal buat-buat minat sahaja untuk bermain bola pada setiap petang. Saya sebenarnya tidak berminat untuk bermain bola sepak pada waktu petang. Selepas itu, saya lupakan sahaja pasal bola.

Apabila rakan-rakan sepejabat cuba bersembang dengan saya mengenai bola apabila ada perlawanan Liga Inggeris contohnya saya berterus-terang sahaja dengan mereka, “Saya tak minat bola.” Setelah itu, kami akan bersembang mengenai tajuk-tajuk lain. Biarlah bola itu ditendang ke sana ke mari dan ditonton oleh para peminat bola di dalam stadium.

Apabila telah dewasa dan mempunyai pekerjaan yang tetap, saya terikut-ikut pula orang lain kononnya boleh menambahkan pendapatan sampingan. Contohnya, apabila orang mengatakan bahawa menulis novel itu sebenarnya laris dan menjana keuntungan lumayan, saya cuba untuk menulis novel dan sedikit-sebanyak membeli novel di pasaran untuk memahami gaya penulisan novel. Akhirnya saya dapati diri saya sebenarnya tiada bakat untuk menulis novel atau cerita-cerita fiksyen ini. Buat-buat minat saya ini sebenarnya membazir masa dan tenaga sahaja apatah lagi membakar duit sahaja.

Timbul pula minat saya untuk menjual buku secara online kerana terdapat juga saya membeli buku-buku yang menarik secara online melalui pengedar-pengedar buku. Saya cuba untuk menjadi seperti mereka menjual buku secara online. Apabila telah membeli buku daripada syarikat-syarikat penerbitan dengan diskaun tertentu dan sampai ke tangan, saya merasakan bahawa menjual buku secara online ini adalah membuang masa sahaja. Lagipun saya pun malas hendak pergi ke pejabat pos hendak pos buku-buku tempahan. Baik saya lupakan sahaja hasrat saya itu untuk menjual buku secara online.

Apabila saya merenung-renungkan diri saya ini, apa minat saya sebenarnya? Saya fikir saya sebenarnya minat membaca bacaan berat atau ilmiah dan jauh sekali untuk membaca buku-buku fiksyen. Begitu juga dengan buku-buku fiksyen agama. Walaupun sambutan buku-buku kategori memang mendapat sambutan ramai tetapi maaf – saya tidak berminat dengan buku ini. Membaca buku-buku kategori jenis ini mungkin hanya membuang masa saya sahaja.

Saya pernah berWhatsApp dengan seorang penjual buku sejarah dan bertanya kepada beliau bagaimana dengan jualan buku-buku beliau. Maklumlah orang-orang Malaysia ini suka membaca buku-buku ringan seperti novel dan sebagainya. Beliau hanya menjawab, “Berserah kepada qada’ dan qadar Allah s.w.t.” Saya begitu teruja dengan semangat beliau untuk menjual buku-buku ilmiah kepada masyarakat. Tentu ada sesuatu yang lebih bernilai di mata pekedai ini berbanding dengan keuntungan semata-mata.

Dalam kehidupan kita ini sebenarnya kita harus membuat perkara-perkara yang kita minat dan kita tahu. Benda kita tidak tahu sebenarnya boleh dipelajari dengan sesiapa yang ahlinya. Lama-kelamaan kita akan arif dalam bidang yang kita ceburi.

Wallahua’lam.