Monday, October 28, 2019

Selesai Membuat Candidature Defence (CD) Untuk Ijazah Sarjana Sejarah Malaysia


Pembentangan Seminar Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia (MKM)

Alhamdullilah, saya telah selesai membuat Candidature Defence (CD) (atau viva) untuk Ijazah Sarjana Sejarah Malaysia di Universiti Malaya pada 18 September 2019 yang lepas. Dan dengan ini secara tidak rasminya, saya telah selesai memenuhi syarat-syarat untuk memperolehi Ijazah Sarjana Sejarah Malaysia di Universiti Malaya setelah berhempas-pulas sejak September 2017 yang lalu.

Kiranya saya mengambil masa 5 semester jugalah untuk menghabiskan master sejarah Malaysia ini. Itu pun dah kira cepat sebab saya membuat viva pada awal semester ini (semester 5). Paling cepat kursus ini orang habiskan ialah selama 3 semester. Dan paling lama ialah tak habis-habis kerana had untuk menghabiskan master ini ialah selama 10 semester atau 5 tahun sahaja (termasuk kelas 1 tahun atau 2 semester) dan akhirnya tempoh pencalonan master ditamatkan begitu sahaja.

Memang diakui bahawa ramai yang sangkut atau kantoi membuat master sejarah malaysia ini kerana tidak dapat menyiapkan tesis dalam tempoh selama 8 semester yang diberikan. Sebenarnya, jika ingin membuat tesis kita perlu mengetahui sumber apa yang mudah untuk dicari ataupun orang masih belum gunakan. Perkara ini kita boleh buat dengan membuat penyelidikan di Arkib Negara dan bandingkan kertas-kertas kerja atau kajian orang yang telah buat. Saya yakin masih banyak bidang belum orang terokai dan disiplin ilmu sejarah ini adalah amat-amat luas untuk dibuat kajian. 

Berbalik kepada tadi iaitu bagaimana untuk menghabiskan master sejarah malaysia ini dalam tempoh 3 semester. Caranya mudah sahaja iaitu anda perlu mulakan kajian tesis anda sejak semester pertama lagi. Memang diakui cara ini adalah sukar untuk dilakukan kerana ditambah lagi dengan assignment kelas yang pensyarah berikan. Jika anda membuat master ini secara full time, saya percaya anda boleh siapkan dalam masa 3 semester. 

Kepada Anda yang masih berminat untuk mengambil master sejarah malaysia di Universiti Malaya ini, cepat-cepatlah mendaftar di universiti ini secara online. Kemasukannya adalah terbuka kepada sesiapa sahaja walaupun ijazah pertama anda ialah bukan bidang sejarah malah ijazah pertama dalam bidang sains sekalipun macam saya boleh menyambung master sejarah ini di Universiti Malaya. Gunakan peluang sementara masih ada untuk menyambung pelajaran anda.

Wallhua’lam.

Saturday, October 19, 2019

Mutiara Kata



Perancangan dan dasar kerajaan British di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua bergantung kepada dua situasi yang saling mempengaruhi antara lain. Satu ialah perkembangan semangat kebangsaan yang sedang berlaku di seluruh dunia bukan sahaja di Asia, namun ia juga berlaku di Afrika. Kedua, kejatuhan empayar Othmaniah, memberi kesan terhadap kebangkitan semangat kebangsaan di Asia Barat sekaligus ia juga mempengaruhi perkembangan semangat kebangsaan di Asia Selatan dan Asia Tenggara serta Asia Timur. Perkembangan yang berlaku telah mempengaruhi kegiatan semangat kebangsaan daripada golongan penduduk tempatan dan ahli pemikiran Islam yang berpengaruh kuat di kalangan penduduk yang berpegang kuat kepada ajaran dan sistem pendidikan pondok.” 

Mohd bin Samsudin, Persekutuan Malaysia 1961-1966: Penubuhan dan Cabaran.

Friday, October 4, 2019

2 mm Pun Boleh Mengubah Cara Hidup Kita



Pada hari ini, Anthony Robbins merupakan jurulatih motivasi termahal di dunia. Harga bayaran untuk mendapatkan khidmatnya ialah sebanyak USD100,000 untuk 2 jam! Hebat bukan?

Beliau pernah menceritakan bahawa beliau Tebelum itu beliau menceritakan bahawa setiap kali beliau membuat pukulan bola golf, bola golf tersebut hanya boleh bergerak tidak lebih daripada 200 meter.

Apa yang beliau lakukan? Tidak lain dan tidak bukan beliau memanggil Tiger Wood untuk menjadi jurulatih golfnya.

Apabila Tiger Wood melihat cara pukulan golf Anthony Robbins, Tiger Wood hanya menasihatkan beliau supaya menaikkan kayu golf setinggi 2mm sahaja sebelum membuat pukulan kayu golf.

Anthony Robbins berasa terkejut dan berasa tidak berbaloi memanggil Tiger Wood dan hanya semata-mata menasihatkan beliau supaya menaikkan kayu golf setinggi 2 mm sahaja sebelum membuat pukulan bola.

Apa yang terjadi selepas itu? Tidak lain ialah bola golf boleh melantun lebih 200 meter selepas itu. Hanya kerana 2mm Anthony Robbins boleh mengubah cara pukulan golfnya.

Pengajaran daripada kisah ini ialah buatlah sedikit perubahan dalam hidup ini. Nescaya ianya akan mengubah cara kita berfikir dan mungkin juga dalam kita mencapai apa-apa matlamat dalam hidup ini.

Wallhua’lam.

Friday, September 27, 2019

Mutiara Kata



"Dulu ada seseorang yang tidak aku ketahui seorang pun yang paling jauh rumahnya dari masjid melainkan dia. Namun dia tidak pernah tinggal dari solat berjemaah. Kemudian, ada yang berkata padanya atau aku sendiri yang berkata padanya. Bagaimana kalau engkau membeli keldai untuk ditunggang ketika gelap mahupun ketika tanah dalam keadaan panas. Orang tadi lantas menjawab, “Aku tidak gembira jika rumahku di samping masjid. Aku ingin dicatat bagiku setiap langkahku ketika pulang kembali kepada keluargaku.” Rasullullah s.a.w. bersabda, “Sungguh Allah telah mencatat bagimu seluruhnya.”” 
Hadis riwayat Muslim.

Friday, September 20, 2019

Masjid Merupakan Asas Taqwa

Salah satu tanda orang-orang yang beriman ialah mendirikan solat di masjid. Pengiktirafan Allah s.w.t. ke atas orang-orang yang mendirikan solat di masjid merupakan orang beriman ialah terdapat dalam al-Quran yang berbunyi seperti berikut :

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk.” Surat at-Taubah: 18.

Kelebihan solat jemaah pula bukan sahaja mendapat pahala 27 kali ganda daripada solat berseorangan di rumah malah para ulama menyatakan bahawa apabila kita menunaikan solat berjemaah di masjid, Allah s.w.t. akan mengira kesempurnaan solat kita secara ‘bundle’. Dengan kata lain, apabila seseorang itu menunaikan solat di masjid, Allah sw.t. akan mengira semua orang yang menunaikan solat jemaah itu adalah sempurna.

Perumpamaannya ialah apabila kita membeli sebiji durian dengan selonggok durian yang berada di dalam sebuah bakul. Jika kita ingin membeli sebiji durian, sudah tentu kita akan memeriksa betul-betul durian tersebut adakah ianya elok untuk dimakan ataupun tidak. Jika kita ingin membeli selonggok durian di dalam sebuah bakul, kita sudah tentu tidak sempat untuk membelek-belek durian tersebut setiap satu dan akan terus membeli kesemuanya. 

Bak kata imam al-Ghazali, “Amalan yang dipaksa yang dilakukan secara berterusan, akan menimbulkan keikhlasan di hati.” Bak kata bidalan melayu pula, “Alah tegal, biar biasa.” Jika amalan solat berjemaah di masjid kita berasa malas untuk lakukan, paksakanlah diri kita untuk menunaikan solat berjemaah bermula pada hari ini.

Wallhua’lam.

Sunday, August 25, 2019

Apabila Novel Siti Rosmizah Menguasai Rak Buku

Novel Siti Rosmizah di Rak Buku Popular The Curve.

Salah Satu Rak Buku-Buku Sejarah.





Saturday, August 17, 2019

Apabila Buku Pak Latip Menguasai Rak Buku...


Ini adalah buku-buku Pak Latip yang menguasai rak buku di mana-mana kedai buku. Apabila Pak Latip sekali ‘bersin’, maka satu-satu judul akan diulang cetak sebanyak tiga kali. Beliau merupakan salah seorang penulis jutawan di Malaysia. Saya sengaja post gambar ini untuk memberi motivasi kepada saya dan saudara-saudara semua agar kita menumpukan satu-satu genre sahaja untuk menulis. Wallahua’lam.