Wednesday, July 31, 2019

Teknik Pemasaran Berkesan: Kuasai Rak Buku


Hohoho.. Gambar ini saya rakamkan di sebuah kedai buku ketika pergi berjalan-jalan semalam. Rak ini hanya memuatkan buku-buku Ramlee Awang Murshid. Inilah sebenarnya teknik yang berkesan dalam pemasaran buku kita iaitu kuasai rak buku! Buku genre beliau ialah novel thriller. Beliau telah menulis sebanyak 35 buah buku sejak dari tahun 1995. Banyak tuh... Sebenarnya, jika kita ingin melibatkan diri dalam penulisan buku, kita hendaklah menumpukan satu genre buku sahaja dan tidak perlu melompat-lompat menulis genre buku. Inilah sebenarnya kaedah pemasaran yang berkesan.

Wallhua’lam.

Thursday, July 25, 2019

Rumah Sakit Otak Di Persekutuan Tanah Melayu

“PENDERITAAN ORANG-ORANG YANG SAKIT OTAK Dr Haji Megat Khas (Kuala Kangsar): Dato' Yang di-Pertua, dan Ahli-Ahili Yang Berhormat, saya mengambil peluang di sini di dalam ruangan Ucapan Penangguhan iaitu menyentuh satu perkara yang barangkali juga penting pada satu bahagian, penduduk-penduduk kita di dalam negara ini, iaitu orang-orang yang terkena serang penyakit otak. Semalam saya telah berdiri di sini, Dato' Yang di-Pertua, mendapat teguran, daripada Tuan Yang di-Pertua dan petang ini saya tidaklah hendak memanjangkan perkataan saya-saya terus pergi kepada butir-butir yang hendak saya sebutkan, kerana kalau sekiranya panjang sangat, Dato' Yang diPertua, akan menegur lagi sekali. 

Jadi, dengan sebab itu, saya sukalah menyatakan di sini, iaitu sungguhpun Kerajaan Perikatan setelah memegang teraju pemerintahan dalam negeri ini semenjak beberapa lamanya dan telah menjalankan beberapa rancangan yang menjadi keuntungan dan manfaat kapada rakyat jelata dalam semua lapisan penduduk di sini, tetapi saya tidaklah tahu, apakah juga langkah-langkah yang telah diambil, atau pun yang akan diambil pada memperbaiki untung nasib orang-orang yang kena sakit otak orang-orang gila. 

Jadi, di sini sampailah masanya saya menerangkan kapada Rumah yang bertuah ini, iaitu di dalam Malaya, ataupun Persekutuan Tanah Melayu-ketepikan-lah Singapura, kita ada mempunyai hanya dua buah rumah sakit otak. Orang-orang yang kena sakit gila yang mana mereka itu boleh dirawat, maka isi-isi yang saya hendak sebutkan di sini ialah, saya pun tidak tahu, bila masanya hospital, ataupun rumah sakit otak yang ada di Tanjung Rambutan telah didirikan. 

Lebih kurang rasa saya 60 tahun dahulu, dan juga bila masanya rumah sakit otak yang ada di Tampoi di Johor Bahru itu didirikan, saya pun tidak tahu, tetapi yang saya tahu adalah Rumah Sakit Otak di Tanjung Rambutan itu hanya boleh dirawati di situ seramai 3,000 orang sakit, tetapi keadaannya pada masa sekarang ia-lah 4,300 orang yang kena penyakit otak ada ditempatkan di situ dengan mempunyai hanya enam orang doktor yang menjaga kepada orang-orang yang sakit di situ. 

Di Tampoi sungguhpun tempatnya ada diperuntukkan 1,200 orang, tetapi 2,000 orang di-masukkan di situ dan doktor-doktornya lebih sedikit lagi dari di Tanjung Rambutan. Jadi, dengan sebab itu, saya rasa dan saya perhatikan di dalam beberapa waktu yang lalu ini ialah untung nasib orang-orang yang kena penyakit otak itu sangat teraniaya apabila masuk ke dalam rumah sakit otak; tinggallah dia di situ sementara dia hendak berjalan ke tempat perkuburan. Jadi, dengan sebab itulah saya berharap kapada Menteri yang berkenaan dan juga daripada pegawai-pegawai yang berkenaan, perkara ini dapat dielokkan, diperbaiki, kerana kita adalah sedang menghadapi perbelanjawan dan saya harap, saya akan bercakap lebih lagi di dalam perkara ini apabila perbelanjaan di dalam Kementerian Kesihatan akan dibincangkan kelak. Demikianlah sahaja, Tuan Yang diPertua, terima kasih banyak.”

Sumber: Sidang Parlimen Dewan Rakyat pada 9 Disember 1964.

Sunday, July 21, 2019

Mutiara Kata



Setiap pagi, si rusa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu alpanya dia akan mengundang bencana. Dia akan dibaham singa jika lengah dan tidak peduli kepada datangnya pagi.
Setiap pagi juga, si singa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu alpanya dia akan mengundang bencana. Dia akan kehilangan rusa dan mati kelaparan, jika lengah dan tidak pedulu kepada datangnya pagi.
Sama ada kamu rusa atau singa, itu tidak penting. Apa yang utama ialah kamu harus segera berlari dan terus berlari lebih pantas daripada singamu ... untuk mencipta kejayaan. Itulah falsafah saya, dalam membangunkan Dubai...
Sheikh Mohammad bin Rashid al-Maktoum

Saturday, June 29, 2019

Pada Yang Kecil Itu Ada Barakah

Pengajaran daripada Serbuk Kulit Roti

Ayam sudah terhidang.
Lama pula saya mengelamun. Pelbagai perkara yang mengimbau ingatan saya sambil memasak di dapur. Kebetulan Fatih, dan rakan-rakan yang lain sedang sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir semester. Saya sudah selesai menjalani peperiksaan yang sama di Jordan dua minggu lalu. Kehadiran saya ke Turki sekurang-kurangnya dapat membantu kawan-kawan saya ini belajar dengan lebih baik. Biar soal makan minum, saya bantu seadanya.
“Fatih, Islam, Hasan, Faruk, Osman, marilah makan!” Saya menjerit memanggil mereka yang khusyuk di meja bacaan masing-masing.
Setiap kali makan, kami akan membentangkan dua keping surat khabar lama. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan sisa makanan tidak jatuh ke karpet. Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut kepada tindak-tanduk rakan saya ketika makan, terutamanya Islam. Setiap kali beliau mematahkan roti, beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi. Seandainya masih ada serbuk-serbuk kulit roti itu bertaburan di atas lapik, Islam akan mengumpulkannya untuk di makan. Tida ada langsung sisa makan yang terbuang.
“Islam, saya suka tengok cara awak makan. Tidak ada yang tersisa langsung. Berkat, berkat...!” Saya memuji Islam.
“Betul Hasrizal. Ia soal keberkatan. Walaupun macam-macam kita makan, kita tidak tahu pada bahagian mana makanan kita yang Allah pilih sebagai asbab untuk-Nya untuk menurunkan barakah.” Kata Islam.
Ya, apa yang Islam katakan itu memang benar. Ia mengingatkan saya kepada sepotong hadis Nabi SAW :
“Daripada Jabir, beliau mendengar Nabi SAW bersabda: “Apabila sesiapa dari kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari tangan, maka bersihkanlah habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah dia memakannya. Jangan tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah dibersihkan tanganmu dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat (jari-jarinya). Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah makanannya yang diberkati Allah.”
Islam telah mengingatkan saya kepada pengajaran yang amat berharga. Pak Cik Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu yang berguna. Jangan pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan kebaikan. Penilainya adalah Tuhan, Allah yang menilai amal pada harga sebuah iman. Jangan tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang amal yang besar.
Itu di Turki.
Tertiba Mak Anjang di London
Hal ini juga mengingatkan saya kepada peristiwa semasa saya berjamu makan di rumah Pak Anjang saya di Baker Street, London. Pagi tiu, kebetulan Pak Ngah sekeluarga datang dari Malaysia. Maka kami semua berkumpul di rumah Pak Anjang. Rumah di Baker Street ini Pak Anjang belikan untuk anaknya, Ziad yang belajar di Westminster University, di seberang jalan.
Saya amat kagum semasa melihat Mak Anjang memasak di dapur. Lebihan nasi malam tadi dikumpulkannya. Kemudia kerak nasi itu pula direndam dalam air panas dan kemudia ditos. Semua bahagian nasi yang berlebihan malam tadi, Mak Anjang gunakan untuk memasak nasi gorengnya. Tidak ada bahagian makanan mana yang tersisa. Mungkin ini sebahagian daripada sikap Mak Anjang sekeluarga yang menjadi tangga mereka membina kehidupan yang berjaya. Walaupun sudah bertaraf jutawan, Mak Anjang dan Pak Anjang sekeluarga masih mengambil kira soal-soal kecil seperti kerak nasi di dapur.
Marilah kita bersama-sama menghitung dan mengambil kira benda-benda kecil yang kita abaikan selama ini. Mungkin pada yang kecil halus itulah Allah menyentuh kehidupan kita dengan barakah.
Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin menjadi punca keberkatan Allah, maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang kita anggap kecil. Ia menjadi punca Allah murka. Dalam setahun, mungkin seorang dua sahaja warga negara kita yang mati dibaham harimau. Namun, jumlah yang mati kerana gigitan seekor nyamuk, jauh berganda. Yang kecil jangan dipandang remeh, yang besar yang disangka segala-galanya.
Mari luruskan saf, mari kemaskan saf, mari habiskan makanan, mari pelihara adab dalam iman. Murahkan senyuman, banyakkanlah membuat kebaikan yang mudah dan kecil, tapi berpanjangan. Mengubah ranting dari jalan agar jangan ada yang kesakitan, memandang wajah saudah dengan air muka manis penuh senyuman. Banyak-banyakkan berbuat kebaikan, tidak diketahui yang mana bakal dipilih Tuhan, jadi pemboleh ke syurga yang berkekalan.
Jangan pandang kecil pada RM1 yang mahu didermakan kepada musadh’afeen (yang memerlukan) di Palestin! Sikit-skit, lama-lama jadi bukit.
Wallhua’lam.
Sumber : Hasrizal Abdul Jamil, Secangkir Teh Pengubat Letih. Galeri Ilmu, 2010.

Thursday, June 13, 2019

Ketegasan Sikap Dr. Maszlee Menunjukkan Konsep Ketuanan Melayu Masih Terus Relevan

Salah satu risiko menukar kerajaan baru ialah menteri-menteri kabinetnya adalah terdiri daripada orang-orang yang tidak terlatih dalam mentadbir sebuah kerajaan. Apa yang lebih teruk lagi ialah seseorang yang menang dalam PRU di sesebuah parlimen terus memegang jawatan menteri dan salah satu yang tidak terkecuali ialah Dr. Maszlee bin Malek. Ramai yang teruja dengan perlantikan Dr. Maszlee pada awalnya yang dilihat sebagai tokoh cendekiawan yang mampu merencana hala tuju yang baru dalam hal ehwal pendidikan negara.

Namun apa yang berlaku ialah Mat Maslan sebenarnya lebih bijak dilihat apabila Dr. Maszlee menjadi menteri pendidikan. Kadang-kadang cadangan yang dikemukakan oleh Dr. Maszlee mengundang pandangan sinis daripada segenap masyarakat Malaysia khususnya mengenai pemakaian kasut hitam dan stokin bagi pelajar-pelajar sekolah. Sepatutnya Dr. Maszlee meletakkan satu asas yang besar ataupun blue print hala tuju dalam sistem pendidikan Malaysia untuk masa akan datang. Contoh yang mudah ialah ketika Dr. Mahathir menjadi menteri pendidikan apabila beliau memperkenalkan konsep 3M iaitu ‘Membaca, Menulis, Mengira’. 
Namun, apabila isu kuota matrikulasi bumiputera dibangkitkan baru-baru ini, Dr. Maszlee mempertahankan kuota bumiputera sebanyak 90% untuk kemasukan matrikulasi dan 10% untuk kuota bukan bumiputera. Isu perkauman timbul apabila beliau menyatakan bahawa kuota bumiputera ini perlu disebabkan banyak majikan pada hari ini mensyaratkan graduan perlu fasih berbahasa Mandarin sekiranya untuk memohon pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak mereka. Dengan bahasa yang mudah, para majikan ini sebenarnya ingin mengambil graduan berbangsa Cina sahaja untuk bekerja dengan mereka.
Sebenarnya, isu pengambilan graduan yang fasih berbahasa Mandarin oleh sesetengah majikan sudah lama berlaku dan isu ini tidak menjadi panas kerana kurang diberi perhatian sehinggalah Dr. Maszlee menyebut isu ini. Dengan kata lain, matrikulasi adalah hak bumiputera untuk memasuki universiti dan peluang pekerjaan pula banyak dibuka kepada kaum bukan Bumiputera. Walaupun bilangan pelajar bukan Bumiputera ditambah daripada 2,500 orang kepada 4,000 orang tetapi kuota 10% masih dikekalkan. Secara tidak langsung, ini memberi peluang kepada pelajar bukan Bumiputera untuk mengikuti program matrikulasi.
Sememangnya kuota 90% perlu disediakan untuk bumiputera kerana kaum Bumiputera merupakan tuan kepada tanah air ini. Pada pandangan saya, bukan masalah B40 ataupun tidak supaya kuota 90% perlu diberi kepada Bumiputera, isunya ialah kaum Bumiputera merupakan tuan kepada tanah air ini. Oleh itu, peluang pendidikan seharusnya dibuka seluas-luasnya perlu dibuka kepada kaum Bumiputera supaya mereka mempunyai peluang yang cerah untuk memasuki IPTA bagi kursus-kursus yang kritikal.
Jika mengikut logik akal sekalipun, adakah tiada golongan Bumiputera yang berpendapatan T20 daripada kuota 90% ini yang tidak dapat memasuki program matrikulasi ini?
Kaum bukan Bumiputera ataupun Cina boleh memasuki kolej-kolej swasta yang diusahakan oleh kaum mereka sendiri. Bukankah kolej-kolej swasta ini juga mendapat pengiktirafan daripada JPA atau MQA? Jika mereka boleh memperjuangkan peperiksaan UEC supaya boleh dilaksanakan di Malaysia, apa salahnya jika orang Melayu ataupun kaum Bumiputera sendiri ingin memperjuangkan hak mereka sendiri?
Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan dari Lim Guan Eng amat mengguris hati dan perasaan orang Melayu kerana buat pertama kalinya dalam sejarah tanah air ini sejak merdeka, sekolah persendirian Cina diberikan bantuan oleh kerajaan dan perkara ini dibentangkan dalam Dewan Rakyat. Sudah tentu kelakuan menteri DAP ini amat mencabar perasaan orang Melayu. 
Sememangnya kaum-kaum pendatang ini sudah tentu tidak boleh dipercayai lagi walapun mereka dipilih atas prinsip integriti untuk memerangi gejala rasuah yang menjadi amalan kerajaan terdahulu. Ironinya, hak orang Melayu dalam bidang pendidikan dirobek sedikit demi sedikit setelah kaum pendatang ini mendapat kuasa politik.
Wallhua’lam.

Monday, May 27, 2019

Baik Buruk Menukar Kerajaan Barisan Nasional

Tanggal 9 Mei 2018 merupakan tarikh keramat dalam sejarah Malaysia kerana buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) yang menguasai Kerajaan Persekutuan telah berjaya ditumbangkan. Jika dahulu jika diletakkan tandan pisang sebagai calon BN, sudah tentu tandan pisang ini yang akan menang. Sekarang adalah keadaan sudah terbalik di mana jika diletakkan calon BN untuk melawan tandan pisang dalam pilihanraya sekalipun, tandan pisang ini yang akan menang kerana rakyat sudah muak dengan permainan rasuah oleh sekalian pemimpin BN.
Sememangnya pengaruh de facto Tun Dr. Mahathir yang berjaya mengumpul sokongan rakyat Malaysia untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Mohd. Najib yang merupakan protegenya suatu ketika dahulu adalah amat mengagumkan kerana ramai pemerhati-pemerhati luar negara menyifatkan Pakatan Harapan akan gagal untuk menumpaskan BN dalam PRU-14 yang lalu.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim walaupun berjaya menafikan 2/3 majoriti BN dalam PRU pada tahun 2008 lalu namun dia gagal untuk menumbangkan kerajaan BN setelah 20 tahun berusaha. Namun, Tun Dr. Mahathir hanya mengambil masa kurang daripada 5 tahun untuk menumbangkan BN. Sudah tentu pengalamannya yang luas setelah menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi BN lebih daripada 20 tahun memberi kelebihan kepada beliau untuk menumbangkan BN dan sekaligus melayakkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua. Dapat dilihat di sini bahawa demonstrasi jalanan bukanlah cara yang berkesan untuk menumbangkan kerajaan malah boleh dikatakan cara ini tidak berkesan langsung.
Dari satu segi, selepas PRU-14 sebenarnya menunjukkan orang Melayu telah kehilangan kuasa politiknya. Ini bermakna kerajaan BN itu sendiri sinonim sebagai kerajaan Melayu. Sebelum PRU-14, orang Melayu sering mendabik dada untuk memilih Parti DAP kerana pemimpin-pemimpinnya dikatakan bersih dan suci dan isu perkauman seperti Malaysia akan diperintah dan dipegang oleh orang Cina tidak timbul kerana orang Melayu yakin bahawa orang-orang Cina yang akan dipilih oleh mereka sebagai pemimpin masa depan akan menghormati kontrak sosial yang telah dipersetujui sekian lama sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan lagi.
Malangnya, harapan orang Melayu kepada pemimpin-pemimpin Cina dan DAP ini berkecai begitu sahaja. Hati orang-orang Melayu semakin terguris apabila pemimpin-pemimpin DAP yang menjadi menteri kanan dalam kabinet terus memainkan sentimen perkauman menambahkan amarah orang Melayu seperti isu Tabung Haji, tender kontraktor untuk Bumiputera, ICERD, dan sebagainya. Hati orang Melayu bertambah sakit lagi apabila bantuan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina diberikan bantuan oleh pihak kerajaan bahkan disebutkan dalam pembentangan bajet tahunan di dewan parlimen.
Sudah tentu Tun Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri dan Tun Daim Zainuddin yang juga merupakan penasihat ekonomi kerajaan dilihat tidak mampu untuk mengawal tindakan pemimpin-pemimpin DAP ini dalam usaha memberi bantuan pendidikan kepada orang Cina. Apa yang boleh dibuat kerana DAP juga mempunyai kuasa yang tersendiri dalam kerajaan persekutuan. Kita tidak bolehkah mereka kerana kita sendiri yang memberikan mereka mandat untuk memimpin negara.
Apa yang lebih membimbangkan orang Melayu sekarang ialah sekiranya Hak Keistimewaan Orang Melayu Perkara 153 akan dirobek oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu yang menguasai Kerajaan Persekutuan pada hari ini. Nasib orang Melayu seolah-olah berada di hujung tanduk apabila terlalu percaya kepada kaum-kaum pendatang ini untuk memimpin mereka. Inilah padahnya kerana terlalu percaya orang Cina DAP.
Di celah-celah kebimbangan orang Melayu itu pula PAS dan UMNO mula mengorak langkah untuk bersatu-padu untuk membina kekuatan politik orang-orang Melayu. Selama ini mereka telah bercakaran antara satu sama lain dan kali ini mereka bimbang dengan dominasi DAP dalam politik tanah air. Sehinggakan Tok Guru Haji Hadi mengatakan kalau anjing yang bergaduh dalam satu kampung, anjing-anjing ini boleh bersatu-padu apabila ada anjing luar masuk kampung mereka. Tetapi, pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS adalah bukan anjing.
Dari satu segi, pemimpin-pemimpin UMNO yang korup telah melompat parti kerana takut didakwa. Ini adalah perkembangan positif kerana pemimpin-pemimpin UMNO yang bersih sahaja yang tinggal dalam parti orang Melayu ini dan dalam masa yang sama kepercayaan rakyat kepada UMNO sudah terbina semula lantaran kepimpinan Pakatan Harapan (PH) semakin bercelaru dari hari ke hari. Sudah tentu ini merupakan peluang yang baik kepada UMNO untuk mempunyai calon-calon yang begitu bersih untuk diturunkan dalam PRU 15 nanti.
Yang paling terkesan dalam politik selepas PRU-15 sudah tentu Parti DAP. Sememangnya parti kaum pendatang ini akan dinyahkan oleh pengundi-pengundi Melayu dalam PRU nanti kerana tidak boleh dipercayai lagi.
Wallhua’lam.

Sunday, May 5, 2019

Mutiara Kata



Saya juga tidak dapat mengikis ingatan kepada suasana gerun yang menyelubungi pekan Mazar, tatkala petang itu kami didatangi gerhana matahari yang penuh. Rumah-rumah ditutup dengan kotak dan papan. Jalan raya kosong dan sunyi sepi. Namun seluruh masjid mendirikan solat sunat gerhana matahari. Satu rakaat diisi dengan surah sepanjang al-Baqarah, seluruh ruang udara penuh dengan ayat-ayat suci memuji kebesaran Allah dalam hening sepi manusia bertafakur. Ia sungguh mendebarkan dan mendatangkan perasaan gementar melihat kejadian yang maha luar biasa itu. Gerhana matahari petang itu menjadikan seluruh jiwa saya terpaku antara angkasa yang tepu dengan bacaan imam di masjid-masjid, dengan sinar merah dari langit yang menyala hingga lewat senja.

Hasrizal Abdul Jamil, Rindu Bau Pohon Tin.