Wednesday, May 18, 2022

Debat Perdana Najib vs Anwar: Najib Membawa Gaya Milennia, Anwar Masih Membawa Gaya 1990-an

Walaupun debat antara Najib dan Anwar sudah hampir seminggu melabuhkan tirainya, namun ia masih hangat untuk perkatakan dan diperbincangkan. Debat ini dilihat sebagai terlalu formal dan mungkin tidaklah boleh dikatakan sebagai debat perdana. Mungkin kerana untuk menjaga keharmonian, kesusilaan, dan tatatertib suasana debat ini kepada penonton-penonton di rumah. Apatah lagi debat pada kali ini membawa dua tokoh figura yang terhebat iaitu antara bekas Perdana Menteri, Mohd. Najib dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Peraturan-peraturan dalam dewan tempat debat ini diadakan bolehlah dikatakan terlalu ketat di mana para penonton tidak boleh untuk bertepuk tangan apatah lagi untuk bersorak-sorak untuk menjaga ketenteraman dewan. Oleh itu, ia tidaklah sehebat debat antara Khairy Jamaludin dan Rafizi suatu ketika dahulu yang membawa isu PTPTN yang masing-masing meriah dengan sorak-horey antara penyokong kerajaan dan penyokong pembangkang sehingga terpaksa ditenangkan oleh moderator ketika itu.

Jika dilihat dari segi pakaian kedua-dua pemimpin ini, tampaknya Mohd. Najib memakai pakaian lebih kemas dengan berkot biru. Seolah-olah membawa gaya masih menjadi seorang Perdana Menteri dan tiada apa-apa tuduhan di mahkamah. Berlainan dengan Anwar Ibrahim yang berpakaian agak selekeh. Mungkin ini gaya yang dipilih oleh Anwar Ibrahim supaya kelihatan lebih santai.

Saya pun masih tertanya-tanya sehingga sekarang. Pada mulanya, perang media sosial antara Mohd. Najib dan Rafizi bermula apabila mereka saling bertelingkah mengenai Sapura Energy Berhad (SEB) yang membawa kepada mereka untuk berdebat. Kemudian, Najib mencabar boss Rafizi iaitu Anwar Ibrahim untuk berdebat sekali. Dengan kata lain, debat ini adalah dua lawan satu tetapi akhirnya debat ini berlangsung satu lawan satu iaitu antara Mohd. Najib dan Anwar Ibrahim.

Dari segi hujah antara kedua-dua tokoh figura politik ini, boleh dikatakan tiada apa yang baharu yang dibawa oleh kedua-dua pemimpin ini. Walaupun Mohd. Najib dikatakan lebih bersedia dalam acara debat ini berbanding Anwar Ibrahim dengan menyebut segala kejayaan-kejayaannnya sewaktu menjadi Perdana Menteri selama 9 tahun. Namun, apa yang dihujahkan oleh Mohd. Najib sepanjang debat ini sebenarnya sudah disebut berulang-kali dalam media sosial Facebooknya di samping mengulangulang kelemahan pentadbiran Kerajaan PH selama 22 bulan. Begitu juga dengan Anwar Ibrahim yang hanya menyebut penyelewengan dalam urus tadbir SEB – modal pembangkang untuk menyerang kerajaan dari dulu sampai sekarang – rasuah, rasuah, dan rasuah. Anwar Ibrahim gagal mengutarakan idea untuk membina ekonomi yang mapan bagi negara masa hadapan.

Oleh itu, tiada apa yang baru dalam debat perdana pada kali ini. Mungkin sebagai laba politik untuk menunjukkan keberanian masing-masing yang mewakili parti masing-masing iaitu Umno dan Keadilan yang masih terhuyung-hayang bagi meraih sokongan politik untuk menghadapi PRU-15.

Mungkin pada masa hadapan, penganjur-penganjur boleh menonjolkan tokoh-tokoh pemimpin politik muda yang masih mendaki dalam arena politik untuk berdebat. Buah-buah fikiran atau idea mereka boleh ditonjolkan kepada masyarakat umum setidak-tidaknya untuk membina negara pada masa hadapan.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, April 30, 2022

Hari Raya Aidilfitri Sepatutnya Hari Isnin pada 2 Mei 2022?

Pada minggu lepas tular di media WhatsApp bahawa Hari Raya Aidilfitri sepatutnya jatuh pada 2 Mei 2022 iaitu pada hari Isnin dan bukannya pada 3 Mei 2022 sepertimana dalam kalendar kuda yang sedia maklum. Kemudian, media-media massa utama menafikan berita tersebut dan menyatakan ianya palsu.

Pada hari ini (29 April 2022), Mufti Perlis iaitu Dr. Mohd Asri menyatakan bahawa kebanyakan negara umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Isnin bersamaan 2 Mei 2022. Berlainan dengan Malaysia yang akan menyambut hari raya sehari lewat iaitu pada 3 Mei 2022. Perbezaan ini menurut beliau disebabkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama (Mabims) yang terdiri daripada negara Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura menggunakan kaedah baru dalam melihat anak bulan.

Beliau hanya menyatakan sebab-sebab mengapa tarikh sambutan Aidilfitri di Malaysia berbanding dengan negara-negara Islam yang lain. Walau bagaimanapun, beliau dalam masa yang sama menyatakan bahawa negeri Perlis mengambil keputusan bersama dalam menentukan tarikh hari raya.

Penggunaan kaedah lama dan baru yang melibatkan perkara teknikal menyebabkan tarikh sambutan hari raya Aidilfitri adalah berbeza. Namun, tiada sesiapa yang boleh mendakwa kaedah mana yang lebih betul melainkan telah dibuat penilaian oleh ahli falaq. Perbezaan kaedah lama dan kaedah baru adalah berbeza daripada sudut kriteria darjah, ketinggian, dan jarak lengkung. Menurut Dr. Asri lagi, rakyat di negara ini haruslah memakai apa yang diputuskan oleh pihak berwajib.

Sememangnya berita yang tular baru-baru ini yang menyatakan bahawa sambutan Aidilfitri sepatutnya adalah pada hari Isnin (2 Mei 2022) bukanlah berita rekaan semata-mata tetapi berdasarkan kepada realiti semasa. Media massa pula janganlah menidakkan perkara ini mungkin kerana tidak mahu umat Islam di negara ini menjadi bercelaru dan bimbang. Perbezaan ini hanya disebabkan perbezaan kaedah untuk melihat anak bulan sahaja.

Wallhua’lam.

 

 

Thursday, April 21, 2022

Menggemparkan! Sebutan Nama-Nama Khalifah Islam Selepas Salam Solat Terawih Adalah Tazkirah untuk Memperingatkan Umat Islam Tentang Tiadanya Khalifah untuk Melindungi Mereka!

Jika kita perasan, nama-nama Khalifah Islam ar-Rashidin iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, dan Saidina Ali disebutkan selepas selawat Nabi Muhammad s.a.w. setiap 2 atau 4 rakaat apabila selesai memberi salam. Menurut Tuan Sidek Nor, sebutan nama-nama khalifah yang empat ini sewaktu solat terawih ini adalah sebagai tazkirah kepada umat Islam bahawa mereka kini tiada khalifah untuk menaungi mereka selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924. Amalan ini hanya dilakukan di nusantara sahaja. 



Menurut beliau lagi, dengan adanya Khalifah, umat Islam bukan sahaja tidak dibunuh malah tidak dapat dicantas oleh mana-mana orang kafir. Peristiwa ini berlaku pada zaman Abbasiyah di mana ada seorang wanita di negeri orang kafir di mana apabila purdahnya terbuka akibat ditiup angin dan menampakkan wajahnya di pasar. Ekoran itu orang-orang kafir di situ gelak kepadanya dan terdapat seorang lelaki Islam yang melihat peristiwa tersebut lalu melaporkan kepada al-Mu'tasim yang merupakan Khalifah Islam ketika itu. Akibat marah dengan peristiwa itu, al-Mu'tasim menghantar bala tenteranya menyerang negeri kafir tersebut.

Benarlah sabda Nabi Muhammad s.a.w., "Imam (khalifah) adalah laksana perisai yang dibelakangnya kamu berperang dan mendapat perlindungan."

Wallhua'lam.

Saturday, April 2, 2022

Saya Bersimpati dengan Yasin Sulaiman



Telahan saya benar apabila media mula-mula melaporkan bahawa seorang penyanyi nasyid dan komposer ditahan polis kerana menanam dan mengedar pokok ganja di rumahnya pada 24 Mac 2022 adalah Yasin Sulaiman. Walaupun media pada mulanya hanya berteka-teki tidak menyebut namanya dengan mengatakan bahawa seorang penyanyi nasyid dan komposer yang pernah menganggotai kumpulan nasyid dan kemudian bergerak secara solo, pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL), dan kereta Toyota Wishnya disita oleh polis, saya fikir ia adalah Yasin Sulaiman.

Telahan saya ini tepat apabila Yasin Sulaiman didakwa di mahkamah pada 31 Mac 2022 atas kesalahan ini. Apatah lagi hanya 3 hari lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan. Saya secara peribadi bersimpati dengan Yasin Sulaiman. Lagu-lagunya sememangnya dekat di hati saya seperti Aisyah, Dialah, Wahasytuni, Kuala Lumpur, Bismillah, dan lain-lain lagi. Sebagai netizen, kita usah cepat menghakimi Yasin ini. Kita tunggu sahajalah perbicaraan Yasin ini sehingga selesai. Kita doakan yang terbaik untuk beliau.

Wallahua'lam.

Saturday, March 5, 2022

Orang Cina Tertekan Kerana DEB?

 

Orang Cina tertekan kerana Dasar Ekonomi Baru (DEB)? Ini bukan rasis. Kali pertama saya dengar orang Cina tertekan kerana DEB  apabila rakan saya di pejabat yang berbangsa Jawa – Cina menceritakan perkara ini kepada saya. Screenshot di atas adalah saya petik daripada Youtube Financial Faiz yang bertajuk ‘Kenapa Orang Cina Kaya?’

Telahan ini benar apabila terdapat komen-komen netizen yang berbangsa Cina mengatakan bahawa DEB sebenarnya banyak menyekat peluang mereka khususnya untuk mendapatkan mendapatkan biasiswa kerana DEB sendiri banyak memberi peluang kepada golongan Bumiputera. Mereka terpaksa berusaha keras kerana tidak mengharapkan bantuan kerajaan. Namun begitu, saya secara peribadi tidaklah memandang kaum Cina sebagai kaum kelas kedua di Malaysia. Setiap bangsa ada kelebihannya masing-masing.

Jika dahulu kita mungkin pernah mendengar bahawa jika orang Melayu mendapat Gred 2 dalam SPM masih berpeluang untuk memasuki universiti. Manakala jika orang Cina mendapat Gred 2 akan berpeluang untuk menjadi pomen kereta sahaja. Bagi saya, jika DEB ini tiada maka orang-orang Melayu akan jauh ketinggalan berbanding orang Cina dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan malah jurang ekonomi antara kaum semakin melebar berbanding sekarang.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, February 17, 2022

Apabila Media Massa Hanya Mengesahkan Berita WhatsApp

Pada hari ini, maklumat sekarang sudah berada di hujung jari. Sekarang ini bukan lagi zaman 1990-an di mana masyarakat akan tunggu di depan kaca televisyen untuk menyaksi dan mengetahui berita-berita terkini pada jam 8.00 malam melalui warta berita.

Kini, masyarakat pula lebih cepat mengetahui peristiwa-peristiwa yang terjadi sebelum pemberita melaporkan sesuatu berita. Info yang tersebar di seluruh masyarakat sekarang lebih cepat tersebar malah mungkin sesuatu berita dapat disebarkan di seluruh negara dalam masa kurang daripada satu jam melalui aplikasi apa yang dinamakan sebagai WhatsApp.

Apabila WhatsApp sudah mengambil peranan warta berita, maka warta berita sekarang sekadar mengesahkan sahaja berita ataupun mungkin cerita yang disebarkan melalui WhatsApp. Peranan wartawan sekarang mungkin dipermudahkan kerana mereka hanya mencari individu yang mula-mula menyebarkan WhatsApp tersebut.

Saya masih teringat di dalam buku Allayarham Tan Sri Zainuddin Maidin di dalam bukunya “Di Depan Api Di Belakang Duri” di mana beliau menceritakan wartawan-wartawan setiap syarikat akhbar akan berlumba-lumba untuk mendapatkan berita panas pada hari ini untuk dijadikan berita utama untuk keluaran akhbar mereka untuk keesokan pada harinya supaya akhbar syarikat masing-masing laris dijual. Ada wartawan yang membaca akhbar-akhbar lain melalui surat pembaca untuk mencari isu-isu yang baru panas untuk dijadikan berita utama. Peranan ini mungkin dapat diketepikan dengan wujudnya aplikasi WhatsApp pada hari ini.

Kelebihan aplikasi WhatsApp ini menyebabkan sesuatu berita tidak dapat dimanipulasi lagi oleh media massa untuk menceritakan sesuatu yang tidak benar kepada masyarakat. Pun begitu, ada juga individu-individu yang tidak bertanggungjawab yang menyunting gambar-gambar buletin utama menjadi berita tidak benar ataupun menjadi berita palsu dan kemudian disebarkan melalui aplikasi WhatsApp. Ini tidak lebih daripada menjadi fitnah dalam masyarakat.

Jika Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin mengatakan, “Wartawan merupakan saksi sejarah.” Maka pada hari ini masyarakat awam sekarang sudah boleh menjadi wartawan tidak rasmi kerana mereka sendiri yang menyaksikan sesuatu peristiwa yang berlaku di hadapan mereka. Dengan merakam video hanya beberapa saat, ianya dapat disebarkan ke seluruh negara dalam masa yang sekejap sahaja. Mereka boleh mengesahkan berita apabila dihubungi oleh mana-mana pemberita.

Walau bagaimanapun, saya fikir buletin-buletin utama masih diperlukan untuk disediakan kepada masyarakat. Media-media massa ini masih diperlukan sebagai alat propaganda kerajaan untuk menyampaikan sesuatu isu kepada masyarakat dan bukannya sebagai dakyah untuk mencapai matlamat politik.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com