Saturday, April 30, 2022

Hari Raya Aidilfitri Sepatutnya Hari Isnin pada 2 Mei 2022?

Pada minggu lepas tular di media WhatsApp bahawa Hari Raya Aidilfitri sepatutnya jatuh pada 2 Mei 2022 iaitu pada hari Isnin dan bukannya pada 3 Mei 2022 sepertimana dalam kalendar kuda yang sedia maklum. Kemudian, media-media massa utama menafikan berita tersebut dan menyatakan ianya palsu.

Pada hari ini (29 April 2022), Mufti Perlis iaitu Dr. Mohd Asri menyatakan bahawa kebanyakan negara umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Isnin bersamaan 2 Mei 2022. Berlainan dengan Malaysia yang akan menyambut hari raya sehari lewat iaitu pada 3 Mei 2022. Perbezaan ini menurut beliau disebabkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama (Mabims) yang terdiri daripada negara Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura menggunakan kaedah baru dalam melihat anak bulan.

Beliau hanya menyatakan sebab-sebab mengapa tarikh sambutan Aidilfitri di Malaysia berbanding dengan negara-negara Islam yang lain. Walau bagaimanapun, beliau dalam masa yang sama menyatakan bahawa negeri Perlis mengambil keputusan bersama dalam menentukan tarikh hari raya.

Penggunaan kaedah lama dan baru yang melibatkan perkara teknikal menyebabkan tarikh sambutan hari raya Aidilfitri adalah berbeza. Namun, tiada sesiapa yang boleh mendakwa kaedah mana yang lebih betul melainkan telah dibuat penilaian oleh ahli falaq. Perbezaan kaedah lama dan kaedah baru adalah berbeza daripada sudut kriteria darjah, ketinggian, dan jarak lengkung. Menurut Dr. Asri lagi, rakyat di negara ini haruslah memakai apa yang diputuskan oleh pihak berwajib.

Sememangnya berita yang tular baru-baru ini yang menyatakan bahawa sambutan Aidilfitri sepatutnya adalah pada hari Isnin (2 Mei 2022) bukanlah berita rekaan semata-mata tetapi berdasarkan kepada realiti semasa. Media massa pula janganlah menidakkan perkara ini mungkin kerana tidak mahu umat Islam di negara ini menjadi bercelaru dan bimbang. Perbezaan ini hanya disebabkan perbezaan kaedah untuk melihat anak bulan sahaja.

Wallhua’lam.

 

 

No comments: