Thursday, July 9, 2020

Diari



Tajuk saya ringkas sahaja pada kali ini iaitu – diari. Diari merupakan catatan harian kita. Apatah lagi peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam hidup kita. Ia mungkin menjadi kenang-kenangan kita ketika kita sudah mencapai usia tua nanti. Ataupun menjadi tatapan kepada ahli keluarga kita setelah kita meninggal dunia nanti.

Adakah anda mempunyai diari Saya mula terfikir atau mungkin berfikir untuk menulis diari sekarang ketika usia menjengah pertengahan 30-an. Niat ini mula terdetik apabila saya memikirkan semula peristiwa-peristiwa penting dalam hidup saya. Tidak kira peristiwa sama ada peristiwa manis atau pahit dalam hidup kita. Semuanya perlu dilakar dalam bentuk tulisan.

Contohnya, saya mula terfikir bilakah saya mula-mula mendaftar di Universiti Malaya untuk master, bilakah saya present tesis, dan sebagainya. Catatan-catatan ini penting untuk saya merujuknya di kemudian hari. Biarpun telah berasa lambat untuk bermula, tetapi ianya masih boleh lagi untuk dijalankan sekarang.

Sepanjang hidup saya, saya hanya menulis diari untuk kelas Bahasa Inggeris saya ketika berada di Tingkatan Lima di Koleh Islam Sultan Alam Shah, Klang. Guru Bahasa Inggeris saya ketika itu Miss Lin mewajibkan semua pelajar membuat catatan harian dalam Bahasa Inggeris. Bukan apa. Untuk membiasakan kami untuk menulis Bahasa Inggeris setiap hari. Buku catatan harian ini pula akan disemak pada setiap minggu. Tidak kurang juga ada rakan-rakan meluahkan perasaan dalam buku ini. Hahaha...

Bagaimana dengan anda? Adakah anda telah mempunyai diari. Kalau sudah bermula, Alhamdullilah.. dan sekiranya masih belum boleh bermula sekarang. Tiada istilah lambat untuk bermula bagi mencapai sesuatu kejayaan.

Wallhua’lam.

Tuesday, June 16, 2020

Jalan-Jalan Ikea

Sebagai orang lelaki Muslim, ini merupakan kali pertama saya berjalan-jalan sewaktu solat Jumaat. Ops..jangan salah faham. Ini adalah ketika musim PKPP masih berkuatkuasa. Oleh itu, di kesempatan ini saya sempat berjalan-jalan di Ikea Mutiara Damansara pada Jumaat lepas. Cuma di sini saya ingin share dan belanja gambar-gambar sewaktu window shopping di sana baru-baru ini.
















Saturday, June 6, 2020

MOTIVASI OLAHRAGA LARIAN DALAM KEHIDUPAN

Sir Roger Bannister

Dalam olahraga larian terdapat motivasi yang sebenarnya mengubah kepercayaan dan cara manusia berfikir. Terdapat perubahan tahap-tahap yang mengubah rekod dan senario dalam acara larian ini. Selama beratus-ratus tahun, manusia percaya adalah mustahil untuk seseorang berlari sejauh satu batu dalam masa kurang dari empat minit.

Pada doktor juga percaya dan membuktikan hasil daripada kajian mereka bahawa secara fizikalnya mustahil melakukan perkara itu. Sehinggalah pada tahun 1954 Roger Bannister memecahkan rekod dunia dengan catatan 3 minit 54 saat! Apa yang lebih menakjubkan lagi ialah dalam masa setahun, 37 orang pelari lain dapat memecahkan rekod Bannister! Dalam masa tiga tahun berikutnya, 300 orang pelari melakukan perkara yang sama.

Ini sebenarnya suatu perkara yang menakjubkan dalam sejarah tamadun manusia. Pada awalnya, selama beratus-ratus tahun tidak pernah sekalipun manusia berlari di bawah tempoh masa empat minit. Namun, selepas seorang berjaya melakukannya, muncul lebih ramai lagi pelari yang berjaya melakukannya.

Apabila kita cuba kaitkan motivasi ini dalam kehidupan peribadi kita ini, sebenarnya ianya boleh merobohkan sesuatu perkara yang selama ini kita percaya bahawa kita tidak mampu untuk melaksanakan sesuatu perkara.

Kita ambil contoh mudah ialah apabila kita ingin menamatkan atau khatam bacaan al-Quran dalam sesuatu tempoh. Apabila hari-hari biasa kita sudah tentu rasa berat ataupun lebih tepat lagi berasa malas untuk membaca al-Quran. Akan tetapi, apabila tiba bulan Ramadhan mengapa semangat kita tiba-tiba naik mendadak untuk membaca al-Quran bahkan ingin menamatkan bacaan al-Quran dalam masa satu bulan dalam bulan ini? Ini sebenarnya adalah motivasi. Motivasi kita untuk khatam al-Quran ketika ini ialah untuk mengejar fadilat bulan Ramadhan. Benar bukan?

Banyak lagi perkara-perkara lain yang kita boleh kaitkan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan kita ini. Kita sebenarnya terbelenggu dengan perkara tidak boleh buat dalam fikiran kita. Jika anda fikir anda boleh, anda sebenarnya boleh lakukan!

Wallhua’lam.

Sunday, May 31, 2020

Ulasan Buku: Anak Malaya di Republik Turki


Buku ‘Anak Malaya di Republik Turki’ adalah berkisar kisah mengenai pelajar yang bernama Thaqib Shaker yang menuntut di Izmir. Apabila dilihar dari cover buku ini saya fikir ianya sebuah buku travelog seperti buku ‘Jangan Berhenti Berlari’ tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman ataupun buku ‘Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu’ tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Malangnya, buku ini adalah menceritakan mengenai perlarian Syria di Izmir, Turki. Tajuk buku ini sepatutnya ‘Pelarian Syria di Izmir’. Penulisan buku ini agak mendatar dan tiada turun naik.

Penulis menceritakan bahawa orang-orang Turki sebenarnya menerima pelarian Syria di bumi Turki. Apabila saya bertanya kepada rakan saya yang menuntut satu kelas di Universiti Malaya, sebenarnya rakyat Turki tidak menerima kehadiran para pelarian Syria ini. Kadang-kadang pelarian ini membawa masalah di tempat mereka seperti masalah sosial dan sebagainya. Selain itu, Erdorgan pula sebenarnya mempunyai niat politik terhadap pelarian-pelarian ini dan membenarkan mereka tinggal di Turki. Apabila Eropah mencari masalah dengan Turki, Erdorgan akan mengugut untuk membuka sempadan negaranya supaya para pelarian Syria ini boleh memasuki mana-mana negara Eropah.

Buku ini berkisar mengenai bantuan penulis kepada para pelarian Syria sewaktu belajar di Izmir. Penulis suka memberi bantuan keperluan harian seperti minyak, garam, beras, dan patung kertas kepada para pelarian Syria ini. Penulis juga menceritakan mengenai sikap wanita Turki yang kurang menghormati suami mereka dan atas faktor ini lelaki Turki sudi memperisterikan gadis dari Malaysia kerana budaya wanita timur lebih menghormati suami mereka.

Pelarian-pelarian Syria yang melarikan diri dari negara mereka menggunakan khidmat penyeludup untuk memasuki Turki atau negara Eropah yang lain. Bayarannya ialah antara USD700-1,200 seorang. Pelarian-pelarian Syria yang berada di Turki amatlah ramai. Di Turki, terdapat 10 buah kota utama yang menjadi tumpuan para pelarian ini. Antaranya ialah Sanliurfa seramai 400,000 orang, Istanbul (395,000 orang), Hatay (387,000 orang), Gaziantep (326,000 orang), Adana (150,000 orang), Mersin (138,000 orang), Kilis (129,000 orang), Mardin (98,000 orang), Bursa (97,000 orang), dan Izmir (90,000 orang).

Banyak kisah suka-duka para pelarian di Syria di Izmir yang penulis ceritakan di dalam buku ini. Penulis juga menubuhkan pertubuhan sukarelawan bagi membantu para pelarian ini. Semoga konflik di Syria akan berakhir suatu hari nanti dan para pelarian ini boleh kembali semula ke tanah air mereka.

Wallhua’lam.

Wednesday, May 20, 2020

Di Celah-Celah Sifat Berjimat-Cermat Itu Mungkin Ada Barakahnya

Sabda Nabi Muhammad s.a.w., “Janganlah kamu membazir walaupun mengambil wuduk di sungai yang sedang mengalir.” Nah, dalam berwuduk sekalipun Nabi Muhammad s.a.w. melarang kita daripada membazir walaupun di sungai yang mengalir! Ini bermakna Islam juga menitikberatkan juga hal mengenai pembaziran.

Buku-buku kewangan yang ditulis oleh orang-orang Barat ataupun lebih tepat lagi ditulis oleh orang-orang kafir, ianya tidak akan menyebut soal keberkatan kerana ianya mengabaikan konsep ketuhanan. Apa maknanya jika bercakap mengenai kekayaan yang bertimbun tetapi tidak menyebut soal keberkatan? Inilah yang membezakan pengurusan kewangan antara orang-orang Islam dan orang-orang kafir. Apabila kita menyebut mengenai keberkatan, kita sebenarnya menyebut hal-hal yang berkaitan dengan ketuhanan ataupun dengan pemberi rezeki kepada kita. Dalam Islam, keberkatan itu adalah kebaikan yang bertambah.

Cuba kita kaitkan pula dengan wang gaji yang kita terima pada setiap bulan. Apakah dengan wang gaji yang kita terima itu pada setiap bulan mempunyai keberkatan? Apakah wang gaji kita itu dibelanjakan pada hal-hal yang membawa kebaikan kepada kita atau lebih penting lagi dibelanjakan untuk kehidupan kita di kampung abadi kelak? Jika wang gaji kita tiada keberkatan, kita membelanjakannya di tempat-tempat yang tidak halal. Sila tepuk dada tanya iman.

Apabila kita menyebut soal keberkatan, kita sebenarnya tidak boleh lari daripada konsep berjimat-cermat. Hatta dalam soal makanan pun kita tidak boleh membazir walaupun sisa-sisa makanan yang masih melekat di jari kita. Pada yang halus itu, mungkin ada barakahnya yang Allah s.w.t. berikan kepada kita. Sepertimana kisah tuan rumah saya dahulu yang menceritakan kepada saya, walaupun dia bekerja sebagai guru dengan gred DG48 dan isterinya tidak bekerja manakala rakannya bekerja sebagai guru dengan gred DG54 dan isterinya juga bekerja sebagai guru dengan gred DG48 tetapi tuan rumah saya itu menaiki kereta Mercedes Benz dengan tinggal di rumah landed sendiri. Manakala rakannya pula hanya menaiki Proton Wira dengan tinggal di rumah teres satu tingkat. Di mana silapnya? Silapnya ialah rakannya itu suka membazir dengan suka membeli pakaian-pakaian baharu walaupun pakaian-pakaian lama masih boleh dipakai dan digunakan.

Inilah kehebatan mencari keberkatan dalam pengurusan kewangan kita dalam kehidupan. Kebaikan yang bertambah walaupun dengan gaji yang tidak seberapa dan kadang-kadang boleh mengalahkan gaji-gaji pegawai kerajaan gred Jusa A!

Apabila menyebut mengenai pengurusan kewangan, ianya adalah konsep untuk menumpukan penambahan ekuiti ataupun harta. Harta ini terpulang kepada anda sama ada hartanah ataupun emas ataupun duit berkepuk dalam ASB ataupun Tabung Haji. Apabila kita cuba mengaitkannya dengan konsep berjimat-cermat, lebihan daripada wang pendapatan kita dapat digunakan untuk penambahan ekuiti ataupun aset kita.

Kesilapan kita dalam pengurusan kewangan kita ialah kita gagal memberi nilai yang tinggi terhadap wang 1 sen. Apabila kita cuba mengaitkannya dengan soal keberkatan, kadang-kadang Allah s.w.t. memberi keberkatan kepada nilai 1 sen ini kepada kita. Kadang-kadang kita tidak sedar dengan duit kita dan hanya sedar apabila ianya telah tiada dalam dompet kita kerana dibelanjakan pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya.

Pokoknya di sini ialah kita menitikberatkan aspek keberkatan dalam hidup ini dengan mengamalkan gaya hidup dengan sifat jimat-cermat. Inilah yang membezakan kita sebagai orang Islam dengan orang-orang kafir. Sesungguhnya pada celah-celah yang halus itu ada barakahnya.

Wallahua’lam.

Wednesday, May 13, 2020

Memiliki Perniagaan tetapi Tidak Menjadi Peniaga, Memiliki Pelaburan tetapi Tidak Menjadi Pelabur

Agak menarik juga jika kita berfikir bait-bait ini, “Memiliki perniagaan tetapi tidak menjadi peniaga, memiliki pelaburan tetapi tidak menjadi pelabur.” Saya mula terfikir mengenai perkara ini apabila terbaca sebuah buku kewangan. Jika difikirkan semula, ada benarnya perkara ini jika kita membuat secara ‘joint venture atau jv bersama dengan orang lain. Dengan kata lain, kita menjadi ‘sleeping partner’ ataupun ‘rakan kongsi tidur’ sahaja.

Akan tetapi, kita sebenarnya tidaklah mendapat 100 peratus hasil daripada perniagaan ataupun pelaburan apabila menjalankan usaha-usaha ini bersama dengan orang lain. Ini bermakna orang yang menjalankan pelaburan ataupun bisnes yang mendapat bahagian yang lebih hasil keuntungan yang diperolehi. Mereka ini sebenarnya bertindak sebagai pengusaha sebenar yang berani menghadapi risiko untuk menjana pendapatan ataupun keuntungan daripada wang kita.

Sebagai pekerja makan gaji, kita sudah tentu terikat dengan waktu kerja dengan majikan. Adalah amat mustahil jika ingin menjadi peniaga sepenuh masa ketika ini dengan membuat dua kerja dalam satu masa. Oleh itu, jalan mudah jika ingin menjalankan perniagaan ialah membuat secara ‘partnership’ dengan orang lain. Modal yang digunakan adalah milik kita dan kita boleh mengupah orang untuk menjalankan bisnes kita.

Saya ada seorang rakan yang menjalankan bisnes pokok getah. Walaupun dia bekerja di Kuala Lumpur tetapi dia mempunyai ladang getah di kampungnya, Kelantan. Apa yang dilakukan oleh beliau untuk menjalankan bisnes getahnya? Caranya ialah beliau mengupah orang bagi menjaga ladang getah beliau. Hasil getah yang dijual dibahagi sama rata antara beliau dengan orang yang menjaga ladang getah beliau tersebut.

Sebenarnya, banyak lagi peluang pelaburan di luar sana selain daripada Amanah Saham Bumiputera (ASB) ataupun Tabung Haji (TH). Sebagai orang Melayu ataupun Bumiputera, kita tidak lari daripada membuat pelaburan bagi kedua-dua tabung ini. Namun begitu, kita boleh membuat lagi pelbagai pelaburan lain yang masih banyak lagi di luar sana. Tidak kira sama ada hartanah, emas, dan sebagainya.

Memiliki perniagaan dan pelaburan adalah penting sebagai sumber pendapatan pasif kita. Kita tidak perlu bekerja tetapi wang datang kepada kita. Kita hanya perlu mempunyai modal untuk menjalankan bisnes. Apa yang lebih penting lagi kita sudah membuat persediaan di hari tua nanti apabila telah pencen kelak.

Wallhua’lam.

Monday, May 4, 2020

‘Great Game’ di Iran



Objektif utama perjanjian Anglo-Rusia pada tahun 1907 adalah untuk menyelesaikan persaingan antara Britain dan Rusia bagi kepentingan mereka di Asia Tengah. Persaingan kuasa politik ini dikenali sebagai ‘Great Game’ dan Iran menjadi wilayah sasaran bagi kedua-dua kuasa besar ini. Sejak kurun ke-19M. Ketika ini, Iran dipimpin oleh Dinasti Qajar (1794-1925M). Dinasti Qajar ini mewarisi wilayah Iran yang lemah akibat persaingan kuasa-kuasa besar dunia dan perang saudara yang meletus di wilayah sendiri. Britain meluaskan empayarnya di India sehingga ke bahagian sempadan timur di Iran manakala Rusia pula meluaskan pengaruhnya di Laut Kaspian di bahagian selatan Iran. Dengan kata lain, Iran tidak dapat mengelak daripada menjadi mangsa ‘Great Game’ yang dicetuskan oleh kuasa-kuasa besar ini.

Sumber: Eric Hooglund, “Iran and World War I” dlm. M. Hakan Yavuz dan Feroz Ahmad, War and Collapse: World War I and The Ottoman State, (Salt Lake City: The University of Utah Press).