Wednesday, October 7, 2020

Kerana Halalkan di Dunia dan di Akhirat



Apabila saya menonton cerita 3 Abdul yang merupakan salah siri filem lakonan Allahyarham P. Ramlee saya tertarik dengan perjanjian yang dibuat antara Abdul Wahub (P. Ramlee) dan Sadiq Segaraga (Ahmad Nisfu) serta Kassim Patalon (Salleh Kamil) sebagai saksi perjanjian sewaktu Abdul Wahub ingin membalas dendam terhadap ke atas Sadiq Segaraga dengan mengahwini anaknya Ghasidah.

Perjanjian yang dibuat ini ialah siapa yang marah akan dijual seluruhnya. Selepas perjanjian ditandatangani, kedua-dua pihak memohon supaya dihalalkan segala-galanya di dunia dan di akhirat sekiranya terjadi apa-apa selepas itu.

Jika dilihat konflik yang terjadi selepas itu Abdul Wahub seolah-olah dilihat sebagai pencuri dan perompak secara terang-terangan harta Sadiq Segaraga walhal dia sebenarnya ingin memancing Sadiq Segara supaya bapa mentuanya itu marah. Pertamanya ialah menyuruh orang ramai mengambil harta kedai Sadiq Segara dan kemudian menyedekahkan kedai milik Sadiq Segara kepada anak-anak yatim. Keduanya ialah Abdul Wahub menyuruh orang ramai mengambil harta-harta di dalam rumah Sadiq Segaraga dan akhirnya membuatkan Sadiq Segaraga marah dan dijual.

Apabila difikirkan semula tindakan Abdul Wahub adalah tidak salah kerana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menghalalkan di dunia dan di akhirat sekiranya terjadi apa-apa selepas perjanjian itu ditandatangani. Malang bagi Sadiq Segaraga dia dipermainkan sendiri oleh perjanjian yang dipersetujuinya sendiri bersama Abdul Wahub.

Walaupun ini sebuah filem tidak lapuk ditelan zaman, ianya juga menjadi peringatan kepada kita semua apabila berurusan dengan semua orang. Yang lebih penting lagi ialah percakapan kita mengenai harta kita dengan orang lain.

Saya masih teringat pada tahun 2001 dahulu ketika saya di bangku sekolah di mana guru saya menceritakan bahawa ayahnya sendiri berhutang dengan kawannya hanya sebanyak RM150 sahaja. Sebagai cagarannya, ayahnya menawarkan sebidang tanah kepada kawannya sekiranya dia tidak dapat membayar sebanyak RM150 tersebut.

Walaupun kejadian ini berlaku 20 tahun sebelum itu, ayah guru saya itu bukannya tidak mempunyai duit untuk membayar RM150 tetapi sudah terlalu lama duit itu dipinjam dan berasa malu untuk membayarnya semula. Akhirnya, tanah itu yang berharga sebanyak RM40,000 mengikut nilai semasa diberikan kepada kawan ayahnya itu. Apalah sangat jika ingin dibandingkan antara RM40,000 dan RM150 ketika itu.

Begitulah realiti dalam kehidupan kita semua. Peringatan bagi saya dan saudara semua. Berhati-hatilah apabila berkata-kata apabila berurusan dengan semua orang. Kelak harta kita yang terlepas kepada orang lain. Jika tidak terlepas sekalipun, hati kita akan merasa tenang dan tenteram jika kita memungkiri kata-kata kita sendiri.

Wallhua’lam.

No comments: