Saturday, April 27, 2019

Ulasan Buku : Secangkir Teh Pengubah Letih

Buku ini memang best!

Membaca buku ini menyebabkan saya berasa tidak bosan untuk membelek helaian demi helaian sehingga di kulit belakang buku ini. Walaupun buku ini sekitar 267 halaman, namun ia sarat dengan nilai-nilai intelektual yang bertunjangkan kepada pengalaman penulis ketika berada di Turki sekitar tahun 1990-an.
Buku ini sebenarnya buku lama yang telah berada di pasaran sekitar tahun 2010 dan ketika ini saya masih bujang. Tetapi entah macam mana saya tidak berhasrat untuk membeli buku ini ketika mula-mula berada di pasaran dahulu. Alhamdulillah, saya ditakdirkan membeli buku ini pada tahun ini (2019). Itupun setelah saya berumah tangga. 
Kelemahan buku ini ialah penulis tidak menyesuaikan artikel-artikel yang ditulis dan diterbitkan sebelum ini untuk ditulis dalam bentuk buku. Contohnya ialah ayat beberapa hari yang lepas dan sebagainya yang dimuatkan dalam buku ini. Sudah terang lagi bersuluh apa beberapa bab dalam buku ini sebenarnya mungkin telah diterbitkan dalam bentuk artikel. Sepatutnya ia perlu disunting semula sesuai sebagai pembacaannya sebagai sebuah buku.
Hmmm... Apa yang boleh saya katakan ialah bertuahlah kalau sesiapa yang mendapat perluang belajar di luar negara ketika membuat first degree. Tidak macam saya di mana saya hanya belajar untuk first degree saya hanya di Malaysia sahaja. 
Berkenaan dengan diri penulis iaitu Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang menceritakan pengalamannya telah berulang-alik ke Turki lebih daripada 20 kali sewaktu belajar di Universiti Mu’tah. Bukan senang tu nak dapat peluang pergi ke Turki. Saya pun sehingga hari ini baru sekali sahaja ke Turki. Pengalaman saya ke Turki ini saya nukilkan dalam karya saya yang bertajuk Peperangan Terakhir Uthmaniyah. 
Terasa betapa beliau Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ini menghargai ukhuwah yang lahir bersama dengan kenalan-kenalan beliau di Turki yang telah berjaya digarapkan dengan tulisan dalam buku ini. Walaupun berlainan bahasa dan warna kulit, tetapi orang-orang Malaysia dan Turki disatukan melalui akidah tauhid yang satu.
Buku ini banyak menceritakan mengenai penggembaraan penulis sewaktu berada di Turki. Kadang-kadang ilmu yang diperolehi melalui pengalaman ini amat bernilai yang boleh dikongsikan dengan pembaca semua. Buku ini banyak berkisar mengenai budaya orang-orang Turki dan sudah tentu penulis membuat perbandingannya dengan realiti masyarakat Malaysia. 
Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis ketika berada di Turki sekitar tahun 1990-an. Ketika ini, Recep Tayyib Erdorgan masih menjadi Datuk Bandar Istanbul dan memimpin parti AKP. Siapa sangka pada hari ini Erdorgan telah menjadi Presiden Turki walaupun beliau pernah ditahan oleh pihak tentera supaya tidak terlibat aktif dalam politik selama lima tahun ketika buku ini ditulis!
Betapa orang Turki amat menyanjung Mustafa Kamal Ataturk. Mereka amat menyanjungi Ataturk sebagai wakil agama Islam ataupun Godfather mereka. Oleh itu, tidak hairanlah apabila orang Malaysia berada di Turki, mereka dinasihatkan supaya tidak mencaci Ataturk kerana ini mungkin menimbulkan kemarahan orang-orang Turki. 
Adat merisik orang-orang Turki amat menarik dan amat berlainan dengan budaya merisik di Malaysia. Jika rombongan lelaki datang merisik seseorang wanita, apakah yang akan dibuat oleh seseorang wanita itu jika dia menerima atau menolak orang yang datang merisiknya? Jawapannya mudah sahaja. Jika seseorang wanita berkenan dengan lelaki tersebut, dia akan menghidangkan kopi manis bergula. Manakala jika seseorang wanita itu menolak pinangan lelaki tersebut, dia akan menghidangkan kopi yang pahit kepada tetamunya. Menarik bukan? 
Isu tudung memang tidak dapat lari daripada isu utama Turki. Oleh kerana Turki masih menjunjung dan mengamalkan ideologi sekularisme, maka pemakaian tudung amat dilarang sama sekali khususnya di parlimen ataupun universiti. Ada pelajar perubatan yang telah enam tahun berada di pengajian, namun ketika ingin mengambil peperiksaan, mereka dilarang untuk memakai tudung sekiranya untuk masuk ke kampus. Antara perintah Allah s.w.t. dan segulung ijazah yang mereka perlu pilih.
Tidak kurang dari itu juga ada pelajar-pelajar yang memakai snow cap ataupun wig supaya dapat melepasi security di pintu masuk supaya dapat memasuki kampus. Betapa sukarnya mereka untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. sedangkan sebahagian wanita di Malaysia yang tidak memakai tudung atas alasan yang remeh-temeh. 
Di Turki juga tidak ada kuliah subuh ataupu maghrib seperti di Malaysia dan kuliah-kuliah seperti ini amat sukar ditemui. Mereka memperolehi ilmu melalui wacana ilmu di akhbar dan siaran-siaran televisyen mengenai talk show agama. Kemudian, mereka berbincang perkara ini ketika berada di kedai-kedai kopi bersama mereka. 
Apa yang menarik ialah orang-orang Turki ialah amat pantang untuk mendengar berita. Tidak kisah sama ada usrah sedang diadakan hatta tengah makan sekalipun, mereka akan berhenti sejenak untuk melihat dan mendengar siaran berita apabila berkemandang di udara! Menarik bukan? 
Bagi keluarga yang beragama, orang-orang Turki amat sensitif dengan Safar al-Mar’ah iaitu perempuan yang bermusafir. Mereka tidak suka mana-mana wanita yang belum berkahwin termasuk Malaysia sendiri yang datang melancong ataupun menyambung pelajaran ke universiti di Istanbul tanpa ditemani oleh mana-mana mahram mereka. Mereka perlu ditemani dengan mahram mereka sama ada adik atau abang lelaki mereka jika datang ke Turki. Ada yang berhenti kerja dan berpindah mencari rezeki di Istanbul untuk memastikan adik atau kakak perempuannya berpindah ke Istanbul bersama mahram. Sebenarnya, ini adalah kesan daripada pentadbiran Ataturk dahulu yang menggalakkan wanita untuk keluar rumah tanpa ditemani sesiapa untuk mengikut nilai-nilai Barat.
Kenapa orang-orang Turki menamakan anak mereka dengan Mehmet berbanding dengan Muhammad? Ini juga perkara menarik untuk kita ketahui. Sebenarnya, orang-orang Turki tidak menamakan nama anak-anak mereka dengan Muhammad kerana untuk menjaga kesucian nama Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Jika seseorang budak yang bernama Muhammad lalu mencuri buah epal, sudah tentu orang akan mengatakan “Muhammad itu yang mencuri epal” dan secara tidak langsung ini menodai nama Nabi Muhammad s.a.w. itu sendiri.
Selain budaya orang Turki, buku ini turut menceritakan mengenai sejarah Uthmaniyah itu sendiri dan pergolakan ekonomi dan politik yang berlaku di Turki pada penghujung tahun 1990-an. Saya bercadang tidak untuk mengulas di sini kerana mungkin kita sudah biasa dengar dan tahu. Apapun buku ini memang menarik untuk dibaca dan dihayati.
Wallahua’lam.

No comments: