“Diberitakan seorang lelaki datang menemui
imam Shafie bagi mengadukan nasibnya yang hidup dalam penuh kesempitan. Beliau
mendapat upah sebanyak 5 dirham bagi pekerjaannya. Duit gaji yang diterima itu
tidak mencukupi. Peliknya, Imam Shafie tidak berkongsi idea supaya lelaki
tersebut membuat kerja kedua, kerja separuh masa di tempat lain ataupun
berhenti kerja, dan mencari kerja di tempat lain yang memberikan gaji lebih
tinggi daripada 5 dirham.
Sebaliknya Imam Shafie menyuruh lelaki
tersebut pergi menemui majikannya dan meminta supaya diturunkan gajinya kepada
empat dirham sahaja. Beliau pergi menyampaikan arahan Imam Shafie itu walaupun
dia bertambah keliru. Mengikut logik akal, sekiranya lima dirham tidak cukup,
empat dirham lagilah tidak cukup.
Setelah beberapa ketika, lelaki tersebut
datang semula bertemu dengan Imam Shafie dan menceritakan bahawa selepas
majikannya membayar gaji sebanyak empat dirham, dia masih berada dalam
kesempitan hidup, gaji empat dirham itu tidak membuatkan hidupnya bertambah
baik.
Mendengar luahan lelaki itu buat kali kedua,
Imam Shafie memerintahkan kepada lelaki itu untuk sekali lagi berjumpa dengan majikannya
supaya mengurangkan satu dirham lagi dariapada gajinya menjadi tiga dirham.
Jika kita sebagai manusia normal, mesti merasa pelik bagaimana Imam Shafie
boleh mempunyai pemikiran yang bertentang dengan logik akal manusia normal,
apabila memberi solusi untuk orang yang ada masalah ‘gaji tidak cukup’. Pada
zaman ini, jika diminta berbuat begitu ada tak staf kerajaan mahupun swasta
yang sanggup berjumpa dengan majikan untuk menurunkan gajinya?
Lelaki tersebut pergi sekali lagi berjumpa
dengan majikannya untuk memohon dikurangkan gajinya kepada tiga dirham sahaja.
Iaitu hampir 40 peratus kurang daripada gaji asal iaitu lima dirham.
Selepas seketika, beliau datang bertemu lagi
dengan Imam Shafie dan menceritakan bahawa duit tiga dirham itu cukup untuk
menampung semua keperluan hidupnya dan hidupnya menjadi lapang.
Lelaki itu diceritakan mahu mengetahui
apakah rahsia di sebalik upah yang jauh lebih rendah itu yang menjadikan
keperluannya cukup? Beliau bertanya kepada Imam Shafie kenapa ia berlaku seperti
itu?
Imam Shafie menerangkan bahawa pekerjaan
yang beliau lakukannya hanya berhak untuk menerima upah daripada tiga dirham.
Ekstra dua dirham daripada gajinya sebelum itu telah mencabut keberkatan
hartanya, kerana sudah bercampur dengan yang haram.
Justeru, Imam Shafie menyebut, “Dia
kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak. Yang haram
masuk ke dalam yang halal lalu merosakkan kesemuanya.”
Daripada kisah di atas, kita boleh merujuk
kepada kisah hidup kita sama ada kesempitan yang kita alami itu disebabkan
rezeki yang tidak cukup, ataupun ia sudah bercampur-aduk dengan yang halal dan
yang haram. Mendapat dividen daripada akaun simpanan yang konvensional sudah
cukup untuk menunjukkan ada harta haram yang sudah menyelinap masuk ke dalam
kewangan kita.
Jika bekerja makan gaji, sama ada di sektor
swasta ataupun kerajaan, perlu diingatkan supaya sepanjang pekerjaan, kita
elakkan, minimumkan peluang dan ruang untuk kita menyalahgunakan hak majikan
untuk keperluan peribadi kita semata-mata. Contohnya, mencetak pembayaran bil
utiliti menggunakan komputer pejabat tanpa kebenaran daripada majikan. Membuat
salinan buku fotokopi buku latihan anak-anak menggunakan mesin fotokopi pejabat
dan banyak lagi.
Bagi yang pernah melakukan perbuatan tersebut
sebelum ini, gantikan semula dengan membeli kertas A4, dakwat mesin cetak
ataupun dakwat mesin cetak itu dengan nilai kertas A4 dan sebagainya. Jika ada
menggunakan kenderaan pejabat untuk keperluan peribadi, ‘top up’ petrol ataupun
diesel pada kenderaan pejabat itu bagi menggantikan apa yang telah kita
gunakan. Sebaiknya lebihkan, kerana banyak kos lain juga terlibat, termasuk
tayar menjadi semakin haus sedikit, kita juga mempercepatkan sedikit tarikh
tukar minyak hitam di atas setiap kilometer semasa kenderaan itu bergerak untuk
keperluan peribadi kita yang tidak halal dan tanpa kebenaran majikan.
Kita risau duit gaji yang besar, habis dan
tidak cukup untuk menanggung pelbagai musibah yang sentiasa mengetuk pintu
rumah kita. Baru minggu lepas kita masuk hospital, hari ini pula compressor kereta kita pula yang rosak.
Dan sebentar tadi, isteri pula memaklumkan tangki air bawah bumbung bocor dan
airnya sudah membasahi komputer riba dan televisyen rumah. Allah, bala apakah
ini?
Duit kita sentiasa tidak cukup. Satu per
satu musibah kunjung tiba tanpa memberi peluang untuk kita berehat.”
Dipetik
daripada : Shamsuddin Kadir, Cashflow Untuk Lelaki.
Komen Saya :
Apabila membaca kisah Imam Shafie terasa
kisah ini sebenarnya terkena dengan batang hidung sendiri. Imam Shafie meminta
supaya lelaki yang sentiasa merasakan rezekinya tidak cukup supaya lelaki
tersebut mengurangkan gajinya yang diterima daripada majikannya kerana itulah
gajinya yang sepada dengan kerjanya itu.
Bagaimana pula dengan kita pada hari ini?
Kisah ini tidak dapat dipisahkan daripada hakikat diri kita sendiri sebagai
pekerja makan gaji. Bagaimana pula dengan pendapatan atau gaji kita yang naik
dari tahun ke tahun sedangkan hakikatnya kerja yang dilakukan adalah sama
sahaja? Oleh itu, tidak hairanlah pada hari ini bahawa pekerja kerajaan ataupun
swasta sering terdedah dengan kemiskinan semasa disebabkan banyak membuat
pinjaman bank dan tidak cukup sana sini.
Harta majikan adalah hak majikan dan bukan
milik kita. Oleh itu, berhati-hatilah kita apabila kita menggunakan peralatan
pejabat.
Adalah sukar bagi kita untuk meminta dengan
majikan supaya memotong gaji kita apatah lagi untuk memohon supaya tiada
kenaikan gaji tahunan buat diri kita sendiri. Oleh itu, jalan penyelesaiannya
sudah tentu dengan jalan sedekah dan istighfar untuk menebus kesilapan kita
sewaktu berada di tempat kerja dengan menerima gaji pada setiap bulan.
Wallhua’lam
No comments:
Post a Comment