Tuesday, January 9, 2018

Konvesyen Pakatan Harapan 2018 : Pembangkang Usah Terlalu Yakin

Pakatan Harapan yang mencalonkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi PRU-14 nanti.
Dari segi pembahagian kerusi parlimen di kalangan pembangkang menunjukkan Parti Bersatu atau Parti Cap Bunga mendominasi pembahagian kerusi pada kali ini iaitu sebanyak 52 kerusi parlimen, diikuti oleh Parti PKR (51), DAP (35), dan Amanah (27). Sememangnya kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak dalam semua perkara. Dalam pada itu, Parti Amanah tidak berpuas hati dalam pembahagian kerusi pada kali ini. Mungkin kerana mendapat pembahagian kerusi paling sedikit. Inilah akibat meninggalkan parti yang memperjuangkan Islam yang akhirnya merugikan diri sendiri.
Mengapakah Pakatan Harapan terlalu yakin pada kali ini seolah-olah mereka telah confirm untuk menang PRU untuk menggulingkan Mohd. Najib? Bagaimana jika Pakatan gagal untuk menggulingkan Barisan Nasional nanti walaupun Barisan Nasional nanti hanya memperoleh majoriti mudah? Tidakkah rakyat akan ‘boo’ Pakatan Harapan terutama pemimpin-pemimpinnya yang terlalu over-confident sekiranya mereka kalah nanti? Tentu Tun Dr. Mahathir akan duduk diam sahaja atau menjadi Pengerusi GLC sahaja seperti Abdullah sekiranya gagal menggulingkan Mohd. Najib pada kali ini.
Meminjam kata-kata Zaid Ibrahim, “Dr. Mahathir adalah ketua oligarki yang mempunyai kekuatan luar biasa.” Sememangnya kehadiran Dr. Mahathir dalam pakatan pembangkang mempunyai sentuhan dan auranya sendiri. Dr. Mahathir yang mempunyai pengalaman selama 22 tahun sebagai pemimpin utama Umno sudah tentu mengetahui strategi-strategi dan kelebihan-kekuatan Umno. Namun begitu, ini bukanlah penjamin Pakatan Harapan boleh menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU-14 nanti.
Pas pula menunjukkan rentaknya sendiri dalam pilihanraya pada kali ini apabila mahu bersendirian menghadapi pilihanraya pada kali ini. Pasca PRU-13 yang lepas menunjukkan kerusi parlimen di kalangan orang-orang bukan Islam semakin bertambah dalam pakatan pembangkang. Oleh itu, Pas meninggalkan ideologi yang diperkenalkan olehnya untuk bekerjasama dengan Dap yang kononnya untuk memperkenalkan Islam kepada pemimpin-pemimpin Dap iaitu konsep tahalluf siasi. Ideologi yang diperkenalkan ini hanya makan diri kerana Pas tidak boleh menerima bekerjasama dengan orang-orang bukan Islam yang dominan dalam pakatan pembangkang untuk menggulingkan Umno-BN kerana ia hanya merugikan orang-orang Islam itu sendiri tatkala kerusi-kerusi parlimen di kalangan orang bukan Islam semakin bertambah di dalam Dewak Rakyat. Atas dasar ini, orang-orang Pas yang tidak berpuas-hati dengan kepimpinan parti keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah untuk meneruskan kerjasama dengan Dap dengan harapan boleh menggulingkan Barisan Nasional.
Apa yang membimbangkan sekarang ialah kesanggupan Pas untuk bertanding di mana-mana kerusi parlimen yang melibatkan pertandingan BN-Pakatan Harapan yang sekaligus melibatkan pertandingan tiga penjuru. Jika sekiranya ini berlaku, sudah tentu memberi kelebihan kepada BN. Jarang sekali pertandingan tiga penjuru akan menyebelahi pihak pembangkang. Jika ini berlaku, cita-cita pembangkang untuk menggulingkan Mohd. Najib terkubur begitu sahaja.
Politik adalah seni segala kemungkinan. Politik Tun Dr. Mahathir adalah keluar masuk parti Umno semata-mata untuk selamatkan Umno dengan menggunakan pentas pembangkang kerana beliau tahu bahawa berjuang secara sendirian dalam politik Malaysia tidak akan membuahkan hasil. Dalam politik, musuh ketat semalam boleh menjadi kawan sejati pada hari ini. Mungkinkah Tun Dr. Mahathir bekerjasama dengan pembangkang semata-mata untuk selamatkan Umno pada kali ini?
Wallahua’lam.

 

No comments: