Tuesday, October 17, 2017

Kita Hanya Ada 24 Jam Sehari, 2 Tangan dan 2 Kaki

Apabila kita masih kecil, kita mempunyai masa dan tenaga tetapi tidak mempunyai wang.

Apabila kita di zaman muda, kita mempunyai tenaga dan wang tetapi tidak mempunyai masa.

Apabila kita di waktu tua, kita mempunyai masa dan wang tetapi kita tidak mempunyai tenaga.

Itulah aturan kehidupan ini. Yang kita harus menerima hakikatnya.

Saya masih teringat ketika berusia 18 tahun sewaktu ceramah maghrib. Ada seorang pelajar USM yang menyatakan bahawa masa prime kita ada sewaktu berusia 18 tahun sehingga 25 tahun. Dan selepas itu tiada prime time lagi kerana kita sudah berkahwin. Ini kerana ini adalah tempoh prime time kita adalah sewaktu kita bujang yang boleh membolehkan kita melakukan apa sahaja.

Apabila kita sudah berkahwin, maka komitmen kita makin bertambah untuk keluarga. Masa kita seharusnya dibelanjakan untuk keluarga kita. Masa 24 jam sehari masih kekal dan tidak bertambah walaupun selepas berkahwin.

Sebagai manusia biasa, kita juga mempunyai matlamat dan cita-cita yang ingin dicapai setiap detik kehidupan kita. Masalahnya kita tidak boleh mengejar matlamat yang banyak dalam satu-satu masa. Kita hanya ada 24 jam sehari, 2 tangan dan 2 kaki.Jika kita ingin membuat banyak perkara dalam satu-satu masa, dibimbangi untuk mengejar sesuatu tak dapat dan yang dikendong keciciran.

Contohnya, kerana ingin kita kejarkan duit yang lebih maka kita bekerja 2 pekerjaan sehari. Siang sudah bekerja, malam pun bekerja lagi. Akibatnya produktiviti kerja waktu siang terganggu kerana kita sudah bekerja di malam hari sebelum itu. Lebih malang lagi jika kesihatan kita akan terjejas kerana itu.

Dalam penulisan begitu juga. Usah kita kejar untuk membuat semua genre buku. Jika menulis banyak genre buku, ia akan membelanjakan masa yang panjang kerana kita akan perlu mempelajari benda baru dari semasa ke semasa untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baru lagi. Bukankah ini merugikan masa kita?

Ironinya, kita harus mempunyai matlamat yang jelas dalam kehidupan ini. Adalah mustahil jika kita ingin meletak dunia di dalam poket kita.

Wallahua'alam.

No comments: