Thursday, October 19, 2017

Tahap-Tahap Ilmu Sejarah

Sebenarnya, ilmu sejarah ini terbahagi kepada empat pengkelasan utama iaitu mitos, lagenda, memori sosial, dan fakta sejarah. Mari kita berbincang mengenai empat perkara ini.

Mitos

Ini adalah pengkelasan ilmu sejarah yang paling rendah. Mitos ini adalah cerita yang diada-adakan sahaja. Contohnya, sultan di sebuah negeri mempunyai kuasa untuk terbang. Dari segi logik akal, cerita ini langsung tidak boleh diterima apatah lagi ingin dijadikan fakta sejarah.

Lagenda

Dari segi ilmu sejarah, taraf lagenda adalah ianya cerita sebenar yang ditokok tambah. Contohnya, semua orang tahu Parameswara adalah pengasas Kesultanan Melayu Melaka. Maka, ini adalah fakta. Sekiranya, masyarakat menokok-tambah yang kononnya Paramewara mempunyai kuasa boleh terbang dan berdarah putih di mana fakta ini di luar logik akal manusia, maka perkara ini sudah menjadi lagenda walaupun benar Parameswara itu memang wujud.

Memori Sosial

Memori sosial adalah fakta sejarah yang tidak diuji akan kebenarannya walaupun fakta itu memang berlegar di dalam masyarakat. Contohnya, askar Jepun memang benar pernah datang menawan dan menakluki Tanah Melayu.

Tetapi sejauh manakah kebenaran bahawa askar-askar Jepun ini merogol wanita-wanita di Tanah Melayu walaupun cerita ini diturunkan dari generasi ke generasi yang lain? Adakah kajian pernah dilakukan oleh mana-mana pihak mengenai mangsa rogol askar-askar Jepun ini? Jika tiada kajian dilakukan, maka fakta ini hanya sekadar menjadi memori soial walaupun benar tentera Jepun pernah menawan dan menakluki Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Fakta Sejarah

Fakta sejarah merupakan hierarki tertinggi dalam pengkelasan ilmu sejarah. Fakta-fakta yang ada telah dikaji dan diuji kebenarannya sehingga ianya menjadi fakta yang rasmi dan diangkat menjadi fakta sejarah. Contohnya, wanita-wanita di Tanah Melayu yang dikatakan dirogol oleh tentera Jepun dicari dan temu bual dibuat. Ataupun saksi-saksi ketika perang ini dicari dan ditemu-bual. Maka, memori sosial ini boleh diangkat menjadi fakta sejarah kerana fakta ini telah diuji kesahihannya.

Wallhua’lam.

No comments: