Tuesday, June 21, 2016

Najib Menang Bergaya, Dr. Mahathir Hanya Mengigit Jari


Memang ternyata. Kredibiliti Mohd. Najib dalam PRK pada kali ini memang teruji kerana mampu meraih majoriti yang lebih besar di parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Walaupun dihimpit dengan 1,001 skandal pentadbiran negara, saudara Najib mampu menang dalam kedua-dua PRK ini. Motto 'cash is king' memang relevan dalam memacu survival politik beliau.
 
Rakyat secara umumnya tidak berminat dengan isu-isu 1MDB. Saya secara peribadi pun rasa meluat dan malas hendak melayan skandal-skandal kewangan ini. Apa yang rakyat hendak ialah tempat tinggal, makan minum, pekerjaan, cukup. Isu-isu peribadi jet Rosmah dan sebagainya tidak mampu untuk menambat hati rakyat untuk meraih undi.
 
Dari satu sudut yang lain, pembangkang pula berada dalam keadaan yang haru-biru kerana berpecah sesama sendiri. Benar kata-kata orang, sebelum mendapat kuasa bercakap macam pejuang. Selepas dapat kuasa, pecah semua tembelang.
 
Perpecahan di kalangan pembangkang sehinggakan wujudnya blok pembangkang ketiga memberi 1,001 rahmat kepada Mohd. Najib kerana wujudnya pertandingan 3 penjuru yang memberi kelebihan undi kepada BN. Sekiranya trend ini berterusan, keadaan ini memberi kelebihan kepada BN untuk memenangi PRU akan datang. Bahkan untuk memperolehi majoriti 2/3 parlimen adalah tidak mustahil.
 
Apa yang lebih menarik, sokongan masyarakat cina semakin pulih walaupun pada tahap 35%. Saya percaya sokongan masyarakat cina yang semakin meningkat ini bukan disebabkan oleh perpecahan pembangkang tetapi kerana tindak balas hukuman GST kepada mereka yang dikenakan kepada golongan mereka yakni sebagai masyarakat peniaga.
 
Buat Dr. Mahathir, kita akan ketinggalan sekiranya kita tidak mahu berubah. Saya percaya Dr. Mahathir hanya mengigit jari melihat kejayaan Mohd. Najib dan terus menghentam Najib di dalam blognya meluahkan perasaan tidak puas hati. Hari-hari tua Dr. Mahathir akan berakhir dengan kekecewaan dan mungkin tidak lagi sebagai ahli Umno selama-lamanya.
 
Wallhua'lam.
 

No comments: