Idea atau ilham ini
kadang-kadang datang menerjah mengetuk fikiran dan minda kita. Seolah-olah kita
mendapat renjatan kuasa elektrik apabila mendapat sesuatu idea yang baru
lebih-lebih lagi untuk menyelesaikan masalah tertentu.
Idea ini
kadang-kadang tanpa kita undang – ketika makan, berjalan, memandu, dan apa
lebih teruk lagi jika waktu kita ingin tidur. Mahu tak mahu terpaksa tahan
mengantuk dulu untuk melaksanakan idea tersebut sebelum dia hilang entah ke
mana.
Tetapi, idea juga
perlu dijemput. Kerana idea itu sendiri adalah ilmu. Tetapi, al-Quran dan ilmu
itu sendiri adalah cahaya dan ia tidak berada dalam hati yang dicemari maksiat.
Bagaimana idea nak datang apabila hati atau mata kita sentiasa melihat
benda-benda yang boleh mengotorkan hati kita pada setiap hari?
Membaca blog-blog
murahan dengan tulisannya seperti bau hanyir ikan dibuang dalam tong sampah
adalah menjengkelkan. Kadang-kadang hati merasa gelap apabila membaca
tulisan-tulisan yang setiap hari tahu hanya mengutuk orang. Seolah-olah dirinya
bersih lagi suci.
Begitu juga dengan
Facebook. Jika boleh saya ingin mengelak daripada membaca facebook. Apabila
kita membaca facebook kita boleh melihat hati-hati manusia. Ada yang meluah
perasaan berjauhan dengan anak. Ada yang kecewa dengan kekasih. Ada yang
meluahkan perasaan rumah tangga. Dan tidak kurang juga mempromosi barang-barang
secara online. Lebih buruk lagi apabila meletakkan gambar atau video yang bukan-bukan.
Kadang-kadang
internet juga memburukkan dan memberi kesan negatif kepada kita walhal masih
ada orang mengatakan ianya masih baik. Jika kita bertanyakan orang-orang yang
belajar di maahad tahfiz, mereka dilarang melakukan tiga perkara – mendengar
radio, membaca surat khabar, dan melayari internet.
Sudah tentu
perkara-perkara ini menggelapkan hati kita. Jika hati kita gelap, bagaimana
ayat-ayat al-Quran boleh tertanam dengan sempurna di dalam hati kita?
Dalam pengurusan ada
suatu yang dikenali sebagai ‘idea trap’ iaitu anda perlu menulis sesuatu idea
yang terlintas di fikiran anda secara tiba-tiba. Anda boleh menulis atau
melakar idea anda secara ringkas apabila mendapat idea secara tiba-tiba. Jika
biarkan untuk membuat perkara lain, kelak ianya akan hilang.
Pendek kata, idea
juga perlu dijemput. Untuk menjemput idea, kita perlu menjaga hati kita kerana
ia juga merupakan ilmu yang bukannya boleh datang kepada sembarangan orang.
Wallhua’lam.
No comments:
Post a Comment