Bak kata ulama’ hadis tersohor
di Syria iaitu Sheikh Abd Fatah Abu Ghuddah, “ Sesiapa yang tidak membaca dari
awal hingga akhir sebuah kitab, dia tidak akan menemui rahsia kitab tersebut.”
Saya tertarik dengan kata-kata
Sheikh Abd Fatah Abu Ghuddah ini bahawa kita perlu membaca sesebuah buku dari
kulit depan sehingga kulit belakang untuk mengetahui rahsia sesebuah buku
walhal buku tersebut hanya sebuah novel. Apabila kita membaca sesebuah buku,
kita tidak boleh main celup-celup sahaja atau memilih bab-bab tertentu sahaja
jika kita fikir ia menarik untuk dibaca. Saya juga tidak bersetuju dengan sesetengah
pendapat orang yang mengatakan bahawa kita perlu membaca sinopsis sesebuah buku
dan kemudian membaca apa kandungan utama yang dibincangkan dalam sesebuah buku.
Dengan kata lain, bahagian yang tidak utama diabaikan dari dibaca. Mungkin isi
kandungan yang tidak berapa penting itu mungkin boleh menjadi benda yang
bermanfaat bagi kita.
Sebenarnya, saya tertarik
dengan kandungan buku novel karya Prof Hamka yang bertajuk ‘Tenggelamnya Kapal
Van Der Wijck’ yang sudah berada di pasaran selama 77 tahun! Saya tertarik
dengan watak Zainuddin yang telah menjadi pengarang terkenal selepas kecewa dalam
percintaan yang disebut dalam novel ini.
Apa yang menarik ialah
seolah-olah Prof Hamka ingin menyampaikan mesej dalam novelnya kepada semua
penulis atau bakal penulis bahawa jika kita ingin menulis, kita perlu menyalahi
tatabahasa ataupun nahu dan saraf dalam penulisan. Ini sebenarnya perlu
dititikberatkan supaya tulisan seseorang penulis itu lain daripada yang lain.
Antara petikan novel ‘Tenggelamnya
Kapal Van Der Wijck’ yang menarik perhatian saya ialah :
“Kata sesetengah orang, ilmu mengarang itu diperdapat lantaran
dipelajari, diketahui nahu dan saraf bahasa dan dibaca karangan
pujangga-pujangga lain dan menirunya, bisa orang menjadi pengarang. Banyak
diperbuat orang aturan mengarang, mesti begini, mesti begitu, tak boleh salah.
Tetapi bilamana kita lihat karangan pujangga yang sejati sentiasa berlainan
susunannya dengan lain pujangga. Seorang pengarang, bilamana dibaca orang
karangannya, orang tertarik dengan kesulitan bahasa yang dipakainya. Yang lain
pula bahasanya tidak begitu dipedulikannya, kadang-kadang menyalahi orang lain,
bahkan menyalahi nahu dan saraf yang terpakai pada lazim, tetapi lebih enak
orang membaca karangan itu.”
Antara intipati daripada
perenggan ini jika kita ingin menjadi penulis ialah (1) Meniru karya penulisan
pengarang lain untuk melatih diri kita menulis, (2) Menggunakan bahasa yang
sukar, dan (3) Menyalahi nahu dan saraf.
Dalam kes ini, saya cuba ingin
kaitkan dengan kata-kata Prof Hamka dengan penulisan Zainuddin Maidin yang juga
bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu. Saya amat tertarik dengan penulisan dengan
tulisan Zainuddin Maidin atau Zam dalam blognya Zamkata kerana penulisannya
adalah amat lain dan kadang-kadang menyalahi tatabahasa. Contohnya ialah perenggan
dalam artikel beliau yang bertajuk ‘Siapakah Sebenarnya Mahathir Kepada Saya?’
:
“Sebuah lukisan Jambatan Bengkok tergantung
di suatu sudut di Geleria Perdana Langkawi di Pulau Langkawi untuk menjadi
nisan kenangan pahit dan pedih terkuburnya harapan tinggi Tun Dr. Mahathir
untuk membangunkan maruah kemuliaan dan keberanian bangsa dan negara di pintu
sebuah negara kecil yang sombong yang menganggap dirinya lebih kuat dan lebih
besar.”
Sudah
tentu secara sekilas pandang sahaja, kesilapan bahasa oleh Zam ialah penggunaan
perkataan ‘dan’ di mana perkataan ‘dan’ diulang sebanyak empat kali dalam satu
ayat sedangkan jika kita belajar di bangku sekolah dahulu, perkataan ‘dan’
hanya boleh sekali sahaja dalam satu-satu ayat.
Satu
lagi dalam tulisan Zam ialah beliau suka menggunakan ejaan-ejaan lama era
1950-an. Ini contoh perenggan artikel ‘Bukan Semua Penyokong Najib Adalah
Sampah’ :
“Saya tahu dalam perjuangan,parti parti politik tidak boleh memileh
penyokong, tetapi letakkanlah mereka di tempat yang sesuai.Janganlah penunjolan
mereka menyamai orang-orang parti yang berintegriti sehingga kerana seorang dua
menyebabkan penyokong Najib kelihatan seolah olah lebih banyak sampah. Maka
itulah saya bimbang Najib akan ditenggelami oleh timbunan sampah.”
Dapat diperhatikan bahawa
perkataan ‘memilih’ menjadi ‘memileh’, dan ‘penonjolan’ menjadi ‘penunjolan’
dalam contoh penulisan Zam.
Bagaimana pula dengan anda?
Bagaimanakah standard penulisan anda untuk anda karang supaya penulisan anda
itu menyalahi nahu dan saraf bak kata Prof Hamka supaya ia ada kelainan
daripada tulisan yang lain di samping dapat menambat hati jutaan manusia untuk membaca
tulisan hasil tangan anda?
Wallhua’lam.
http://wankamarul701.blogspot.com
No comments:
Post a Comment