Thursday, July 24, 2014

Perbezaan Zakat Fitrah dan Zakat Umum

Terdapat perbezaan antara zakat fitrah dan zakat umum yang lain seperti zakat pendapatan, pertanian, dan lain-lain. Seperti yang telah kita sedia maklum, zakat fitrah merupakan zakat yang wajib ditunaikan pada bulan Ramadhan. Jika seseorang itu berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, maka sia-sialah ibadat puasanya.
 
Pertamanya, perbezaan zakat fitrah dengan zakat umum ialah zakat fitrah adalah khusus untuk orang-orang fakir dan miskin yakni orang yang tidak mempunyai keperluan yang cukup untuk menampung keperluan hariannya. Umpamanya, keperluan harian mereka ialah RM20 sehari tetapi mereka hanya termampu untuk memperolehi hanya RM15 sehari. Oleh itu, mereka layak untuk mendapat zakat fitrah.

Zakat fitrah ini berbeza dengan zakat umum kerana zakat fitrah ini hanya khusus golongan fakir miskin manakala zakat umum pula untuk golongan 8 asnaf yang telah disebutkan dalam al-Quran iaitu orang-orang fakir, miskin, amil zakat, muallaf, untuk memerdekakan hamba, orang-orang berhutang, orang-orang fi sabilillah, dan ibnu sabil.

Selain itu, zakat fitrah lebih afdal dibayar atau diberi terus kepada golongan fakir dan miskin berbanding dibayar melalui amil. Zakat fitrah juga boleh dibayar melalui wakil. Contohnya, ada rakan anda yang ingin bertemu golongan fakir miskin, anda boleh mewakilkan atau mengirimkan zakat fitrah anda kepada rakan anda untuk diberi kepada golongan tersebut, Manakala zakat umum yang lain selain zakat fitrah tidak boleh dibayar melalui wakil dan perlu dibayar kepada amil yang telah dilantik oleh kerajaan.

Selain itu, di pada hari raya Aidilfitri kita juga digalakkan memakai baju yang berwarna-warni selain dari warna putih kerana baju berwarna putih adalah sunat untuk dipakai pada hari Jumaat. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri mempunyai baju yang khusus untuk dipakai pada hari raya Aidilfitri.

Berbeza dengan hari raya Aidiladha, di mana kita disunatkan terlebih dahulu untuk menjamah makanan sebelum menunaikan solat hari raya Aidilfitri. Manakala hari raya Aidiladha kita disunatkan untuk menjamah makanan selepas menunaikan solat sunat hari raya.

Sudah semestinya kita dituntut untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain pada hari raya. Dalam bermaaf-maafan ini sebenarnya terdapat perbezaan antara mazhab Syafie dan Maliki. Dalam mazhab Syafie, kita dikehendaki menyebut satu per satu kesalahan apa yang kita lakukan kesalahan terhadap seseorang apabila kita memohon maaf daripadanya. Manakala dalam mazhab Maliki memadai sahaja kita memohon maaf secara umum kepada seseorang tanpa menyebut setiap kesalahan apa yang kita lakukan terhadap seseorang.

Inilah keindahan ilmu fekah di mana ia mempunyai kelainan sendiri terhadap sesuatu isu. Apa yang penting ialah kita perlu belajar ilmu ini kerana ia menjadi amalan kita terhadap sesuatu ibadat. Alangkah ruginya kita tidak mengetahui ilmu ini jika membuat sesuatu amalan tetapi tidak tahu ilmu amalan tersebut dari sudut fekah. Wallhua'lam.


 

No comments: