Sunday, July 20, 2014

Kekuatan Roh dalam Pengurusan Kewangan


Harga barang terus naik dari semasa ke semasa tetapi gaji bulanan hanya naik dari tahun ke tahun. Dengan kata lain, kuasa membeli terbatas dan ini bermakna kadar inflasi naik. Ketenangan hidup pula hilang resah kerana memikirkan wang sentiasa yang tidak pernah cukup khususnya apabila kita tinggal di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur. Oleh itu, pentingnya kekuatan roh dalam pengurusan kewangan kita supaya kita dapat memelihara hubungan dengan Rabb yang memberi rezeki kepada kita. Antara amalan-amalan untuk mendapatkan ketenangan hidup yang semakin mencabar saban hari adalah seperti berikut :

1. Mengamalkan Solat Dhuha

Selain solat 5 waktu, kita dianjurkan untuk mengamalkan solat dhuha pada setiap hari. Oleh itu, wajibkan diri kita untuk melaksanakan solat dhuha pada setiap hari. Dengan ini, kita perlu melaksanakan solat 6 waktu setiap hari. Ini menurut hadis qudsi yang berbunyi :

“Wahai anak Adam, jangan sesekali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (Solat dhuha), nanti pasti Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” Riwayat al-Hakim dan at-Thabrani

Sebenarnya solat dhuha boleh dilakukan sehingga 8 rakaat. Jika anda belum mengamalkan solat dhuha setiap hari, lakukan 2 rakaat dahulu pada setiap hari untuk tahun pertama.Kemudian, pada tahun kedua tingkatkan kepada 4 rakaat setiap hari dan begitulah sehinggalah tahun ke-4, kita boleh mengamalkan 8 rakaat solat dhuha pada setiap hari.

Saya hanya mengambil analogi harga minyak yang dinaikkan secara berperingkat-peringkat yang dilaksanakan oleh Kerajaan supaya ia tidak membebankan pengguna. Bagaimana jika harga minyak dinaikkan 100 peratus dalam masa sebulan? Sudah tentu ia membebankan rakyat dan menimbulkan kemarahan mereka. Ada baiknya harga minyak dinaikkan secara berkala supaya ia tidak membebankan orang ramai.

Begitulah dengan solat dhuha, lakukan secara berperingkat-peringkat. Sudah tentu dengan mengamalkan solat dhuha 8 rakaat lebih baik daripada 2 rakaat lebih baik dan lebih mendatangkan kemurahan rezeki kepada kita.

2. Bersedekah pada Setiap Hari

Bersedekah pada setiap hari boleh mendatangkan kemurahan rezeki kepada kita terutamanya apabila menjelang waktu subuh. Anda boleh mengamalkannya dengan bersedekah RM1 sehari apabila menunaikan solat subuh berjemaah di masjid pada setiap hari. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

Setiap pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, “ Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah s.w.t. Yang satu lagi menyeru, “Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (bakhil).”

Selain itu, Surah al-Baqarah juga menyebut mengenai fadilat bersedekah :

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui.”

Oleh itu, carilah ruang dan peluang untuk bersedekah pada setiap hari. Nescaya, Allah s.w.t. kurniakan rezeki kepada kita dari arah yang tidak disangka-sangka.

3. Beristighfar pada setiap hari

Di dalam Surah Hud ayat 52 juga terdapat perintah Allah s.w.t. supaya kita beristighfar untuk memohon supaya diturunkan hujan dan diberi kekuatan iaitu :

Dan (dia berkata): "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, niscaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.”

Sebenarnya, apa yang menghalang rezeki datang kepada kita adalah dosa yang disebabkan oleh tangan-tangan kita sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda :

”Sesungguhnya seseorang hamba boleh tertahan rezekinya kerana dosa yang dilakukannya.”  Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, dan Ibnu Majah

Oleh itu, marilah kita beristighfar untuk memohon keampunan kepada Allah s.w.t. pada setiap hari. Diriwayatkan bahawa sahabat nabi iaitu Abu Hurairah r.a. berzikir sebanyak 12,000 (dua belas ribu) kali sehari pada setiap hari. Subhanallah, alangkah hebatnya Sahabat nabi ini. Bagaimana pula dengan kita? Seharusnya janganlah kita langsung tidak beristighfar pada setiap hari yang berlalu.
 

4. Solat Awal Waktu dan Berjemaah

Firman Allah s.w.t. :

“Perintahkanlah keluargamu bersolat dan bersabarlah dalam mengerjakan solat. Kami tidak meminta rezeki daripada kamu. Sesungguhnya Kami yang memberi rezeki kepada kamu. Dan balasan baik bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Thoha : 132

Saya juga kadang-kadang teringat kepada pengalaman saya ketika tinggal di asrama sewaktu di universiti tahun pertama ketika membaca ayat ini. Semasa tahun pertama (selama 2 semester), pelajar-pelajar tahun pertama diwajibkan tinggal di asrama yang disediakan.

Bilik saya di tingkat 4 manakala surau di tingkat 2. Oleh kerana surau amat dekat, saya memang menunaikan solat berjemaah khususnya Subuh, Maghrib, dan Isyak di tingkat 2 apatah lagi hanya turun dan naik tangga sahaja untuk berulang-alik antara bilik dan surau.

Hendak dijadikan cerita, pinjaman PTPTN yang mula-mulanya yang saya terima pada tahun pertama hanyalah separuh kerana saya tidak layak untuk mendapat pinjaman penuh. Kemudian saya membuat rayuan untuk mendapat pinjaman penuh. Ditakdirkan semasa semester ketiga, saya mendapat tunggakan pinjaman PTPTN sebanyak RM6,000! Saya mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka! Jika renungi ayat Surat Thoha ini, mungkin disebabkan saya sentiasa menunaikan solat berjemaah ketika tinggal di asrama suatu ketika dahulu. Kini selepas 10 tahun berlalu, saya sudah melangsaikan semua hutang PTPTN saya. Alhamdullilah.

Setakat ini sahaja dahulu tip-tip yang perlu diamalkan oleh kita semua untuk membina kekuatan roh supaya dimurahkan rezeki. Apa yang saya sebutkan mungkin amalan-amalan utama sahaja dan tidak menyentuh amalan-amalan lain. Semoga kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Insya-Allah.


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: