Monday, August 5, 2013

16 Bab Sejarah Islam Dikeluarkan dari Sukatan Matapelajaran Pendidikan Islam?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Sewaktu balik daripada masjid pada minggu lepas, saya menonton suatu forum di TV 1 di mana terdapat 2 orang ahli panel iaitu Dr. Asri Zainal Abidin dan Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan JAIS. Apa yang dibincangkan dalam forum tersebut ialah isu syiah yang semakin menular dalam masyarakat kita pada hari ini secara siaran langsung.

Apa yang lebih menarik sidang video dibuat ketika forum tersebut bersama Pengerusi Persatuan Ulama Kedah, Ustaz Abdullah Din ketika forum tersebut sedang berlangsung. Beliau menjelaskan bahawa isu syiah yang berlaku sekarang di kalangan pelajar disebabkan pelajar gagal memahami sejarah syiah itu sendiri. Ini disebabkan sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah telah mengeluarkan sebanyak 16 bab Sejarah Islam yang menyebabkan pelajar gagal memahami mengenai sejarah syiah itu sendiri.

Ustaz Abdullah Din juga menyeru Kementerian Pelajaran agar menggubal semula sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam supaya bab-bab mengenai Sejarah Islam dimasukkan semula ke dalam mata pelajaran ini. Tambah Dr. Asri lagi beliau menyatakan bahawa sukatan mata pelajaran sekolah yang menceritakan sejarah Muawiyah semasa beliau berada di tingkatan 6 banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur syiah yang menyebabkan Muawiyah kelihatan seperti seorang yang jahat dan beliau menulis semula kisah sejarah Muawiyah supaya sejarahnya tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur syiah.

Saya telah menulis sebelum ini supaya Kementerian Pelajaran menggubal semula mata pelajaran Sejarah supaya ia menyingkap kembali sejarah kegemilangan Islam di awal tahun 1900. Sememangnya Kementerian Pelajaran menjadi nadi yang penting untuk menyampaikan ilmu mengenai sejarah Islam yang sebenar khususnya yang boleh mencerdikkan pelajar dan juga masyarakat.

Sekian, terima kasih.

 

No comments: