Monday, August 12, 2013

Mungkinkah Matlamat Ekuiti Bumiputera 30% Sudah Tercapai?


Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Mungkinkah ekuiti bumiputera lebih daripada 30%? Ini merupakan suatu persoalan yang menarik untuk dijawab. Saya telah menulis mengenai ‘Apa itu ekuiti 30% bumiputera?’ sebelum ini. Sehiingga tahun 2010, ekuiti bumiputera adalah berjumlah 23.09%.

Menurut Jomo K.S., pengiraan ekuiti setiap kaum sebenarnya tidak memberi gambaran sebenar mengenai agihan saham. Misalnya, angka saham Bumiputera tidak mengambil kira saham yang dimiliki melalui pihak pertengahan oleh pihak yang tidak dikenali kaum atau kewarganegaraannya, seperti mereka yang memiliki saham melalui syarikat wakil (nominee company).

Malah semua saham ini dianggap saham pemastautin Malaysia bukan Bumiputera, sedangkan saham ini dimiliki oleh Bumiputera dan juga pemastautin asing. Malah, ada kemungkinan lebih besar sebahagian besar daripada saham ini dimiliki oleh individu Bumiputera, terutamanya orang politik yang ingin menyembunyikan kepentingan saham mereka. Tetapi kalaulah saham-saham ini dibahagikan mengikut siapa pemilik sebenarnya, maka jumlah saham Bumiputera akan naik.

Angka-angka ini hanya mengambil kira nilai nominal saham dalam pasaran, sedangkan agihan kekayaan saham sepatutnya berdasarkan nilai pasaran. Memang terdapat banyak masalah dalam menganggarkan pembahagian kekayaan saham berdasarkan nilai pasaran masing-masing tetapi angka-angka inilah yang bermakna sekiranya untuk mengira kekayaan.

Memandangkan bahawa pemilikan saham Bumiputera dan juga saham pemastautin asing lebih banyak ditumpukan kepada syarikat gergasi yang lebih berjaya dan telah mampu menyusun semula, ada kemungkinan besar bahawa kekayaan saham sebenar pemastautin Malaysia bukan Bumputera lebih kurang daripada pemilikan saham nominalnya, sedangkan kekayaan Bumiputera dan pemastautin asing barangkali lebih tinggi daripada pemilikan saham nominalnya.

Ambil sebagai contoh. Andaikanlah dua syarikat X dan Y yang pernah mengeluarkan saham dengan harga par RM1. Katakan Si A mempunyai sejuta saham syarikat X yang mempunyai nilai pasaran kini sebanyak RM2 sesaham, sedangkan Si B pula mempunyai sejuta saham syarikat Y yang mempunyai nilai pasaran kini 50 sen sesaham. Maka, walaupun menurut angka kerajaan, yang hanya mengambil kira nilai nominal saham berkenaan, Si A dan Si B itu sama kaya walhal saham Si A bernilai 4 kali ganda berbanding saham Si B.

Oleh itu, matlamat 30 peratus itu barangkali sudah tercapai kalaulah pihak kerajaan mengemukakan angka-angka mengenai nilai saham di pasaran dan membahagikan saham yang tidak dikenal pasti pemilik sebenarnya.

Saya bersetuju dengan apa yang diutarakan oleh Jomo K.S. dalam buku beliau iaitu ‘Warisan Ekonomi Mahathir’ ini iaitu nilai-nilai saham sepatutnya diambil kira pemilik saham sebenar dan bukannya yang diwakili oleh penama untuk mewakili bagi pihak individu tertentu. Selain itu, nilai-nilai saham individu yang diutarakan oleh beliau perlu mengambil kira nilai saham semasa dan bukannya mengambil nilai saham nominal iaitu harga asal sesuatu saham ketika mula-mula ia diterbitkan. Diharap cadangan yang diutarakan beliau digunapakai oleh pihak Kerajaan untuk menilai ekuiti bumiputera dengan lebih terperinci pada masa hadapan.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: