Monday, July 1, 2013

Perbezaan Antara Royalti dan Honorarium Hasil Penulisan

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Tetamu Istimewa menulis, “Perkongsian yang menarik. Yang pastinya perlu berhati-hati dengan penggunaan istilah antara royalti dan honorarium. Ramai penulis yang kurang faham antara pembayaan melalui royalti dan honorarium.”

Artikel saya mengenai ‘Royalti Hasil Penulisan’ merupakan salah satu artikel yang terletak dalam ranking 10 yang menarik dalam blog ini sejak ia disiarkan pada 30 Mei 2012 yang lepas.

Sebenarnya, terdapat perbezaan antara royalti dan honorarium dalam penulisan.

Royalti adalah pendapatan penulis yang berasaskan kepada perkongsian keuntungan. Contohnya, sekiranya sesuatu buku masih terjual maka seseorang penulis akan menerima royalti hasil daripada jualan bukunya itu.

Harga sesebuah bagi buku adalah dijual sekitar RM10 hingga RM20 bagi novel sekitar 250 hingga 300 halaman. Pembayaran royalti adalah bergantung kepada perjanjian penerbitan. Ada penerbit yang menawarkan royalti sebanyak 7 peratus daripada harga buku. Ada yang menawarkan 10 peratus. Ada juga yang menawarkan RM20 bagi sebuah buku. Pulangannya adalah cukup lumayan. Jika cetakan pertama novel anda ialah 25,000 unit, dan anda mendapat sebanyak RM2 untuk setiap unit. Maka, anda mendapat royalti sebanyak RM50,000 jika buku anda laku kesemuanya. Ini tidak termasuk bagi cetakan pertama, kedua dan seterusnya. Jika anda mampu menyiapkan sebuah novel setiap tahun dan cetakan dua kali, dalam masa 10 tahun, anda akan menjadi jutawan.

Berikut merupakan contoh kadar royalti bagi penerbit PTS:

i.    7% daripada harga runcit buku (1 – 5,000 naskah yang terjual).
ii.   10% daripada harga runcit buku (5,001 – 10,000 naskah yang terjual).
iii.  11% daripada harga runcit buku (10,000 naskah ke atas yang terjual).

Contoh yang lain ialah Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) menetapkan kadar royalti 10 peratus daripada harga runcit jualan, seperti yang tertera di kulit belakang buku. Bermakna, jika harga yang tertera adalahRM20, kadar royaltinya adalah RM2 bagi setiap unit buku yang terjual.

Manakala honorarium pula ialah saguhati yang dibayar sekali sahaja untuk sesuatu penulisan sama ada artikel, rencana, cerpen, puisi dan sebagainya.

Untuk cerpen, honorium akan dibayar sebanyak RM200 bagi majalah Dewan Sastera dan Pelita Bahasa. Untuk cerpen tema mudah sepeti Mingguan Wanita pula, anda akan dibayar sebanyak RM60. Bagi akhbar utama pula seperti Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, bayarannya ialah RM150 sebuah. Begitu juga dengan majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. iaitu majalah URTV yang menerima RM150 bagi setiap cerpen yang disiarkan.

Bagi rencana pula terdapat lebih kurang 250 majalah dan akhbar yang kebanyakannya menyiarkan rencana. Dari segi bayaran, puratanya anda akan mendapat sekitar RM200 – RM250 sebuah. Sekiranya anda dapat menyiapkan rencana satu rencana seminggu dan empat rencana sebulan, anda akan mendapat pendapatan sampingan sebanyak RM1,000 sebulan. Anda boleh menghantar rencana kepada majalah ternama seperti Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera ataupun akhbar utama seperti Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Surat pembaca juga boleh menjana pendapatan dari mana-mana surat yang tersiar. Dewan Sastera membayar RM80 untuk surat pembaca yang tersiar. Bayaran untuk Berita Bahasa dalam majalah Pelita Bahasa juga cukup lumayan, iaitu RM50 walaupun anda hanya menulis lima baris.

Manakala bayaran untuk sebuah puisi adalah antara RM20 sehingga RM150 untuk setiap buah. Misalnya, majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka membayar RM100 untuk sebuah sajak yang tersiar. Akhbar Berita Minggu pula membayar RM20 sebuah. Begitu juga dengan Metro Ahad dengan bayaran RM20 bagi satu puisi yang tersiar. Majalah Dewan Siswa pula pernah membayar sebanyak RM25 dan RM30 sebuah.

Pendek kata, wang boleh dijana melalui penulisan. Ia bergantung kepada kehendak anda semua sama ada untuk mendapat duit sekali sahaja (honoranium) atau berkali-kali (royalti). Apa yang penting perbetulkan niat kita untuk menulis dan bukannya semata-mata kerana wang.

Sekian, terima kasih.

 

http://wankamarul701.blogspot.com


Rujukan
2. Nimoiz T Y, 2007. Menjadi Penulis Jutawan, TrueWealth Sdn Bhd.

No comments: