Wednesday, July 10, 2013

Adakah Tentera Mesir Tali Barut Israel?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Kejatuhan Presiden Mesir Mohamed Morsi oleh pihak tentera menimbulkan kecaman antarabangsa dari semua negara. Bagaimana seorang Presiden yang dipilih secara sah melalui demokrasi digulingkan oleh tentera. Apabila disebut sahaja pergolakan di Timur Tengah, kita tidak dapat lari daripada konspirasi 2 negara iaitu Israel dan Amerika Syarikat.

Ini mengingatkan kita mengenai pemansuhan sistem pemerintahan khilafah Uthmaniah yang dihapuskan oleh Mustafa Kamal Attaturk. Sememangnya peranan tentera memang besar dalam menjatuhkan kerajaan dalam sejarah politik dunia moden pada hari ini.

Formulanya mudah sahaja iaitu rakyat Mesir yang anti-Morsi dari golongan sekular dan liberal Islam membuat onar dengan mengadakan demonstrasi di dataran Tahrir  untuk mendesak supaya Morsi meletak jawatan. Dalam masa yang sama, tentera yang dipimpin oleh Andel Fattah al-Sisi memberi tempoh 48 jam kepada Morsi untuk meletak jawatan. Namun, Morsi berkeras bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya sehingga titisan darah terakhir. Akhirnya, tentera melucut jawatan Morsi sebagai Presiden Mesir.

Sukar untuk difahami mengapa pihak tentera pimpinan Andel Fattah al-Sisi bertindak menggulingkan Mesir sebaliknya tidak mengekang demonstrasi yang diadakan oleh puak anti-Morsi yang menyebabkan pertembungan antara anti-Morsi dan Ikhwanul Muslimin. Tentera seolah-olah menaguk di air keruh untuk menumbangkan Morsi dari demonstrasi yang dibuat.

Dapat dilihat bahawa kejatuhan Morsi sudah dirancang dari awal lagi seolah-olah ada pengarah filem yang merancang drama ini. Apa yang menarik drama ini mengikut skrip yang dirancang apabila Morsi akhirnya berjaya ditumbangkan.

Sekiranya dilihat susur galur politik Mesir sejak dijadikan republik pada tahun 1952, Presiden-presiden Mesir semuanya tunduk kepada barat. Dari Muhammad Naguib, Gamal Nassir yang merupakan agen CIA, Anwar Sadat yang tunduk kepada Amerika Syarikat semasa perang 1973 ketika Mesir hampir-hampir mencapai kemenangan apabila menentang Israel. Apatah lagi dengan Husni Mubarak yang memegang tampuk kuasa selama 30 tahun secara terang-terangan didokong oleh Amerika Syarikat dan Israel. Akhirnya, Hosni Mubarak dijatuhkan oleh rakyatnya sendiri. Berbeza dengan Morsi di mana beliau merupakan pemimpin yang bebas daripada tunduk kepada kuasa barat.

Morsi dilihat sebagai penyokong usaha pembebasan Palestin di mana beliau membuka pintu Gaza sebelah Mesir untuk memudahkan rakyat Palestin mendapatkan makanan. Sudah tentu tindakan ini tidak menyenangkan Israel dan kaum yahudi.

Terbaru tentera Mesir mengarahkan jentolak untuk merobohkan terowong Gaza Gate yang menghubungkan antara Gaza dan Mesir. Sememangnya tindakan ini dilihat sebagai pro-Israel untuk menyekat bekalan kepada penduduk Palestin. Selain itu, tentera Mesir juga menembak mati penyokong Mursi semasa menunaikan solat di masjid.

Apa yang pasti ialah terdapat tangan-tangan ghaib yang berjaya mencucuk jarum supaya Morsi dijatuhkan iaitu Amerika Syarikat. Sebelum ini Mubarak adalah orang Amerika yang berfungsi sebagai alat Amerika Syarikat untuk menyebarkan pengaruh politiknya di negara Timur Tengah tersebut. Amerika Syarikat berharap agar pengganti Mubarak merupakan orang yang pro-Amerika juga tetapi takdir meletakkan Morsi sebagai Presiden Mesir yang anti-Barat dan juga anti-Israel.

Urutan peristiwa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa Amerika Syarikat dan Israel memainkan peranan untuk menjatuhkan Morsi. Apa yang lebih malang lagi ialah umat Islam yang menjadi mangsa keadaan ini di mana mereka berperang dan berbunuh-bunuhan antara satu sama lain apabila musuh Islam berjaya mencucuk jarum mereka. Sepatutnya mereka berdamai untuk menyelesaikan masalah dan bukannya main hentam keromo mengadakan protes terhadap Morsi bagi mereka yang liberal dan sekular.

Apakah nasib Mesir selepas ini? Sudah tentu politik di negara ini akan lebih bergelora lagi dalam masa terdekat.

Sekian, terima kasih.

No comments: