Friday, May 10, 2013

PRU-13: Mungkinkah DAP Akan Menyertai Barisan Nasional (BN)?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Suatu ketika dahulu saya ditanya oleh kenalan saya, apakah peluang BN untuk menang dalam PRU pada kali ini? Saya menjawab, “70 : 30”. Akan tetapi, selepas keputusan PRU keluar keputusan menunjukkan bahawa BN menguasai 133 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Ini bermakna BN menang dalam nisbah 60 : 40.
Dr. Mahathir dalam satu kenyataan menyatakan bahawa biar sahaja UMNO yang menentukan sama ada Najib boleh kekal sebagai Perdana Menteri ataupun tidak. Pada hemat Dr. Mahathir, prestasi Najib pada kali ini adalah lebih baik daripada PRU pada tahun 2008 walaupun tidak mendapat 2/3 majoriti parlimen. Beliau menyatakan bahawa Najib boleh berundur sekiranya prestasi BN lebih buruk daripada tahun 2008. Ternyata prestasi Najib lebih teruk daripada Abdullah pada PRU tahun 2008 dahulu.
Lim Kit Siang dalam satu kenyataan menyatakan bahawa beliau meminta lawannya di Gelang Patah, Datuk Ghani Othman dilantik sebagai Menteri Kabinet kerana beliau sebenarnya merupakan mangsa politik Umno apabila dicalonkan untuk menentang beliau pada PRU yang lepas. Menurut Lim Kit Siang, sebenarnya Ghani Othman seorang yang sederhana dan banyak berkhidmat untuk Umno dan negeri Johor. Oleh itu, beliau tidak patut dikorbankan dalam politik kerana masalah dalaman Umno. Ternyata sifat Lim Kit Siang ini bertanding di Gelang Patah atas kapasiti ingin melawan parti dan bukannya individu.
Persoalannya sekarang, MCA hanya memenangi 7 parlimen dan Gerakan pula hanya memenangi 1 parlimen pada PRU-13 yang lepas berbanding DAP yang memenangi 38 kerusi parlimen. Apakah akan terjadi selepas ini? Apakah kerajaan BN akan meminggirkan terus kaum cina dalam kabinet kerana tidak memberi sokongan kepada mereka? Ini adalah kerana terdapat kenyataan pemimpin MCA yang menyatakan bahawa mereka tidak akan menyertai kabinet pada kali ini ekoran prestasi buruk dalam pilihanraya yang lalu.
Sekiranya tiada kaum cina di dalam kabinet yang dibentuk semula nanti, siapakah yang akan mewakili kaum mereka untuk membincangkan masalah mereka dan menyampaikan hasrat kaum mereka kepada kerajaan persekutuan? Sudah tentu sekiranya tiada Menteri-menteri yang dilantik daripada kaum cina dalam kabinet ia tidak akan membina perpaduan nasional antara kaum di Malaysia kerana tiada yang akan mewakili kaum mereka.
Sekiranya kerajaan persekutuan yang dibentuk semula selepas ini terus memboikot dan menyekat bantuan kaum cina terus kerana ingin membalas dendam disebabkan menyokong DAP sekalipun, ini sudah tentu tidak baik bagi sesebuah negara bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian yang sedia ada. BN boleh sahaja terus mengekalkan majoriti mudah sekalipun pada PRU akan datang dengan mengharapkan sokongan luar bandar dan Malaysia Timur kerana 70 peratus parlimen di Malaysia adalah terdiri daripada kawasan yang didiami oleh orang-orang melayu dan bumiputera. Berbanding dengan DAP yang mengharapkan sokongan kaum cina semata-mata di bandar-bandar besar bagi menguasai parlimen di samping sokongan kerusi PAS dan PKR. Akan tetapi, dengan mengekalkan keadaan ini, ini sudah tentu tidak baik bagi mengekalkan hubungan antara kaum di Malaysia tanpa penglibatan kaum cina di pentadbiran peringkat persekutuan.
Adakah DAP akan menyertai BN selepas ini bagi menggantikan MCA? Pendapat saya ialah jalan itu adalah jalan terbaik kerana MCA dan Gerakan sudah lagi tiada sokongan daripada masyarakat cina. Ini adalah jalan terbaik bagi membaiki hubungan antara masyakat cina dan Kerajaan Persekutuan yang dikuasai oleh Umno atau lebih tepatnya orang melayu dalam BN.

Pada malam pengumuman keputusan PRU-13 selepas BN dapat membentuk majoriti mudah, Najib dengan wajah sedih ada mengatakan bahawa beliau akan membuat ‘National Reconciliation’ atau dalam bahasa melayunya ialah “Pendamaian Nasional” kerana tidak mendapat sokongan kaum cina pada kali ini dan menyifatkan berlakukan ‘tsunami kaum cina’ pada PRU kali ini dan menyebabkan BN berada dalam keadaan lebih teruk daripada yang dijangkakan. Reconciliation dalam kamus Oxford menyatakan bahawa ‘berdamai’ atau ‘terpaksa menyesuaikan diri (berkenaan suatu tidak menyenangkan)’.  
Apakah strategi yang akan digunakan oleh Najib untuk berdamai dengan kaum cina? Saya tidak nampak bahawa dengan memujuk dan melantik pemimpin-pemimpin MCA atau Gerakan yang memenangi pilihanraya yang lalu sebagai menteri kabinet boleh mendapat semula sokongan dan perdamaian dengan kaum cina kerana kedua-dua parti ini sudah ditolak oleh kaum mereka. Apa yang saya nampak ialah DAP perlu menyertai BN dan jawatan menteri penuh perlu diberi kepada pemimpin-pemimpin parti ini yang memenangi kerusi parlimen.
Mujur kali ini UMNO tidak tersungkur dalam piihanraya, jika tidak tembelang kaum cina sudah pecah kerana secara diam-diam mereka sebenarnya berpakat menolak BN secara total. Jika UMNO ingin membalas dendam boleh sahaja kepada masyarakat cina tetapi ini sudah tentu boleh mencetuskan ketegangan kaum. DAP sebenarnya mendapat sokongan yang kuat dan padu daripada kaum cina. Berbanding MCA dan Gerakan, mereka tidak dapat membawa suara hati mewakili kaum cina kepada BN dan ini menyebabkan mereka ditolak. Ini adalah kerana MCA terkenal sebagai orang suruhan UMNO dan tunduk kepada kehendak UMNO apabila menyuarakan sesuatu perkara yang besar.
Sekiranya DAP menyertai BN, adakah UMNO sanggup melayani semua permintaan DAP yang mewakili kaum cina contohnya pemansuhan kuota ekuiti bumiputera 30% yang dibangkitkan di Kongres Ekonomi Cina Malaysia pada tahun 2010. Orang cina juga tidak termakan dengan konsep 1Malaysia dan menganggap ia hanya cakap kosong semata-mata. Mereka juga menolak budaya rasuah contohnya skandal PKFZ yang melibatkan pemimpin-pemimpin MCA.
BN khususnya UMNO perlu mencari titik pertemuan dengan parti DAP ini sekiranya ingin membaiki hubungan dengan kaum cina melalui penyatuan ini. Sudah tentu DAP tidak boleh dilayan sebagai MCA yang disifatkan oleh Nazri Aziz sebagai isteri yang terbiar.
Sejarah yang berlaku pada masa lalu juga boleh juga berlaku pada hari ini. Jika dahulu MCA kalah teruk di dalam PRU tahun 1969 dan Tun Tan Siew Sin memaklumkan kepada Tunku bahawa wakil mereka tidak akan menyertai kabinet Perikatan selepas itu. Pada hari ini MCA mengalami nasib yang serupa dan Presiden MCA, Chua Soi Lek memaklumkan bahawa tiada wakil mereka yang akan menyertai kabinet ekoran kegagalan teruk MCA pada pilihanraya yang lalu.
Sebenarnya tiada kawan dan lawan yang kekal di dalam politik. Sekiranya hari ini seseorang itu boleh jadi kawan di dalam politik belum tentu dia masih menjadi kawan kita pada esok hari. Begitu juga dengan Parti Gerakan bahawa ia sebenarnya merupakan sekutu DAP di dalam pakatan di dalam pembangkang apabila menentang Perikatan pada tahun PRU tahun 1969 dan kemudiannya menyertai Perikatan selepas PRU tersebut. Ini menyebabkan DAP semakin lemah keseorangan selepas itu.
Di dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku. Mungkinkah DAP pula akan menyertai BN dan meninggalkan PAS dan PKR berdua-duaan kerana mengutamakan kaum mereka daripada kepentingan kedua-dua parti tersebut pada kali ini?
Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: