Thursday, December 13, 2012

Negeri-negeri di bawah Pakatan Pembangkang Mempunyai Ketirisannya Tersendiri


Salam Kamarul. Apabila bincang kenapa hutang negara banyak. Kamu tidak mahu tanya pembangkang sebab pembangkang tiada pengalaman mentadbir ekonomi. Kamu mengatakan kerajaan ada banyak pengalaman ekonomi. Kalau kerajaan tu ada banyak pengalaman, kerajaan tidak akan mentadbir ekonomi sampai hutang banyak itu. Berikan maklumat ketirisan ekonomi dan kesan rasuah kepada hutang negara. Sila rujuk Laporan Ketua Audit Negara kalau dapat untuk bandingkan pentadbiran ekonomi negeri di bawah pembangkang dan kerajaan terutama sekali dari segi nilai hutang negara. Berikan maklumat lengkap dan dari sumber yang sahih untuk rujukan saya.

- Anonymous 11.12.2012

Wassalam. Saya sebenarnya mendapat maklumbalas daripada artikel saya sebelum ini mengenai kadar hutang negara yang naik sebanyak RM200 bilion dalam tempoh 4 tahun iaitu antara tahun 2008 – 2012 (Klik di Sini). Baiklah, saya akan cuba menjawab satu persatu daripada pertanyaan atau maklumbalas di atas:

Sebenarnya saya tidak mengatakan bahawa pembangkang tiada pengalaman mentadbir ekonomi. Apa yang saya katakan bahawa pembangkang tidak mempunyai pengalaman mentadbir ekonomi negara. Ya, pembangkang tidak pernah mentadbir negara sejak merdeka kerana pembangkang sehingga ke hari ini belum pernah memenangi pilihanraya bukan sekadar 2/3 parlimen tetapi juga memenangi majoriti mudah di dalam parlimen. Pakatan Rakyat yang mentadbir hari ini hakikatnya mewarisi negeri-negeri yang kaya sejak dahulu lagi di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) contohnya Selangor dan Pulau Pinang. Apa yang ingin saya katakan di sini ialah mentadbir ekonomi negara adalah tidak sama mentadbir ekonomi negeri.

Seterusnya Saudara Anonymous mengatakan bahawa kalau Kerajaan banyak pengalaman, Kerajaan tidak akan mentadbir ekonomi sampai hutang banyak itu. Saya sudah terangkan sebelum ini bahawa hutang negara yang banyak berjumlah RM200 bilion diperlukan sebagai tindakbalas kepada krisis kewangan global yang melanda pada penghujung tahun 2008. Hutang ini diperlukan bagi menampung kenaikan harga makanan dan sumber tenaga pada penghujung tahun tersebut. Sekiranya tidak disubsidikan, sudah tentu harga barang makin melonjak naik dari yang sepatutnya. Sehingga ke hari ini, Malaysia belum lagi diisytiharkan bangkrap seperti mana negara Greece dan boleh membayar hutang seperti mana yang dijadualkan.

Kemudian, mengenai maklumat ketirisan ekonomi dan kesan rasuah kepada hutang negara. Tidak dinafikan bahawa rasuah juga memberi kesan kepada hutang negara. Apa yang boleh dilakukan ialah mengurangkan rasuah dari semasa ke semasa. Sekiranya kita tengok di dunia pada hari ini pun, tiada Kerajaan yang sifar daripada rasuah. Sekiranya kita tengok kedudukan ranking Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dilaporkan oleh badan bebas antarabangsa iaitu Transparency International, kedudukan Malaysia adalah naik dari tangga ke-60 ke tangga ke-56 pada tahun ini berbanding tahun dahulu (2011). Ini adalah suatu usaha yang baik dalam mengurangkan rasuah di negara ini.

Seterusnya Saudara meminta saya membandingkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pembangkang. Ini sudah tentu berat sebelah kerana Kerajaan Persekutuan menjaga semua negeri di Malaysia manakala manakala Pembangkang menjaga negeri yang merangkumi daerah-daerahnya sahaja. Baiklah saya memberikan sumber yang lengkap mengenai negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang dari sumber yang sahih untuk rujukan Saudara iaitu Laporan Ketua Audit Negara 2011. Berikut adalah laporan yang dilaporkan oleh Laporan Audit Negara 2011:

Kelantan

1. Sehingga bulan November 2011, Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan Kerajaan PAS Kelantan telahpun menyerah hak milik tanah seluas 716.8 ekar secara pajakan 99 tahun yang bernilai RM318.29 juta kepada syarikat swasta tersebut tanpa melalui prosedur yang betul.

2. Pada 8 Julai 2003, Kerajaan PAS Kelantan secara rasminya telah memeterai perjanjian dengan syarikat Liziz Standaco Sdn. Bhd. melibatkan jumlah pelaburan mencecah RM2 bilion bagi melaksanakan projek PTSK di Lembah Sireh, Kota Bharu. Melalui perjanjian yang dimeterai ini juga, Kerajaan PAS Kelantan perlu menyerahkan kira-kira 1,000 ekar tanah kepada pihak syarikat dan sebagai syarat serta balasannya, Liziz Standaco Sdn Bhd perlu memberi sumbangan dalam bentuk kewangan dan pembangunan fizikal yang bernilai lebih RM350 juta. Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat dan Timbalannya adalah antara pemimpin negeri yang menghadiri majlis pemeteraian perjanjian projek tersebut.

3. Hampir 10 tahun sudahpun berlalu, timbul persoalan sama ada benar tidak wujud unsur pembaziran, rasuah ataupun penyelewengan disebalik kelulusan projek ini? 10 tahun berlalu, tapi sebahagian besar projek masih tak terlaksana namun tanah sudah berpindah milik. Apa sudah terjadi? Selain itu, sehingga kini juga beberapa projek pembangunan fizikal yang sepatutnya dilaksanakan oleh Liziz Standaco seperti sengaja tidak dilakukan konon atas alasan kenaikan kos bahan mentah dan sebagainya, sedangkan tanah seluas 716.8 ekar sudah menjadi hak milik syarikat swasta tersebut.

4. Projek pembinaan masjid yang bernilai bernilai RM20 juta, Jambatan Palekbang (RM150 juta) dan stadium tertutup wanita bernilai RM25 juta yang sepatutnya sudah siap dibina sehingga kini bayang pun tidak kelihatan, sedangkan ia adalah antara syarat penting yang perlu dipatuhi selepas Kerajaan PAS Kelantan menyerahkan tanah seluas 716.8 ekar itu. Hatta, syarat sumbangan kewangan RM15 juta oleh syarikat itu untuk Tabung Skim Perumahan Kos Rendah yang sepatutnya telah selesai dibayar pada Mac 2006, hingga kini cuma RM3 juta sahaja yang baru diperolehi.

5. Laporan Ketua Audit Negara 2011 menegur kelemahan kerajaan Pas Kelantan dalam projek membina Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) biarpun diberi peruntukkan sebanyak RM19 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Melalui peruntukan itu kerajaan negeri merancang membina tujuh projek RAKR melibatkan 838 unit rumah. Daripada peruntukkan tersebut sebanyak RM8.33 juta telah dibelanjakan sehingga akhir tahun lalu tetapi projek RAKR masih tidak berjalan sepenuhnya.
 
Kedah

1. Laporan Ketua Audit Negara 2011 baru-baru ini mendedahkan kerajaan PAS Kedah dikesan membuat pembayaran sebanyak RM2.55 juta kepada lima kontraktor yang tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan tujuh perumahan awam kos rendah sepanjang 2010 hingga 2011.

2. Namun, apa yang lebih mengejutkan dari laporan audit Kedah ialah apabila terdedahnya bagaimana Kerajaan PAS Kedah telah membayar RM2.55 juta kepada 5 kontraktor yang tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor bagi melaksanakan projek Taman Seri Gemilang, Flat Seberang Terus, Taman Wira, Flat Alor Malai, Flat simpang Kuala, Flat tongakng Yard dan Taman Kota Nelayan.

2. Kegagalan pelaksanaan beberapa projek utama oleh anak syarikat dibawah Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) merupakan salah satu punca kerajaan negeri mencatat kerugian. Projek-projek seperti pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea, Projek 99 East di Lankawi serta projek udang kerpan, tanaman getah dan kelapa sawit semuanya mencatatkan kerugian dengan nota audit yang menyatakan kelemahan dari segi perlaksanaan, perjanjian dan pemantauan.

Pulau Pinang

1. Laporan Audit 2011 yang menunjukkan penurunan hutang negeri tersebut antara 94 – 97%. Penurunan hutang ini dibantu kerajaan pusat melalui pengambilalihan pinjaman Projek Bekalan Air sebanyak RM655.25 juta telah diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) – organisasi dibawah Suruhajaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

2. Tiga anak syarikat kerajaan negeri di bawah Perbadanan Pulau Pinang iaitu Penang Global Tourism Sdn. Bhd. (PGTSB), PDC Nusabina Sdn. Bhd. (PDCN) dan PDC Homes Sdn. Bhd. (PDCH) didapati telah mencatat kerugian sebelum cukai pada tahun kewangan 2008 hingga 2010. Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendapati, kerugian terkumpul sehingga 2010 bagi ketiga-tiga syarikat itu berjumlah lebih RM6.8 juta iaitu masing-masing RM1.09 juta, RM5.16 juta dan RM583,035.

3. Sejumlah RM33.36 juta Akaun Amanah Perumahan Bumiputera telah tidak dibelanja. Jumlah ini adalah bersamaan dengan peningkatan 58% dari tahun sebelumnya iaitu RM21.11 juta.

4. Beberapa projek yang dibina juga, terbukti hanya membazirkan wang rakyat kerana tidak dapat digunakan sehingga kini. Antaranya Kompleks Makanan Mutiara Height di Jelutung dan Kompleks Makanan Gold Coast yang terletak di Bayan Baru yang bukan setakat terbiar begitu sahaja, bahkan kerana kurangnya aktiviti pemantauan keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan, telah menyebabkan banyak kemudahan asas yang disediakan di kompleks ini telah hilang atau dirosakkan.

Selangor

1. Laporan Audit Ketua Negara mendapati Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) yang mengendalikan Universiti Selangor (Unisel) mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak 198.1 peratus kepada RM37.63 juta berbanding RM12.62 juta pada tahun 2009.

2. Bagi Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Kerajaan Neeri hanya meluluskan 19.4% daripada 313,706 anak kelahiran Selangor dari tahun 2008 hingga 2011 untuk mendapat faedah TAWAS.

3. Laporan Ketua Audit Negara turut merekodkan bahawa kerajaan persekutuan memberikan RM375.9 juta kepada kerajaan Selangor bagi tujuan penyelenggaraan jalan negeri sepanjang 16,013 kilometer, tetapi kerajaan negeri didakwa hanya membelanjakan RM218.15 juta sahaja iaitu 58.1 peratus dari keseluruhan peruntukan.

4. Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dilaporkan bahawa memberikan tanah seluas 18.51 ekar di Klang, milik Yayasan Selangor kepada Exco Selangor, Elizabeth Wong, untuk dibina pusat kebudayaan Cina Selangor.

Dapat kita lihat bahawa Negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang mempunyai kelemahan dan ketirisannya tersendiri jika ingin dibandingkan dengan Kerajaan Persekutuan. Kita sering melihat bahawa Kerajaan pada hari ini terlalu teruk dengan isu-isu tertentu khususnya rasuah seolah-olah pembangkang langsung tidak mempunyai kelemahannya. Semoga Laporan Ketua Audit Negara 2011 ini boleh menjadi rujukan kepada Saudara Anonymous.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: