Tuesday, September 27, 2022

Pendakwaan Lemah Membuatkan Zahid Hamidi Terlepas

Adalah pelik apabila pendakwaan ke atas Zahid Hamidi gagal disabitkan kerana bukti yang lemah dikemukakan oleh pihak pendakwa. Memetik Malaysiakini antara lain menyatakan bahawa:

“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikemukakan di mahkamah, pemandu tidak dipanggil, pengawal tidak dipanggil, anggota polis tidak dipanggil, slip transaksi Touch and Go tidak dikemukakan, log panggilan telefon dan mesej dengan Zahid juga tidak dikeluarkan," katanya (Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam).

Selain itu, pihak pendakwa juga tidak membuktikan sampel sampul surat yang digunakan sebagai bukti untuk menunjukkan kejadian rasuah tersebut memang betul-betul berlaku.  Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam menyatakan seperti berikut; 

"Saya tidak boleh bayangkan saiz sampul apa yang boleh memuatkan wang tunai SGD600,000 yang bersamaan dengan sekitar RM1.6 juta pada masa itu."

Namun, mengikut carian Wikipedia, sebenarnya wang not Singapore Dollar (SGD) terdapat sehingga SGD10,000. Ini bermakna jika SGD600,000 digunakan bermakna hanya 60 keping wang not SGD10,000 digunakan dan ini adalah muat untuk dimasukkan dalam sampul surat. Berbanding wang not kertas Ringgit Malaysia (RM) di mana ianya adalah sehingga RM100 sahaja. Jika RM600,000 diperlukan, maka wang not RM100 sebanyak 60,000 keping diperlukan untuk mencukupkan jumlah ini. Sudah tentu ini tidak cukup untuk dimuatkan dalam beberapa keping sampul surat sahaja.

Tambahan pula 2 orang pengurup wang yang diambil keterangan tidak dipanggil untuk menjadi saksi untuk menyokong kes pendakwaan. 

Malah 3 orang saksi utama yang dipanggil untuk kes pendakwaan ini dikatakan tidak mempunyai kredibiliti. Ada kemungkinan juga duit yang dikatakan diberikan kepada Zahid Hamidi ini sebenarnya digunakan oleh ketiga-tiga orang saksi ini kerana mereka hidup mewah. etiap mereka mempunyai satu unit hartanah di Pavilion, Wan Quoris juga memiliki sebuah rumah banglo di Putrajaya dan sebuah rumah berkembar di Cyberjaya, dua Range Rover, motosikal mewah dan bayaran cukai berjuta-juta.

Namun begitu, Zahid Hamidi masih tidak boleh bernafas lega lagi kerana pihak pendakwa mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung kes ini.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, September 24, 2022

Implikasi Perlepasan dan Pembebasan Zahid Hamidi daripada Tuduhan Rasuah

Kalau dah nama Umno tak sah kalau tak dikaitkan dengan rasuah. Kalau orang-orang Umno dapat dibebaskan daripada tuduhan rasuah di mahkamah bermakna dunia sekarang sudah hendak kiamat. 

Semalam memang menggemparkan apabila Zahid Hamidi dilepaskan dan dibebaskan daripada 40 tuduhan merima rasuah sebanyak RM3 juta daripada Syarikat UKSB berhubung pemberian kontrak sewaktu menjadi Menteri Dalam Negeri. Pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes ini. 

Sebenarnya, 3 saksi utama yang dipanggil dalam kes ini gagal membuktikan mereka memberi secara tunai sebanyak RM3 juta kepada Zahid Hamidi walaupun terdapat wang RM3 juta yang dikeluarkan daripada akaun mereka. Jika saksi-saksi utama ini dapat membuktikan memang mereka memberi wang secara tunai kepada Zahid Hamidi, peluang untuk beliau lepas daripada tuduhan rasuah ini adalah amat tipis. 

Apa yang melucukan lagi ialah pindahan wang tunai beberapa kali kepada Zahid Hamidi ini hanya direkodkan melalui Microsoft Excel. Itupun dengan menggunakan kod nama dan bukan nama sebenar Zahid Hamidi. Lainlah Microsoft Excel ini dapat dilinkkan dengan akaun bank dan pindahan duit yang berlaku dapat dibuktikan. 

Akibatnya, pasukan pembelaan dapat membuktikan saksi-saksi ini tidak mempunyai kredibiliti dan akhirnya tuduhan ke atas Zahid Hamidi tidak dapat disabitkan. Zahid Hamidi tentu bangga kerana dapat dibebaskan daripada tuduhan rasuah. 

Jika mengikut realiti sebenar, rasuah secara tunai adalah sukar untuk dibuktikan di mahkamah kerana tiada bukti untuk menunjukkan ada pihak yang memberi dan menerima rasuah. Berlainan pula dengan rasuah melalui pindahan akaun bank, perkara ini dapat dibuktikan melalui penyata aliran keluar masuk tunai akaun bank seseorang individu. Inilah yang berlaku kepada Najib Razak kerana memang terang lagi bersuluh memang terdapat wang tunai yang masuk akaun beliau. Akhirnya, beliau berjaya dibuktikan bersalah di mahkamah. 

Jika kes Rosmah Mansor pula, walaupun rasuah berlaku secara tunai, namun saksi-saksi Rosmah ini mempunyai gambar sebagai bukti bahawa mereka memang memberi wang tunai kepada Rosmah Mansor. 

Sedikit sebanyak kemenangan kes Zahid Hamidi ini dapat meningkatkan kredibiliti Tuan Haji Hisyam Teh Poh Teik yang sebelum ini gagal untuk membela kes Najib Razak dalam kes SRC International sebagai peguam terkemuka. 

Pembebasan dan perlepasan Zahid Hamidi juga dapat memulihkan imej Umno di mana Zahid merupakan presiden parti ini. Barisan pembangkang yang mempunyai hero seperti Rafizi Ramli tentu berduka kerana presiden parti lawan tidak disabitkan tuduhan rasuah. Peluru Umno merupakan parti rasuah mungkin tidak dapat dijadikan isu untuk menghadapi PRU-15 nanti. 

Namun, Zahid masih belum dapat tidur lena lagi kerana terdapat kes rasuah lain yang masih belum dibicarakan iaitu rasuah Yayasan Akalbudi di mana wang tunai masuk melalui akaun. Walau apapun, kita tunggu siri perbicaraan buat Zahid Hamidi untuk pusingan seterusnya. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, September 22, 2022

Isu Lastik Anjing: Kesabaran Orang-Orang Melayu Islam Juga Ada Had!

Anjing merupakan haiwan yang sensitif dalam masyarakat Melayu Islam. Ini kerana jika menyentuh atau tersentuh badan, najis atau perkara-perkara ain yang sewaktu dengannya dengan makhluk ini menyebabkan seseorang Muslim itu menyamak untuk mensucikannya.

Isu yang terjadi di Bandar Teknologi Kajang baru-baru ini merupakan salah satu kes yang biasa terjadi yang berlaku di kawasan perumahan Melayu Islam khususnya yang tinggal bersama dengan orang bukan Islam sama ada Cina ataupun India. Bezannya ialah kes ini ditularkan dalam media sosial yang menunjukkan perbalahan antara orang Melayu dan orang India.

Kes ini terjadi apabila orang Melayu tersebut melastik anjing yang berada di hadapan rumahnya dan ditegur oleh orang India yang akhirnya menyebabkan perbalahan. Saya khuatir isu makhluk Mughalazah ini boleh menyebabkan perbalahan antara kaum jika tidak ditangani dengan baik.

Isu ini mudah sahaja sifirnya. Jika makhluk-makhluk ini berkeliaran di kawasan rumah orang-orang Melayu tidak mengapa asalkan makhuk ini tidak mengganggu atau memudaratkan orang Melayu pada pandangan kasar. Namun, bagi orang-orang Melayu Islam perkara ini sensitif kerana jika anjing ini tidur bawah kereta, menggigit selipar, apatah lagi jika berak merata-rata.

Ini yang menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu terhadap makhluk ini. Jika bertindak ke atas makhluk-makhluk ini seperti melastik sepertimana yang berlaku di Kajang ini, mereka pula dipersalahkan. Pernah sekali saya ingin meletak sahaja racun-racun untuk membunuh makhluk ini yang banyak dijual secara online. Namun, tuan rumah saya menasihatkan tindakan ini adalah salah dan boleh diambil tindakan oleh persatuan pembela haiwan (Nampaknya persatuan ini lebih membela haiwan-haiwan ini daripada menjaga sensitiviti orang-orang Melayu Islam).

Ini pengalaman saya sendiri. Saya sendiri pernah mengutip tahi anjing yang berak di hadapan rumah saya dengan menggunakan tangan sendiri beralaskan surat khabar dan plastik. Jika terpijak tahi ini dengan tayar kereta, alamatnya habis satu halaman rumah perlu disamak untuk menyucikan daripada najis mughalazah ini. Bukankah perkara ini menyusahkan?

Buat orang-orang bukan Islam, eloklah jika tidak memelihara anjing di kawasan rumah anda sekiranya kejiranan anda terdiri daripada orang-orang Melayu Islam. Jika ingin memelihara makhluk ini juga, eloklah jangan berjiran dengan orang-orang Melayu walaupun tidak dinafikan ada orang-orang bukan Islam yang membela anjing tidak membenarkan anjing keluar daripada rumahnya.

Buat PBT, jalankan tugas anda dengan baik jika terdapat aduan. Memang tidak dinafikan bahawa isu anjing di taman-taman perumahan tidak pernah putus-putus. Namun, amanah tetap amanah. Masalah makhluk ini perlu diselesaikan juga untuk mengelak masalah yang lebih serius berlaku di Kajang baru-baru ini.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, September 18, 2022

Selangor Menurunkan Bendera Separuh Tiang untuk Menghormati Kematian Ratu Elizabeth II

 


Sultan Selangor menitahkan supaya bendera negeri Selangor diturunkan separuh tiang dari 17 sehingga 19 September 2022 bagi menghormati kematian Ratu Elizabeth II dan sebagai tanda menzahirkan hubungan antara baginda dengan Ratu England tersebut. Walaupun berita ini dilihat sebagai kecil sahaja dan tiada apa-apa tetapi berita ini akan mempunyai nilai sejarah pada masa akan datang, mungkin 100 tahun akan datang sepertimana negeri Johor menurunkan bendera negerinya separuh tiang bagi menghormati kematian Attaturk pada tahun 1938.

Sumber: Akhbar Harian Metro.

Wallhua'lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, September 13, 2022

Ketika PKR Menguatkan Barisan Kepimpinan Masing-Masing, UMNO-PAS-BERSATU Masih Dibuai Mimpi Berada di Tampuk Kekuasaan

Jika kita perasan, PH khususnya Parti PKR sedang sibuk berkempen untuk menghadapi PRU-15 dan kempen-kempen ini boleh dilihat secara langsung di laman-laman atas talian khususnya di Youtube. Setiap malam jika saya membuka Youtube, banyak pemimpin-pemimpin pembangkang yang membuat rapat umum dengan masyarakat di samping individu-individu penyokong PH membuat ucapan secara langsung atas talian. Lebih menarik lagi ucapan-ucapan ini masih dibuat di tengah-tengah malam secara langsung atas talian.

Nampak di sini bahawa para pemimpin dan penyokong sedang bekerja kuat siang dan malam dalam usaha membina kekuatan untuk mendapatkan kembali sokongan daripada rakyat. Kelemahan dan kegagalan mereka mentadbir Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan suatu ketika dahulu bukanlah menjadi noktah kepada mereka untuk meneruskan perjuangan menawan Putrajaya sekali lagi.

Kembalinya Rafizi Ramli ke dalam arena politik semula sedikit sebanyak membantu PH membina kekuatannya semula bagi mengimbangi pengaruh “Bossku” yang banyak mempengaruhi pendapat umum. Kemenangan Rafizi Ramli memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dapat memberi nafas baru kepada parti ini berbanding dengan gaya Saifuddin Nasution yang lebih membawa gaya old school.

Sekurang-kurangnya bagi mereka, mana-mana pengkhianat  dalam parti telah keluar daripada khemah mereka dan mereka boleh berada dalam kedudukan yang bersatu-padu bersama-sama ahli-ahli parti masing-masing untuk menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Isu-isu yang diucapkan oleh para pemimpin dan penyokong PH ini merupakan isu-isu semasa yang menghimpit permasalahan rakyat. Kadar pengangguran yang meningkat, kadar faedah pinjaman bank yang meningkat dari masa ke semasa terus menghimpit kedudukan rakyat. Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir kini kelihatan lesu dan seolah-olah tidak mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah yang menimpa rakyat ini. Tidak mustahil isu-isu semasa yang dimainkan oleh PH ini boleh membuatkan rakyat melupakan kegagalan mereka mentadbir Persekutuan selama 22 bulan dahulu.

Umno khususnya usahlah berada dalam kedudukan yang selesa sekarang walaupun meraih kejayaan yang besar dalam PRN Johor, Melaka, dan Sarawak. Mungkin jika bukan kerana Najib Abdul Razak dengan tagline ‘Bossku’ yang membawa flagship Umno dalam siri-siri PRN ini, Umno mungkin tidak dapat meraih kemenangan sebesar ini. Selepas pemenjaraan Najib, tiada lagi watak-watak atau ikon-ikon daripada Umno yang muncul untuk menggantikan Najib. Apakah Umno pula ingin menjadi sayur kepada PH selepas ini?

Bersatu kini tidak ubah seperti parti peminta sedekah kerana sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang menghulurkan tangan kepada mereka. Malangnya, tiada mana-mana gabungan jauh sekali PH ingin bekerjasama dengan Bersatu ini melainkan Parti PAS buat masa ini.

Jika parti-parti kerajaan pada ini khususnya Parti Umno masih leka dan tidak membuat apa-apa persediaan, maka tidak mustahil PH dapat menawan semula Putrajaya. PRU-15 pada kali ini menguji keupayaan Anwar Ibrahim memimpin pakatan pembangkang bagi menawan Putrajaya. Jika Anwar Ibrahim gagal menawan Putrajaya pada PRU akan datang, maka persepsi orang akan mengatakan bahawa pengaruh Tun M merupakan pengaruh paling dominan dalam usaha untuk menawan Putrajaya pada PRU-14 yang lalu.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, September 11, 2022

Di sebalik kemangkatan Ratu Elizabeth II

 


KEMANGKATAN Ratu Elizabeth II pada tengah hari Khamis waktu tempatan sekali gus menamatkan tujuh dekad takhta baginda dalam sistem monarki Britain yang merupakan antara institusi berpengaruh dalam kerajaan tersebut.

Baginda yang mangkat pada usia 96 di Istana Balmoral, Scotland dicatatkan antara pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden.

Sejurus kemangkatan baginda, Operasi London Bridge dilancarkan iaitu kod atau kata laluan untuk perancangan upacara pengebumian yang akan dilakukan dalam beberapa minggu atau bulan selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Bagi Perbadanan Penyiaran British atau BBC yang merupakan rangkaian penyebaran maklumat di seluruh Britain mahupun antarabangsa, mereka perlu menghentikan siaran yang tidak berkaitan serta perlu memaklumkan perihal di sebalik kemangkatan ratu.

Tiada rancangan hiburan seperti komedi akan ditayangkan dan pembaca berita perlu memakai pakaian serba hitam sebagai isyarat perkabungan.

Kemangkatan baginda sudah pasti menjadi perhatian antarabangsa memandangkan empayar baginda merupakan bekas kolonial kepada kebanyakan negara di dunia ini seperti, India, Pakistan, Hong Kong, Malaysia, Brunei, Singapura serta beberapa bekas jajahan lain yang disebut sebagai Komanwel.

Penabalan putera sulung baginda, Putera Charles kepada Raja Charles III sebagai pemerintah monarki Britain yang kini berusaha 73 tahun akan dijalankan.

Apa yang menarik di sebalik peristiwa ini, persepsi dunia kini dijangka bakal mengalami perubahan memandangkan berlakunya peralihan kuasa monarki Britain setelah Raja Charles III menjadi penerus kepada institusi berkenaan.

Umum mengetahui, institusi beraja Britain sebelum ini jarang diperdebatkan memandangkan sosok tubuh baginda Ratu Elizabeth II memegang tampuk kekuasaan dalam tempoh yang agak lama.

Kekuasaan baharu di bawah Raja Charles III akan mempengaruhi urusan pentadbiran negaranya serta mengundang persoalan tentang apakah visi dan misi yang akan mempengaruhi negara tersebut serta antarabangsa.

Institusi beraja hakikatnya tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran Britain memandangkan kerajaan tersebut mengamalkan dasar raja berperlembagaan yang memberikan keputusan-keputusan hal ehwal negara tersebut ditentukan melalui nasihat dan persetujuan daripada Parlimen.

Bagaimanapun, baginda memainkan peranan dalam beberapa perkara seperti pelantikan Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Rakyat serta menyelesaikan ketegangan di Parlimen seandainya tergantung ketika tiada parti atau gabungan mendapat majoriti di peringkat tersebut.

Baginda juga mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen apabila perlu seperti ketika menjelang pilihan raya.

Oleh itu, ketokohan dan kecekapan Raja Charles III bakal diperhatikan serta dilihat memandangkan baginda merupakan salah satu wajah baharu bagi politik Britain kini. Tambahan pula semenjak era ibundanya yang menyaksikan seramai 15 kali pertukaran Perdana Menteri sekali gus mencerminkan ketidakstabilan politik negara tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Saturday, September 10, 2022

Mungkinkah Tok Mat Mengintai Kerusi Perdana Menteri?

Mungkinkah Tok Mat mengintai kerusi untuk menjadi Perdana Menteri?

Kadang-kadang timbul juga persoalan ini apabila Tok Mat meminta KJ untuk mengosongkan kerusi parlimen Rembau untuk memberi laluan kepadanya untuk bertanding di parlimen ini pada PRU-15 akan datang.

Dalam hierarki UMNO sekarang, Tok Mat merupakan Timbalan Presiden. Namun, nasib atau tuah menyebelahi Ismail Sabri apabila dia dilantik menjadi Perdana Menteri walaupun menjadi Naib Presiden selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan kerana tidak lagi mempunyai sokongan parlimen di Dewan Rakyat.

Kerana ketika pemilihan calon Perdana Menteri, Presiden UMNO iaitu Zahid Hamidi sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah manakala Tok Mat walaupun suci daripada apa-apa tuduhan rasuah dan menjawat Timbalan Presiden UMNO tetapi tidak menduduki mana-mana kerusi parlimen sekaligus tidak melayakkan beliau untuk menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, Ismail Sabri perlu dipilih dan dilantik untuk menjadi Perdana Menteri mewakili kerajaan pakatan Perikatan Nasional (PN).

Dalam temubual dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke beliau berpandangan bahawa KJ akan bertanding di kerusi Kuala Pilah ataupun Tampin dalam PRU-15 akan datang selepas Tok Mat menyatakan hasratnya untuk bertanding di parlimen Rembau kerana parlimen Kuala Pilah dan Rembau merupakan kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama dan hanya terlepas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14.

Oleh itu, BN sudah tentu mengintai peluang untuk menawan kerusi parlimen ini semula dalam PRU akan datang. Meletak KJ untuk bertanding menentang Anwar Ibrahim merupakan langkah berisiko tinggi untuk membunuh karier KJ dalam politik dan ini tidak mungkin akan berlaku.

Umno dalam kenyataan semasa mengumumkan bahawa parti ini akan bertanding secara solo tanpa bergabung dengan mana-mana parti untuk membentuk pakatan baru. Ramai berpendapat bahawa tiada pakatan akan dapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pasca PRU-15 nanti.

Jika hal ini berlaku, sudah tentu Umno secara tunggal masih mempunyai kerusi parlimen terbanyak selain Parti DAP jika parti ini boleh menang dalam PRU nanti. Apatah lagi parti ini sebenarnya masih mempunyai sokongan daripada masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar. Jika ingin membentuk kerajaan, sudah tentu ada mana-mana parti terpaksa bergabung dengan Umno untuk membentuk kerajaan.

Tetapi dalam masa yang sama saya percaya Umno masih mempunyai majoriti lebih daripada separuh bilangan kerusi parlimen jika ingin membentuk kerajaan baru pasca PRU-15 nanti. Sudah tentu jika keadaan ini berlaku Tok Mat sebagai Timbalan Presiden mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi Perdana Menteri apatah lagi pemilihan Umno akan diadakan selepas PRU-15 diadakan.

Namun, jika ingin berlaku adakah Ismail Sabri ingin memberi laluan mudah kepada Tok Mat untuk menjadi Perdana Menteri? Tambahan lagi Umno sekarang terbahagi kepada dua golongan iaitu kluster mahkamah dan kluster menteri yang menyebabkan persaingan untuk merebut jawatan Perdana Menteri boleh berlaku.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com