Apabila
kita mendengar perkataan knight atau
kesatria, ramai yang membayangkan seorang pahlawan berbaju besi lengkap
menunggang kuda sambil membawa pedang dan perisai. Dalam sejarah Eropah pada
Zaman Pertengahan, kesatria memainkan peranan penting sebagai pelindung raja,
bangsawan dan wilayah mereka. Mereka bukan sahaja dilatih untuk berperang,
malah dididik mengenai kesetiaan, keberanian dan tanggungjawab terhadap
masyarakat.
Pada zaman tersebut, istana atau castle dibina sebagai pusat pemerintahan dan
pertahanan. Kebanyakan istana didirikan di kawasan strategik seperti puncak
bukit atau berhampiran sungai bagi memudahkan pemantauan terhadap pergerakan
musuh. Dinding batu yang tebal, menara kawalan dan parit yang mengelilingi
istana membantu melindungi penduduk daripada serangan pihak lawan.
Untuk menjadi seorang kesatria, seseorang perlu
melalui latihan yang panjang. Kebiasaannya, seorang kanak-kanak lelaki daripada
keluarga bangsawan akan memulakan latihan sebagai page sebelum menjadi squire.
Setelah menunjukkan kemahiran dalam peperangan, menunggang kuda dan mematuhi
kod kesatria, mereka akan dianugerahkan gelaran knight. Upacara ini dianggap sebagai satu penghormatan yang
tinggi dalam masyarakat feudal.
Selain peperangan, kesatria juga sering menyertai
pertandingan jousting, iaitu perlawanan
berkuda menggunakan tombak. Pertandingan ini bukan sahaja bertujuan menguji
kemahiran, malah menjadi hiburan kepada masyarakat pada ketika itu. Kesatria
yang berjaya biasanya memperoleh kemasyhuran dan penghormatan daripada orang
ramai.
Walaupun zaman kesatria dan istana telah lama
berlalu, kisah mereka masih menarik minat masyarakat sehingga hari ini. Filem,
novel dan buku kanak-kanak sering menjadikan mereka sebagai tema utama kerana
nilai keberanian, disiplin dan kesetiaan yang ditonjolkan. Sejarah kesatria dan
istana juga membantu kita memahami bagaimana sistem politik, peperangan dan
kehidupan masyarakat Eropah berkembang pada Zaman Pertengahan.
Kesimpulannya, knights
and castles bukan sekadar cerita dongeng atau fantasi semata-mata. Ia
merupakan sebahagian daripada sejarah yang menunjukkan bagaimana manusia
membina sistem pertahanan, mengekalkan keamanan dan mempertahankan wilayah
mereka dalam keadaan yang penuh cabaran. Nilai keberanian, tanggungjawab dan
kesetiaan yang ditinggalkan oleh golongan kesatria masih relevan untuk
dijadikan teladan pada masa kini.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com

No comments:
Post a Comment