Perang Gallipoli, Dardanelles Campaign atau Janagal’a
dalam bahasa Arab adalah di antara siri-siri peperangan yang berlaku dalam
Perang Dunia Pertama antara pakatan Turki yang disokong oleh Jerman dan Austria
- Hungry menentang tentera bersekutu iaitu pakatan di antara Britain, Perancis
dan Rusia.
Gallipoli adalah sebuah bandar yang terletak di Selat
Dardanelles yang menghubungkan antara Laut Mediterranean, Laut Marmara dan Laut
Hitam. Lokasi ini terletak di tempat yang amat strategik dari sudut geopolitik
mahupun ekonomi kerana ia menjadi pintu masuk daripada lautan lepas untuk ke
Istanbul dan laluan penting perdagangan laut.
Pada akhir abad ke 18, ia adalah permulaan kepada
kemunduran Khilafah Uthmaniyyah yang dibebani dengan masalah hutang yang banyak
dan masalah-masalah dalaman yang berlarutan.
Sultan Abdul Hamid II yang memerintah antara
tahun 1876 - 1908 berusaha untuk memulihkan kembali reputasi khilafah dengan
pembaharuan-pembaharuan yang dilakukannya namun ia tidak berjaya malah keadaan
menjadi bertambah buruk.
Situasi Khilafah Uthmaniyyah ketika itu sangat parah
khususnya krisis dalaman yang semakin tidak terkawal yang didokong oleh
musuh-musuh Islam yang menaja gerakan pembaharuan sehingga memaksanya untuk
melepaskan jawatan.
Kuasa Eropah mahupun Barat yang semakin kuat pengaruhnya
melihat keadaan ini sebagai satu peluang keemasan untuk meruntuhkan Khilafah
Uthmaniyah dan seterusnya menawan kembali Istanbul bagi membalas dendam kesumat
kejatuhan Constantinople di zaman Sultan Muhammad Al-Fateh dahulu.
Akhirnya tercetuslah Perang Dunia Pertama dan dilancarkan
kempen Perang Gallipoli bagi menawan laluan penting yang menghubungkan Turki
dan Eropah iaitu Selat Dardanelles. Tujuan utamanya adalah untuk memisahkan
penguasaan Khilafah Uthmaniyah daripada Eropah.
Perikatan Barat yang diketuai oleh Britain bersama-sama
dengan Perancis dan Rusia melancarkan kempen peperangan ini yang bermula pada
17 Februari 1915 dengan mengerahkan bala tentera laut yang amat besar yang
berjumlah hampir 100 buah kapal dalam pelbagai kategori untuk menyerang
kedudukan tentera Uthmaniyyah di Selat Dardanelles.
Tentera bersekutu tidak mendapat tentangan yang hebat dari
tentera Uthmaniyyah sehingga Winston Curchill yang memimpin tentera Britain
pada ketika itu dengan angkuhnya menyebut “ Kita akan minum teh di kota
Istanbul “ sebagai isyarat bahawa kota Istanbul akan ditakluk oleh tentera
bersekutu pimpinannya.
Namun ibarat pepatah melayu menyebut “ disangka panas
sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari “. Kapal - kapal tentera bersekutu
yang berkumpul di Selat Dardanelles telah masuk ke dalam perangkap tentera
Uthmaniyyah lalu dibedil bertalu-talu dan berjaya ditenggelamkan sejumlah besar
daripadanya.
Setelah serangan melalui laut gagal, pakatan tentera
Bersekutu menurunkan tentera bagi melancarkan serangan darat, antaranya ialah
ketumbukan tentera Australia dan New Zealand Army Corps ( ANZAC ) yang terkenal
dengan lasak dan ganas.
Namun kemaraanya berjaya disekat oleh tentera Uthmaniyyah
yang menggunakan strategi bertahan di kubu-kubu yang menyebabkan musuh-musuh
mereka kempunan sehingga kebanyakan mereka mati kebuluran dan ditimpa pelbagai
penyakit.
Akhirnya setelah hampir setahun kempen peperangan ini
berlangsung, pihak tentera Bersekutu mengaku kalah. Peperangan yang meragut
hampir 300 ribu nyawa tentera bersekutu dan 250 ribu syahid di pihak Uthmaniyah
ini dikenang sebagai antara salah satu perang agung di zaman moden khususnya
bagi umat Islam Turki kerana ia ibarat kekalahan tentera Ahzab moden yang mahu
menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyah.
Kemenangan ini diingati dan diraikan oleh rakyat Turki
setiap tahun pada tanggal 18 Mac sebagai simbol kemenangan mereka ke atas
pakatan Barat dan menjadi pencetus kepada penubuhan Turki moden di bawah
pimpinan Mustafa Kamal Attaturk.
Setiap kali kemenangan ini diraikan, nama Sayit Ali Cabuk
sentiasa menjadi sebutan setiap rakyat Turki. Beliau hanyalah tentera biasa
Khilafah Uthmaniyah yang diberikan tanggungjawab mengawal unit meriam di satu
bukit strategik yang terletak berhadapan Selat Dardanelles.
Ketika unitnya diserang oleh pakatan tentera Bersekutu,
hanya beliau yang terselamat. Walaupun tercedera, beliau menggagahkan dirinya
untuk bangun dan memikul peluru meriam seberat 250 kg lalu membedil kapal
perang utama British dan berjaya menepati sasaran serta menenggelamkannya.
Tentera Uthmaniyyah yang menyaksikan peristiwa ini
melaungkan takbir seolah-olah menyaksikan turunnya pertolongan Allah kerana
kepentingannya berjaya menyekat kemaraan tentera Bersekutu. Ia adalah karamah
yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman apabila
berdepan dengan musuh-musuh Islam.
Apabila mengingati sejarah peperangan ini, saya percaya ia
mempunyai kaitan dengan peristiwa berdarah Dahagi di Singapura pada tahun 1915
apabila lebih separuh daripada tentera India Muslim dari 5th Light Infantry,
Regimen Askar India di bawah British dan 100 tentera Melayu Islam bangkit
memberontak ke atas penjajah British sehingga mengakibatkan 33 orang tentera
British terkorban.
Saya juga percaya pemberontakan mereka adalah kerana
keenganan mereka untuk dihantar berperang menentang saudara-saudara mereka
iaitu tentera Khilafah Uthmaniyah di Turki dalam kempen Perang Gallipoli. Malah
dipercayai juga tentera - tentera India Muslim tersebut ditempatkan di
Singapura oleh British sebagai persediaan untuk berperang bagi pihak British di
Eropah termasuk di Turki.
Di Singapura ketika itu, sentimen orang - orang Melayu
Islam begitu kuat menyokong Khilafah Uthmaniyah kerana Khilafah Uthmaniyyah
adalah satu - satunya legasi kesinambungan Kerajaan Islam yang masih utuh di
dunia.
Tambahan pula ketika itu, Khilafah Uthmaniyah diserang
hebat oleh pakatan tentera British, Perancis dan Rusia serta ianya menambahkan
lagi simpati orang Melayu Islam Singapura dan menaikkan lagi semangat
penentangan mereka terhadap British hingga pada ketika itu wujud seruan jihad
menentang British dan Perancis di Singapura.
Aktivis seperti Kasim Mansur, pendakwah Nur Alum Shah,
bekas editor Neracha, K. Anang dan ramai lagi orang Melayu Islam bangkit menentang
British kerana tindakan mereka bersama - sama pakatan tentera bersekutu
menyerang Turki.
Tindakan British menempatkan tentera India Muslim di
Singapura juga memakan diri apabila tentera - tentera tersebut turut bersama
dengan orang Melayu Islam di Singapura menentang British. Sentimen anti British
semakin memuncak dengan akhbar - akhbar berbahasa Melayu Singapura seperti
Neracha bertindak menempelak British dengan menyiarkan berita mengenai
peperangan Gallipoli di Turki yang menambahkan lagi simpati orang Melayu Islam
Singapura terhadap Khilafah Uthmaniyah.
Kasim Mansur, Nur Alum Shah, K. Anang dan ramai lagi
pejuang serta aktivis Melayu Islam ditangkap, diseksa dan dihukum malah ada
yang dibuang negeri. Akhbar - akhbar berbahasa Melayu seperti Neracha ditutup
malah usaha mengumpul dana dan solat hajat bagi mendoakan kemenangan untuk
Khilafah Uthmaniyah turut diharamkan oleh British.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh British, ia tidak
sedikit pun melunturkan semangat dan sokongan orang - orang Melayu Islam di
Singapura ketika itu terhadap Khilafah Uthmaniyyah. Akhirnya setelah semakin
mendalam kebencian dan kemarahan terhadap British, peristiwa Dahagi pada 1915
adalah interpritasi kebencian menebal orang Melayu Islam Singapura termasuk
tentera Melayu Islam dan tentera India Muslim terhadap British.
Kemenangan Perang Gallipoli bukan sahaja menjadi
kebanggaan rakyat Turki bahkan juga umat Islam secara umumnya kerana Khilafah
Uthmaniyah adalah simbol kekuatan umat Islam yang terakhir sebelum ianya
dileraikan pada tahun 1924 oleh musuh - musuh Islam.
Tentera-tentera Uthmaniyah yang menyertai peperangan ini
dan sebahagian mereka yang gugur syahid terdiri daripada umat Islam dari bangsa
Arab, Kurdis, Balkan di samping orang Turki sendiri yang menjadi asas utama
kekuatan tentera Khilafah Uthmaniyyah.
Ia jelas menunjukkan bahawa paksi keutuhan kesatuan umat
Islam adalah tidak mengira bangsa, warna kulit, keturunan dan kekuatan namun
apabila berpegang dengan agama walaupun ketika mereka lemah berhadapan dengan
musuh yang jauh lebih kuat daripada mereka, mereka iaitu umat Islam akan
bersatu dan bersama - sama menghadapinya demi menjaga maruah dan kesucian
Islam.
Peperangan Gallipoli seharusnya menjadi iktibar kepada
kita umat Islam bahawa tiada apa yang lebih mulia selain daripada menjaga
kesucian dan keluhuran Islam kerana hanya dengan Islam serta kembali kepada
ajaran Islam yang sebenar, umat dan Dunia Islam akan menemui kekuatan dan
perpaduan yang dicari - cari selama ini.
Untuk mengecapi kekuatan dan perpaduan, banyak pahit manis
dan ranjau berduri yang harus ditempuhi kerana ia bukan mudah untuk dikecapi.
Namun setelah ia berjaya diperolehi, jangan pula kita gadaikannya hanya kerana
cita - cita dan dendam kesumat yang tidak nampak faedahnya ataupun untuk
memperolehi keuntungan serta kepentingan peribadi semata - mata.
Perpaduan adalah lambang kekuatan umat Islam sejak dari
zaman bermula Hijrah Rasullulah SAW. Kota Madinah Al Munawarah adalah simbol
perpaduan umat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua umat
Islam.
Kota Suci Baitul Maqdis yang kita semua kenali dengan
peristiwa Isra’ Mikraj sebenarnya saat ini melambangkan kelemahan dan kehancuran
perpaduan umat dan Dunia Islam. Jika umat dan Dunia Islam kuat dan bersatu
padu, sudah tentunya rakyat Palestin tidak merempat di tanah air mereka sendiri
dan zionis bermaharajalela di bumi Palestin.
Penyakit kelemahan perpaduan dan kesatuan umat serta Dunia
Islam saat ini sudah merebak di seluruh pelusuk dunia dengan setiap negara
Dunia Islam berserta umatnya menghadapi sindrom yang sama. Sebelum menjadi
lebih parah, ambillah iktibar dan kuatkan kembali kesatuan dan perpaduan umat
dan Dunia Islam dengan menjadikan Islam sebagai asasnya.
Insyallah, jika kita berpegang teguh kepada ajaran Islam
berserta Islam yang sebenar, Allah SWT tidak akan menghampakan hamba - hambaNya
malah akan memakbulkan doa - doa kita. Semoga Islam kembali bangkit dan bersinar
diseluruh pelusuk dunia serta menguatkan kembali kesatuan dan perpaduan umat
dan Dunia Islam.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar
PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.