Saturday, August 7, 2021

Perang Itali - Turki 1911 - 1912

Angkatan Tentera Itali di Tripoli.

Ketika pemerintahan Khilafah Uthmaniyah sedang kewalahan dalam mempertahankan wilayah mereka di Anatolia Timur, mereka menghadapi krisis baru di Laut Tengah. Wilayah Benghazi dan Tripoli di Libya adalah wilayah kekuasaan Khilafah Uthmaniyah di Afrika Utara setelah pendudukan Perancis di Algeria (1830) dan Tunisia (1881). Itali yang merupakan sebuah negara baharu yang ditubuhkan pada tahun 1871 di bawah pemerintahan Raja Victor Emmanuel III berhasrat untuk menguasai Libya bagi memenuhi cita-cita kuasa imperialnya.

Itali tahu bahawa tiada kuasa Eropah yang akan menghalang cita-citanya untuk menguasai Afrika Utara dengan tindakan ketentetaan setelah membuat perjanjian dengan neutral dengan British dan Perancis sebelumnya. Itali melancarkan serangan ke atas Libya pada 29 September 1911 di kota-kota pesisiran pantai.

Manakala angkatan tentera Uthmaniyah yang menjaga Libya hanyalah 4,200 orang dan tiada sokongan angkatan tentera laut bagi menghadapi ketumbukan tentera Itali yang berjumlah lebih daripada 34,000 orang. Menteri Perang Uthmaniyah ketika itu mengakui kepada tentera-tentetanya bahawa Libya tidak lagi dapat dipertahankan. Pada minggu pertama Oktober 1911, kota-kota pesisiran pantai Uthmaniyah di Tripoli (Libya Barat) dan Benghazi (Libya Timur atau dikenali sebagai Cyrenaica) telah jatuh ke tangan Itali.

Pada waktu yang sama, kepimpinan Khilafah Uthmaniyah berbelah bahagi terhadap serangan yang dilancarkan oleh Itali. Wazir dan pemerintah Uthmaniyah merasakan bahawa Libya tidak lagi dapat dipertahankan dan usaha untuk melancarkan serangan balas  ke atas Itali adalah sia-sia sahaja. Manakalan Gerakan Turki Muda berpendapat mereka tidak boleh menerima kehilangan wilayah Uthmaniyah tanpa peperangan.

Pada awal Oktober 1911, Mejar Enver yang merupakan pemimpin Parti CUP bertolak ke Salonica untuk berbincang dengan Jawatankuasa Pusat CUP. Dalam pertemuan ini, beliau mengajak rakan-rakannya untuk melancarkan perang gerila ke atas Libya di Itali. Pasukan berkuda terdiri daripada orang-orang Arab dan penduduk Libya yang akan dipimpin oleh tentera Uthmaniyah untuk melancarkan serangan hendap ke atas tentera dan angkatan kecil Itali. Jika musuh terlalu kuat, pasukan ini akan menarik diri ke daerag terbuka dan terus menggangu musuh pada setiap masa.

Para pejuang gerila ini menggelarkan diri mereka sebagai fedai iaitu pejuang yang rela mengorbankan diri mereka untuk misi mereka. Walaupun mereka dianggap sebagai petualang kerana mengingkari arahan pemerintah untuk mempertahankan Libya, namun kerajaan Uthmaniyah menghantar bayaran bulanan kepada para pejuang di Libya ini.

Enver menumpukan usaha untuk melancarkan perang gerila di wilayah timur Benghazi. Angkatan tentera Itali menumpukan penempatannya di tiga kota pelabuhan Cyrenaica iaitu Benghazi, Derna, dan Tobruk. Tentangan keras oleh suku kaum Libya berjaya mencegah tentera Itali daripada bergerak keluar daripada kota-kota pantai itu ke pedalaman Libya.

Setelah memantau kedudukan tentera Itali, Enver mendirikan perkhemahannya di dataran tinggi yang menghadap pelabuhan Derna. 10,000 penduduk di sini membenci kehadiran tentera penjajah Itali yang seramai 15,000 orang di sini. Tentera Itali di sini menjadi sasaran utama Enver Pasha. Beliau mengumpul tentera Uthmaniyah, merekrut pejuang tempatan, dan pengikut Sanussi bagi menentang tentera Itali. Ketika ini, beliau menubuhkan badan perisikan Uthmaniyah yang pertama yang dikenali sebagai Teskilat-i Mahsusa (Organisasi Khas).

Banyak suku Arab di Libya yang bergabung dengan tentera Uthmaniyah. Mereka menghargai Gerakan Turki Muda yang sanggup turun ke Libya bagi membela penduduk di sini dan mempertaruhkan nyawa mereka untuk kemerdekaan dari kekuasaan asing. Walaupun mereka tidak mempunyai bahasa yang sama, ikatan Islam terbukti sangat kuat antara perwira Turki Muda berbahasa Turki dan suku Libya berbahasa Arab. Sepanjang berada di Libya, Enver Pasha memperoleh keyakinan besar kemampuan Khilafah Uthmaniyah menggunakan sentimen agama dalam melawan musuh-musuhnya sama ada di dalam negeri ataupun di luar negeri.

Antara bulan Oktober 1911 dan November 1912, para perwira Turki Muda dan suku Arab melakukan perang gerila yang sangat berjaya melawan pasukan tentera Itali. Walaupun mempunyai bilangan anggotan tentera yang ramai di samping dilengkapi dengan senjata moden, pasukan Itali tidak mampu untuk keluar dari benteng pertahanan mereka untuk menduduki daerah pedalaman Libya.




Tentera Itali yang terkorban sepanjang tempoh ini ialah seramai 3,400 orang dan 4,000 orang tercedera dalam tempoh satu tahun ini. Peperangan ini memakan duit perbendaharaan yang besar di pihak Itali manakala pemerintah Uthmaniyah menghabiskan sekitar 25,000 Lira Turki sebulan untuk membiayai kegiatan perang Enver dalam usaha mengepung Derna. Untuk tempoh jangka masa pendek, usaha Gerakan Turki Muda akan berhasil dan tentera Itali didesak untuk berundur.

Oleh kerana terus gagal untuk menduduki Libya, Itali menyerang wilayah Khilafah Uthmaniyah di tempat-tempat yang lain. Pendudukan Itali di Libya akan berhasil melalui perjanjian damai yang rasmi dengan Khilafah Uthmaniyah.

Untuk menekan Istanbul agar menuntut perdamaian, angkatan laut menyerang wilayah Uthmaniyah di Laut Tengah Timur. Musuh Islam ini mengebom pelabuhan Lubnan di Beirut pada Mac 1912 dan tenteta Itali menduduki Dodecanese (kepulauan laut di Aegean yang didominasi Rhode dan sekarang merupakan wilayah Greek) pada Mei tahun yang sama. Pada Julai 1912, angkatan laut Itali mengirim kapal torpedo ke Itali.

Akhirnya, pasukan Itali memainkan isu di Balkan. Greek, Yunani, Serbia, Montenegro, dan Bulgaria telah menandatangani perjanjian persekutuan untuk menentang bekas penguasa mereka, Khilafah Uthmaniyah. Setiap negara ini bercita-cita untuk menguasai wilayah Khilafah Uthmaniyah yang masih berbaki di Balkan iaitu Albania, Macedonia, dan Thrace. Putera Mahkota Itali memiliki hubungan penikahan dengan Raja Nicholas I dari Montenegro dan pemerintah Itali mendorong Montenegro untuk menyatakan perang terhadap Khilafah Uthmaniyah pada 8 Oktober 1912 manakala negara-negara Balkan yang lain masih belum mengikut jejak Montenegro untuk berperang.

Taktik Itali pada kali ini berjaya. Ancaman perang di Balkan menimbulkan konflik di Istanbul dan Libya. Dengan berusaha untuk mempertahankan wilayah terpencil seperti Tripoli dan Benghazi, pemerintah Uthmaniyah secara tidak langsung telah melemahkan penguasaannya di wilayah Balkan.

Sepuluh hari selepas Montenegro mengisytiharkan perang, Khilafah Uthmaniyah menandatangani perjanjian damai dengan Itali di mana mereka terpaksa melepaskan wilayah Libya kepada kekuasaan Itali. Para perwira fedai meskipun berasa malu untuk meninggalkan rakan-rakan Libya mereka. Para pejuang Libya kini terpaksa melanjutkan perang gerila tanpa bantuan daripada Khilafah Uthmaniyah. Para pejuang fedai ini terpaksa kembali ke Istanbul untuk bergabung dalam perjuangan nasional untuk mempertahankan kedaulatan negaranya untuk terlibat dalam peperangan yang dikenali sebagai Perang Balkan Pertama.

Sumber: Eugene Rogan, The Fall of The Khilafah: Perang Besar yang Meruntukan Khilafah Uthmaniyah dan Mengubah Selamanya Wajah Timur Tengah, 2015.

No comments: