Wednesday, August 27, 2014

Waktu Kerja 8.00 pagi – 5.00 petang : Pentingkan Kualiti, Bukannya Kuantiti


Jika dalam pengurusan kewangan, kita ditekankan supaya memberi nilai yang tinggi walaupun nilai wang sebanyak 1 sen. Prinsip ini juga perlu ditekankan supaya kita menghargai setiap saat dalam pengurusan waktu seharian kita. Ini adalah untuk memastikan supaya kita menggunakan setiap detik waktu kita secara berkualiti. Bahkan Allah s.w.t. bersumpah dengan masa sebanyak 7 kali di dalam al-Quran. Ini menunjukkan bahawa peri pentingnya waktu dalam kehidupan kita kerana waktu yang telah berlalu tidak akan kembali lagi.

Sebagai pekerja kerajaan ataupun swasta, waktu kerja kita secara umumnya adalah dari pukul 8.00 pagi sehingga pukul 5.00 petang. Namun, terdapat perbezaan ketara antara pekerja kerajaan dan swasta di mana pekerja kerajaan rata-ratanya akan pulang ke rumah pada tepat pada pukul 5.00 petang. Berlainan dengan pekerja swasta di mana rata-ratanya akan pulang lewat lebih dari pukul 5.00 petang bahkan bekerja sehingga waktu malam!

Persoalannya, adakah kita betul-betul perlu pulang lewat dari kerja? Atau adakah cukup sekadar bekerja sehingga waktu 5.00 petang sahaja?

Menurut dalam sebuah kaji selidik, sebenarnya seseorang pekerja itu hanya menggunakan 2 jam sahaja untuk melakukan kerja. Selebihnya adalah digunakan untuk membuat perkara-perkara lain.

Cuba fikir kembali. Mungkin kita melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah berikut semasa waktu pejabat – Bermain internet seperti blogwalking, melayan laman sosial, bersembang-sembang ataupun update gossip semasa mengenai politik pejabat, menikmati sarapan dan tengah hari lebih dari waktu rehat, membaca surat khabar, melayan katalog barang jualan langsung yang dibawa oleh rakan-rakan, dan sebagainya. Jika anda balik lewat kerana menangguhkan kerja anda kerana melayan perkara-perkara tidak berfaedah ini jawabnya ialah baik anda mempertimbangkan semula waktu pulang anda ke rumah kerana anda sebenarnya telah membazirkan waktu rehat anda di rumah bersama dengan keluarga.

Lain pula sekiranya anda ialah seorang boss. Sebagai seorang boss, anda sudah tentu tidak dapat lari daripada menghadiri mesyuarat yang mungkin diadakan setiap hari ataupun terpaksa berjumpa dengan orang lain mengenai urusan kerja anda. Tidak mengapa jika anda terpaksa pulang lewat kerana membuat urusan-urusan penting ini.

Menurut Brian Tracy yang merupakan mahaguru pembangunan manusia menyatakan bahawa kita perlu datang awal sejam awal dan sejam lewat dari waktu pejabat. Jika waktu masuk pejabat ialah pukul 8.00 pagi, maka kita perlu masuk ke pejabat pukul 7.00 pagi. Begitu juga dengan waktu pulang dari pejabat di mana jika waktu pulang adalah pada pukul 5.00 petang, maka kita perlu pulang pada pukul 6.00 petang.

Ini adalah kerana waktu pejabat kita sebenarnya dihabiskan untuk perkara-perkara penting yang lain seperti yang saya sebut sebelum ini seperti mesyuarat, berjumpa dengan pihak luar dan sebagainya. Waktu ketiadaan orang inilah sebenarnya adalah sesuai untuk kita menyiapkan tugasan-tugasan kerja kita yang tertangguh. Apatah lagi kita boleh memberi konsentrasi yang lebih untuk menyiapkan semua tugasan kita dari hiruk-pikuk kakitangan lain di pejabat.

Tidak dinafikan bahawa gaji kita dibayar untuk bekerja dari jam pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Sebagai manusia biasa, kita sudah tentu tidak sempurna untuk menggunakan keseluruhan waktu kerja ini hanya semata-mata untuk melakukan kerja kerana kita mungkin juga membuat perkara-perkara lain semasa waktu kerja ini. Oleh itu, kita dianjurkan beristighfar dan memperbanyakkan sedekah untuk menebus kesalahan-kesalahan kita ini sewaktu bekerja.

Selain itu, kita juga perlu mempertimbangkan jarak antara rumah dan juga pejabat kita. Ini adalah untuk menjaga kualiti hidup kita. Apa gunanya dengan hanya jarak 6 km untuk pulang dari rumah ke tempat kerja, ianya sudah memakan masa 1 jam. Kes-kes ini sudah menjadi lumrah apabila kita tinggal di bandar-bandar masa. Jika inilah realitinya, kita mungkin menghabiskan masa 2-3 jam untuk berada di atas kenderaan sahaja untuk berulang-alik dari rumah ke pejabat setiap hari.

Jika sebulan, alamatnya kita sudah membazirkan masa kita sebanyak 40 jam sahaja untuk berada di atas kenderaan. Bayangkan kita sudah membazirkan waktu kita sebanyak 2 hari setiap bulan untuk berulang-alik ke tempat kerja sahaja. Oleh itu, pertimbangkan jarak antara rumah dan pejabat supaya jarak antara kedua-dua ini dapat dipendekkan dan seterusnya untuk menjimatkan penggunaan waktu kita setiap hari. Ini adalah untuk memelihara kualiti hidup kita.

Apa yang penting di sini ialah kita sebenarnya hendaklah mementingkan kualiti untuk melakukan kerja kita di pejabat dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan bukannya mementingkan kuantiti dengan hanya balik lewat disebabkan kerja-kerja kita tertangguh kerana melakukan perkara-perkara tidak berfaedah di pejabat. Jika kita mementingkan kualiti pengurusan waktu kita, kita sebenarnya boleh membuat perkara-perkara lain selain daripada kerja di pejabat yang boleh menjana wang tambahan kepada kita.


http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, August 23, 2014

Sedekah dan Nilai Satu Sen : Satu Pertentangan Antara Nilai Islam dan Pengurusan Kewangan

“RM8 pun nak claim jugak ke?” ujar seorang kakitangan di pejabat saya apabila saya membuat tuntutan perubatan sebanyak RM8 di pejabat. Saya menjawab, “RM8 pun boleh buat makan tengah hari.” Lantas saya dikatakan kedekut oleh kakitangan tersebut.

Pernah juga saya mendengar kuliah maghrib di mana penceramah memberikan ceramah berkisar mengenai zakat fitrah. Penceramah mengatakan bahawa tidak mengapa jika kita meminta resit untuk zakat fitrah yang bernilai RM7.00 untuk mendapat perlepasan cukai tetapi ini dah kira sangat kedekut.

Inilah sebenarnya hakikat dalam pengurusan kewangan di mana kita perlu memberikan nilai yang tinggi terhadap wang walaupun sebanyak 1 sen. Saya telah banyak kali memberi penekanan bahawa kita perlu memberi nilai yang tinggi walaupun 1 sen dalam pengurusan kewangan kita kerana inilah sifat orang kaya yang dikatakan kedekut. Padahal mereka sebenarnya bukanlah kedekut tetapi mereka sebenarnya pandai menguruskan kewangan mereka.

Tun Daim Zainuddin yang merupakan merupakan seorang jutawan hartanah melalui Syarikat Malurinya sebelum dilantik menjadi Menteri Kewangan kali pertama pada tahun 1984. Beliau memberikan nilai wang yang tinggi terhadap wang walaupun 5 sen sebelum bergelar jutawan. Sifat ini dipengaruhi oleh idola beliau iaitu John Paul Getty yang merupakan jutawan minyak yang memberikan nilai yang tinggi terhadap setiap sen wangnya. Inilah yang diceritakan oleh Fatini Yaacob dalam bukunya Daim yang Diam

Akan tetapi, bagaimana pula dengan nilai-nilai Islam yang menganjurkan umatnya supaya bersedekah? Bukankah sedekah menyuburkan harta? Bahkan Saidina Abu Bakar sendiri menyedekahkan semua hartanya apabila diminta untuk bersedekah. Apabila ditanya apakah harta yang beliau tinggal selepas menyedekahkan semua hartanya? Beliau menjawab, “Allah s.w.t. dan Rasul.” Tidak hairanlah apabila ditimbang iman seluruh penduduk Madinah dan Saidina Abu Bakar, nescaya timbangan iman Abu Bakar lebih berat daripada sekali penduduk Madinah.

Baiklah, daripada contoh ini dapat kita lihat antara pertentangan nilai Islam yakni bersedekah dan memberi nilai yang tinggi terhadap 1 sen dalam pengurusan kewangan.

Dalam pengurusan kedai runcit terdapat kelemahan bagi kedai-kedai runcit melayu. Contohnya ialah apabila ahli-ahli keluarga mengambil barangan kedai di mana barangan kedai ini tidak direkodkan sebagai barang keluar apatah lagi ahli keluarga tersebut tidak membayar bagi barangan yang diambil. Ini sudah tentu menyebabkan kerugian jangka panjang bagi sesebuah perniagaan kedai runcit.

Dalam perniagaan kedai runcit juga pembekal akan membekal barangan yang lebih (barang percuma) bagi setiap barangan yang dipesan. Akan tetapi, barangan percuma ini (juga dikenali sebagai FOC – Free of Charge) akan diambil oleh kakitangan kedai kerana ia tidak dikira sebagai modal. Barang-barang kedai ataupun stok yang berada sesuatu kedai biasanya tidak akan kekal lama kerana mudah rosak. Contohnya ialah beras di mana barang-barang ini mudah rosak kerana dimakan tikus. Semasa inilah pentingnya barang FOC tadi sebagai pengimbang modal supaya sesebuah kedai runcit itu tidak mengalami kerugian apabila sesuatu barang itu mengalami kerosakan.

Daripada kes perniagaan kedai runcit ini, adakah ia dikira sebagai ‘sedekah’ apabila kita sebagai tuan kedai contohnya memberi secara sewenang-wenangnya stok barangan kedai kepada ahli keluarga ataupun kakitangan kedai kita? Apakah kesan ‘sedekah’ ini bagi tempoh jangka panjang bagi perniagaan kita? Sudah tentu ‘sedekah’ dengan cara ini akan melingkupkan perniagaan kita.

Bersedekah dan Kedekut Itu Biar Kena Pada Tempatnya

Sebenarnya, apabila kita hendak bersedekah, kita hendaklah bersedekah pada tempatnya. Kita perlu memperuntukkan berapakah jumlah wang yang hendak dikeluarkan pada setiap bulan untuk bersedekah. Jika kita langsung tidak bersedekah, sudah tentu ini dinamakan kedekut.

Contohnya ialah berapakah jumlah sedekah yang kita peruntukkan pada setiap bulan daripada gaji bulanan kita? Adakah RM100, RM200, atau RM300 sebulan? Jika kita sudah memperuntukkan RM100 sebulan, kita sedekahkan sahaja RM100 sebulan. Kita tidak akan lebih dan tidak akan kurang bersedekah daripada jumlah ini.

Begitu juga dengan zakat. Kita perlu mengeluarkan zakat mengikut haul dan nisab yang telah ditentukan. Contohnya ialah zakat pendapatan di mana jumlah zakat yang dikenakan zakat ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan yang kita terima. Katakan gaji kita sebanyak RM2000 sebulan, maka 2.5% daripada gaji kita adalah sebanyak RM50. Maka RM50 ini akan kita keluarkan pada setiap bulan untuk membayar zakat. RM50 – tidak lebih dan tidak kurang daripada jumlah ini. 

RM50 dicampur dengan RM100 tadi, maka kita sudah berinfaq sebanyak RM150 sebulan. Tidak lebih dan tidak kurang kerana kita perlu menghargai setiap sen wang kita. Mudah bukan? Maknanya setiap bulan kita RM150 untuk beramal. Ini sudah tidak dikatakan kedekut. Tidak mengapa jika ada orang masih ada orang mengatakan anda kedekut. Usah pedulikan kata-kata orang.

Bagaimana dengan penggunaan telefon bimbit? Katakan ada orang berpendapatan RM5,000 sebulan tetapi dia hanya menggunakan telefon berharga RM70. Mesti ramai mengatakan ianya kedekut walhal dia mampu menggunakan telefon berharga RM2,000 kerana dia menghargai setiap sen wangnya. Pendek kata, takrifan kedekut itu tidak kena pada tempatnya untuk dilabelkan kepada diri seseorang.

Dengan kata lain, kita perlu menghargai setiap sen wang kita dan perlu bersedekah sebagai amalan kita. Jika kita perhalusi dengan apa yang kita katakan ini, bersedekah dan memberi nilai yang tinggi terhadap 1 sen sebenarnya tidak dapat pertentangan antara satu sama lain. Cuma kita yang tidak pandai meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apa yang penting ialah kita perlu seimbangkan wang kita untuk melakukan sesuatu kerana dalam prinsip pengurusan kewangan, setiap orang perlu menghargai setiap sen wangnya.
                                                                                           
http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, August 20, 2014

Pelaburan Hartanah : Jangan Berumah di Tepi Pantai Jika Takut Dilanda Ombak


Banyak buku-buku pengurusan kewangan yang berada di pasaran membincangkan mengenai pelaburan hartanah. Ada yang bersifat mencadangkan pembaca menceburi bidang hartanah dan ada tidak menggalakkan pembaca menceburi bidang hartanah.

Sememangnya betul kedua-duanya kerana hartanah ini merupakan pelaburan. Jika disebut pelaburan, ia tidak dapat lari daripada risiko. Apabila disebut risiko ianya membawa kepada 2 kemungkinan iaitu keuntungan ataupun kerugian.

Bekas broker saham dan projek kondominium Thailand iaitu Sirivat Voravetvuthikum yang jatuh bangkrap menjadi penjual sandwich sahaja ekoran daripada krisis ekonomi yang melanda Asia pada tahun 1997/98. Namun, ia menjadi sumber semangat dan inspirasi kepada orang ramai kerana ingin bangkit semula daripada kejatuhan beliau.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda sanggup mengambil risiko untuk menceburi bidang hartanah? Ia sebenarnya terpulang kepada anda sendiri. Ibarat sampah – ada orang yang memandangnya ia sebagai kotoran yang menjijikkan dan ada orang memandangnya sebagai sumber wang.

Pendek kata, anda perlu memperlengkapkan diri anda dengan ilmu sekiranya ingin menceburi bidang ini. Ini adalah untuk mengurangkan risiko. Sudah semestinya di mana-mana pun ada risiko. Tetapi risiko itu  tidak dapat dielak tetapi dapat dikurangkan dengan ilmu pengetahuan di dada.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, August 11, 2014

Puasa 6 Hari Bulan Syawal adalah Makruh - Imam Malik

1. Anda jangan terkejut bahawa puasa 6 hari di bulan syawal adalah makruh mengikut mazhab Imam Maliki.

2. Ini adalah kerana pada zamannya, tiada seorang pun penduduk Madinah yang melaksanakan puasa 6 hari di bulan Syawal. Harus ditegaskan di sini bahawa Imam Malik tidak pernah meninggalkan kota Madinah seumur hidupnya melainkan sekali sahaja iaitu ketika meninggalkan Madinah untuk menunaikan haji di Mekah.

3. Adapun hadis sahih riwayat Imam Bukhari yang menyatakan bahawa, "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun." ini adalah tidak pernah sampai kepada Imam Maliki lantaran ada hadis yang diriwayatkan di luar kota Madinah yang tidak sampai kepada beliau. 

4. Tambahan pula di antara keempat-empat Imam Mazhab iaitu Syafie, Hanafi, Maliki, dan Ahmad bin Hambal, Imam Bukhari hanya sempat bertemu dengan Imam Ahmad bin Hambal. Bahkan ketika Imam Syafie meninggal dunia, Imam Bukhari ketika itu baru berusia 10 tahun.

5. Selain itu, menurut mazhab Maliki, membuat nazar itu adalah makruh dan hampir kepada haram. Berlainan  dengan mazhab-mazhab lain di mana ianya adalah sunat. Ini adalah kerana perbuatan ini seolah-olah mencabar Allah s.w.t.

6. Apa yang istimewa mazhab Maliki ialah aurat lelaki adalah terbahagi kepada dua iaitu aurat berat (mughallazah) yang meliputi kemaluan depan dan belakang dan aurat ringan (mukhaffafah) iaitu lutut dan peha. Oleh itu, seseorang lelaki yang menampakkan peha dan lutut bagi pengikut mazhab Maliki adalah sah. Ini adalah berdasarkan kepada hadis riwayat Bukhari dan Ahmad di mana Anas ternampak keputihan peha Nabi Muhammad s.a.w. disebabkan pakaian di peha nabi adalah terkoyak sewaktu perang Khaibar. 

Wallhua'lam.



http://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, August 10, 2014

Apabila Orang Buta Datang kepada Kita...

Saya pasti anda tentu sudah biasa didatangi oleh orang-orang buta khususnya ketika sedang makan di kedai makan. Tujuan utama mereka ini adalah untuk satu sahaja iaitu untuk meminta ihsan derma daripada anda. Ketika ini, terpulang kepada anda sama ada ingin memberi ataupun tidak. Sudah pasti anda semua akan menghulurkan not RM1 kepada mereka apabila ingin menderma.

Jika anda perasan orang-orang buta ini akan ditemani oleh seseorang yang dapat melihat yang memimpin menemaninya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain untuk meminta derma. Mereka kemudiannya akan berkongsi duit yang diterima daripada orang ramai yang menghulurkan sumbangan kepada mereka. Ini bukan sindiket tetapi upah kepada orang yang sempurna sifatnya itu kerana tolong memimpin orang buta tersebut untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain untuk meminta sumbangan orang ramai. Orang-orang buta ini amat memerlukan sumbangan orang ramai kerana mereka sendiri tidak mampu untuk bekerja bagi mencari rezeki untuk diri mereka sendiri lantaran tidak dapat melihat.

Perkara ini disampaikan sendiri oleh penceramah kuliah Maghrib yang pernah saya hadiri suatu ketika dahulu di mana beliau sendiri merupakan ahli Persatuan Orang-orang Buta. Oleh itu, singkirkan perasaan negatif anda sekiranya anda menganggap ini adalah sindiket pihak tertentu yang ingin mendapatkan duit daripada orang ramai secara mudah. Hulurkan bantuan anda kepada mereka ini. Insya-Allah, jasa baik anda akan dibalas oleh Allah s.w.t. kelak.


http://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, August 7, 2014

Pertanyaan : Bisnes Membuka Stesen Minyak


Saya berminat hendak membuka stesen minyak. Lokasinya adalah terletak di jalan utama iaitu Jalan Alor Setar – Kangar di tepi masjid dan ianya amat strategik. Stesen minyak masih belum banyak di situ dan stesen minyak paling dekat sekalipun terletak lebih 3 km. Saya merupakan graduan dalam perakaunan dan mempunyai pengetahuan mengenai akaun dan bisnes. Mungkin saya boleh dapatkan pinjaman dari MARA ataupun TEKUN. Saya bercadang ingin membuka Caltex. Masalah sekarang ialah tanah lapang itu terletak di tepi rumah. Mungkin tapak rumah itu perlu dialihkan sedikit. Oleh itu, saya bertanyakan pendapat encik mengenai kes saya.

- Azuan

Jawapan :

Terima kasih kerana sudi melayari dan membaca blog ini. Semoga ia dapat memberi ilmu manfaat kepada Saudara Azuan. Mengenai pertanyaan saudara, saya hanya boleh memberi beberapa pendapat mengenai apa yang saya tahu seperti berikut :

1. Lokasi Tapak Stesen Minyak

Sebelum sesebuah stesen minyak dibuka, pihak stesen minyak akan terlebih dahulu melihat keadaan trafik di sesuatu tapak yang ingin dibina stesen minyak tersebut. Mungkin faktor yang dilihat ialah bagaimanakah keadaan jalan tersebut, berapakah purata kenderaan melalui jalan tersebut setiap hari, kedudukan di luar bandar atau di bandar dan sebagainya.

Ada seorang rakan saya yang mempunyai tanah pusaka yang telah bercadang untuk membuka stesen minyak di tanah tersebut. Apabila beliau berjumpa dengan pihak syarikat minyak, faktor utama yang dipertimbangkan ialah keadaan trafik di kawasan tersebut.

Bagi kes saudara, saya percaya peluang untuk membuka stesen minyak adalah cerah kerana terletak di jalan utama. Tambahan pula banyak lagi stesen minyak belum dibuka di kawasan tersebut.

2. Ijazah Tidak Dapat Menjamin Kejayaan Anda dalam Perniagaan

Mungkin dengan kelebihan Saudara yang merupakan graduan perakaunan memberi kelebihan saudara dalam menguruskan aliran tunai. Perniagaan merupakan entrepreneurship dan bukannya intrapreneurship. Entrepreneurship bermaksud saudara perlu membuka dan menjalankan perniagaan sendiri manakala intrapreneurship bermaksud saudara hanya bekerja dengan orang lain dan menjalankan perniagaan mereka. Contohnya ialah bekerja dengan syarikat swasta, GLC, dan sebagainya. Ini bukan racist. Orang-orang melayu kebiasaannya mempunyai daya intrapreneurship yang tinggi berbanding daya entrepreneurship.

Sebenarnya, perniagaan adalah lebih daripada itu. Saudara perlu bersedia dengan 1,001 risiko untuk berjaya dalam perniagaan. Contohnya, dalam perniagaan stesen minyak, saudara perlu mengawasi stok-stok simpanan barangan runcit khususnya rokok supaya ia tidak diambil oleh kakitangan. Kenalan saya pun yang hanya bekerja di 7-Eleven sekalipun bekerja sehingga tidak ‘kenal’ rumah dek kerana perlu menjaga operasi kedai tersebut selama 24 jam. Ini kerana masa banyak dihabiskan untuk mengawasi kedai tersebut seperti stok, kakitangan, kebersihan, dan sebagainya. Ini baru sahaja 7-Eleven dan bukannya stesen minyak yang memerlukan konsentrasi, komitmen, tenaga, dan kesungguhan untuk mengawasinya selama 24 jam apatah lagi dengan operasinya dengan lebih besar.

3. Pinjaman Untuk Membuka Stesen Minyak

Sebenarnya, pinjaman TEKUN adalah tidak mencukupi untuk membuka stesen minyak kerana pinjamannya adalah sehingga RM100,000 sahaja sedangkan modal untuk membuka stesen minyak ialah antara RM300,000 sehingga RM400,000.

Pihak yang boleh memberikan pinjaman sehingga RM400,000 ialah Pemodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Ini adalah pengalaman saya bertemu dengan kakitangan PUNB dan saya ada bertanyakan modal untuk membuka stesen minyak. Beliau menyatakan bahawa modal untuk membuka stesen minyak ialah antara RM300,000 sehingga RM400,000.

4. Masalah Kedudukan Rumah Saudara

Saudara ingin membuka stesen minyak dan tapak tersebut terletak di tepi rumah saudara.  Saya tidak mendapat gambaran ukuran sebenar dan persekitaran tanah saudara. Begitu juga dengan rumah saudara. Mungkin rumah Saudara merupakan rumah papan kerana ia perlu dialihkan.

Jika betul-betul stesen minyak tersebut terletak di tepi rumah Saudara, adakah Saudara betul-betul bersedia untuk menghadapi keadaan trafik setelah stesen minyak akan beroperasi kelak? Adakah berbaloi sekiranya rumah tersebut dialih dan semasa dalam pembinaan stesen minyak ataupun selepas ianya beroperasi, ada masalah yang timbul dan keuntungan tidak dapat dibuat daripada stesen minyak tersebut? Bagaimana dengan pinjaman yang telah dibuat untuk membayarnya pada setiap bulan kelak?

Perkara-perkara ini perlulah dipertimbangkan dalam mengusahakan stesen minyak. Apa yang penting ialah Saudara memikirkan segala risiko bisnes saudara kelak jika Saudara betul-betul ingin membuka stesen minyak.

Ini sahaja mengenai pandangan saya. Terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, August 3, 2014

Memahami Perjuangan DAP


1. Democratic Action Party (DAP) merupakan serpihan parti People Action Party (PAP) yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1960-an. Parti ini memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia di Malaysia. Dengan kata lain, semua kaum di Malaysia mempunyai hak yang  sama rata di sisi undang-undang. Tiada hak keistimewaan tertentu diberikan kepada kaum tertentu di Malaysia khususnya kepada orang melayu dan juga bumiputera.

2. Sudah tentu parti ini didominasi oleh kaum bukan bumiputera yakni kaum cina yang memperjuangkan persamaan kaum di Malaysia.

3. Malangnya parti ini tidak mendapat sambutan daripada orang-orang melayu pada awal-awal penubuhannya bahkan parti ini langsung tidak dipandang oleh orang-orang melayu sehingga tahun 1999.

4. Sejak tahun 1999, parti ini mula bekerjasama dengan Parti Islam Malaysia (PAS) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menentang Barisan Nasional (BN) dengan membentuk Barisan Alternatif (BA). Kemudian, pada tahun 2004 pakatan pembangkang ini juga dikenali sebagai Barisan Alternatif. Sejak PRU tahun 2008, Barisan Alternatif ini pula dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).

5. Antara penyebab utama yang menyebabkan PAS, PKR, dan DAP boleh berada dalam satu barisan pembangkang pada tahun 1999 adalah disebabkan oleh isu pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet oleh Dr. Mahathir. Walaupun isu ini hanya melibatkan isu perpecahan di kalangan orang-orang melayu sahaja, dapat dilihat bahawa bibit-bibit perjuangan DAP untuk bersama-sama pemimpin pembangkang di kalangan orang-orang melayu dapat dilihat di saat ini.

6. DAP tidak boleh menawan sesebuah negeri dengan mengharapkan undi cina semata-mata. Begitu juga dengan PAS, parti ini tidak boleh mengharapkan undi melayu semata-mata untuk menawan sesebuah negeri. Berlainan pula dengan PKR, walaupun ia merupakan parti pelbagai kaum namun ia memerlukan sokongan kerusi PAS dan DAP bagi menawan sesebuah negeri.

7. Jika PAS, DAP, dan PKR masing-masing berjuang secara berasingan, sudah tentu usaha untuk menafikan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) apatah lagi Persekutuan yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) selama ini adalah tidak tercapai. Mahu tidak mahu parti-parti ini mesti bersatu di bawah satu bumbung bagi mendapatkan kuasa politik di sesebuah negeri mahupun Persekutuan.

8. Pas menggunakan isu dakwah untuk bekerjasama dengan Dap iaitu untuk memperkenalkan pemimpin-pemimpin Dap kepada Islam walaupun pada tahun 1970-an Pas mengatakan bahawa kerjasama Umno dengan parti-parti bukan Islam adalah haram. Sejauh manakah pemimpin-pemimpin Dap mengenal Islam sehingga sekarang tidaklah diketahui tetapi apa yang pasti Dap telah berjaya menambah bilangan kerusi parlimennya sejak PRU tahun 2008 sehingga 2013 manakala bilangan kerusi Pas terus menyusut dalam Pakatan.

9. Malah Dap semakin berani untuk meletakkan calonnya untuk bertanding di Johor iaitu kawasan kubu kuat Umno. Sudah tentu Dap tidak akan berani untuk bertanding di Johor tanpa pertolongan dan sokongan orang-orang melayu sendiri terutamanya daripada Pas dan PKR. Alangkah sedihnya melihat orang-orang melayu membantu berkempen untuk Lim Kit Siang dalam PRU-13 di parlimen di Gelang Patah menentang calon dari bangsa mereka sendiri iaitu Abdul Ghani Othman.

10. Bagi mereka pemimpin Dap bersih dan pemimpin Umno itu kotor kerana terpalit dengan rasuah. Sejauh manakah pemimpin Dap memang sifar rasuah tidak diketahui.

11. Orang-orang melayu sekarang mempunyai 2 pilihan. Memilih Barisan Nasional yang dikuasai oleh Umno ataupun memilih Pakatan Rakyat yang dikuasai oleh Dap. Jika memilih BN, isu rasuah terus berleluasa dan menyebabkan harga barang terus naik dari semasa ke semasa. Ini sudah tentu membebankan kos sara hidup mereka. Jika memilih Pakatan yang dikatakan mempunyai rekod urus tadbir yang baik, Dap pula yang terus dapat mengukuhkan kedudukan mereka dalam barisan pembangkang.

12. Ini secara tidak langsung menyebabkan Dap meraih kuasa politik di Malaysia. Dengan kata lain, kuasa politik melayu yang selama ini berlindung di bawah Umno sebagai teras utama dalam Barisan Nasional hilang kepada orang cina. Sudah tentu ini dibimbangi oleh orang-orang melayu. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menyokong BN walaupun mereka tahu pemimpin-pemimpin BN adalah pemimpin korup kerana tiada pilihan.

13. Bagi saya, tiada istilah atas pagar dalam perlawanan politik. Yang ada hanyalah kerajaan atau pembangkang sahaja. Dengan kata lain, menang atau kalah sahaja.

14. BN boleh berdiri dengan sendirinya untuk membentuk kerajaan walaupun tiada undi cina walaupun tidak mendapat 2/3 majoriti parlimen dengan mengharapkan undi melayu, bumiputera, dan india sahaja. Berlainan dengan Pakatan yang memerlukan sokongan melayu, cina, india dan lain-lain serta tindak boleh bergantung kepada sesuatu bangsa sahaja untuk meraih sokongan.

15. Seolah-olah satu rahmat kepada Umno apabila orang-orang cina beramai-ramai menyokong Pakatan Rakyat. Ini menyebabkan orang-orang melayu yang sebelum ini menyokong pembangkang beralih menyokong kepada Umno kerana takutkan kuasa politik jatuh ke tangan orang cina apatah lagi orang-orang cina sebelum ini sudah menguasai ekonomi negara. Ini menunjukkan bahawa parti yang berasaskan kepada kaum masih relevan di Malaysia pada hari ini.

16. Malangnya buat pemimpin Umno mereka mendakwa bahawa kedudukan mereka sudah semakin kukuh sekarang apabila berjaya menambah kerusi parlimen dalam Pru-13 berbanding Pru-12. Hakikatnya ialah orang-orang melayu tidak mahu kuasa politik mereka terhakis. Mahu tidak mahu mereka perlu memberi sokongan kepada Umno. Akan tetapi, pemimpin Umno bukannya ingin memperjuangkan agama dan bangsa malah berjuang untuk memperkayakan kroni-kroni. Oleh itu, pemimpin-pemimpin Umno yang sudah terpalit dengan rasuah ini haruslah digantikan dengan pemimpin lain.

17. Oleh kerana Malaysia hari ini mengamalkan demokrasi, maka parti-parti Kerajaan dan pembangkang akan bertanding antara satu sama lain untuk mendirikan Kerajaan melalui kemenangan kerusi parlimen. Siapa yang mendapat kerusi yang terbanyak dialah yang boleh membentuk Kerajaan.

18. Oleh itu, terdapat pelbagai cara untuk memenangi kerusi parlimen melalui strategi parti masing-masing. Ada cara bersih dan ada cara kotor. Isu perkauman sudah menjadi isu basi sekarang jika ingin dimainkan pada masa sekarang dan sesuai dimainkan ketika Tanah Melayu mula-mula mencapai kemerdekaan daripada British. Pun begitu parti berasaskan perkauman masih relevan pada hari ini.

19. Cara yang paling ampuh untuk menyekat kemaraan parti lawan ialah mencari kesalahan kecil pemimpin-pemimpin parti lawan yang boleh dibuktikan di mahkamah. Kemudian apabila didapati bersalah, mereka terlucut menjadi ahli parlimen dan dihumbankan ke dalam penjara.

20. Dap pun sendiri tidak mampu untuk mendapat kerusi majoriti yang banyak tanpa sokongan orang-orang melayu. Oleh itu, orang melayu yang setia kepada parti Dap yang dianggap bersih dan perlu didakwah untuk mengenal Islam perlu diberi undi supaya mereka boleh memperolehi kuasa politik di Malaysia. Namun dalam masa yang sama, orang-orang melayu juga takut kuasa politik jatuh kepada orang-orang cina melalui parti Dap. Oleh itu, mereka beralih pula kepada Umno yang menerajui Barisan Nasional.

21. Pendek kata, orang-orang melayu sendiri yang mencorakkan kemenangan atau kekalahan dan hala tuju masa depan Parti Dap.

Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.com