Monday, December 2, 2013

Perebutan UMNO-MCA dan PAS-DAP Menguasai Putrajaya Mengingatkan Kita Peristiwa Perang Ngah Ibrahim – Hai San dan Raja Abdullah – Ghee Hin di Larut

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Sejarah merupakan guru yang terbaik buat kita semua tetapi kita sebagai muridnya gagal menjadikan ia suatu pengajaran. Sejarah juga pasti akan berulang. Apa yang berlaku pada masa lepas mungkin akan berlaku pada masa sekarang atau masa hadapan.
Apa yang saya ingin sebutkan di sini ialah peristiwa Perang Larut yang berlaku di Perak yang berlangsung antara tahun 1861-1874 yang melibatkan Ngah Ibrahim yang dibantu oleh  puak kongsi gelap Hai San dan Raja Abdullah yang dibantu oleh puak kongsi gelap Ghee Hin bagi merebut kuasa dan juga kawasan perlombongan bijih timah. Natijahnya, ia membawa kepada termeterainya Perjanjian Pangkor pada tahun 1874.

Dapat dilihat di sini bahawa peristiwa ini melibatkan peperangan antara orang melayu yang dibantu oleh cina bagi menguasai kuasa dan kekayaan ekonomi di Perak. Jika dilihat timbal terbalik pada hari ini, peristiwa ini seolah-olah terjadi pada hari ini. Hari ini kita melihat bahawa terjadi ‘peperangan’ antara Umno dan Pas bagi menguasai Putrajaya. Umno dibantu oleh Mca manakala Pas dibantu oleh Dap. Jika kita melihat timbal-terbalik ini, seolah-olah peristiwa Perang Larut berlaku semula pada hari ini.
Sekiranya pada 1970-an Pas mengatakan bahawa tindakan Umno bekerjasama dengan Mca adalah haram kerana bekerjasama dengan orang bukan Islam tetapi Pas melakukan tindakan yang sama pada tahun 1999 apabila mula bekerjasama dengan Dap untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) sehingga sekarang. Mungkin semua tindakan Pas adalah semua boleh dan tindakan yang dilakukan oleh Umno semua tidak boleh.

Perang Larut
Sebenarnya peristiwa Perang Larut meletus sebanyak empat kali. Perang Larut pertama meletus pada tahun 1961 apabila pelombong bijih dari kongsi gelap Go-Kuan dan Si-Kuan berebut menguasai kawasan lombong bijih timah.  Disebabkan tekanan daripada peniaga-peniaga di Pulau Pinang, Gabenor Negeri-Negeri Selat Kolonel Cavenagh campur tangan dan meminta Ngah Ibrahim bertindak menenangkan keadaan yang berlaku. Kedua-dua puak ini terpaksa berdamai setelah dipujuk oleh Ngah Ibrahim tetapi kumpulan pelombong tersebut masih tidak berpuas hati dan keadaan masih tegang.
Ngah Ibrahim

Pada bulan Jun 1865, Perang Larut kedua meletus dan ia dicetuskan oleh perbalahan kumpulan kongsi gelap ketika berjudi. Kumpulan Hai San telah menawan 14 orang ahli kumpulan Ghee Hin sebagai tebusan dan 13 daripada mereka telah dibunuh kejam. Kumpulan Ghee Hin membalas dendam dan menyerang perkampungan Hai San dengan membakar bangunan, rumah kampung dan hampir 40 orang penduduk terkorban.
Keadaan semakin tidak terkawal apabila Sultan Ali yang merupakan Sultan Perak ketika itu mangkat pada tahun 1871. Ini adalah disebabkan berlakunya peristiwa perebutan kuasa berlaku di kalangan tiga orang pembesar Melayu iaitu Raja Yusof, Raja Ismail dan Raja Abdullah.

Pada masa tahun yang sama, Perang Larut ketiga tercetus akibat skandal melibatkan Lee Ah Khun, seorang pemimpin Ghee Hin dengan isteri kepada anak saudara Chung Keng Quee. Selepas hubungan mereka diketahui, mereka ditangkap, diseksa dan dibiarkan lemas dalam sebuah lombong terbiar. Kumpulan Ghee Hin membalas dendam dengan membawa 4,000 orang pejuang dari negeri China yang dibawa masuk melalui Pulau Pinang untuk menyerang kumpulan Hai San. Buat kali pertamanya, kumpulan Hai San tewas dan diusir keluar dari Klian Pauh dan 10,000 pengikut Hai San mencari perlindungan di Pulau Pinang.
Ngah Ibrahim membantu kumpulan Hai San dan akhirnya mendapat semula kawasan perlombongan mereka di Klian Pauh. Dalam masa yang sama, Raja Abdullah yang cuba merebut jawatan Sultan menyebelahi kumpulan Ghee Hin dan menentang Ngah Ibrahim. Sebenarnya Ngah Ibrahim sebagai orang Melayu banyak mainkan peranan penting ketika beliau membuka peluang untuk orang-orang Cina bekerja di tanah Melayu.

Perang Larut itu berkesudahan dengan perpecahan di kalangan pembesar Melayu dan mereka menjadi berpuak-puak serta bersengketa semasa sendiri. Secara tidak langsung ia melemahkan kedudukan pembesar Melayu sehingga tercetus Perang Larut keempat pada tahun 1873.
Selepas kumpulan Hai San dengan bantuan Ngah Ibrahim menguasai semula kawasan lombong di Klian Pauh, kumpulan Ghee Hin yang disokong oleh Raja Abdullah menyerang balas. Harta benda milik Ngah Ibrahim juga turut dimusnahkan dan penduduk Melayu dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan.
Kekacauan merebak ke daerah Krian (Pangkor) dan Dinding sehingga Raja Abdullah menyingkir Sultan Ismail daripada takhta Perak dan menabalkan dirinya sebagai Sultan. Pada 30 Disember 1873, Raja Abdullah mengutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat meminta bantuan British dan akhirnya William Pickering dihantar ke Larut untuk berunding mengenai isu-isu keamanan dengan kaum Cina yang sedang berbalah.

Sementara itu Frank Swettenham (yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menulis Jawi) dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu menghadiri perjumpaan di Pulau Pangkor. Pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor ditandatangani oleh pihak-pihak yang berbalah di atas sebuah kapal meriam British bernama HMS Pluto.
Kesan Perjanjian Pangkor 1874
Kesan Perjanjian Pangkor ini ialah Raja Abdullah ditabalkan oleh Pihak British sebagai Sultan di negeri Perak. Raja Ismail yang digulingkan oleh Sultan Abdullah diberikan gelaran sebagai Raja Muda dan diberikan pencen (gaji) bulanan sebanyak $1,000 dan juga diberikan satu jajahan kecil sebagai warisan adat beliau dan keturunan beliau.

Raja Abdullah

Perjanjian Pangkor 1874 juga mengiktiraf Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim sebagai orang berkuasa di jajahan Larut Matang. Ngah Ibrahim diiktriaf oleh pihak British sebagai Orang Kaya Menteri Paduka Tuan di Larut, tetapi tidak mempunyai kebebasan dan kuasa mutlak seperti mana yang diberikan kepadanya sebelum itu. Sebaliknya, beliau akan dibantu oleh seorang wakil British diberikan jawatan Penolong Residen untuk mentadbir jajahan Larut. Ngah Ibrahim dan lain-lain pembesar Melayu juga kehilangan hak untuk memungut cukai. Kapten Tristam Speedy dilantik menjadi Penolong Residen untuk mempastikan keselamatan Larut Matang supaya bekalan bijih timah tidak lagi terganggu.

Perjanjian Pangkor juga juga membahagikan kawasan perlombongan bijih di antara pihak Ghee Hin dan Hai San. Kawasan Klian Pauh di berikan kepada kongsi Hai San. Klian Pauh kemudiannya diberikan nama Taiping yang memberi makna “Keamanan Berkekalan”. Kawasan perlombongan Klian Baru diberikan kepada kongsi Ghee Hin, yang kemudiannya memanggil kawasan tersebut sebagai Kamunting. Kongsi Ghee Hin kurang berpuas hati kerana mahukan kawasan perlombongan Klian Pauh kerana lebih mempunyai deposit bijih.

Perjanjian Pangkor membolehkan pihak British dan pihak-pihak Cina yang berbalah bersetuju dengan Urusan Pangkor (Pangkor Engagement). Persetujuan ini dicapai oleh 26 orang pemimpin Kongsi Gelap Cina. Persetujuan ini Chung Keng Quee menandatangani Urusan Pangkor untuk kumpulan Hai San sementara Chin Ah Yam menandatangani bagi pihak Ghee Hin. Chung Keng Quee dan Chin Ah Yam dinobatkan menjadi Kapitan Cina oleh pihak British. Mana-mana pihak Cina yang melanggar persetujuan berdamai akan dikenakan denda $50,000.

Akhirnya....

Untuk mendapatkan hasil bagi mentadbir negeri Perak, Birch mengenakan cukai ke atas perlombongan dan perniagaan bijih di Larut. Antara lain, kuasa Ngah Ibrahim memungut hasil dan cukai di Larut disekat. Sebaliknya, pungutan cukai dibuat oleh Residen British.

Kapten Tristam Speedy


Ini menimbulkan marah Ngah Ibrahim kerana beliau beranggapan Ia perlanggaran apa yang dipersetujui di Pangkor di mana dia berkuasa ke atas jajahan Larut seperti sebelum campur tangan British. Tetapi Kapten Speedy lebih taat kepada pihak British dan menguatkuasakan apa yang diperintahkan oleh Residen, termasuk pungutan cukai. Ngah Ibrahim terpaksa akur dengan pengutipan cukai ini kerana Kapten Speedy juga berkuasa ke atas polis bersenjata (yang asalnya diwujudkan oleh Ngah Ibrahim, tetapi digantikan oleh Kapten Speedy dengan polis Sepoi dari Punjab yang hanya taat kepada Kapten Speedy dan bukannya kepada Ngah Ibrahim).

Perasaan marah Ngah Ibrahim ke atas pengenaan cukai oleh Residen British mendorong beliau memberikan sokongan kepada kumpulan pembesar Melayu yang hendak menentang pentadbiran British di Perak. Ngah Ibrahim disokong oleh Laksamana Mohamad Amin, bapa mentuanya. Pengikisan kuasa ini dilihat sebagai penghapusan martabat pembesar (dan Sultan) Melayu di tanah air mereka sendiri.

Selepas satu perbicaraan yang diadakan di Kota Ngah Ibrahim (kini menjadi Markas dan kediaman Kapten Tristam Speedy) Dato Maharaja Lela dikenakan hukuman gantung. Oleh kerana tiada bukti kukuh yang boleh menambat Ngah Ibrahim kepada pembunuhan Birch, Ngah Ibrahim, bersama bapa mentuanya Laksamana Mohamad Amin dikenakan hukuman buang negeri ke Kepulauan Seychelles bersama-sama Sultan Abdullah. Pada tahun 1877, Ngah Ibrahim dihantar ke Kepulauan Seychelles untuk menjalani hukuman buang negeri.

Pengajaran.

Daripada kisah Perang Larut ini, dapat kita lihat bahawa persengketaan sesama orang melayu itu sendiri walaupun dibantu oleh puak-puak cina dan British akhirnya membawa kerugian kepada orang melayu sendiri. Ngah Ibrahim hilang kuasanya sebagai pemungut cukai di Larut walaupun di dalam perjanjian Pangkor menyebut beliau berkuasa di Larut. Pendek kata, Ngah Ibrahim sudah tertipu dengan permainan politik British apatah lagi beliau bertanggungjawab membawa masuk orang-orang cina bekerja di lombong. Begitu juga dengan Raja Abdullah, walaupun ditabalkan sebagai Sultan Perak, beliau hanya berkuasa di dalam adat resam dan adat istiadat melayu sahaja.

Puak Hai San dan Ghee Hin yang berebut kawasan perlombongan bijih timah boleh berpuas-hati dari perjanjian ini kerana mereka boleh melombong bijih timah secara aman kerana mereka dilarang berperang sesama sendiri sepertimana yang termaktub dalam perjanjian.

Pada hari ini kita boleh melihat bahawa Umno dan Pas sering bertelagah antara satu sama lain. Masing-masing dibantu oleh parti kaum lain untuk menambah sokongan parti masing-masing. Ini ditambah pula dengan kewujudan parti PKR yang mana menyebabkan orang melayu berpecah tiga. Kesannya, orang-orang cina dan india menjadi penentu bagi orang melayu dalam keputusan PRU. Ini belum lagi disebut hak-hak istimewa Islam dan melayu sudah mula tercabar selepas PRU-12 pada tahun 2008.

Ada yang mengatakan bahawa bilangan orang melayu adalah ramai dalam pakatan pembangkang. Namun, wakil-wakil melayu di dalam barisan pembangkang gagal menyelesaikan masalah keseimbangan kaum. Wakil-wakil bukan melayu sudah tentu meminta hak yang lebih bagi kaum mereka yang tidak diperoleh sebelum ini.

Inilah akibat perbalahan dan persengketaan sesama agama dan bangsa. Akhirnya melukut kepada bangsa lain di tanah air sendiri.

Wallhua’lam.

 http://wankamarul701.blogspot.com

Sumber

1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Ngah_Ibrahim

2. http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20120609/hi_07/Perang-Larut-atas-kanvas

No comments: