Tuesday, December 10, 2013

Di India Ada Masalah Kasta, Di Malaysia Ada Masalah Kaum

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
 
Saya tertarik untuk menulis mengenai masalah kasta dan kaum pada kali ini setelah     menonton filem tayangan hindi berjudul Aarakshan tidak berapa lama dahulu. Filem ini sebenarnya diterbitkan pada tahun 2011. Aarakshan adalah bermakna ‘reservation’ atau lebih tepatnya bermakna ‘kuota’. Filem ini menceritakan masalah kasta yang berlaku di India iaitu peluang untuk pelajar-pelajar dari golongan kelas atasan dan bawahan untuk memasuki universiti.
 
 
Sistem kuota ini sebenarnya memihak kepada golongan miskin yang tiada kemudahan kehidupan yang baik bagi memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan untuk memasuki universiti. Ini menimbulkan masalah kepada pelajar golongan atasan untuk memasuki universiti kerana peluangnya untuk memasuki universiti adalah terbatas walaupun mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang kerana kuota disediakan untuk golongan kasta bawahan untuk memasuki universiti walaupun keputusan peperiksaan kurang cemerlang.
 
 
Pada tahun 2008, Mahkamah Agung India mengekalkan cadangan Kerajaan yang dibuat pada tahun 2006 untuk menambah jumlah kuota sebanyak 27 peratus iaitu daripada 22.5 peratus kepada 49.5 peratus untuk golongan kasta rendah tangga sosial hindu dan kaum peribumi. Kesannya ia membawa pertempuran antara pelajar kasta atas terutamanya pelajar perubatan dengan polis. Tidak kurang dari itu ramai doktor mula mogok dan menutup hospital di seluruh negara (The New York Times 11 April 2008). Bermula dari peristiwa ini, filem Aarakshan diterbitkan untuk menceritakan masalah negara India.

 
Filem Aarakshan ini diharamkan di Uttar Pradesh, Punjab dan Andhra. Kerajaan Punjab diharamkan filem pada kebimbangan bahawa adegan dan dialog tertentu dalam filem itu boleh membakar semangat sesetengah komuniti di Punjab. Manakala Kerajaan Mayawati diharamkan filem dalam Uttar Pradesh selama dua bulan atas alasan ia boleh mewujudkan masalah dalam negeri ini (Wikipedia).
 
 
Sebenarnya banyak filem hindi menceritakan realiti yang berlaku di India seperti rasuah yang berlaku di kalangan pemimpin kerajaan dan juga pihak berkuasa. Secara tidak langsung ia boleh menegur pihak atasan. Malangnya di Malaysia, filem-filem untuk menegur pihak atasan atau pemimpin-pemimpin kerajaan langsung tiada. Kalau ada pun ia hanya mengenai cerita-cerita tahyul, cinta, gengsterisme yang tidak seberapa gangster dan sebagainya. Boleh dikatakan langsung tidak mendidik masyarakat.
 
 
Di dalam masyarakat India wujud sistem kasta iaitu sistem sosial yang mempunyai hierarki dalam masyarakat mereka. Seseorang boleh mewarisi kasta daripada ibu bapa mereka. Perkahwinan mereka pula hanya terbatas dalam kumpulan kasta masing-masing. Oleh sebab itu, di Malaysia ramai orang india yang memeluk agama Islam kerana yang membezakan seseorang dengan seorang yang lain adalah sifat taqwa di sisi Allah s.w.t. Harta, kekayaan, kedudukan, dan sebagainya tidak dipandang oleh Islam bagi menentukan darjat seseorang dengan seorang yang lain. 
 
 
Masalah Kaum di Malaysia
 
 
Manakala di Malaysia pula ada masalah kaum. Mengikut sejarah, penjajah British membawa masuk orang-orang cina dan india bekerja di Tanah Melayu dari tanah besar masing-masing. Kaum-kaum bukan melayu kebanyakannya adalah tinggal di bandar-bandar besar yang dibuka oleh British. Kesannya, mereka mempunyai kemudahan kehidupan khususnya pendidikan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Berbanding dengan orang melayu, mereka tidak mempunyai kemudahan asas kehidupan yang baik untuk menyediakan mereka mendapat keputusan yang baik bagi memasuki universiti. Keadaan ini terus kekal selepas Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada British.
 
 
Sememangnya universiti-universiti mementingkan meritokrasi untuk mengambil pelajar-pelajar mereka. Dengan ini, pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akan mendapat tempat di universiti. Sudah tentu mereka yang mendapat cemerlang dalam keputusan peperiksaan adalah mereka yang tinggal di bandar-bandar yang terdiri daripada bukan melayu manakala orang-orang melayu yang tinggal di luar bandar yang tidak mendapat kemudahan yang mencukupi untuk pendidikan mereka. Sekiranya universiti hanya menetapkan sistem meritokrasi untuk mengambil pelajar, sudah tentu universiti-universiti ini akan dipenuhi oleh golongan bukan melayu dan orang melayu tidak akan berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti.
 
 
Sekiranya keadaan ini terus berkekalan, ini sudah tentu menyebabkan perpaduan kaum tidak dapat dipupuk dan boleh menyebabkan perpecahan masyarakat kerana menimbulkan perasaan tidak puas hati bagi satu kaum yang tidak dapat memasuki universiti. Pendidikan juga merupakan salah satu medium untuk mencapai perpaduan kaum. Oleh itu, kuota kemasukan universiti diperkenalkan yang selari dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di mana kuota untuk bumiputera ialah 60 peratus, cina 30 peratus, dan india 10 peratus.
 
 
Meritokrasi Ala UMNO-BN?
 
 
Sistem meritokrasi ini kekal sehinggalah akhir tahun 1990-an apabila Kerajaan pimpinan Dr. Mahathir ketika itu ingin melaksanakan sistem meritokrasi untuk kemasukan ke universiti yang kononnya tidak mahu golongan bumiputera khususnya orang melayu bergantung hak istimewa kaum bumiputera di dalam perlembagaan yang dianggap ‘tongkat’ bagi mereka. Dr. Mahathir ingin supaya golongan bumiputera berdiri atas kaki sendiri untuk memasuki walhal perniagaan anaknya Mirzan Mahathir diselamatkan oleh wang rakyat yang berjumlah RM2 bilion semasa krisis kewangan melanda Asia pada tahun 1997/98 (Aspan Alias). Mungkin Dr. Mahathir ingin golongan bumiputera berdiri atas kaki sendiri tanpa tongkat dan inginkan anaknya berdiri atas duit rakyat.
 
 
Sebenarnya, peperiksaan untuk kemasukan ke universiti iaitu - matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah peperiksaan yang tidak sama di mana matrikulasi menyediakan tempat khusus untuk bumiputera dan 10 peratus untuk golongan bukan bumiputera. Saya sendiri yang mengambil matrikulasi menganggap matrikulasi lebih senang daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana matrikulasi hanya perlu mengambil 3 subjek (Matematik, Kimia, Fizik (atau biologi)) berbanding dengan SPM di mana saya dahulu mengambil 11 subjek.
 
 
Matrikulasi kita perlu mengambil 3 subjek sahaja manakala STPM perlu mengambil 4 atau 5 subjek di mana setiap subjek ini mempunyai 2 kertas pula. Kawan saya sendiri yang mengambil STPM menceritakan bahawa dia tidak sempat untuk mengulang kaji semua mata pelajaran STPM. Sekiranya lulus untuk satu subjek STPM sudah dikira baik bagi seseorang.
 
 
Selain itu, gred matrikulasi ditentukan berasaskan kerja kursus (30 peratus) dan peperiksaan (70 peratus) berbeza dengan STPM adalah sistem yang teruji, terbuka, dan berpiawaian, lengkap dengan kawalan luaran dan bersekutu dengan Cambridge Local Examinations Syndicate (roketkini.com). Oleh itu, boleh dikatakan peperiksaan matrikulasi dan STPM adalah peperiksaan tidak sama tahap kesukarannya apatah lagi untuk matrikulasi tempoh pengajiannya hanya setahun manakala STPM ialah 2 tahun.
 
 
Setelah meritokrasi dilaksanakan didapati bahawa golongan bumiputera yang memasuki universiti lebih ramai dari kuota yang diperuntukkan sebelumnya iaitu melebihi 60 peratus. Saya masih ingat lagi tajuk besar di muka kulit majalah Massa pada tahun 2002 yang menulis “Meritokrasi bukti melayu tidak lemah”. Bagaimana pula dengan kaum-kaum lain?
 
 
Bagi kaum cina pula, kadar kemasukan kaum ini ke universiti ialah merosot dari 30 peratus mengikut sistem kuota kepada 19 peratus selepas meritokrasi dilaksanakan. Manakala kemasukan kaum india pula adalah merosot daripada 10 peratus kuota yang diperuntukkan sehingga tidak capai 3 peratus untuk kemasukan ke universiti.
 
 
Pengambilan pelajar Cina bagi lapan jurusan utama iaitu perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan elektronik dan elektrik, kejuruteraan kimia, undang-undang, perakaunan di universiti awam semakin merosot kebelakangan ini, iaitu daripada 26.2% pada 2001 kepada 25.3% pada 2012 dan 20.7% tahun 2013 (roketkini.com).

 
Kesimpulan
 
 
Dapat dilihat bagi kedua-dua negara – India dan Malaysia kesan meritokrasi dilaksanakan akan menyebabkan perpecahan dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat. Meritokrasi menyebabkan golongan berada mengecapi semua kemakmuran negara manakala golongan yang kurang berada menyebabkan mereka ketinggalan dalam menikmati kemakmuran negara. Ironinya, mewujudkan padang yang sama rata tidak sesuai bagi sesebuah negara tidak kira sesebuah negara itu hanya mempunyai satu kaum ataupun pelbagai kaum.
 
 
Apa yang dapat dilihat bahawa sistem kuota adalah berkesan bagi mengagihkan peluang-peluang pendidikan, ekonomi dan sebagainya bagi kemakmuran sesebuah negara. Ini seterusnya dapat mewujudkan perpaduan dalam masyarakat dengan masing-masing sanggup berkorban untuk golongan yang lain. Sememangnya ia akan mewujudkan diskriminasi secara halus bagi golongan yang berada kerana mereka perlu berkorban untuk golongan ketinggalan.
 
 
Bagi golongan yang mendapat keputusan yang cemerlang tetapi tidak berpeluang untuk mendapat tempat di universiti-universiti tempatan, mereka boleh menyambung pelajaran mereka di luar negara yang masih menyediakan kemudahan pengajian lebih baik daripada universiti tempatan apatah lagi mereka mempunyai sumber ekonomi yang teguh untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.
 
 
Saya setuju dengan kata-kata Idris Jala yang mengatakan bahawa masalah perkauman di Malaysia adalah masalah kekutuban di mana mereka ini tidak boleh disatukan dan ia dibiarkan seperti biasa laksana kutub utara dan kutub selatan di mana ia tidak boleh disatukan.
 
 
Sekian, terima kasih.
 
 
http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: