Wednesday, December 25, 2013

Ketibaan Tahun 2014 : Apakah yang Telah Kita Capai pada Tahun 2013?

Assalamualakum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Tok Guru Haji Hadi apabila ditanya oleh wartawan apakah azam untuk tahun baru ketika masyarakat ingin menyambut tahun baru beberapa tahun dahulu. Beliau menjawab azamnya ialah bukannya mengikut tahun masihi tetapi mengikut tahun hijrah. Subhanallah.

Akan tetapi sebagai orang awam saya hanya mengikut tahun masihi sahaja dan saya yakin tuan-tuan dan puan-puan semua mengikut tahun masihi. Apa yang penting ialah kita perlu mempertingkatkan prestasi, amalan, dan pencapaian kita. Bak kata Saidina Ali r.a. sekiranya hari ini lebih baik daripada semalam maka berbahagialah orang itu. Sekiranya hari ini sama dengan hari semalam maka sia-sialah orang itu. Sekiranya hari ini lebih buruk daripada semalam maka celakalah orang itu.

Bagaimana pula dengan prestasi pengurusan kewangan kita sepanjang tahun 2013? Adakah semakin  baik ataupun buruk? Atau sama sahaja dengan tahun-tahun sebelum ini?

2 indeks prestasi petunjuk utama (KPI) yang boleh dijadikan panduan dalam pengurusan kewangan kita iaitu hutang dan simpanan. Apakah hutang kita semakin bertambah atau berkurang? Adakah simpanan kita semakin bertambah atau berkurang? Sekiranya hutang semakin berkurang maka prestasi kewangan kewangan kita adalah semakin baik. Begitu juga dengan simpanan kita. Sekiranya simpanan kita semakin bertambah maka pengurusan kewangan kita semakin baik.

Ketika ini rakyat dihimpit oleh kenaikan kos sara hidup - gula naik, minyak naik, tarif elektrik naik, tol naik, dan beberapa lagi barangan lain mungkin menyusul akan naik selepas ini. Duit not RM50 pada sekarang sudah seolah-olah hanya mempunyai nilai yang sangat kecil di mana ia tidak akan tahan untuk 3 hari untuk orang bujang seperti saya. Bagaimana anda yang telah mendirikan rumah tangga? Sudah tentu kos sara hidup semakin meningkat berbanding dengan kos sara hidup orang yang belum mendirikan rumah tangga. Untuk berbelanja di pasar malam sahaja pun boleh mencecah RM100.  

Hidup semakin tertekan. Mahu tidak mahu kita boleh bertindak balas dengan alam sekeliling. Subsidi makin lama makin dikurangkan kerana sumber semakin berkurang dan rakyat semakin bertambah. Bagaimana kita bertindakbalas dengan alam sekeliling? Adakah mencipta pendapatan baru? Mengurangkan perbelanjaan harian? Atau kekalkan sahaja gaya hidup lama dengan simpanan makin mengecil? Terpulang kepada masing-masing. 

Saya akan terus menulis mengenai pengurusan kewangan kerana ia akan mengingatkan saya supaya berhati-hati menguruskan kewangan kita. Apabila kita menasihati orang lain kita juga akan menasihati diri sendiri. Semoga penulisan di blog ini akan menjadi panduan yang berguna kepada saya dan anda semua.

Pendek kata, kita perlu membuat introspeksi (muhasabah) kewangan kita. Membuat pemeriksaan dan analisa di mana dan apa yang telah kita bazirkan. Seterusnya kita boleh mengelakkan pembaziran kita sebagai simpanan dan sekaligus sebagai pendapatan pasif kita. Akhir kata dari saya, wassalam. 

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

1 comment:

wankamarul701 said...

Semoga saudara dapat melangsaikan hutang saudara secepat mungkin.