Saturday, April 13, 2013

Ulama-ulama Kerajaan Perlu Berani Menegur Kesilapan Pemerintah Negara


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu dan sentiasa dirahmati Allah s.w.t. Pada kali ini saya ingin berbicara mengenai ulama-ulama yang berada di dalam Kerajaan. Sudah tentu di negara Malaysia yang mengamalkan demokrasi pada hari ini, akan wujud 2 golongan iaitu pihak kerajaan dan pembangkang di mana masing-masing menggunakan pelbagai taktik kotor bagi menjatuhkan lawan masing-masing. Cerita terbaru menjelang PRU-13 ini adalah cerita video seks oleh seorang pemimpin daripada Parti PAS. Ini sudah tentu mendukacitakan kita kerana menggambarkan betapa teruknya masyarakat kita pada hari ini.

Isu video seks di Malaysia bermula pada tahun 2011 lagi apabila ia membabitkan pemimpin daripada parti pembangkang iaitu serentak dengan pembubaran DUN Negeri Sarawak bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) bagi negeri tersebut. Pemimpin-pemimpin Pas menempelak ulama’-ulama’ kerajaan kerana mendiamkan diri mengenai isu tersebut. Sesungguhnya usaha-usaha pemimpin Pas ini merupakan usaha yang baik bagi menegur ulama-ulama kerajaan yang berdiam diri mengenai isu ini supaya kemungkaran video seks ini tidak berleluasa di dalam masyarakat kerana ia merupakan fitnah yang besar dan mengaibkan seseorang.

Apa yang lebih buruk lagi, penerbit-penerbit drama video seks tersebut sanggup bersumpah dengan al-Quran apatah lagi di dalam masjid. Inilah yang dikatakan tanda-tanda kecil hari kiamat iaitu banyak sumpah palsu dan pembohongan. Perkara ini sudah pun berlaku secara terang-terangan pada hari ini.

Kee Thuan Chye dalam bukunya No More Bullshit, We’re All Malaysians, beliau bertanyakan apa sudah jadi dengan Malaysia yang agama rasminya adalah Islam. Adakah kita ingin menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah tempat pementasan drama video seks? Kita sebagai orang Islam sudah tentu patut malu dengan orang bukan Islam kerana perkara-perkara buruk ini datangnya daripada orang Islam itu sendiri. Oleh itu, ulama-ulama perlu lantang menegur pemimpin-pemimpin parti pemerintah supaya mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang membuat perkara buruk ini.

Ulama-ulama kerajaan hari ini perlu mencontohi bekas Mufti Selangor iaitu Allahyarham Dato’ Ishak Baharom yang dipecat pada akhir Oktober 1997 rentetan daripada isu pertandingan ratu cantik dan penangkapan 3 gadis melayu Islam pada 13 Jun 1997 di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor. Allahyarham dengan tegas menyatakan bahawa pertandingan ratu cantik itu adalah haram. Ulama seperti ini patut dicontohi oleh ulama-ulama lain khususnya yang berada dalam kerajaan.

Selain itu, banyak lagi kemungkaran-kemungkaran yang terus berlaku dan suara-suara ulama tidak didengari bagi mencegah kemungkaran ini seperti program realiti TV, tayangan filem tahyul dan sebagainya. Oleh itu, tidak hairanlah apabila bala Allah s.w.t. datang seperti kenaikan harga-harga barang yang mana menyusahkan kita semua. Ini mungkin hanya peringatan kecil daripada Allah s.w.t. Apabila disebut bala, semua orang akan terkena tempiasnya tidak kira sama orang yang membuat maksiat ataupun tidak seperti kenaikan harga-harga barang di mana semua orang akan terkena tempiasnya.

Jika kita melihat keagungan Khilafah Uthamaniah yang memayungi umat Islam lebih daripada 600 tahun berakhir disebabkan oleh ulama-ulamanya sendiri yang menjadi pengampu-pengampu Khalifah dinasti-dinasti terakhir dan tidak berani menegur pemerintah yang membuat maksiat. Akhirnya, ulama-ulama yang menjadi pegawai-pegawai kerajaan ini hanya dibenarkan menjaga masjid-masjid dan gajinya hanyalah bergantung kepada sedekah orang ramai setelah sistem pemerintahan berkhalifah dimansuhkan pada 1924.

Pendek kata, ulama-ulama pada hari ini perlu berani memainkan peranannya dengan lebih aktif bagi mencegah kemungkaran daripada berlaku dengan menegur pemerintah negara. Ini adalah benar seperti mana kata-kata Imam al-Ghazali iaitu, “ Rosak rakyat adalah kerana rosak pemimpin. Rosak pemimpin adalah kerana rosak ulama. Rosak ulama adalah kerana cintakan dunia.” Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: